Khamis, 11 Ogos 2011

MENCARI KEBAHAGIAAN


Ada tikanya bersendirian juga membuatkan hati bagai dirasuk kesepian, sekiranya tiada kesabaran mencari arah tujuan menyelusuri hidup ini akan terasa pincang.Kesabaran itu adalah sebaik-baik petunjuk jalan dan panduan untuk kita meneruskan hidup yang banyak cabaran dan dugaan.

Ibarat pungguk yang hiba hanyalah satu ceritra naluri alam, namun pungguk tetap bersahaja jika bulan tidak terbit dan tidak bercahaya.Pada dasarnya pungguk juga hidup berpasangan, namun masih merindu bulan yang jauh kerana sudah menjadi fitrahnya begitu...

Ada waktunya kita hanya tahu memujuk kata untuk menghibur sahabat agar tidak bergundah gulana, namun kata disusun itu hanya indah untuk didengarkan tanda simpati atau kasihan, namun insan yang menyusun kata itu juga tidak bias dari menerima desakan dan tekanan hidup kemungkinan dia juga sentiasa resah dan kekosongan menyelubungi jiwanya....

Meskipun hidup sudah terisi, namun bagai pungguk masih hidup sepi tanpa bulan.Begitulah jiwa yang terisi itu juga terasa kekosongan kerana perkara-perkara tanpa diduga tetap juga bertandang menguji kesabaran.Bagai kata pepatah langit tidak selalu terang, ada masanya mendung, hujan dan panas tetap juga datang bersilih ganti.

Entahlah...namun kebahagian tetap jua dicari, dan mencari kesempurnaan hidup belum tentu membawa ketenangan.Hidup walaupun sengsara, sedih dan derita tetap jua diteruskan demi satu destinasi yang belum pasti.Kebahagian, kesempurnaan dan kesenangan tetap dicari dan diharapkan akan datang juga pada satu masa selagi nafas masih bernyawa.

Hanya pada Mu jua ya Allah Yang Maha Mengetahui, seluruh diri dan hati ini ku serahkan segalanya dan pada Mu jualah aku bermohon agar segala kesempurnaan dan kekurangan diri ini Kau kurniakan kesejahteraan dan keberkatan.Berikanlah aku petunjuk dan hidayah serta rahmat Mu agar aku dapat mengharungi kehidupan ini dengan kesabaran di bawah keredhaan Mu...
SAYANG DI MATA KASIH DI HATI

Ikatan yang setia dari saat mula pertemuan dan perkenalan sehinggalah melahirkan bibit cinta dan kasih mesra tentu membahagiakan.Seandainya berjauhan sudah pasti mengirim rindu di angin lalu, bayangan wajah kekasih sentiasa melekat di ingatan.Rasa percaya antara satu sama lain demi kedamaian hubungan, agar tiada cemburu membekam di hati, yang boleh merosakkan sebuah hubungan suci yang diharapkan..

Sedikit kecurangan akan menjadikan hubungan terancam, mungkin terus berkecai bertaburan.Oleh itu pandai-pandailah mengemudi diri menempuh badai gelombang yang selalu sahaja menguji.Hubungan erat yang murni itu diiringi pula dengan seteguh janji setia, jujur, ikhlas dan kasih sayang yang sejati hubungan antara dua hati.

Alangkah bahagia dan indahnya hubungan mesra itu jika dimeterai janji ikatan jodoh, agar talian itu terjalin dengan kukuh, hidup bersama menempuh segala dugaan dan cabaran.Sekiranya segalanya berjalan dengan baik, teratur dan memahami kehendak masing-masing, menjaga tutur kata bual bicara dan perasaan, sudah pasti ikatan itu akan menjadi lebih anggun.

Kemana sahaja diri dibawa, ketengah, ketepi, ketimur, ke barat, selatan atau utara, hati sentiasa ingat kepada pasangan, wajah dan senyuman sentiasa terbayang di ruang mata, sudah pasti perasaan cinta akan terus kekal sehingga ke akhir usia.Semoga berbahagialah mereka yang memperolehi kebahagiaan cinta dalam kehidupan berumahtangga.

SIAPA YANG TIDAK MAHU HIDUP BAHAGIA .....

Semua manusia di muka bumi tidak pernah meminta hidup mereka derita dalam kesusahan dan kesulitan, semuanya ingin hidup senang dan bahagia.Kebahagiaan tidak akan datang dengan sendiri yangmana kita perlu berusaha mencarinya, berlari untuk memilikinya serta berusaha untuk mengekalkannya.Kebahagiaan itu akan tercapai setelah meniti kehidupan, menempuh pengalaman dan merasai pelbagai kenikmatan setelah berada dalam kesusahan bertukar kepada kesenangan hidup dari semasa kesemasa. 

Kebahagiaan boleh tercapai sekiranya ada cita-cita, bersemangat serta berusaha untuk mendapatkannya tanpa berlengah masa dan tidak melepaskan peluang untuk menambah kebaikan dalam kehidupan serta menolak perkara yang boleh menghalang dan merosakkan kebahagiaan yang dicitakan.Disamping itu juga kita perlu tenang dan bersabar supaya kebahagiaan yang kita cari tidak pula mendatangkan banyak masalah menyebabkan terhalangnya mencapai kebahagiaan.

Kebahagiaan kita adalah mengikut titian usia dan acuan hidup kita menongkah arus dunia, bayangkanlah dahulu kita berada dalam keadaan yang sukar dan susah perubahan masa telah membuat hidup kita bertukar dari yang kurang selesa kepada yang lebih baik, kita terasa bahagia melihat hidup keluarga kita sentiasa gembira dengan kejayaan dan kecapaian anak-anak dalam kerjaya dan pelajaran, memperolehi menantu serta cucu, mendapat kawan, sahabat dan taulan yang ramai, mempunyai sedikit sebanyak harta dan wang ringgit.

Akan tetapi harta dan wang ringgit bukanlah sesuatu yang memberi kepuasan mutlak kepada kebahagiaan.Kita rasa bahagia jika dapat berkongsi kehidupan sempurna bersama isteri dan keluarga.Senyuman mereka amat membahagia dan menyeronokkan hati kita.Kebahagiaan berumahtangga amat menggembira dan melapangkan fikiran kita.Namun adatlah sesekali berbalahan rasa sedangkan lidah lagi tergigit, piring dan cawan pun sesekali berlaga tetapi janganlah sampai terjadinya berantakan yang boleh membakar kebahagiaan.

Maklumlah air di cawan sesekali berkocak juga, setenang-tenang air dilaut selalu beralun, berombak dan bergelombang, cuma sekiranya mampu kita harungi dan pandai kita mengemudi, maka selamatlah bahtera belayar dengan tenang.Seboleh-bolehnya biarlah kebahagiaan kehidupan berumahtangga itu dijaga akan kemanisannya sepanjang masa, biarlah nikmat dan manisnya dirasai bersama.Bukannya senang untuk kembali bahagia semula sendainya berlaku perselisihan dan perpecahan.Hati-hati dan berwaspadalah.

Setelah mendapat kehidupan yang lebih baik dan sempurna, seseorang itu akan merasa kepuasan, kemanisan, rasa kasih, sayang dan cinta, penuh bersyukur dan terima kasih kepada penciptanya, itulah yang dinamakan kebahagiaan.Setelah mendapatkan kebahagiaan dan keselesaan hidup janganlah sewenang-wenang melepaskannya dan terlalu mudah merosak dan mencacatkan kebahagiaan itu, biarlah ia berterusan dan berkekalan sepanjang masa selagi hayat dikandung badan.


Dalam pada itu segala kebahagiaan yang dikecapi belum tentu untuk selamanya kerana kadangkala dalam kebahagiaan itu bertandang pula kesedihan, kesusahan dan penderitaan yang sengaja diundang ataupun sama sekali tidak diundang.Seandainya terjadi sesuatu yang mendukacitakan meragut atau merentap sedikit kebahagiaan, janganlah terlalu bersedih kerana kita perlu sedari dan bijaksana untuk menghadapi serta menjauhkannya dari terjadi.Jika terjadi juga perlulah diterima dengan tenang dan bersabar.




Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...