Ahad, 21 Ogos 2011

PELITA PANJUT YANG TIDAK BERNYALA LAGI



Semasa aku ke ruang setor yang hampir tersembam di rumah pusaka tiba-tiba hati ku terasa begitu sayu setelah memandang di satu sudut dimana aku terlihat masih ada pelita panjut yang selalu ayah dan ibu pasang bersama cucu-cucunya pada bulan Ramadhan sebelum jelmanya hari raya, namun pelita-pelita itu sudah pun berkarat.Itulah yang menambah kepiluan di hati ini bila mengenang kedua-dua mereka yang sudah tiada serta mengimbau kembali peristiwa lama ketika menjelang hari raya.

Ayah juga pernah membuat panjut buluh semata-mata untuk memeriahkan sambutan hari raya untuk anak-anak, tetapi selepas minyak tanah sukar diperolehi dan sukar untuk mendapat buluh yang sesuai untuk dijadikan panjut, maka hanya pelita sahaja yang digunakan untuk dijadikan panjut dan minyak tanah digantikan dengan minyak diesel.Penggunaan minyak diesel jelaganya amat tebal, maka terpaksalah panjut ini dipasang jauh sedikit dari kawasan halaman supaya jelaganya tidak sampai ke dalam rumah.
 

Selepas ketiadaan ayah panjut ini diwarisi oleh anak saudara perempuan ku yang tinggal bersama ibu.Beliau juga dari kecil dijaga dan dipelihara ayah dan ibu di rumah itu.Setelah kematian ayah dan beliau bekerja maka tradisi memasang panjut di musim sambutan raya di malam bulan Ramadhan telah berakhir.Pada tahun ini merupakan kali pertama sambutan hari raya aidilfitri tidak ada nyalaan panjut yang menerangi halaman rumah ini.

Ketika aku balik ke kampung pada sebelah malam suasana muram di kampung menambah kesayuan hati ku kerana tidak banyak rumah yang dihiasi dengan pelita panjut.Rumah-rumah yang ada pun hanya dihiasi lampu kelam kelip sahaja.Suasana sambutan pun nampaknya begitu hambar sementara menanti kepulangan anak desa di rantauan pulang menjengah kampung setelah lama ditinggalkan.Pada kali ini aku rasa mereka juga akan terasa sunyi dengan perubahan kampung kami dimana banyak rumah yang telah kosong kerana ketiadaan penghuninya lagi.



MAJLIS BERBUKA PUASA GURU, PELAJAR DAN ALUMNI PELAJAR ISLAM (GAPIS)


Pada 19.8.2011 Majlis Berbuka Puasa, Tazkirah, Tahlil dan Bacaan Yasin telah diadakan di Sekolah Menengah St.Michael Ipoh di anjurkan oleh pihak sekolah umumnya Guru-guru Islam dan Gabungan Alumni Pelajar Islam St.Michael, Ipoh.


Majlis tersebut telah dihadiri kira-kira 200 orang yang terdiri dari guru, bekas alumni pelajar Islam dan murid-murid Islam.Turut hadir pada majlis berbuka puasa adalah mantan pengetua sekolah iaitu Dato' Bro. Vincent.Beliau amat bergembira dijemput hadir dan ingin bersama-sama lagi di masa-masa akan datang dalam setiap majlis yang dianjur dan dijalankan seperti ini.


Majlis berbuka puasa diadakan di gelanggang basket ball, dan majlis tazkirah, sembahyang maghrib, isyak dan terawikh diadakan di dewan besar sekolah.Sembahyang Maghrib, Isyak, Terawih, Tahlil dan bacaan Surah Yasin dipimpin oleh Tuan Haji Khairudin bin Malik, imam Masjid Puchong Perdana dan merupakan bekas pelajar Sekolah St. Michael pada tahun 1971 hingga 1978.


Majlis bermula jam 5.30 petang dan berakhir pada jam 10.00 malam.Dari tinjauan di kalangan guru, bekas pelajar Islam dan murid-murid Islam yang hadir amat berpuas hati dengan majlis yang diadakan itu dan berharap majlis ini akan diadakan pada tahun-tahun yang akan datang.


Majlis ini dapat menambah erat ikatan persaudaraan antara guru, murid-murid Islam dan bekas pelajar Islam sekolah.Semangat kerjasama ini amat menggalakkan dan membanggakan pada semua pihak yang terlibat.Adalah diharapkan pada masa-masa akan datang lebih ramai lagi murid-murid dan bekas pelajar Islam yang hadir untuk memeriahkan lagi majlis yang seumpama ini.


Majlis yang akan diadakan dalam masa terdekat adalah Majlis Perjumpaan Hari Raya pada 18.9.2011 yang dianjurkan sepenuhnya oleh pihak GAPIS untuk guru-guru, bekas-bekas guru, murid-murid Islam dan bekas-bekas pelajar Islam sekolah.Marilah kita bekerjasama dan menyokong majlis itu nanti.Pihak GAPIS juga memerlukan sedikit sumbangan dari kalangan ahli semua demi menjayakan majlis ini.


Jumaat, 19 Ogos 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1432


Sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal, 1432 dengan ini tokwan ingin  mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, semoga semua pembaca menyambutnya dengan gembira di samping keluarga yang  tercinta.Semoga hari raya ini adalah hari kemenangan untuk kita semua.Marilah kita menyambutnya dengan penuh kesyukuran.

Di kesempatan ini juga tokwan ingin menyusun sepuluh jari jemari dari setulus hati yang ikhlas memohon kemaafan sekiranya tokwan ada melakukan kesalahan mengguris hati dan perasaan yang kecil mahupun yang besar, yang ringan atau yang berat.Sesungguhnya salah, silap dan dosa tidak pernah lari dari kehidupan manusia.Bumi mana yang tidak pernah ditimpa hujan.

Harapan dari tokwan agar pembaca sekelian apalah sudi kiranya memaafkan tokwan, marilah  sama-sama mensuci jiwa dan menyegar hati kita dalam menempuhi hari-hari yang berlalu dan yang akan kita tempuhi untuk masa-masa yang mendatang.Semoga hidup kita mendapat kebahagian dan ketenangan.

Untuk sahabat handai yang pulang berhari raya ke kampung halaman yang jauh dan dekat, di utara selatan, timur dan barat pandulah dengan berhati-hati dan patuhilah peraturan jalan raya.Pandu cermat jiwa selamat. ingatlah orang tersayang yang sedang menanti kepulangan keluarga tercinta.

Harapan dari tokwan semoga perjalanan kalian semua selamat sampai ke destinasi dan gembira berhari raya bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.Tokwan berdoa kehadrat Ilahi agar kita semua dipelihara oleh Nya dari mara bahaya dan mala petaka.Selamat pergi dan selamat kembali.

' Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin'



RUMAH PUSAKA


Pada hari ini 18.8.2011 aku telah  mengambil cuti semata-mata untuk membersihkan rumah pusaka peninggalan kedua orang tua ku iaitu ibu dan ayah yang telah pergi untuk selamanya.Sedih juga melihat rumah pusaka yang tidak lagi berpenghuni.Banyak keringat ayah ku tumpah kerana membuat rumah ini dengan tenaganya dan kadangkala dibantu oleh adik lelaki dan adik ipar ku sahaja.

Pada asalnya rumah ini rumah atas bertiang, rasanya sudah tiga kali dibuat lain kerana reput dimakan anai-anai.Kemudian rumah ini di bahagian ibu rumah masih ada bahagian atas  hanya bahagian dapur sahaja diturunkan kebawah.Akhirnya akibat ibu rumah juga diserang anai-anai maka diturunkan kesemua sekali kerana lebih sesuai sebab ahli keluarga tidak suka naik dan turun tangga sehinggakan bahagian atas selalu ditinggalkan berhabuk.

Kini hari raya bakal menjelang lebih kurang 2 minggu lagi, namun hati ku terasa pilu lebih awal kerana inilah kali pertama aku berhari raya tanpa ayah yang telah lama pergi dan ibu yang baru-baru ini pula menurut ayah pergi untuk meninggalkan kami buat selama-lamanya.Setelah sekian lama tercegat tanpa melakukan apa-apa tidak sedar airmataku menitis juga walau pada mulanya ku tahan sahaja sebak di dada.

Aku bertekad tidak mahu menangis tetapi setelah aku terpandang sebuah sofa usang diberanda dimana dahulunya menjadi tempat ibu melepak bersama kawan-kawannya sambil menanti anak-anak serta cucu bertandang setelah pulang dari kerja ataupun balik bercuti barang seketika.Selalunya diberanda itulah tempat kami bersembang atau mengadu hal.Boleh dikatakan aku dan adik lelaki selalu sahaja singgah barang sekejap untuk melihat ibu memandangkan rumah kami tidaklah begitu jauh dari rumah ibu.Kadangkala adik perempuan ku ada juga balik dan tidor di situ.

Setelah aku membuka kunci dan memasuki rumah pusaka mata ku tertumpu pula di sudut-sudut ruang rumah untuk mengemas barang-barang yang tidak begitu tersusun sambil membelek-belek barang-barang lama peninggalan arwah ayah dan ibu.Dalam mengemas itu aku sempat juga mengimbau kenangan lalu bersama kedua orang tuaku semasa pernah bersama mendiami rumah itu.

Barang peninggalan mereka sempat juga aku rakamkan di kamera untuk ku jadikan kenangan.Banyak barangan itu telah lusuh, berkarat dan ada yang telah reput dimakan anai-anai.Itulah sahaja yang ada berbaki setelah rumah pusaka itu beberapa kali dimasuki tetamu tanpa izin memungut dan melarikan barang-barang berharga seperti peralatan tembaga, besi, plastik dan sebagainya semenjak arwah ibu tidak lagi mendiami rumah tersebut kerana tinggal di rumah anak-anak setelah uzurnya berganda.


Barang-barang yang terselamat kebanyakannya kami adik beradik membawa pulang kerumah masing-masing, sementara rumah itu di baiki semula. Kalau dikirakan banyak juga yang terluak.Inilah akibatnya jika orang sudah tidak tahu menghargai jiran hingga sanggup menceroboh rumah tersebut meskipun orang yang melakukannya pernah makan dan minum bersama dan ibubapa mereka adalah juga sahabat dan rakan baik semasa kedua arwah dan ibu masih hidup.

Rupanya bukan rumah pusaka itu sahaja yang menjadi mangsa tetapi rumah-rumah yang senasib dengannya pun turut mengalami nasib yang sama.Mengapakah mereka sanggup melakukan perkara itu ? ,  adakah itu sahaja jalan mudah memperolehi ringgit semata-mata untuk menampung perbelanjaan membeli dadah, dan ada yang tak mengenal hukum turut membelanjakan hasil curian itu untuk memberi anak isteri makan.Begitulah senang mereka merampas harta milik orang kerana malas bekerja dan mencari rezeki yang halal.

Rumah pusaka ini masih terjaga dan bahagian dapur rumah telah dibaiki semula.Bukan tiada orang yang bertanya hendak menyewa rumah ini tetapi semuanya terpaksa kami adik beradik tolak kerana rumah ini masih kami kunjungi, sesekali kakak sekeluarga dan adik perempuan ku akan tinggal di sini sekiranya mereka balik ke kampung.Kemungkinan pada musim perayaan aidilfitri, rumah ini akan didiami oleh mereka barang sehari dua.

Aku dan adik lelaki sering juga datang menjenguk, adakalanya untuk berehat dan membuat sesuatu kerja agar rumah itu tidak terus terbiar tanpa dikunjungi terutama jika pada musim buah-buahan yang terdapat di situ seperti durian, rambutan, manggis, rambai dan lain-lain.Begitu juga dengan tumbuhan untuk masakan seperti bunga kantan, serai,pandan serta buah-buahan tidak bermusim seperti nenas, betik dan sebagainya.

Sebelum ini aku dan adik lelaki selalu ke sini setiap hari kerana memberi ayam dan kucing yang ditinggalkan arwah ayah, namun kini kesemua kucing ayah telah pun mati, begitu juga dengan ayam banyak yang mati kerana diserang penyakit, masih ada  se ekor dua dari baka ayam itu tetapi sudah liar dan sesekali balik ke situ untuk mencari makan, dan tidor di reban yang masih ada di rumah itu.

Catatan:
Ayah telah meninggal dunia pada 14.3.2008 dan ibu telah pergi untuk selamanya pada sebelum subuh 26.3.2011 yang lalu...Dengan linangan airmata dan sekudus hatinya aku berdoa agar roh kedua ibu bapa ku damai di sana dan bersama-sama roh-roh para syuhadak, roh-roh para solehin dan solehah... Al-Fatihah !

Isnin, 15 Ogos 2011

PERAGUT


Emmm ... setiap hari ada sahaja berita orang kena ragut di radio, telivisyen dan akhbar.Ada yang sampai koma dan ada juga yang mati akibat diragut.Kasihan orang yang kena ragut kerana selalunya mereka bukanlah orang yang begitu berada kadangkala hanya itu sahaja wang ringgit untuk perbelanjaan harian yang ada, habis diragut sehingga ada yang diragut itu menerima kesan trauma yang amat dalam jika mereka diragut dan tercedera dalam kejadian itu.

Bayangkanlah jika ibu itu hanya ada wang setakat itu untuk membeli setin susu untuk anak kecilnya yang kelaparan, tiba-tiba diragut, bayangkan apakah kesan kepada anaknya yang menanti kelaparan di rumah.Kejam  dan zalim sungguh perbuatan mu wahai peragut.Tidakkah ada di hati anda sedikit kasihan belas pada orang yang telah kau ragut itu.

Entahlah geram amat hati ini pada peragut itu yang ambil kesempatan jalan mudah memperolehi wang ringgit tanpa memikirkan kesan dan akibat  perbuatan keji mereka.Cubalah bayangkan seandai yang diragut itu adalah ibu, kakak, adik dan keluarga sendiri, adakah anda tidak marah dan geram.Sebelum melakukan kerja terkutuk itu fikirlah semasak-masak dan sedalam-dalamnya.

Berapa ringgit yang diperolehi dari hasil ragut jika dibandingkan dengan perasaan atau kemalangan yang timbul akibat perbuatan ragut anda itu.Kerja meragut yang anda lakukan itu belum tentu anda dapat kesenangan dan ketenangan abadi.Jiwa anda juga berada di dalam ketakutan kerana kata orang sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Bayangkan juga jika anda tertangkap jerangkap besilah tempat yang sesuai untuk anda belum lagi kena pukul atau dihentak orang, oleh itu mengapa harus meragut.Tidak memberi apa-apa keuntungan pun pada masyarakat.Malulah kerana malas berusaha mencari hasil yang halal sehingga terpaksa melakukan perkara yang haram, dimanakah maruah mu.
 
Jika pun anda berjaya meloloskan diri dari tangkapan pihak berkuasa atau orang ramai setelah melakukan perkara keji itu namun ingatlah anda juga akan menerima pembalasan dari Allah dan akan diragut juga akhirnya pada suatu masa nanti dengan ragutan yang amat pedih dan menyakitkan dari malaikat maut.Fikir-fikirkan dan insaflah....





Ahad, 14 Ogos 2011

ALAHAI MAKNGAH !!!!


Isyyy ini nak mengisahkan seorang makngah yang beriya menangis ketika hari kematian suaminya yang tercinta, merah biji mata bakup dan bengkak.Kasihan orang melihat makngah pada hari tersebut, ramai yang memujuk dan ramai juga yang simpati akan nasib yang menimpa makngah ni.

Setelah beberapa bulan makngah ini berubah laku yang amat ketara kerana pencen dan pembayaran saguhati suami telah diperolehi begitu juga dengan pembayaran insuran dan sumbangan kerana kematian suaminya itu.Memang banyak juga yang diperolehi makngah.Pendekata makngah bertambah senang tanpa menyangka memperolehi ganjaran yang banyak hasil kematian suaminya.

Makngah tak perlu risau berkaitan pembayaran rumah yang dibeli oleh arwah suaminya setahun lalu telah tidak perlu dibayar lagi kerana telah dijelas kesemuanya oleh pihak insuran.Cuma makngah perlu membayar hutang kereta yang hanya sedikit berbaki dan dengan pendapatan yang diperolehinya maka hutang kereta itu mampu diselesaikannya.

Makngah mula bergaya dan berdandan, malah sudah pandai kepusat kecantikan dan pendandanan.Apa nak dikenanglah makngah dengan gaya dan pakaian yang cantik setiap hari berbanding ketika suaminya masih hidup dahulu.Sumbangan dari suaminya ketika masih hidup tidaklah banyak cuma dapat lebihan perbelanjaan dapur sahaja.

Aduhai makngah kini dah pandai ke shopping complex dan membelanjakan wang yang diperolehi dengan membeli talipon bimbit yang canggih berbanding dahulu yang skrinnya pun kelabu dan papan kekunci yang dah kabur dan lusuh.Mulut bergincu merah, pipi kemerahan siap alismata dan pelupuk mata bagaikan warna merak.

Rambut pun silap-silap sudah seperti orang putih berwarna perang dan ada pula berwarna merah jambu sejemput bak burung jampuk.Begitulah makngah yang berubah dari dahulu.Mata pemuda dan pakngah-pakngah gendut turut terbeliak mata melihat kecantikan makngah dan sekiranya melintas di hadapan pakngah maka berdegup menelan airliur.Silap-silap tak sedar ada air liur yang melilih di tepi bibir.

Gaya berjalan dan melangkah amboi tersusun rapi melenggang yang amat menggiurkan mata pakngah tua, muda dan remaja juga turut tergoda.Tetapi apakan daya isteri di sebelah silap-silap mengomel pula isteri pakngah dan kemungkinan ada yang menarik telinga.Sampai dirumah mungkin ada berbalas kata atau pun periuk belanga melayang-layang.Begitulah godaan di depan mata mana sanggup nak dilepaskan...rugi !!!

Kini makngah tak kesunyian lagi kerana makngah telah ada buah hati yang baru seorang pakngah duda yang tak kurang handsomenya bermisai tebal dan sedikit berusia tapi orangnya bergaya.Anak-anak makngah seramai tiga orang terdiri dari dua anak dara dan seorang teruna sudah pandai membawa diri masing-masing, baik didepan mata tetapi  di belakang mata gajah pun mati dipijak.Apa nak kata bila makngah dah mula lupa dunia hingga anak-anak pun tidak terjaga.Alahai makngah....

Setelah beberapa bulan makngah pun mendirikan rumahtangga dengan pilihannya itu.Maka banyaklah pakngah-pakngah yang menaruh hati, ada yang secara terbuka, cara diam dan terendam semuanya terlepas dan melopong.Namun nasib makngah tak berapa baik kerana selepas beberapa lama berkahwin kebahagiaannya tidaklah lama kerana rupa-rupanya suaminya yang baru itu hanya pandai mengambil kesempatan duit makngah.

Satu-satu barangan kemas dan harta makngah tergadai dan digunakan suaminya.Apa nak dikata nasi sudah menjadi bubur rupa-rupanya suami makngah seorang pengedar dadah dan menagih.Kesal benar hati makngah dan kini makngah terperangkap dengan keadaan bila suaminya pula tertangkap.Maka semasa suaminya dalam penjara makngah menuntut fasakh dan bercerai.

Makngah terasa kesal yang amat sangat, apa nak dikata kerana cinta belum dapat membuat hidupnya senang seperti semasa suaminya yang pertama.Walaupun suaminya sebelum meninggal itu tidak pandai bergaya dan sederhana namun mampu membawa rumahtangga bahagia sehinggalah kematiannya.Kasihan makngah tersalah pilihan hingga membuat dirinya hidup sengsara.

Mujurlah anak-anak makngah kini mula berjinak-jinak semula dengan makngah dan bersedia membantu makngah yang dalam kesusahan.Anak-anak tetap memaafkan kesilapan makngah dan cuba sedaya upaya untuk membantu makngah agar bersemangat semula.Walaupun hidup tidak sehebat sebelum ini namun keluarga mereka mula bangun dari kesilapan dan meneruskan hidup seperti biasa.

Sesekali ada mulut liar yang bertanya samada makngah nak berumahtangga lagi, tetapi apa yang terhambur di bibir makngah biarlah hidup membujang, susah senang biarlah dengan harta yang ditinggalkan suami lama iaitu anak-anak.Baguslah makngah jika sudah sedar kesilapan dan tidak terus hanyut mengejar kebahagian yang palsu.Walaupun ada juga pakngah-pakngah yang miang sesekali mengusik dan terlior namun makngah kini buat selamba saja.Makngah bertekad untuk tidak melakukan kesilapan lagi....



PENGAJARAN


Hidup di dunia sekarang perlu banyak bersabar, hidup ini juga seperti dalam pelayaran jika tidak pandai menongkah selalunya kecundang hanyut dan terkapai-kapai dibawa ombak ganas dan badai, silap-silap karam ke dasar lautan yang dalam.

Ada tikanya kita juga perlu cermin diri dan menilai betapa perlunya kita bermuhasabah terutamanya setelah tersalah langkah untuk kita aturkan semula perjalanan hidup kita agar lebih lurus dan berjalan dengan baik dan teratur.Sekira tersilap langkah tidak salah kita berundur.

Begitulah dengan maruah diri belum tentu kita dapat mempertahankan maruah yang ada, adakalanya tanpa kita sedari maruah kita ada yang tercalar dan tercarik sedikit sebanyak kerana kelemahan diri yang perlu diperbetulkan.

Tercarik koyak rabak maruah bukan dapat ditemukan atau ditampal, dan dijahit dengan mudah.Apa yang perlu dijaga, kita jagalah sebaik-baiknya.Agar maruah kita tidak terus menjadi terusan tercalar, tercarik dan koyak.

Marilah kita menjaga sebaik-baiknya maruah diri dan tidak melakukan kesalahan dan kesilapan lagi seperti berselimut kain batik tarik ke ke atas nampak di bawah, tarik ke bawah nampak di atas.

Lebih elok maruah kita dijaga seperti berselimut dengan batik panjang agar dapat menutupi seluruhnya diri, sekurang-kurangnya boleh menjadi kesedaran dan pelajaran persediaan ketika mati apabila diselimutkan orang sebelum dimandi dan dikafankan.

Kesilapan kita dalam menjaga maruah diri agar tidak berterusan dan berulang.Segala kejadian mencalari, mencarik dan yang menjatuhkan maruah diri diinsafi.Kecelaruan ini perlu dijadikan ikhtibar dan pengajaran.



Khamis, 11 Ogos 2011

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI 1432


Tidak berapa lama lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut 1 Syawal 1432 atau Hari Raya Aidilfitri dan lebih dikenali sebagai Hari Raya Puasa menandakan umat Islam menamatkan ibadah berpuasa sebulan Ramadan dan membayar zakat fitrah untuk diri dan keluarga.Maka beroleh kemenanganlah mereka yang melakukan amal ibadah di bulan yang berkat itu.

Umat Islam tidak terkecuali di Malaysia akan membuat persediaan untuk sambutan hari raya dengan membuat pelbagai juadah kuih muih dan menyiapkan pakaian baru untuk diri dan keluarga.Rumah juga kini telah dibersihkan dan dihiasi dengan barangan yang baru atau diolah untuk menyerikan lagi sambutan itu nanti.

Namun bagi ku tidaklah begitu kerana aku tetap menyambutnya seperti hari-hari biasa cuma yang berbeza hanya berpakaian baru dan ke Masjid untuk menunaikan sembahyang sunat aidilfitri.Aku tidak menyediakan juadah kuih muih hanya setakat membelinya barang satu dua jenis sahaja yang selebihnya adalah ehsan dari isteri, keluarga atau jiran tetangga.

Persiapan rumah adalah seperti biasa tiada yang istimewa tanpa ada perubahan, langsir pun tidak pernah bertukar ganti.Seperti orang lain aku hanya menanti kepulangan anak-anak berhari raya bersama.Itulah saat yang mengembirakan aku.Kemungkinan anak-anak akan berhari raya di rumah ibu mereka terlebih dahulu barulah pulang ke rumahku.Maklum sahajalah keluarga sudah berpecah beginilah adatnya.Namun aku terima keadaan ini, atas kehendak Allah.

Begitu juga dengan isteri ku, rasanya seperti tahun-tahun yang lepas isteri dan anak-anaknya akan berhari raya di kampung mereka bersama ibu bapa dan saudara.Kami terpaksa berbuat demikian kerana pengorbanan untuk kebahagian anak-anak masing-masing.Memang unik perkahwinan kami kali kedua ini, masing-masing memahami kehendak hati anak-anak.Biarlah asalkan mereka bahagia, walau hati aku kadang kala di amuk sepi dan duka, tapi sudah biasa begini apalah hendak dikata....

Jika sebelum ini selepas sembahyang sunat hari raya aku akan menziarahi ibu di kampung yang hanya beberapa kilometer sahaja dari rumah ku.Di sanalah tempat aku berkumpul dengan adik beradik sementara menanti kepulangan anak-anak.Jika giliran anak-anak ku berhari raya terlebih dahulu bersama ku, maka kami akan pergi bersama kerumah ibu.Maka riuh rendah suara gelak ketawa dan berbual mesra.Boleh dikatakan aku sentiasa berada di samping ibu, kakak, adik-adik serta sanak saudara yang pulang dari jauh dan dekat.

Aku juga tidak melepaskan peluang untuk ke tanah perkuburan menziarahi pusara opah, bapa dan saudara mara yang telah pergi untuk selamanya.Akan tetapi pada tahun ini hati ku bertambah sayu dan pilu setelah ibu juga menuruti ayah pergi untuk selamanya, semoga roh ibu, ayah, keluarga dan seluruh Allahyarham dan Allahyarhamah di rahmati Allah.

Sudah pasti kali ini aku sambut hari raya dengan perasaan yang amat dukacita sekali kerana aku sudah kehilangan tempat bermanja dan apabila ku singgahi rumah pusaka nanti pasti membuat aku tenggelam punca kerana hari raya kali ini rumah pusaka akan tinggal sepi.Aku harap adik-adik dan kakak akan pulang berhari raya di situ untuk mengubat sedikit hati ini sambil mengimbau sejarah lama semasa tinggal dan berhari raya di rumah itu.

Oh !!! betapa sedihnya aku pada hari itu nanti dan aku telah menjangkakan airmata kali ini sudah tentu tidak dapat ditahan lagi dari mengalir dan dada pasti akan sebak kerana ini adalah pengalaman berhari raya yang pertama tanpa orang yang tersayang iaitu ibu ku.Kalau dulu berhari raya hanya tanpa ayah tetapi kali ini berhari raya tanpa kedua-duanya.Apalah hendak dikatakan kerana itu adalah suratan dan kehendak Allah yang pasti berlaku atas kehidupan setiap yang bernama manusia.

Sempena menyambut hari raya puasa yang mulia ini, aku juga ingin menyusun sepuluh jari jemari memohon seribu kemaafan zahir dan batin setulus dan seikhlas hati kepada semua keluarga, sahabat handai, kawan, rakan, taulan dan jiran tetangga termasuk kepada semua umat Islam yang mengenali diri ini yang kini berada jauh dan dekat.


Aku tahu sebagai manusia aku tidak lepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan besar atau kecil yang perlu disucikan, dosa terendam, dosa terpendam, semuanya aku mohon keampunan dari kalian semua dan kepada Allah jua aku berserah segalanya. Semoga perhubungan kita akan baik, erat, setia, jujur, ikhlas, berkekalan, mesra dan berpanjangan hingga ke hujung nyawa, Insya Allah....





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...