Sabtu, 27 Ogos 2011

PERTEMPURAN SANG GAGAK


Ketika aku duduk termenung di sudut ruang tiba-tiba mata ku terlihat dua ekor gagak bertempur hebat dan mengeluarkan bunyi yang begitu hingar, lalu aku rapati muka ku keluar jendela dan mata ku hanya tertumpu melihat gelagat gagak-gagak tersebut untuk mengetahui apa yang berlaku dan mengapa ia berlaku.

Sebagai seorang insan aku perlu juga mengambil tahu dan belajar sifat-sifat burung gagak ini, adakalanya boleh memberi pengajaran tertentu kepada manusia.Tidak puas rasanya aku hanya melihat dari jauh lalu aku melangkah keluar rumah dan menghampiri tempat pertempuran sang gagak itu.

Agak malang kehadiran ku disedari oleh kedua gagak itu lalu bertempiaran terbang sambil meneruskan perjuangan kejar mengejar antara satu dengan lain.Hebat sungguh pertempuran itu dengan patuk mematuk, pijak memijak dan bercakaran.

Selalunya hanya gagak jantan sahaja yang bergaduh kerana masing-masing menunjuk gagah untuk berebut gagak betina Mungkinlah agaknya kerana aku tidak pasti kerana aku bukanlah pakar mengenali jantina gagak-gagak yang bertempur itu.

Setelah gagak itu terbang hilang entah kemana, aku pergi ke tempat kejadian, aku lihat apakah puncanya sehinggakan gagak itu bergaduh.Aku terlihat satu benda yang dihurungi lalat hijau dan hitam yang terdapat di tepi jalan itu.

Bila ku hampiri lalat-lalat itu berterbangan dan aku dapati ianya adalah seketul daging yang hitam dan sudah busuk.Barulah aku tahu mengapa gagak-gagak tadi bertempur hanyalah semata-mata kerana seketul daging yang hampir berulat.

Jadi pengajarannya yang aku dapat dari peristiwa itu amat besar kerana ada di kalangan kaum lelaki sanggup bertempur seperti gagak-gagak tadi kerana semata-mata merebut daging yang busuk, berulat dan kotor.Isyyy kenapa ya ? 

Mengapa harus berebut kerana seketul daging ? Kalau ingin berebut daging biarlah daging itu yang lebih baik dan sempurna taklah malu sangat.Sebagai manusia yang dianugerah akal fikiran yang luas kenapa perkara ini berlaku dalam kehidupan manusia.

Semoga perkara berebut ini tidak akan terjadi.Amat dikesali jika ianya ada dan pernah berlaku di kalangan kita.Moga Allah menjauhkan diri kita bersifat seperti gagak-gagak itu.Sekian untuk kali ini sekadar untuk renungan bersama dan fikir-fikirkanlah !!! ....


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...