Rabu, 9 Mac 2011

SELAMAT HARI JADI ABANG NGAH ~ MUHAMAD HIDZAMI BIN AHMAD 9.3.2011 (24 TAHUN)



Ayah ingin mengucapkan selamat menyambut harijadi buat abang ngah, Muhamad Hidzami bin Ahmad, anak ayah yang kedua, sudah jadi orang muda anak ayah !.Masih terbayang ayah menyingkap kisah tabir 24 tahun yang lalu pada 8.3.1987 ketika waktu hendak tidor emak sakit perut hendak melahirkan yang tidak sempat lagi menanti 10.3.1987 bersamaan sambutan hari lahir ayah.Setelah emak terasa sakit ayah terus sahaja memanggil bidan kerajaan di Kampung Blanja Kiri ditengah malam iaitu Allahyarhamah Bidan Anum dan Bidan kampung Allahyarhamah Wan Cu Ipah.


Menurut kata bidan kerajaan dan bidan kampung itu emak tidak perlu dibawa kehospital kerana paduan pendapat mereka emak sudah hampir melahirkan.Sebelum masuk waktu subuh 9.3.1987 maka terdengarlah suara tangisan bayi kecil yang baru lahir ke dunia, terdengar ayah suara bidan Anum dan Bidan Wan Cu Ipah menyambut kelahiran bayi itu dengan selawat serta terpacul dimulut Bidan Anum yang menyatakan anak jantan lagi,.




Maka hati ayah berasa amat lega setelah mendengar suara tangisan dan melihat abangngah setelah disiap kemaskan begitu sempurna tanpa kecacatan dan emak  juga tiada masalah selepas kelahiran abangngah.Alhamdulilah semasa atuk (bapa emak) balik dari sembahyang subuh bersama imam Cikgu Musa terus sahaja singgah kerumah lalu mengazan ketelinga bayi tersebut.Setelah semuanya usai ayah terus sahaja memberitahu perkhabaran berita ini kepada opah, Allahyarham Atuk di Bidor serta keluarga emak yang kemudiannya datang berkunjung.


Selang sehari dua ayah pun mendaftar kelahiran abang ngah di Balai Polis Parit dengan nama Muhamad Hidzami yang telah ayah dan emak berpakat sebelum itu tanpa apa-apa pindaan.Dari sehari kesehari abang ngah membesar sehinggalah kini abang ngah sudah pun berusia 24 tahun, sudah dewasa semuanya anak-anak ayah tanpa disedari hari-hari yang berlalu meninggalkan kenangan lama bagaikan baru semalam saja jelmanya.



Dikesempatan ini ayah mengucapkan selamat menyambut hari jadi buat abang ngah , semoga panjang umur dan murah rezeki.Seperti anak-anak yang lain ayah sangat menyayangi semua anak-anak ayah tanpa ada perbezaan kasih sayang, kasih ayah sama rata semuanya.Terima kasih juga pada abang ngah serta anak-anak ayah yang lain kerana tabah, sabar bersama menghadapi liku-liku kesusahan ayah membesarkan anak-anak tanpa sebarang kemewahan.Namun begitu pengalaman yang kita semua terima ini amat bernilai dalam mengukuh jati diri dan semangat juang merempuh alam hidup yang serba mencabar.Ayah tahu abang ngah mampu berdikari secekal hati ayah menempuh , merempuh ujian dan dugaan dalam kehidupan yang mencabar.


    




Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...