Ahad, 10 Jun 2012

NYANYIAN LAGU LAMA BERKUMANDANG LAGI



Sesekali mendengar nyanyian lagu klasik yang merdu dan lunak amat menyenangkan perasaan.Maklumlah lagu tersebut mengandungi irama dan liriknya yang tersendiri membuat setiap bait dan rentaknya mengembalikan nostalgia silam pendengarnya.Namun ada juga lagu lama yang kurang enak didengar jika lirik alunannya yang sumbang kerana piring hitamnya telah rosak, lama, usang, lapuk bercendawan walau telah dipindahkan ke medium baru dan diproses semula untuk dibaiki masih lagi ketara sumbang kemerduannya.

Walaupun begitu tetap juga disiarkan untuk menarik perhatian golongan muda dan lama meminati semula nyanyian lagu  berirama lama. 
Maka dari satu lagu ke satu lagu usang dan lapuk dipilih dan dihidangkanlah lagu-lagu lama itu kepada pendengar pada setiap hari dan masa kononnya untuk menimbulkan nostalgia mengembalikan kegairahan semula terhadap lirik-lirik dan irama lapuk itu.Namun kerana selalu ditamu dan dihidangkan ke halwa telinga setiap masa akhirnya membuat pendengar jemu, loya ,muak dan benci mendengarnya.

Pada masa kini muzik telah berubah cara dan gaya, lebih moden serta tersusun, amat menarik dan memikat hati pendengar terutamanya golongan muda.
Mereka tidak berminat dikalutkan dengan lagu-lagu lapuk bermadah sayu, rindu, dengki khianat yang hanya membebal fikiran mentafsir lirik usang dan bercendawan.Golongan baru sudah berubah, minda lebih terbuka, dalam menilai genre lagu.Maka tinggallah golongan orang lama dan    peminat setia yang masih mengungguli lagu berantakan jiwa yang berkulapok tengi.

Apabila menyedari golongan baru tidak berminat lagi dengan nyanyian lagu kesumat rindu ceritera lama, maka digubah semula dan disunting di sana sini serta ditambah sedikit sebanyak perasa supaya lagu nyanyian itu berentak baru agar menambat semula hati golongan pemuda pemudi menjiwai lagu lama berentak baru itu, namun semangat dan minat mereka tetap sama dan tidak boleh diubah, sehinggakan golongan lama juga sudah hilang minat dan mula mual apabila nyanyian lagu itu sudah bertambah rosak melodi dan liriknya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...