Ahad, 12 Jun 2011

KOS SARAAN HIDUP SEMAKIN TINGGI





Seandainya seseorang itu memperolehi pendapatan sebanyak RM 3,000.00 sebulan apakah termampu untuknya hidup sejahtera sedangkan tanggungannya masih ada.

Berapa ringgitkah yang akan berbaki dalam sebulan untuk dibuat simpanan.Dalam keadaan kos hidup yang semakin hari semakin meningkat sudah tentu pendapatan sebanyak ini kurang mampu untuk hidup walaupun sederhana.

Bukannya banyak hanya sekadar dapat meneruskan hidup secara sederhana.Walaupun tinggal di luar bandar namun pada hakikatnya barangan makanan terpaksa juga dibeli.

Tidak juga senang hendak mendapatkan bahan mentah dari hasil  bercucuk tanam kerana kawasan kediaman bukanlah di kampung tetapi hanya di taman perumahan.

Mana ada kawasan untuk bercucuk tanam, jika pun boleh di laksanakan tanaman dalam polibeg tapi sebanyak mana yang dapat hasilnya.

Bayangkan jika pendapatan orang itu di bawah dari RM 3,000.00 tentu akan mengeluh dengan harga barangan makanan yang setiap hari naik dan tidak pernah ada turunnya.

Sebagai contoh  kita ke pasar membawa RM 50.00 tanpa disedari wang yang kita bawa tadi tidak banyak berbaki, kadangkala berbaki hanya  duit besi sahaja.

Jika kita membeli keperluan lain untuk merasa makanan sedap sedikit rasanya RM 50.00 yang dibawa langsung tidak berbaki kerana harga ikan, sayur, daging dan kepeluan lain harganya kian mendadak. 

Kalau ke kedai atau pasaraya dengan membawa RM 100.00 pula tidak cukup untuk membeli 5 kilogram beras, sekilogram gula, sekilogram tepung, sebuku roti, bahan minuman, kos bahan cucian dan mandi, kos bahan api dan kos pengangkutan.

Begitu juga bayaran bil-bil perkhidmatan yang perlu dilangsaikan termasuklah membayar hutang piutang dan tanggungan persekolahan dan pengajian anak-anak.

Terasa juga peritnya jika barangan dan kos perkhidmatan berterusan meningkat dari semasa ke semasa.Sudah pasti hidup golongan rendah dan sederhana ini sentiasa sahaja mengeluh panjang.

Setelah di tolak terajang tidak hairanlah jika pada hari gaji wang yang berbaki dipoket hanya cukup untuk menampung hidup dalam seminggu dua, selebihnya terpaksa diikhtiarkan dengan pelbagai cara.

Wang tabungan yang tersimpan di Bank juga akan turut menyisit dan menyusut setiap hari bagaikan bukit ditarah malahan dikorek menggunakan jentera sudah tentu cepat menjadi rata.


Walaupun dirancang perbelanjaan serta berjimat cermat namun belum tentu wang ringgit dapat diselamatkan atau berbaki dalam simpanan.                                                                 

Kalau diambil kira golongan rendah dan sederhana kini bukan sahaja dikategorikan sederhana lagi malahan telah bertukar status menjadi mudah miskin dan kemungkinan telah pun terjerumus ke kategori miskin bandar.

Pada siapa dan di manakah tempat hendak mengadu sekira golongan ini berada dalam kesusahan atau sedang 'sesak' kerana keperluan perbelanjaan di luar jangkaan ?

Beruntung benar mereka yang memperolehi pendapatan yang lebih dan beroleh kesenangan hidup meskipun harga barangan dan kos perkhidmatan meningkat.Sudah tentu kesan kenaikan kos tersebut tidak begitu terasa kepada mereka.


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...