Sambal cili api yang ditumbuk dalam lesung batu memang sedap tambahan kalau dicampur sedikit belacan bakar.Sambal cili api ini kalau dicolek dengan ulam-ulaman, pucuk ubi, betik muda atau jantung pisang yang direbus memang menyelerakan tambahan pula di makan ketika nasi masih panas dan semasa perut memangnya lapar.Walaupun rasanya pedas tetapi tetap dimakan juga, ada yang mengatakan lagi pedas lagi bertambah memecah selera.
Akan tetapi ada juga yang tidak lalu untuk menjamahnya kerana orang itu memang jenis yang tidak tahan makanan yang pedas-pedas.Sekiranya dimakan juga mungkin akan menimbulkan sakit perut hingga memulas bagaikan puting beliung memusar ombak di lautan, pedih usus bagai dihiris sembilu, buasir bagai tercabut usus ke dubur atau cirit birit terpacul adakalanya tidak sempat membuka seluar atau kain.
Mata merah berair, mata terasa berpinar pening, telinga terasa bengang, gegendang telinga teramat ngilu berdesing-desing bagai nak pecah.Muka merah bak biji saga yang baru jatuh dari pohonnya bertaburan di tanah.Air hidung keluar bagaikan diserang selsema berpanjangan.Lidah terjelir-jelir bagaikan terlampau haus mengeluarkan air liur berlendir.Air yang diminum laksana tidak cukup setimba, kalau boleh gula hendak dimakan sebalang untuk menghilangkan rasa pedasnya.
Bila terjadi sedemikian sampai bertekad untuk tidak mahu menyentuhnya lagi tetapi hanyalah untuk hari itu.Di hari esok jika terhidang sambal belacan cili api sampai tak ingat tekad di hati tetap ingin dimakan juga.Terpulanglah kepada kemampuan dan ketahanan masing-masing.Tepuk dada tanyalah selera.Ada juga yang ingin mencuba kelazatannya dengan mencolek sambal tersebut dengan banyak tiba-tiba tidak tertahan akan kepedasannya.
Begitu hebat, panas dan terlalu pedas kepada kita namun tidak pada orang lain begitulah sebaliknya kenikmatan bukan untuk orang yang tidak tahan pedas tetapi begitu sedap dan enak pula dimakan oleh kita.Setiap orang ada batas tertentu dalam menguji ketahanan kepedasan cili api.Sekiranya sudah tidak boleh tahan dengan rasa pedas cili api elok sahaja dielakkan dari merasai, menyentuh, memakan atau usah langsung melihat dan mengenali rupa bentuk cili api.
Janganlah menyalahkan cili api kerana rasanya terlalu pedas dan tidak sebanding dengan bentuk dan ukurannya.Walaupun kita tidak suka rasanya yang menguja lidah dan mulut mungkin sedap pula dimakan atau diratah oleh orang lain.Kita tidak boleh memaksa sesiapa mengikut selera kita.Biarlah siapa yang makan cili api maka dia yang terasa pedasnya.Mungkin membawa mudarat kepada mereka tetapi tidak kepada diri kita ....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan