Ahad, 21 November 2010

KG SENGGANG KUALA KANGSAR ~ MENGGAMIT MEMORI~~~


rumah bapa angkat ku yang sudah dibina baharu.

Pada bulan Januari, 1980 sebelum menamatkan kursus dan menunggu penempatan bertugas, aku dan beberapa orang pelatih dikehendaki tinggal bersama dengan keluarga angkat iaitu pekebun kecil getah untuk mengetahui keadaan sebenar hidup penoreh getah semasa itu.Walaupun begitu keadaan itu tidaklah menyukarkan aku kerana aku sudah biasa dengan kehidupan pekebun kecil getah ini kerana aku adalah juga anak pekebun kecil .Pengalaman yang aku lalui bersama keluaga sudah sebati dan senasib dengan pekebun kecil di Kampoung Senggang ketika itu.


Tuan Hj Idris bin Jenal bapa angkatku

Kami bertolak dari Ipoh menuju ke Kampung Senggang melalui pekan Parit, terus ke Manong, dan menyusuri ke Kampung Kuala Kenas dimana kami di bawa ke seberang Senggang melalui bot penambang yang disewa khas pada hari itu.Ketika itu untuk ke Senggang tidak sesuai dimasuki oleh bas kerana jalan masuk melalui  Sayong ke Senggang hanya jalan tanah dan berlopak.Setelah kami sampai dan menikmati makanan tengahari, pelatih diarahkan berbaris di depan dewan menanti ketibaan wakil rakyat untuk acara penyerahan kepada ibubapa angkat yang sudah ternanti-nanti bakal anak-anak angkat yang bakal mereka perolehi.


ibu angkat ku

Setelah seorang demi seorang pelatih diserahkan kepada ibubapa angkat masing-masing, tibalah giliran ku diserahkan kepada Encik Idris bin Jenal (sekarang Haji) dan aku pun mengikutlah ibu dan bapa angkat ku mengambil barangan yang terkumpul disebelah dewan.Sebelum balik ke rumah mereka, kami diberi minum petang bersama wakil rakyat, pegawai atasan, jurulatih, pelatih dan keluarga angkat masing-masing.Selesai majlis ringkas tersebut ,kami pun balik ke rumah ibu bapa angkat masing-masing.Apa yang aku lihat semasa sampai dirumah bapa angkat ku, adik-adik angkat ramai yang masih bersekolah dan kehidupan mereka cukup amat sederhana serta kekurangan, maklumlah bapa angkat ku hanya sebagai seorang penoreh getah yang menoreh kebun orang lain.Rumah-rumah bapa angkat kami tiada bekalan air hanya berharap pada air sungai, air hujan dan cahaya malam hanyalah lampu gaselin dan pelita,

.
dikawasan inilah kami mandi dan orang kampung mengambil bekalan air kelihatan pulau ditengah sungai tempat aku berenang dari tepi.

Pada mulanya aku malu-malu juga maklum lah baharu bersuai kenal, tetapi layanan bapa angkat ku amat baik sekali, sampai aku disediakan tempat tidur dibilik mereka, tetapi aku tetap menolak kerana mahu tidur bersama adik-adik lelaki dibahagian bilik diruang tetamu.Aku amat terkejut kerana makan malam yang disediakan amat banyak jenis lauk pauknya, tidak seperti yang aku jangkakan.Begitulah minum pagi, petang dan sebagainya, aku bukan dilayan seperti anak tetapi dilayan seperti tetamu.Ramai penduduk kampung, kawan-kawan yang datang berkumpul di rumah bapa angkat ku kerana bapa angkat ku amat  peramah begitu juga dapat anak angkat yang agak peramah juga.

Boleh dikatakan setiap masa rumah bapa angkat ku dikunjungi oleh pelatih dan orang kampung kerana berdekatan dengan tebing Sungai Perak dimana menjadi tempat mandi penduduk disitu.Bapa angkat dan ibu angkat ku membawa air dengan baldi menyuruh aku mandi dirumah tetapi aku menolak kerana kami telah disuruh untuk berdikari dan tidak menyusahkan keluarga angkat kami.Pada hari mula kami duduk dirumah keluarga angkat memang dirasakan seperti pesta dikampung itu, setiap malam ada sahaja rumah yang membuat kenduri, mengikut giliran disamping acara berzanji dan main rebana, sudah semestinyalah dimulai dirumah keluarga angkat ku.

Masjid Jame yang baharu turut dibina di kampung Senggang.

Adik-adik angkat ku  ramai perempuan dimana, kawan-kawannya selalu juga berkunjung, namun menjaga nama baik agensi dan diri, aku melayan mereka seperti saudara dan adik beradik dan sedikit gurau senda.Aku disenangi oleh orang muda, orang tua, dan anak-anak gadis kerana aku pandai bersembang kata mereka.Dari hari kehari ibubapa angkatku tidak membawa aku ke kebun getah tempat mereka menoreh, setelah aku bertanya anak-anaknya mereka sengaja tak mahu mengajak aku, supaya aku senang dirumah sahaja. Atas permintaan aku, aku tetap juga dibenarkan tetapi pergi diwaktu matahari sudah mula naik, dibawa oleh anak dara bapa angkat ku.

Hasnah Idris adik angkat ke 2, 
aku berkesempatan menghadiri majlis perkahwinannya pada tahun 1981

Setelah berada seminggu disana kami pun bersiap sedia untuk dibawa pulang ke Wisma dimana kami berkursus.Ramailah yang bersedih pada hari tersebut, ada ibubapa angkat, adik-adik angkat yang turut menangis kerana kami akan diserahkan semula kepada agensi.Penyerahan diadakan di Dewan Kampung Senggang dimana kami dan keluarga angkat makan bersama, ada diantara ibubapa angkat yang memasak sendiri membawa lauk pauk untuk dirasai oleh semua anak-anak angkat sebelum berangkat, walaupun makanan telah disediakan oleh agensi kami.

Sharifah adik angkat yang ke tiga

Selepas selesai makan  kami beramai-ramai dikehendaki menyanyi lagu jasa pekebun kecil sebagai penghargaan kepada ibubapa angkat kami , setelah itu tanpa disangka-sangka aku terpilih untuk menyanyi solo sebarang lagu tanpa muzik, menggeletar aku sebab selama ini aku  tidak pernah menyanyi didepan khalayak ramai.Atas desakan ibubapa angkat , pelatih , jurulatih terpaksalah aku menyanyi juga, masih ingat lagu yang aku nyanyikan ketika itu, lagu selamat berbahagia wahai kekasih, sebuah lagu P.Ramlee.Setelah itu kami turun kejeti ditepi tebing Sungai Perak untuk diangkut ke seberang, tangan didarat melembai-lambai, begitu juga kami didalam perahu penambang membalas lambaian tersebut.

 Azhar adik angkat no. 4

Perhubungan aku dengan keluarga angkat ku tidak terputus disitu, kerana selepas aku bekerja di Parit, aku selalu juga mengunjungi keluarga angkat ku.Aku tidak sangka ibubapa angkat dan adik-adik angkat ku yang sudah besar datang kerumah ku semasa majlis perkahwinan ku.Begitu juga dengan kenduri-kenduri kecil yang aku adakan.Setiap kali selepas hari raya atau kenduri aku selalu berkunjung ke rumah mereka.

Miah adik angkatku no. 6

Pada 20.11.2010 aku telah balik lagi ke Senggang dihari memasak kerana meraikan majlis perkahwinan adik iparku, aku kesana kerana tidak dapat hadir pada hari perkahwinannya disebabkan ada urusan lain.Apa yang aku dengar dari pak cik-pak cik, ibu bapa, adik dan kakak angkat pelatih dahulu yang seramai 24 orang hanyalah aku seorang sahaja yang kerap ke Senggang, yang lain-lain ada yang tidak pernah langsung jejak kaki ke rumah ibubapa angkat mereka dahulu.Kini Kampung Senggang sudah cukup lengkap dengan insfratruktur seperti kampung-kampung yang lain.Lampu letrik, bekalan air, telefon, jalan tar semua sudah ada.Kereta dan motorsikal boleh dikatakan ada disetiap buah rumah.Hidup orang Senggang sudah berubah dan maju tidak seperti dahulu lagi.Terima kasih dari ku buat ibubapa angkat dan adik-adik yang masih sudi menganggap aku seperti anak dan abang sendiri.



berbaju hijau , Din adik angkat ku no 5, hari memasak kenduri kahwin pada 21.11.2010

adik angkat ku no 7 lelaki, 8 perempuan,9 lelaki (tiada sempat  bergambar)


















Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...