Ahad, 21 November 2010

PEKAN PARIT MENGIMBAU KENANGAN LALU ~


Gambar Pekan Parit, Perak DR.

Aku mula sampai di Pekan Parit, pada tahun 1971 semasa aku bersekolah di Ipoh, kerana mengikuti kawan ku bernama Muaz bin Abdul Karim balik ke kampungnya di Kampung Aji Bota Kiri.Kemudian pada awal tahun 1980 aku telah melalui pekan  ini untuk ke Senggang, Manong untuk tinggal bersama keluarga angkat sebelum aku memasuki alam pekerjaan ku.Dalam perjalanan itu kami singgah sebentar di Restoran Tawakal untuk minum.Tidak ku sangka aku menerima arahan untuk ditugaskan disini bermula pada 3.3.1980.

Rumah Rehat Cempaka Sari
Jambatan pejalan kaki, basikal, motorsikal dari Parit
ke Kampung Blanja Kiri.
Aku mula-mula menyewa rumah di Kampung Tengah bersama kawan yang kursus bersama-sama dengan ku iaitu Zulkifli Haji Jamhari (Haji).Kemudian kami telah menyewa beberapa buah rumah kerana beberapa sebab tertentu, rumah-rumah yang pernah kami sewa seperti di Kampung Selboh, Jalan Sekolah dan di Kampung Tanjong Ara.

Selepas aku berkahwin aku berpindah ke Kampung Blanja Kiri, Parit, dan memperolehi cahayamata kedua ku yang lahir disitu.Setelah beberapa tahun selepas itu aku berpindah ke Rumah Awam Kg Raja dan kali yang terakhir aku menyewa sebuah rumah di Taman Parit Jaya sebelum aku ditukarkan ke Sungkai, Perak.


Banyak perubahan dan kemajuan Pekan Parit kini

Banyak kenangan suka duka semasa bekerja di sini.Walaupun aku orang luar tetapi layanan yang aku terima dari orang Parit memang mesra dan melayan aku seperti anak, adik, kawan rapat yang sedia membantu aku sekiranya menghadapi masalah.Kenangan paling manis adalah semasa aku tinggal di Kampung Belanja Kiri, aku diberi layanan yang cukup baik dan mesra sekali oleh penduduk disitu dan kami sekeluarga ibarat sudah menjadi sebahagian dari keluarga mereka.

Aku juga mempunyai ramai kawan-kawan di Kampung itu, Kampung Changkat Banjar, Sadang, Sg Korok, Pasir Gajah, Kg Tua hinggalah kampung-kampung disekitar Tanjong Belanja disamping orang dari Belanja Kanan seperti Kg Tengah, Ekor Lambat dan Layang Kanan.Namun begitu ada juga kisah yang memalit sejarah hitamku disini tetapi biarlah menjadi kenangan hidupku.


Pekan Parit, sentiasa menggamit hati ku
Tapak jeti bot penambang
Tidaklah menghairankan aku kerana ada dikalangan kawan-kawan ku yang menerima jodoh dengan anak tempatan disini kerana kemesraan dan kecantikan serta berbudi bahasa mungkin juga tersangkut kerana bahasa yang unik digunakan orang Parit. Kini mereka masih lagi menetap di Parit.

Aku pernah juga jatuh hati dengan seorang gadis di Parit, tetapi mungkin jodoh tiada diantara kami, sudah lama benar aku tidak mendengar berita dari nya.Namun sesekali berkunjung kesana mata ini tidak terlepas memandang rumah keluarganya dan imbauan kisah lama tetap datang sendiri dikotak fikiranku.
 

Pulau Cempakasari
Jambatan Konkrit menggantikan jambatan Nordin

Semasa tinggal di Belanja Kiri sesekali aku menyeberang ke Pekan Parit dari Kampung Belanja Kiri dengan bot penambang Pak Din.Selalunya aku ke Pekan Parit menaiki motorsikal atau kereta melalui jambatan bradley yang di kenali sebagai jambatan Nordin menyeberangi Sungai Perak dengan laluan sehala mengikut giliran lampu isyarat trafik.

Setelah Pulau Cempaka Sari dimajukan, disitu dibina pula jambatan kayu laluan pejalan kaki dari Parit ke Belanja Kiri, dan sejak itulah perniagaan bot penambang Pak Din beransur malap, tetapi jambatan kayu itu telah roboh dihanyutkan banjir dimana aku adalah diantara orang yang terakhir melalui jambatan tersebut balik ke Kg Belanja Kiri dari Parit sebelum roboh dan dihanyutkan banjir pada sebelah malamnya.

Masjid di Pekan Parit
Menikmati sausana senja di tepi Sg Perak

Kini Jambatan Nordin telah dibina dengan jambatan konkrit yang kukuh lebar dan cantik begitu juga jambatan merentasi Parit, Pulau Cempaka sari, Kg Belanja Kiri telah dibina dengan sebatang jambatan konkrit yang boleh dilalui pejalan kaki, basikal dan motorsikal sahaja.Pemandangan disitu amat menarik terutamanya sebelah malam kerana disinari cahaya lampu yang cantik.

Pernah menyewa rumah di Taman Parit Jaya 1995-1996
 
Semasa bekerja di Parit juga aku diarahkan bertugas menjaga kawasan Mukim Blanja (Kiri) sehingga ke Padang Kangar.Adakalanya juga aku turut membantu dan bertugas di kawasan Belanja Kanan, Layang Kanan, Layang Kiri dan sekali sekala di Bota Kiri, Bota Kanan dan Lambor Kiri serta Kanan.Pernah juga membantu rakan-rakan setugas sehingga ke Kampung Gajah kerana aku ditempatkan dibawah pentadbiran kecil Perak Tengah ketika itu.

sahabat lama di Kg.Blanja Kiri, Parit


Walaupun kini aku telah ditugaskan di Bidor tempat kelahiran aku, namun aku tetap juga berkunjung ke Pekan Parit, Belanja Kiri, Changkat Banjar dan lainnya kerana menemui sahabat-sahabat yang telah aku anggap sebagai saudara.Sekali sekala aku turut merasa rindu untuk kesana terutamanya pada bulan Ramadhan dan cuti Hari Raya Aidilfitri.

Disini aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua orang Parit yang mengenali diri ku kerana telah memberi layanan baik semasa aku disana dahulu.Jasa baik kalian semua amat aku sanjung tinggi dan ku ucapkan dengan jutaan terima kasih.Sekiranya ada tingkah laku aku dan keluarga ku yang kurang menyenangkan semasa bersama dahulu aku menyusun jari sepuluh memohon maaf.

KAMPUNG BELANJA KIRI ~ MEMAHAT MEMORI

Masjid Jauhariyah, Blanja Kiri

Entah mengapa rindu benar aku pada Parit, dan tidak semena-mena selepas aku menziarahi keluarga angkat ku di Senggang, Kuala Kangsar, terus sahaja aku ke Parit untuk menjengah disana pada 20.11.2010.Aku sampai di Pekan Parit jam 6.45 petang.Beberapa ketika di situ aku terus ke Kampung Belanja Kiri yang bolehlah dikatakan kampung kedua ku.Kampung ini nama asalnya ialah Kampung Pauh dan telah ditukarkan ke Kampung Blanja Kiri, sejarahnya tidaklah aku ketahui.

Semasa sampai di Kampung Belanja Kiri, azan Maghrib dari Masjid Jauhariyah, Permatang Pauh, Blanja Kiri pun berkumandang dan aku tidak berlengah terus sahaja singgah di Masjid itu untuk sama-sama berjamaah.Selesai sahaja bersolat jemaah aku mengambil kesempatan bertanya khabar kawan-kawan ku yang sudah lama  tidak berjumpa.

Sedih benar aku melihat sahabat dan pakcik-pakcik yang aku kenali dahulu yang  dimamah usia dan ada yang sudah lupa pada diri ku.Ada diantara mereka yang sudah membujang kerana kematian isteri.Aku tercari-cari tuan yang menyewa rumahnya pada ku dahulu iaitu Cikgu Haji Musa Mohd Noor, setelah diberitahu yang Cikgu Musa tidak datang lagi ke Masjid kerana kakinya sudah dipotong kerana penyakit kencing manis.


Aku menyewa rumah ini 1984 - 1994

Aku turut tercari-cari jiran ku yang selalu bersembahyang di Masjid itu yang aku panggil abang Johor (nama sebenar Zulkefli) tetapi beliau tidak hadir pada malam itu.Kemudian aku sempat juga pergi kerumah tempat aku menyewa dahulu dan didapati hanya gelap gelita kerana penghuni yang tinggal dirumah itu tiada dirumah ketika itu.

Beberapa minit kemudian aku terus sahaja beredar untuk pulang ke Bidor, walaupun tidak sempat menziarahi rumah emak, kakak serta abang angkat ku, namun apakan daya masa tidak mengizinkan, dalam hati ku berkata Insya Allah dihari lain aku akan ke sana lagi.

Pada 18.12.2010 aku pergi lagi ke Kampung Belanja Kiri kerana dipelawa oleh kawan ku dari Bidor untuk menghantar anaknya yang menjadi raja sehari bersama gadis pilihannya di kampung ini.Bagai mengantuk disorong bantal, pucuk dicita ulam mendatang, aku beri persetujuan.Setelah acara akad nikah selesai, aku sempat  berada di luar Masjid, dimana aku dapat bertemu dengan kawan-kawan lama ku dahulu yang lalu lalang melintasi jalan utama kampung disebelah masjid.


Sungai Perak pemandangan dari tebing Kg Blanja Kiri

Aku juga sempat berjalan-jalan di tepi tebing Sungai Perak di Belanja Kiri tempat laluan ku ketika dahulu sambil mengimbau kenangan lalu.Sedih juga hati ketika mengenangkan peristiwa lama yang banyak juga mengusik jiwa ketika itu.Namun hajat ku untuk kerumah keluarga angkat ku tetap tidak mengizinkan kerana urusan menghantar pengantin belum selesai.

Dalam masa yang singkat itu aku melihat beberapa pembangunan baharu telah dilakukan seperti Sekolah Kebangsaan, Masjid, Dewan Orang Ramai, dan rangkaian jalan kampung yang lebih baik. Dewan Tadika tempat anak ku belajar dahulu pun kini dalam pembinaan baharu.

Pembangunan ini berjalan berterusan dari pimpinan bekas ketua kampung yang lama seperti Encik Othman Ahmad, Allahyarham Tuan Haji Cikgu Sarji, Tuan Haji Musa Mohd Noor, Tuan Haji Hassan Basri, Encik Ismail bin Kassim dan kini ketua kampung yang baharu Encik Shamsuddin bin Sarji yangmana telah membawa pembangunan yang rancak di kampung ini.

Jam 1.00 petang, aku dan rombongan pengantin lelaki pergi ke rumah pengantin perempuan untuk majlis selanjutnya.Setelah selesai jamuan makan di majlis perkahwinan itu aku pun ke Kampung Changkat Banjar, untuk kerumah kawan ku yang akan mengadakan majlis perkahwinan anaknya pada keesokan hari, dimana aku tidak dapat menghadirinya.Selepas beberapa minit kunjungan tersebut aku pun berangkat pulang.

SEBUAH RUMAH TUA DI KAMPUNG BLANJA KIRI, PARIT


Rumah tua ini telah dibina lebih dari seratus tahun  telah dibaik pulih beberapa kali dan dapurnya telah dibina baharu kebahagian bawah.Dahulu dapurnya terletak separas dengan ibu rumah.Sebelum ini rumah tua ini berwarna hitam diperbuat dari kayu yang bermasak, masih lagi berkedudukan tegap kerana asas rumah ini kebanyakannya diperbuat dari kayu cengal.Cuma dinding dan lantai sahaja yang banyak telah diganti kerana reput.

Rumah ini terletak di Kampung Blanja Kiri, Parit berhampiran dengan Masjid Jauhariyah Permatang Pauh, Blanja Kiri.Semasa aku tinggal di Kampung Blanja Kiri, pemilik rumah ini yang dikenali sebagai Wan Long (Allahyrhamah) ketika itu berusia lebih kurang 100 tahun dan beliau pernah bercerita semasa rumah ini didirikan ketika itu zaman berkereta kuda lagi.

Rumah ini juga beberapa kali dilanda banjir besar.Aku pernah melihat perahu losong yang diperbuat dari batang kayu yang seusia dengan rumah ini terletak dibawah rumah tetapi perahu tersebut sudah tiada kelihatan lagi sejak 15 tahun yang lalu ketika aku disana lagi, kemanalah perginya.

Setelah Wan Long meninggal dunia rumah ini diwarisi kepada anaknya Puan Tibah binti Mat Yassin dan kini berusia lebih 80 tahun seorang ibu tunggal yang mempunyai 2 orang anak lelaki, tetapi anak bongsunya Allahyarham Zulkifli @ Zon meninggal dunia pada bulan 8.2010 yang lalu.Selepas kematian anak keduanya maka Puan Tibah telah dibawa oleh anak sulungnya kerumah beliau kerana Puan Tibah sudah uzur.
Maka tinggallah rumah ini tanpa berpenghuni.Sesekali anak sulungnyalah yang menjenguk rumah pusaka ini.Disamping itu juga Puan Tibah masih lagi mempunyai  seorang abang yang masih hidup berumur sekitar lebih 80an iaitu Pak Nordin yang tinggal berdekatan rumah tersebut.

Baru-baru ini aku sempat juga menemui anak sulung Puan Tibah iaitu saudara Sham, yang memaklumkan bahawa rumah ini bakal dirobohkan untuk dibina baharu, maka sekirannya rumah ini dirobohkan maka hilanglah satu lagi khazanah pusaka Kampung Belanja Kiri.Rumah tua di Kampung Belanja Kiri bilangannya sudah tidak banyak hanya tinggal beberapa buah sahaja dan usianya tidaklah setua rumah ini.

Catatan:Puan Tibah telah meninggal dunia pada 30.4.2013

KAMPUNG CHANGKAT BANJAR, PARIT, PERAK


Rumah sahabat ku Zulkifli @ Wari, disinilah tempat aku selalu
berkunjung           

Kampung Changkat Banjar, Parit terletak di Mukim Blanja, Parit, Perak kira-kira 12 km dari Pekan Parit.Kampung ini telah dibuka oleh Allahyarham Tuan Haji Abdul Talib bin Kohat pada tahun 1916.Pada asalnya Kampung ini diberi nama Kampung Changkat Chengal dan telah ditukar namanya kepada Kampung Changkat Banjar pada tahun 1950an.Kebanyakan penduduk di Kampung ini adalah dari keturunan Banjar.

Pada tahun 1950an hingga ke 1980an kebanyakan penduduk disini berkahwin dikalangan kelompok saudara mara disini jarang benar yang berkahwin dengan orang luar tetapi selepas itu penduduk di Kampung ini telah ramai yang bertemu jodoh dengan orang luar.Pekerjaan utama penduduk di kampung ini adalah sebagai penoreh getah, pekebun sawit, bekerja sendiri, berniaga dan ada juga yang bekerja dengan kerajaan dan swasta.

Aku telah mula menjejakkan kaki di Kampung Changkat Banjar pada tahun 1980 semasa aku bertugas di Parit. Setelah hampir 17 tahun bekerja di situ boleh dikatakan ramai yang mengenali ku dari yang kecil hinggalah ke orang tua.Ketua Kampung yang pertama adalah Allahyarham Tuan Haji Abdul Talib bin Kohat.

Pada tahun 1980 Ketua Kampungnya adalah Allahyarham Sadar bin Sidek, kemudian diambil alih oleh Abdullah bin Maani, Salleh bin Abdul Hamid,Tuan Haji Zainuddin, Haji Kabri bin Kadri, Satar bin Zakaria (10 bulan), dan kini Ketua Kampung dipegang oleh En Abdul Wahib bin Sani.

Di Kampung ini banyak kemudahan yang telah disediakan seperti sebuah Masjid, Dewan Orang Ramai, Sekolah Kebangsaan Changkat Banjar, dan sebuah Info Desa.Kampung ini juga mempunya jalan tar yang baik dan terjaga.Di keliling kampung ini banyak kebun-kebun getah, sawit dan buah-buahan.

Penduduk disini juga sangat rajin berkebun dan masyarakatnya saling bantu membantu dan melakukan kerja dengan bergotong royong terutamanya berkaitan kenduri dan aktiviti-aktiviti kampung.
Walaupun aku telah lama meninggalkan Kampung Changkat Banjar, namun aku selalu juga berkunjung kesana menziarahi kawan-kawan terutamanya jika ada undangan majlis perkahwinan ataupun berziarah kesana dibulan raya.

Pada 18.12.2010 yang lalu aku telah pergi kerumah kawan ku kerana beliau akan mengadakan majlis kenduri kahwin anaknya pada 19.12.2010, tetapi oleh kerana aku ada urusan lain pada hari esoknya maka aku pergi pada hari memasak.
Ramai juga kawan-kawan ku yang hadir pada petang itu.

Ada juga dikalangan mereka yang sudah tidak berapa mengenali diri ini, namun setelah memberi sedikit maklumat baharulah mereka kenal dan kemesraan terjalin semula seperti dahulu.Mereka tetap melayan aku dengan pertuturan Bahasa Banjar seperti masa aku di sana dahulu, namun banyak yang aku kurang faham kerana lupa sebab sudah lama aku tidak menggunakan bahasa tersebut sejak berpindah ke Bidor.

Setelah jamuan ringan diadakan aku terus bermesra dan bertanya khabar kawan-kawan lain yang tiada pada petang itu daripada mereka yang hadir, setelah diberitahu beberapa orang dikalangan kawan-kawanku dahulu ada yang sudah uzur dan ada juga yang telah meninggal dunia, selepas itu aku terus ke bahagian belakang dimana mereka sedang bergotong royong memasak persediaan untuk hari esok, seronok benar aku melihat dikalangan pakcik dan makcik melihat ku yang masih lagi sudi mengunjungi mereka.

Beberapa jam kemudian aku meminta izin untuk pulang, "semoga kita berjumpa lagi !," itulah yang dikatakan mereka pada ku semasa aku mengatur langkah ke keretaku.




































4 ulasan:

cherossarts.blogspot.com berkata...

Assalamualaikum...
Abg Mad...rajin Abg Mad menulis...memang banyak kenangan dulu terutamanya apabila kita berjiran dulu...masih ingat jasa abang Mad sekeluarga semasa menghantar says ke Aspura St Michael buat kali pertama dulu...kereta volkswagen tu ada lagi tak....terima kasih atas segalanya...

Rosfaizal Zukefli...

TOKWAN MATARUN berkata...

Sama-sama Faizal.... kereta kura-kura tu telah dijual pun semasa Fifi lahir lagi..abg mat beli yang lain... sesekali ternampak juga kura-kura tu lalu diatas jalan di Bandaraya Ipoh..cantik betul sekarang ni warna coklat matalik....

hisemudinkasim.blogspot.com berkata...

Salam, teman disambungkan ke Link ini oleh Qariah Permatang Pauh, mungkin kita tak pernah berjumpa tetapi ikatan sdr sebagai seorang yg pernah tinggal di Parit dgn kami yg sememangnya orang Parit, ianya kembali bertaut. Nostalgia Parit mungkin akan sentiasa menggamit sdr.

http://hisemudinkasim.blogspot.com

TOKWAN MATARUN berkata...

terima kasih tuan, salam perkenalan...Alhamdulilah tw setakat mengimbau kenangan semasa tinggal di sana..Walaubagaimana tw masih berkunjung ke sana..Boleh tw tanya sikit... Tuan ni anak Megat Kassim yang tinggal di Kg Sadang ke..maaf jika tersilap orang ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...