Khamis, 18 November 2010

KG CEGAR, 35500 BIDOR, PERAK DR.



Papan tanda yang terdapat di persimbangan jalan utama ke Kampung Cegar, Bidor, Perak DR.
                   
Kampung Cegar Bidor adalah kampung dimana aku diperbesarkan.Aku telah berpindah ke Kampung ini pada tahun 1960 setelah kelahiran adik ku Haji Nazeri Harun.Kampung ini terletak di Jalan Sungkai hala Pekan Bidor ke Kuala Lumpur.

Kampung ini telah dibuka pada penghujung tahun 1957 dan kampung ini asalnya adalah bekas tapak perlombongan bijih timah.Menurut cerita dari Allahyarham ayahku, kami tinggal di kampung ini adalah diantara yang terawal dan ketika itu  tidak ramai yang sudi untuk tinggal disini kerana insfratruktur boleh dikatakan tiada.

Kampung hanya dihubungi oleh jalan batu dan pasir lombong sahaja, malam dicahayai pelita, bekalan air adalah dari telaga dan jarak rumah antara satu dengan lain agak berjauhan.Pada awal tahun 1960an barulah kampung ini diasak oleh penghuni yang berpindah kesini dan akhirnya kampung ini telah berkembang dan telah disediakan dengan jalan tar, bekalan letrik, bekalan air, surau, Sekolah Agama Rakyat. Perpustakaan Desa dan kemudahan-kemudahan lain.

Pada asalnya pada tahun 1960an Kampung Cegar dikenali sebagai Kampung Padang kerana keadaannya yang lapang dan ditumbuhi oleh belukar-belukar kecil dan padang rumput pasir.Selepas itu kampung ini dikenali sebagai Kampung Jalan Sungkai, Bidor. 

Kemudian setelah ramai yang membina rumah dan berpindah kesini, nama Kampung telah diubah kepada Kampung Baharu Jalan Sungkai, Bidor pada pertengahan 1960an dan kini nama Kampung ini telah ditukar kepada Kampung Cegar, Bidor kira-kira dua dekad yang lalu.Bilangan penduduk disini terdiri dari majoritinya berbangsa Melayu, dan beberapa keluarga India dan keturunan Benggali Muslim.

Kampung Cegar sebelum ini merupakan anak kampung kepada Kampung Sungai Gagap (Bt. 1 Jalan Sungkai) dan Kampung Masjid Bidor, tetapi kerana pembangunannya yang pesat maka Kampung Cegar ini dijadikan ibu kampung kepada kedua-dua kampung tersebut yang mana penghuninya ramai yang telah meninggal dunia, berpindah dan ada diantara tanah-tanah mereka telah dijual dan dijadikan penempatan tempat tinggal (Taman Perumahan) dan pusat perniagaan.

Pada pertengahan tahun 1990an perkampungan ini telah ditambah dengan penempatan baru dikenali sebagai Kampung Cegar Tambahan.Maka Kampung Cegar telah maju dengan beberapa pembangunan insfratruktur yang baik tetapi adakalanya perkampungan ini tidak terlepas juga dari ancaman banjir jika berlaku hujan lebat yang berterusan atau limpahan air sungai yang diluar jangkaan.

Kampung ini telah ditadbirkan oleh beberapa orang Ketua Kampung dan Ketua Kampung yang pertama di Kampung ini adalah Ramli bin Shaari setelah kematiannya Ketua Kampung diserahkan kepada Cikgu Haji Ariffin bin Haji Zainuddin, seterusnya Tuan Haji Abdullah @ Shaari bin Yaakub, Allahyarham Ismail bin Shariff, Tuan Haji Arshad bin Shariff dan kini Ketua Kampungnya adalah Mohd Annuar bin Darus.

Penduduk kampung ini terdiri dari kakitangan kerajaan, pesara, pekerja swasta dan bekerja sendiri.Ramai anak muda yang telah meninggalkan kampung ini berhijrah kerana bekerja ditempat lain, ramai juga anak-anak kampung yang belajar keperingkat tinggi dan memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan dan swasta.Apabila sambutan perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, kampung ini agak sesak dengan kenderaan kerana kepulangan anak-anak kampung yang balik menziarahi ibu bapa mereka.

Sebagai salah seorang anak penduduk kampung yang terawal, adalah diharapkan perkampungan ini akan lebih maju dan diharap penghuni yang dianggap sebagai saudara mara yang terdekat sama-samalah menjaga keharmonian dan kesejahteraan kampung ini dan tidak membiarkan perkara buruk berlaku dan mereka yang cuba mengambil kesempatan untuk memecahbelahkan keharmonian dan kesejahteraan kampung ini.

Adalah diharapkan juga mereka yang telah dilantik menerajui dan mewakili kampung ini dapat memberi sepenuhnya perhatian terhadap keharmonian dan kesejahteraan serta pembangunan yang lebih baik  tanpa mengira darjat keturunan atau pilih kasih agar dapat dinikmati oleh semua.


















Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...