Khamis, 22 September 2011

TENGGELAMNYA SEBUAH KAPAL USANG


Ada sebuah kapal yang sudah begitu usang dengan membawa barangan lusuh, dan sampah sarap untuk dilupuskan dari sebuah pulau peranginan, sampah-sampah di dermaga atau pelabuhan ke pulau-pulau tempat pelupusan sampah.Kapal tersebut telah menjalankan perkhidmatannya begitu lama tanpa seliaan yang sempurna.Kelihatan  kapal itu berkarat di badan  dan usang mencemar mata memandang jika berhenti di pelabuhan serta dermaga.

Bukan sahaja mencacatkan mata ketika memandang tetapi juga selalu mencemar air laut kerana minyaknya selalu bocor atau tertumpah.Apakan daya hanya itulah sahaja kapal yang ada dan bersesuaian membawa barangan itu yang senasib dan serupa dirinya.Sampai bila perkhidmatannya akan berakhir belum pasti kerana kapal itu terlalu setia menjalankan tugasan yang tidak sesuai dilakukan oleh kapal lain yang masih sempurna.

Kasihan nasib kapal itu yang terabai penjagaannya selalu disisihkan oleh syarikat pengendalinya.Entah bagaimana pada satu hari kapal tersebut membawa sampah buangan dari sebuah pulau lain terumbang ambing di tengah laut kerana dipukul ribut gelora yang datang secara tiba-tiba lalu berpusar-pusar dilambung ombak menggila.Injin lusuhnya berdengkur bagaikan sedang berada dalam kesakitan yang amat sangat.

Mungkin ia memahami nasibnya pada hari itu bagaikan telor di hujung tanduk.Setelah berhempas pulas melawan gelombang tinggi menjulang, kapal itu tidak lagi bertahan lalu tenggelam perlahan-lahan ke dasar laut bersama sampah yang dibawanya.Maka kapal itu pun terdampar dan bersemadi di situ menjadi tempat hidupan laut berlindung, namun sampah-sampah yang dibawanya bersama tenggelam tetap juga mencemarkan air laut.

Segala sampah itu juga menanti masa untuk mereput atau tertimbus di dalam pasir atau diserap oleh selut di dasar laut.Sampah-sampah yang tenggelam itu juga akan merosakkan batu-batu karang serta mengancam hidupan laut di kawasan itu.Sudah memang menjadi sifat dan lumrahnya sampah tetap membusuk sebelum reput walau di daratan atau di laut tetap mencemarkan, entah berapa lama ianya akan pupus ....

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...