Selasa, 20 September 2011

GANGGUAN SANG MURAI


Burung murai memang jenis burung yang suka buat kecoh, setiap pagi burung murai ini sudah membuat bising memekak telinga dengan berbunyi nyaring bersahutan di dahan-dahan rimbun pepohon kayu di penjuru belakang rumah ku.Aku bukanlah jenis yang suka pada suara murai kerana kebecokannya.

Ada beberapa kali ada juga remaja Cina memasang pikat (jebak) berdenakkan murai yang menambahkan lagi kerunsingan hati ku mendengar bunyi murai-murai itu.Teringat aku semasa zaman kanak-kanak memang gemar sekali melastik burung murai ini, entah berapa ekor yang tumpas ke tanah.

Aku memang tidak gemar dengan burung murai tetapi setelah meningkat usia begini aku cuba menikmati suara-suara murai.Pada peringkat awal aku mula rasa cinta mendengarnya tetapi entah kenapa bila tiba suatu masa timbul perasaan jemu dan meluat semula dengan bunyi hingar burung-burung murai itu.
 

Pada waktu pagi aku suka dengan suasana tenang, nyaman sambil menghirup udara segar tanpa suka diganggu suara yang aku tidak gemari terutamanya suara murai yang bagaikan tercabut ekor itu.Memang sukar untuk menghindari murai-murai itu hinggap dari dahan ke dahan pohon rendang di situ.

Pada pagi kelmarin ada dua orang remaja Cina datang ke kawasan rumah ku sambil tersenyum memberitahu untuk menangkap murai-murai di situ.Aku tidak mengatakan ya atau pun tidak hanya tersenyum.Remaja itu pun memasang pikat-pikatnya (jebak) di dahan manggis rendang di situ.

Pikat (jebak) yang dipasang itu berdenakkan murai yang mungkin telah dilatih untuk berbunyi lebih nyaring dari murai-murai yang selalu berada di kawasan rumah ku itu.Selepas itu aku masuk ke dalam rumah melakukan kerja-kerja yang sepatutnya aku lakukan pada hari itu.

Selang berapa ketika aku terdengar suara remaja Cina itu riuh berkata sesuatu pada rakannya dengan berbahasa Cina tetapi aku faham maksud apa yang di ceritakannya.Kemudian kedua remaja Cina  itu menghidupkan enjin motorsikal lalu pergi dari kawasan rumah ku.

Aku cuma memerhatikan mereka membawa bersama 2 buah pikatnya (jebak) yang telah berisi dengan dengan 2 ekor murai selain 2 ekor denaknya tadi.Terlalu pantas mereka memperolehi murai-murai liar itu.Mungkin denak yang dibawa mereka tadi mudah memujuk rayu sehingga murai-murai liar itu tertangkap.
 
Suara hingar dari murai-murai denak dan murai-murai liar sudah tidak kedengaran lagi, barulah puas hati ku kerana tiada lagi di ganggu suara murai-murai yang meracau-racau di situ.Maka dengan ketiadaan gangguan bunyi murai itu memberi aku sedikit kelegaan terutama di waktu pagi.Selamat jalan wahai sang murai !

SI MURAI BECOK

Jika berkawan dengan orang mulut becok memang seronok dan menghiburkan, selalunya mereka ini digelar orang si mulut murai.Golongan ini hidup sentiasa gembira, ada sahaja cerita, gurau senda dan celoteh yang hendak disampaikan dan diperdengarkan kepada kawan-kawan.Mungkin orang tak kering gusi dengan celoteh mereka.

Merekalah yang selalunya menjadi penyeri dalam satu-satu kumpulan, seandainya ketiadaan mereka di dalam sesuatu majlis , maka majlis itu rasanya kurang berseri.Mereka dalam golongan ini memang kaya dengan cerita dan idea.Namun begitu bukan semuanya berceloteh pada perkara kebaikan tetapi ada yang membawa cerita kurang baik.

Adakalanya mereka suka membawa cerita yang bukan-bukan seperti memburukkan orang, mengumpat keji, menghina, menghasut, mengadu domba, melaga-lagakan orang, dan sebagainya.Si mulut murai yang becok jenis ini memang tidak sesuai untuk dijadikan kawan atau pun sahabat.Mereka tidak pandai beradab dalam pergaulan.

Golongan ini jika dibawa kemajlis-majlis sudah tentu tidak digemari kawan-kawan lain, oleh kerana mereka boleh menyebabkan satu-satu kumpulan itu berpecah belah dan berpuak-puak.Mereka akan memilih golongan dan kelompok tertentu  yang sebulu dan bersesuaian dengan mereka sahaja.

Mana-mana sahabat atau kawan yang tidak mengikut cara mereka selalunya akan dipinggirkan.Inilah masalah yang tidak diingini kerana mulut becoknya akan memporakperandakan sesuatu majlis, kumpulan dan orang perseorangan.Bukan semua orang boleh bersama dan bercampur dengan golongan si murai ini.

Kadangkala golongan si becok ini tidak digemari atau disukai oleh kawan-kawan lain dan golongan tertentu, kerana masing-masing mempunyai cara hidup dan pandangan yang berbeza antara satu sama lain mengikut cara sendiri.Mereka akan merasa benci, bosan dan getik pada orang yang becok ini  kerana selalu bersifat keterlaluan.

Begitulah dalam kebaikan orang yang becok seperti murai ini terdapat keburukan yang tertentu, tetapi bukan semua bersifat begitu.Oleh itu ingatlah wahai golongan si mulut murai janganlah terlalu becok, ikutlah kesesuaian dan keadaan tempat, usah main redah sahaja, tanpa mengira hati dan perasaan orang lain.


Jagalah tingkah laku dan maruah diri, agar orang akan memandang hormat jika berkelakuan baik, Kekadang orang gelak melihat dan mendengar celoteh kita, tetapi di dalam hati siapa yang tahu, entah-entah dia membenci.Jika berceloteh pun, bercelotehlah pada perkara yang elok, ketepikanlah celoteh yang buruk-buruk ....

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...