Isnin, 27 Ogos 2012

JEJAK SAHABAT ~ ROSLI TAZILAH



Rosli Bin Tazilah telah ku kenali semenjak kami mula menjejaki kaki ke Sekolah Menengah St. Michael, Ipoh pada tahun 1971 dan kami di tempatkan di Asrama Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (STAR).Kemudian kami dipindahkan di 3 buah kuarters kerajaan di Jalan Watson dan Jalan Tambun, Ipoh yang dijadikan asrama.

Pada tahun 1972 kami berpecah kelas, namun tinggal di Asrama yang sama.Pelbagai kenangan pahit manis semasa kami tinggal di asrama yang banyak kekurangan kemudahannya ketika itu.Pada tahun 1975 ramai di kalangan kami berpindah ke Asrama Sekolah Menengah St. Michael, Ipoh termasuklah saudara Rosli Tazilah tetapi aku masih mahu tinggal di asrama lama.

Aku tahu bahawa mereka yang dipilih untuk tinggal di Asrama Sekolah St. Michael, Ipoh terdiri daripada pelajar pilihan yang agak pandai dari kami yang tinggal di Asrama Jalan Watson dan Jalan Tambun, Ipoh yangmana kawalan disiplinnya agak longgar.Kami rasa sedikit bebas jika dibandingkan dengan mereka yang tinggal di asrama sekolah.

Setelah tamat sessi persekolahan tingkatan 5 tahun 1976, ramai di antara kami yang menyambung pelajaran ke Universiti, Maktab, mula bekerja dan ada yang meneruskan pelajaran ke tingkatan enam.Aku terpaksa bekerja kerana pada masa itu keputusan MCE yang aku perolehi tidaklah begitu membanggakan.Lagi pun aku sudah mengalah dengan desakan hati untuk tidak menyambung persekolahan.

Sejak itu kami kehilangan ramai kawan-kawan yang tidak dapat dihubungi kerana zaman tersebut bukan ada talifon bimbit ataupun komputer.Atas daya beberapa orang sahabat termasuk aku, kami telah mengadakan siri pertemuan dan perjumpaan saban kali selepas raya, dari situlah kami dapat menjejaki semula sahabat-sahabat semasa dalam alam persekolahan dan pernah tinggal di asrama dulu.

Dari beberapa kali pertemuan dan perjumpaan kami dapat maklumat bahawa ada di antara kami telah pun kembali ke Rahmatullah.Ada juga sahabat-sahabat yang tidak dapat kami hubungi kerana tiada mendengar khabar berita sejak keluar dari alam persekolahan, termasuklah saudara Rosli Tazilah.Saudara Rosli Tazilah pernah ku temui di Telok Intan pada tahun 1981 tetapi kami terputus hubungan selepas itu.

Alhamdulilah berkat kesabaran dan semangat cintakan persahabatan kami dapat mengesan nombor talipon Rosli Tazilah melalui kawan-kawan yang mengenali adik perempuannya lalu memberikannya kepada ku.Aku pula menyerahkan nombor talipon itu kepada saudara Roslan Khairuddin yang mengetuai pencarian sahabat-sahabat lama yang terpisah agar  dapat menyambung semula tali persahabatan yang telah terpisah begitu lama.

Walaupun nombor talipon Rosli telah kami perolehi, tetapi malang taliponnya tidak pernah dapat kami hubungi.Pada cuti Hari raya Aidilfitri 1433 (2012), Roslan dapat menghubunginya apabila talipon Roslan bersambut.Rupa-rupanya saudara Rosli Tazilah selalu bertugas di luar negara.Itupun kami dapat menghubungi beliau kerana pada masa itu beliau sedang bercuti berhari raya dengan isteri dan anak-anaknya di Batu Gajah, Perak.

Pada 23.8.2012 aku, Roslan Khairuddin dan Ameruddin (Jaja) cuba menaliponnya semula dan kami ajak untuk bertemu di Batu Gajah.Tanpa berlengah masa kami pun pergi untuk menemui Rosli Tazilah di tempat yang dijanjikan.Setelah kami sampai di Batu Gajah, kami disambut oleh Rosli Tazilah dengan senyuman.Maklumlah sekian lama tidak pernah bertemu melebihi dari 30 tahun.

Setelah beberapa lama bertemu sambil mengimbau kenangan lama di salah sebuah restoran mamak di Batu gajah, Perak.Dalam pertemuan itu kami sempat mengikuti ceritanya yang sekarang ini bertugas dengan sebuah Firma Belanda dan kini beliau bertugas di Perth, Australia.Beliau akan balik ke Malaysia setiap 6 minggu sekali.Selepas beberapa ketika bertemu, kami mohon untuk pulang.

Sebelum pulang kami sempat mengambil beberapa keping gambar untuk dibuat kenangan bersama.Adalah diharapkan pertemuan ini lebih mengeratkan lagi tali persahabatan dan tidak terputus hubungan lagi.Dalam perjalanan pulang kami bertekad untuk mencari beberapa orang lagi sahabat persekolahan yang tidak pernah  berjumpa sejak berpisah setelah tamat alam persekolahan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...