Pagi-pagi aku sudah balik ke rumah pusaka, sambil mengeluarkan sedikit peluh membersih kawasan halaman. sudah lama tidak dibersihkan sejak sehari sebelum hari raya yang lalu.Masih ada beberapa ekor ayam yang bertandang mencari makan di situ.Mungkin banyak rezeki untuknya mengais di halaman rumah itu.Aku masuk kedalam lalu mengambil segenggam beras lalu menaburkannya kepada beberapa ekor ayam.Seronok benar aku lihat mereka berebut makanan.
Aku memerhatikan sahaja tingkah laku ayam tersebut terdapat dua ekor betina yang masih muda, se ekor bapak ayam yang sudah tua dan se ekor ayam jantan muda.Dua ekor ayam betina ini sentiasa mengikuti ayam jantan muda mungkin ini adalah pasangan yang secocok untuknya.Bapak ayam tua hanya membawa dirinya sendiri-sendiri di tepi halaman sesudah mengisi temboloknya dengan beras yang aku taburkan tadi.
Sesekali aku lihat ayam jantan muda berkokok di atas tunggul kayu mengibar sayapnya seolah-olah juara sabung tetapi aku tersenyum kokoknya pun tak begitu lepas dan tersangkut-sangkut.Mungkin setakat hendak memikat dua ekor ayam betina itu, terpaksalah juga berkokok sumbang.Tiba-tiba aku lihat bapak ayam tua itu mengibas sayapnya, mengambil giliran untuk berkokok garau, lantang bergema bunyinya memecah hening pagi hanya dalam keadaan begitu santai.
Agaknya ayam jantan muda tadi terasa tercabar kerana suaranya masih lagi tak senyaring dan sehebat bapak ayam tua itu lalu beredar dari situ mengiringi dua ekor ayam betina.Sebelum berlalu bapak ayam tua cuba memikat dan mengejar seekor ayam betina, apalagi bertempiaran ayam betina itu lari dan si ayam jantan muda turut mengejar bapak ayam tua kerana cuba merampas kekasihnya.Bapak ayam tua terpaksa melarikan diri kerana terkejut kerana dikejar ayam jantan muda.
Jauh juga bapak ayam tua itu dikejar oleh ayam jantan muda, mungkin kerana letih berlari tiba-tiba bapak ayam tua berhenti lalu memulakan serangan dan bertempur dengan ayam jantan muda itu, mungkin tidak terlawan ayam jantan muda tadi beredar perlahan-lahan untuk mendekati semula dua ekor ayam betina itu.Aku lihat bapak ayam tua mungkin tidak serik untuk cuba merampas pasangan ayam jantan muda itu.Sekali lagi ayam jantan muda itu mengejar bapak ayam tua tersebut.
Mereka berlari berkejar-kejaran di sekeliling halaman.Setelah kedudukannya jauh dari ayam-ayam betina itu si bapak ayam tua sekali lagi berhenti untuk bertarung dengan ayam jantan muda.Bila melihat bapak ayam tua memulakan langkah untuk bertempur, ayam jantan muda tadi lekas-lekas melarikan diri menghampiri ayam-ayam betina semula.Barulah aku tahu betapa ayam jantan muda itu hanya berani dan terasa gagah apabila bersama ayam betina tetapi takut berhadapan jika bersendirian.
Setelah beberapa lama di situ kerja-kerja membersih halaman rumah pun siap, aku membasuh tangan untuk pulang ke rumah dan sebelum pulang aku tersenyum sendiri bila teringat kisah dan kelakuan bapak ayam tua, ayam jantan muda dan dua ekor ayam betina itu.Peristiwa pagi itu memang melucukan aku dan akan ku abadikan dalam catatan blog ku sebagai memori walaupun hanya berkisar kisah ayam namun banyak memberi pengertian kepada mata dan akal fikiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan