Jumaat, 19 November 2010

KAMPUNG JALAN PAKU, BIDOR, PERAK DR

Papan kenyataan hala ke Kg Jalan Paku
Bidor

Kampung Jalan Paku atau lebih dikenali sebagai Jalan Paku Bidor terletak hala ke timur Pekan Bidor dipersimpangan ke pusat tol Lebuh Raya Plus lebih kurang 1 km dari Pekan Bidor ke Kampung Chang dan tempat riadah Lubok Degong di Banjaran Titiwangsa.Aku telah dilahirkan disini jam 8.00 pagi pada 10.3.1958, 52 tahun yang lalu oleh ibuku yang ketika itu ibu berusia 25 tahun.



Kampung Jalan Paku adalah Anak Kampung bagi Kampung Bruseh, Bidor dan merupakan perkampungan asal yang dibuka oleh orang-orang yang berhijrah dari Sumatera suku Rao dan Minang.Penduduknya tidaklah begitu ramai dan rumah kediaman banyak yang telah ditinggalkan kerana anak-anak telah berhijrah bekerja  dan tinggal di tempat lain, maka tinggallah beberapa orang sahaja kaum lelaki dan ibu-ibu tunggal yang sudah lanjut usia masih setia menetap disitu.Ada juga rumah-rumah yang ditinggalkan usang kerana penghuninya telah meninggal dunia.Terdapat juga tanah-tanah yang telah bertukar milik dan telah dijual untuk dijadikan Taman Perumahan dan kebun kerana kematian ibu bapa dan anak-anak tidak mahu lagi tinggal di kampung ini lagi.Maka tidak hairanlah Kampung Jalan Paku ini tidak semeriah 30-40 tahun dahulu.Kini Kampung Jalan Paku berada dalam keadaan sepi dan sunyi.

gambarku pada tahun 1959 berhampiran pokok manggis bersempadan rumah Allahyarham Pak Tua Tolin.Pokok manggis tersebut masih wujud lagi sampai kehari ini.

Ketua Kampung Jalan Paku ini adalah dipilih dari kalangan penduduk dari Ibu Kampung, dan Anak-anak kampung yang terdiri dari Kampung Bruseh, Kampung Kuala Gepai, Kampung Lembah, Kampung Chang dan Kampung Pasir.Ketua Kampung diwaktu selepas Malaysia merdeka yang mula-mula dilantik adalah AllahyarhamTuan Haji Abdul Razak Bin Hassan dari Kampung Bruseh, Bidor, selepas kematiannya diganti oleh Allahyarham Tuan Haji Tolin bin Long dari Kampung Jalan Paku, Bidor, setelah kematiannya pula Ketua Kampung ini dipimpin oleh Allahyarham Abdul Rahman bin Taih dari Kampung Jalan Paku, dan selepas kematiannya diganti oleh Ariffin bin Gompa dari Kampung Kuala Gepai,kemudiannya Allahyarham Zainuddin bin Ngah yang lebih dikenali sebagai Pak Enon juga dari Kampung Kuala Gepai dan kini Ketua Kampung adalah Encik Yahya bin Osman AMP PJK yang dikenali dengan panggilan Pak Ya.

Rumah Acik Harison @ Hasiah bt Maarof

Di tapak rumah inilah aku dilahirkan dan rumah ini sudah 3 kali dibina baru kerana reput dan usang.Di tapak rumah inilah juga nendaku Azizah bt Hj Shahbuddin berkahwin dan melahirkan ibu serta adik beradik yang lain dan disinilah nenda menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 9.30 pagi 22.7.1971.Disekeliling rumah inilah tempat nenda, ibu dan ibu-ibu saudara mencari nafkah dengan menoreh getah dan hasil buah-buahan.


Dahulu rumah ini, selalu dikunjungi oleh anak-anak kecil bermain kerana mempunyai kawasan halaman rumah yang luas.Disamping itu juga nendaku adalah seorang bidan di kampung ini dan tidak putus-putus menerima tetamu kerana mengurut ibu-ibu mengandung, dijemput oleh suami-suami dimana isteri mereka sakit hendak bersalin, begitu juga anak-anak yang sakit perut. demam dan sebagainya untuk rawatan tradisional dan urutan, disamping itu anak-anak muda yang terseliuh tangan atau kaki selepas bermain bola untuk mendapat khidmat urutan tradisonal.Semasa dahulu juga pada musim buah-buahan terutamanya musim durian dan manggis rumah ini memang meriah kerana kunjungan sanak saudara, sahabat handai dan juga peraih-peraih yang membeli durian dan manggis tetapi kini hanya tinggal kenangan.

Selain aku, kakakku Hajjah Hasnah dan adik ku Haji Nazeri turut dilahirkan disini, setelah berpindah ke Kampung Cegar, Bidor pada 1960, kami masih lagi kesini kerana tinggal bersama nenda dimasa cuti sekolah, kami juga mengaji Al-Quran dengan guru kami yang bernama Allahyarhamah Rahmah yang kami panggil Opah Wah.Adik ku Nazeri memang tinggal dengan nendaku dari darjah 2 sehingga tingkatan 2 dan aku juga pernah tinggal di rumah nenda di usiaku awal 19 tahun.Kini rumah ini didiami oleh ibu saudaraku yang kami panggil acik ditemani oleh sepupuku dan kadangkala ibu juga turut tinggal disini menemani ibu saudaraku yang juga seorang ibu tunggal dan tiada mempunyai anak.Pada anak-anak saudaralah tempat beliau menumpang kasih.

Bagaimanalah nasib Kampung Jalan Paku pada 10 -20 tahun lagi, masihkah ada yang sudi menetap disini atau dibiarkan sepi.Adalah diharapkan anak-anak Kampung yang kian lama merantau akan kembali semula dan menetap di kampung ini selepas persaraan mereka.Ayuh marilah kita beramai-ramai memenuhi rumah-rumah dan tapak-tapak kosong yang telah lama ditinggalkan dan kita kembalikan semula kemeriahan kampung ini seperti zaman kanak-kanak kita dahulu.



6 ulasan:

abang bro EL berkata...

sedih pulak baca entry ni..ye lah da gambar orang tua saya kat situ..mohon acik tw nak ambik gambar ni lotak kat FB...

TOKWAN MATARUN berkata...

Silakan... gambar ini pun rasanya Amat yg punya tw tag dari FB Pak Itam Aienya...

abang bro EL berkata...

tak perasan pulak hehehe...nice job tw...very informative blog

TOKWAN MATARUN berkata...

terima kasih2... anak Bidor boleh !!!

abang bro EL berkata...

teringin gak nak jadi warga Bidor balik tapi apa nak buat kat Bidor...hehehe

TOKWAN MATARUN berkata...

Banyak kenangan di Kg Jalan Paku, kini sudah terlalu banyak pula perubahan ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...