Ahad, 18 September 2011

BURUNG BEREK-BEREK


Burung berek-berek adalah sejenis burung yang hidup dalam kumpulan tertentu.Kebiasaannya berek-berek ini suka bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain di sebelah malam dalam kumpulannya sambil berterbangan burung ini akan berbunyi.Maka mungkin bunyinya seperti orang yang suka membebel, berceloteh  maka burung ini digelar berek-berek yang bermaksud berek bersepadan dengan gelaran orang yang suka bercakap-cakap dan menyampai-nyampai cerita (berut berit).

Semasa di kampung-kampung ketika zaman berpelita orang sentiasa mengatakan yang berek-berek ini burung yang mengiringi ' hantu terlentang yang berperut buncit ' ketika bertebangan di waktu malam.Maka jika anak-anak tidor terlentang maka mereka di hiringkan supaya tidak tersampuk atau keteguran.Macam-macam cerita karut ini direka cipta agar menakutkan budak-budak yang suka keluar malam.Maklumlah ketika itu keadaan kampung yang gelap kerana ketiadaan bekalan letrik.

Budak-budak kampung pun amat takut untuk melastik burung ini di waktu siang hari kerana bimbang akan dirasuk hantu terlentang.Sekurang-kurangnya cerita karut itu menakutkan budak-budak dari menganiaya dan membunuh burung dengan melastik.Kini era moden budak-budak pun tidak takut lagi dengan cerita karut marut ini.Aktiviti melastik burung di kampung-kampung bagaikan sudah tidak menjadi budaya budak-budak lagi.

Mengapa pula aku mengambil cerita burung ini sebagai tulisan ku kali ini, banyak lagi jenis burung yang boleh dibuat cerita.Burung berek-berek ini bukanlah sejenis burung yang cantik terutama burung berek-berek sawah yang berwarna hitam seperti gagak dan bermata merah.Burung berek-berek dada nampak lebih cantik seperti burung bayan.Burung berek-berek dada hanya aktif di waktu siang.

Namun cerita berek-berek ini bolehlah dibuat panduan kerana mulutnya begitu becok dan membawa cerita  karut marut ke seluruh kampung yang dijelajahinya seperti jenis manusia yang berperangai seperti burung ini mengada-adakan cerita sambil membawa mulut bercerita yang bukan-bukan untuk menyakiti hati orang lain.Entah kenapa ada manusia yang suka menabur fitnah serta suka  menjaja cerita adakalanya menimbulkan pergeseran dan pergaduhan.

Kekadang setelah terdengar cerita mulut manusia beret-beret ini selalunya aku akan pergi bertanya sendiri kebenaran cerita itu daripada orang yang dikatakan menyampai cerita itu kepada dia, tetapi apa yang aku dapat makluman bahawa cerita itu adalah tidak benar sama sekali dan hanyalah rekaan semata-mata sebagai penyedap cerita.Mungkin orang lain begitu senang diperdaya tetapi bukanlah aku begitu senang untuk percaya tanpa susulan.

Aku adalah jenis yang suka mencari kepastian, penilaian dan kebenaran sesuatu kisah atau sebaliknya dengan bertanya sendiri seseorang yang telah dikatakan dalam cerita sang berek-berek itu.Setelah itu barulah aku merumuskan jawapan samada cerita itu benar atau fitnah.Adakalanya aku senyum sendiri apabila mengetahui cerita itu hanya palsu dibawa oleh berek-berek upahan hantu terlentang yang mencipta reka cerita sendiri ....

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...