Selasa, 28 Ogos 2012

MENU RESEPI CAMPAK-CAMPAK ALA TOKWAN

 ~ RENDANG PEDAS AYAM


Alahai, rendang pedas bukan susah untuk memasaknya, cuma perlu kemahuan diri untuk mencuba.Memang benar jika orang yang sudah pakar memasak rendang tentulah sedap, takkanlah kita nak rasa asyik nak minta seseorang masakkan untuk kita.Apa kata kita cuba dulu masak rendang ala campak-campak, manalah tahu lama-lama masak rendang kita orang pula sedap memakannya.

Bahan-bahannya.

1. Daging ayam yang dipotong-potong 12, 16, atau 18... ikut sukalah, bersihkan.
2. Kisar segenggam cili kering, 6 - 8 biji bawang merah, 4 -5 ulas bawang putih, kunyit hidup (serbuk kunyit pun o.k), halia ( diketuk pun tak ada masalah), lengkuas, (jangan terlampau banyak cukuplah dalam 0.5 inci - 1 inci sahaja)
3. 3 - 4 batang serai yang diketuk atau dihiriskan, ikut suka hati masing-masing.
4. Santan kelapa ikut keperluan.
5. Kerisik kelapa, ikut kehendak hati tapi jangan terlampau-lampau pula.
6. Daun kunyit.
7. Garam
8. Daun limau purut (jika suka)
9. Sedikit gula atau perisa (pak aji tak ada moto), atau kiub ayam ~ jika mahu....

Cara-cara Memasak

1.  Masukkan daging ayam dan semua bahan tadi ke dalam kuali, bubuh santan dan sedikit air, gunakan api yang kecil.Termasuk serai yang diketuk, jika nak senang kisar saja serai tu bersekali dengan bahan tumisan)
2.  Kacau selalu agar tidak hangit atau berkerak.
3. Bila dah hampir masak hiriskan daun kunyit halus-halus untuk ditaburkan/bubuh didalam masakan tadi, kalau dah malas nak hiris daun kunyit simpul-simpulkan saja bubuh terus ke dalam rendang itu.Masukkan juga beberapa helai daun limau purut jika suka.
4.  Bubuh garam secukup rasa, 
5. Masukkan sedikit gula jika hendak atau taburkan saja (pak aji tak ada moto) untuk menambah lemaknya, kiub ayam pun ok juga... 


 ~MASAK SIAKAP TIGA RASA CINCAI



Usah kita fikirkan masakan di restoran itu sedap kerana mereka menjaga hati dan selera pelanggan, apakata kita cuba belajar masak cara kita, sedap atau pun tidak tekak kita sahaja yang hendak disumbatkan.Jika kita cuba-cuba setiap kali akhirnya masakan kita sedap juga, jika tidak percaya cubalah.Sebab apa masakan kita tidak sesedap masakan chef di hotel-hotel atau pakar masakan di resstoran-restoran, itu adalah kerana kita tidak belajar.Jadi kita terus mencuba dan mencuba terus belajar sendiri dan mendapat sedikit maklumat dari mereka yang sudah pandai memasak, mungkin akhirnya kita juga boleh memasak untuk diri sendiri, keluarga dan kawan.

Bahan-bahannya.

1. Tomato puri  atau paling mudah sos tomato pun bolehlah...
2. Sos ikan jika tiada sos tiram pun o.k.
3. Kiub nenas dalam tin atau buah nenas segar dipotong kiub.
4. Kacang hijau proses
5. Buah perun (jika mahu) dan lain-lain bahan yang difikirkan boleh dimasukkan ~ redah sahaja.
6. Bawang putih yang dikisar, dihiris atau diketuk sahaja (bawang merah pun boleh dicampur, tapi tokwan tidak suka bubuh bawang merah)
7. Serbuk cili kering, jika tiada kisar sahaja cili kering.
8. Sedikit cabai merah/ cili belanda hijau/merah potong berbentuk kiub atau dihiris besar, untuk hiasan.
9. Daun sup, daun sadri, daun bawang, dan sewaktu dengannya, ikut kehendak masing-masing sebagai hiasan.
10.Garam
11.Tepung jagung.
12.Minyak masak.
13.Ikan siakap, bawal, kerapu dan yang bersesuaian, tapi siakap adalah yang paling senang.

Cara-cara memasaknya.

Membuat sos
1. Panaskan minyak.
2..Tumiskan bawang putih yang telah dikisar, dihiris atau diketuk sehingga naik baunya, bubuh serbuk cili kering (ikut suka hati ~ jika nak pedas bubuh banyak pun boleh, nak dicampur dengan serbuk lada sulah atau lada hitam pun bisa (kata orang Indonesia)
3. Masukkan tomato puri atau sos tomato, kemudian bubuh sahaja sos ikan atau sos tiram.
4. Bila hampir masak barulah dibubuh kiub nenas, kacang hijau proses dan bahan lain yang difikirkan sesuai), jangan terlalu lama nanti bahan-bahan tersebut menjadi lembik,(bonyo kata orang Perak).
5.Jika hendak lebih sos tambahlah sedikit air.
6. Bubuh sedikit garam secukup rasa jika perlu.
7. Kalau nak buat kuah yang banyak bubuhlah air lebih sedikit.


Ikan.
1. Siang ikan tersebut, jika boleh janganlah dipotong kepada bahagian, biarlah nampak sekujur tubuh ikan itu dipinggan nanti.
1. Bersihkan ikan (kalau boleh cuci dengan asam limau/asam keping/asam jawa agar hilang hanyirnya) dan toskan sekejap.
2. Kemudian lumurkan ikan tersebut dengan tepung jagung agar ianya nampak cantik dan tidak melekat pada kuali ketika menggorengnya.Gunakan minyak masak yang banyak.
3. Setelah ikan itu masak dan garing letakkan ke atas bekas yang besar.
4. Tuangkan sos keatasnya.
5. Bubuhlah hiasan dari daun sup, daun sadri ataupun daun bawang, cili merah, cili belanda atau apa sahaja yang boleh menghiaskan masakan tersebut.

Jom kita cuba, apa nak malu apa nak segan, mulut kita yang nak makan, tak sedap diam-diam, kalau dah pandai masak jadi sedap boleh saja jemput kawan-kawan sama-sama makan.....


~ IKAN REBUS SI BUJANG MANDI




1.Goreng ikan rebus (proses sendiri @ yang diproses oleh orang Islam ~ tidak perlu garing , masukkan kedalam pinggan atau piring lebar.
2.beberapa biji bawang merah, beberapa ulas bawang putih,
 sedikit halia, cili kering dan sedikit belacan (jika suka) dikisar.
3.tumiskan bahan-bahan tadi.
4.Masukkan sedikit air asam.
5.bubuh garam secukup rasa
6.Setelah tumisan tadi masak ~ naik minyak... tuangkan terus pada ikan rebus yg telah digoreng tadi...
7.Hiaskan cili merah berpotong bunga atau dengan hirisan daun sup @ bawang....

~ PETAI BILIS SERI JERNANG





Bahan-bahan ~

1. Petai dihiris bersama kulit-kulitnya
2. Ikan bilis sudah disiang
3. Hirisan beberapa biji bawang besar/ bawang merah
4. Hirisan beberapa ulas bawang putih
5. Hirisan cabai masak, cabai hijau, cili kering atau pun cili melaka yang diketuk sahaja ~ pilihan cili ikut selera masing-  masing.
6. sedikit minyak masak.
7. sedikit air
8. Garam secukup rasa.

Cara Penyediaan ~

1, Tumiskan ikan bilis dalam minyak panas
2. Masukkan petai yg dihiris bersama kukulitnya.
3. Bubuh cabai yang dihiris dan hirisan bawang merah, putih.(di masuk kemudian sekali agar bawang tidak terlalu layu)
3.bubuh sedikit air jika inginkan kuah ~ jika tidak mahu kuah, tidak perlu bubuh air,
4, Bubuh garam secukup rasa.
5. Bolehlah dihidang setalah masak...


TERLALU SENANG DAN MUDAH SELAMAT MENCUBA !
 ~ SAMBAL OPAH



1.ikan bilis dibersihkan, cili api, bawang merah ditumbuk, jangan sampai ikan bilis hancur atau lumat .
2.panaskan minyak tumiskan semua bahan tadi... 
3.Bubuh serbuk kunyit atau ibu kunyit yang telah ditumbuk hancur
4.Bubuh garam secukup rasa
5.sekeping dua asam keping atau air asam jawa ikut kehendak selera masing-masing.
6.Boleh juga dicampur dengan hirisan ubi kentang, petai, ulas bawang putih, hirisan bawang besar jika mahu.
6.Cukup separuh masak/kalau suka garing boleh saja teruskan sahaja digoreng sampai garing, jangan sampai hangus sudah lah ....

~ NASI GORENG SI BUJANG SENANG



1.Nasi ikut berapa orang makan kalau boleh biarlah sedikit keras tapi jangan mentah, nasi sahur tak abis atau berbuka jika tak habis dan tidak pula basi lagi elok untuk digoreng, tidaklah membazir....
2.Petai ~ ikut suka banyaknya jikalau masak sekuali, jangan smpai petai sekawah pula ...
3.Ikan bilis, udang kering, udang basah boleh juga, udang galah lagilah sesuai, jika nak guna udang kara lagilah bagus tapi kena goreng dalam kawah la.
4.Bawang merah dan bawang putih dihiris, cili kering dikisar atau dipotong-potong saja, cili api dan cili merah jika suka...
5.Kemudian bahan tadi ditumis dengan minyak masak panas yang dicampur sedikit dengan majerin.
6.Bila tumisan tadi sudah naik bau, masukkan nasi yang dileroi-leroi kedalam tumisan tadi di dalam kuali, gaulkan dan kacau rata-rata jangan dibiarkan sampai hangit.
7.Pecahkan telur ayam kacau rata-rata supaya tidak nasi berbuku-buku dengan telur yang dipecahkan itu. 
8.Masukkan petai yang siap dikopek (hendak dibelah dua ok, nak semata-semata tanpa dibelah pun sesuai )
9.Masukkan sawi atau sebarang sayuran yang sesuai (jika mahu, tanpa sayuran pun tidaklah mengapa)
10.Janan lupa bubuh garam secukup rasa.
11.Setelah masak maka boleh dihidangkan dan sedia untuk dimakan....
12.Lebih sedap dimakan berlauk ikan masin , ikan jeruk , pekasam, sedap juga jika makan dengan sambal ikan bilis atau sambal opah 
13.Sudah tentu dan pasti mertua lalu dibelakang tanpa disedari atau buat-buat tak nampak kerana lapar sesangat, bukan kerana sedap tapi tak mahu dikomen mak mertua jika masakan tu tidak sedap.....

~ NASI MINYAK BUJANGAN



1.  4-8 biji bawang merah, 2-3 ulas bawang putih, sedikit kunyit hidup (serbuk kunyit pun ok la ~ kalau tiada kunyit hidup), kemudian dikisar dan ditumiskan dalam kuali dengan sesudu minyak sapi bersama 1 @ 2 batang kayu manis, 2-3 kuntum bunga cengkih, 2-3 biji buah pelaga, bila dah naik bau... tuangkan kedalam periuk nasi letrik. yang mengandungi minyak sapi 1 @ 2 sudu lagi.
2.  Bubuh air seperti tanak nasi biasa dan 1-2 helai daun pandan yang disimpul, sedikit garam...kemudian masukkan saja beras basmati @ kalau beras basmati tiada guna beras biasa pun boleh saja...
3.  Apabila mendidih kacau sedikit agar semua bahan tadi rata.
4.  Setelah masak, bubuh dalam bekas nasi, taburkan bawang goreng, kismis @ kacang badam atau kacang biji janggus, daun sup yang diracik halus serta dihiasi dengan cili merah yang dihiris serong @ buat saja perhiasan seperti bunga sebagai hiasan,,,,

~ SAYUR KAILAN/BABY KAILAN IKAN MASIN




Terlalu senang nak dimasak yang tak pandai pun boleh cuba, apa kisah untuk makan sendiri sedap tak sedap itu lain cerita.Kali ini menu resepi campak-campak boleh membuka selera terutamanya jika lapar dan masakan itu masih panas semasa dihidangkan.Pada yang kurang pandai masak cubalah resepi campak-campak ini dari tokwan terutamanya pada bujangan yang ingin berjimat cermat tidak mahu makan dikedai kerana harganya agak mahal.Sekarang boleh cuba jika tak sedap pada hari ini buat pula untuk hari esok dan sampai berterusan sehingga kena pada selera.

Bahan-bahannya~

1.Sayur kailan yang dipotong-potong, asingkan bahagian batangnya yang lembut ikut keperluan jumlah yang makan, untuk ramai tambah sajalah ye...

2. Bawang putih diketuk, dikisar atau dihiris ~ ikut sempat dan ikut suka.
3. Bawang merah dihiris (jika mahu, tapi tokwan sekadar guna bawang putih sahaja)
4. Cili api ~ (cabai burung dalam bahasa orang Perak) ~ ikut suka di ketuk sahaja ataupun dihiris.
5. Ikan masin peram ~ tenggiri lebih baik dari jenis ikan yang lain, ikut kalau darah tinggi elok jangan    diamalkan.
6. Sos tiram.
7. Minyak masak ikut kehendak sendiri tetapi jangan terlalu banyak nanti lebih kolestol dalam badan.
8. Sedikit air, jika suka berkuah.

Cara-cara penyediaan ~
1. Panaskan minyak dalam kuali.
2. Masukkan ikan masin peram dan dihancurkan
3. Tumiskan pula bawang putih yang diketuk, dikisar atau dihiris hingga naik baunya bersekali dengan bau ikan masin tadi.
4. Masukkan sedikit air supaya tidak hangus, nanti pahitlah pula.
5. Bubuh sahaja sos tiram tu ikut kehendak masing-masing.. nak sedikit tawar bubuh sahaja sedikit jika hendak sedikit masin bubuhlah banyak.
6. Masukkan batang kailan yang lembut yang turut dihiris memanjang agar ia boleh empok.
7. Barulah bubuh daun sayur kailan atau baby kailan sehingga masak, janganlah sampai daunnya layu pulak nanti tak sedap....

hehehehe cubalah masak dulu, biarlah orang gelak cara kita masak asalkan kita makan apa yang kita rasa selera dan sedap dari masakan air tangan sendiri.....


 ~ TOMYAM BUJANG TAK KISAH



1.  3 - 5 biji bawang merah, 2 - 3 ulas bawang putih, sedikit lengkuas dikisar hancur
2.  Tumiskan bahan tadi.
3.  Masukkan air
4.  Bubuh serai, halia ketuk dan cili api yang diketuk pecah (ikut kehendak sendiri)
5.  Masukkan pasta @ kiub tomyam 
6.  Masukkan ayam atau daging yang dipotong kecil, udang atau sotong.
7.  Masukkan hirisan capcicum merah @ hijau (tak kira nak dipotong dadu ataupun tidak), kobis, putik jagung, baracolli/bunga kobis, karot jangan masak terlalu lama, nanti sayuran terlalu layu.
8.  Garam secukup rasa dan sedikit gula jika mahu.
9.  Jangan terlalu banyak sayuran, nanti jadi pulak tomyam sayur campuran pulak.
10.Jika suka bubuh beberapa helai daun limau.
11.Nak tambah masam perahkan asam limau.
12.Bila masak bolehlah menjamu selera.

~ SUP TULANG, EKOR @ DAGING




1. 3 - 6 biji bawang merah, 2 - 3 ulas bawang putih di kisar dan ditumis bersama bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga, kayu manis ikut suka hati, sedikit halia yang sudah diketuk.
2. Rebus daging, tulang atau ekor yg telah di cuci dalam periuk nasi letrik sampai lembut.
3. Kemudian ditambah sedikit air jika air rebusan itu terluak semasa merebus daging, tulang atau daging itu.
4. Tuangkan bahan yang telah ditumis kedalam air rebusan dialam periuk letrik.
5. Masukkan pasta sup siam.
6. Sedikit garam secukup rasa.
7. Apabila sudah masak bubuh dalam bekas dan dimasukkan sedikit air limau kasturi atau limau nipis (ikut kehendak kemasaman selera sendiri)
8. Tabur daun sup yang telah diracik2 dan bawang goreng.
9. Bolehlah menikmati juadah ini, sedap atau tidak bergantung kepada selera masing-masing.

~ SIAKAP KUKUS SI BUJANG SOLO




1.Ikan siakap disiang tanpa dikerat dua, dicuci bersih
2.Lumurkan sedikit garam jika tiada pasta ikan atau pasta tiram.
3.Bubuh saja serai,halia ketuk, bawang putih atau cili api yang dihiris atau diketuk2 sahaja.
4.Kukuskan.
5.Setelah ikan agak menjadi lembut barulah masukkan sayuran pilihan sendiri, karot, rebung segar, capcicum, cendawan dsbnya.
6.Kalau ada asam boi bolehlah dicampurkan ke kukusan ikan siakap itu.Jika tiada asam boi boleh saja dimasukkan sedikit air perahan limau.
7.Boleh sahaja dikukus tanpa sayuran selain bahan utama seperti bawang putih, serai, cili api dan pasta untuk mendapatkan rasa ikan siakap kukus biasa tanpa sayuran.

8.Jangan kukus terlalu lama kerana isi ikan menjadi terlalu lembut dan tidak kenyal ketika memakannya.


~ SAMBAL BILIS SIBUJANG MALU



Ikan bilis dicuci bersih, beberapa biji bawang merah, cili api, garam secukup rasa, jika perlu, kemudian ditumbuk semuanya sekali jangan pula sampai ikan bilis tu hancur lumat, setakat lembut saja sudah memadai, 

Kemudian bubuh saja air limau nipis,limau kapas, limau kasturi, limau purut,apa jenis limau sekalipun asalkan itu adalah limau... lemon boleh, limau oren boleh, limau mandarin boleh, limau bali pun boleh, asalkan jangan limau plastik....

Kalau campur tempoyak pun boleh..Tetapi jika hendak dijadikan sambal bilis bercampur tempoyak tidak perlulah dicampur air limau nanti tidak termakan kerana bertambah masam, mata asyik mengenyit, muka berkerut semacam ketika menjamahnya....

~ SUP BILIS KENTANG SEGAN




1.Tumis hirisan bawang merah, bawang putih, sedikit bawang putih, cili merah, cili hijau atau cili melaka ( cabai burung), kalau x mahu cabai boleh ganti dengan serbuk lada hitam
2.Air masak / air sejuk dan dipanaskan.
3.Bubuh kentang yang dikupas..nak dipotong-potong boleh, nak masuk bulat pun boleh,
4.Masukkan ikan bilis yang sudah dikopek.
5.Bubuh garam secukup rasa...
6.Daun sup boleh, tak dibubuh pun boleh...

7.Bila kentang sudah empuk, masakan tersebut sedia untuk dihidangkan...
~ IKAN BILIS SI BUJANG LARA



Selain digoreng, ditumis atau dijadikan bahan perencah, ikan bilis juga boleh dimasak dijadikan pelbagai menu makanan tambahan di bulan puasa ni, sudah jemu dengan pelbagai masakan yg dimasak atau dibeli.
mari cuba-cuba pula  menu resepi campak-campak ...

1.Ikan bilis dicuci sebersihnya, jgn lupa buang kotorannya...
2.ditoskan, kemudian dibubuh dalam bekas atau mangkok.
3.potong bawang merah, bawang  besar, cili api atau cili merah, dicampak ke dalam bekas ikan bilis tadi.
4.Boleh juga dicampur hirisan buah tomato atau tomato dipotong dadu.

5. Semuanya digaulkan dengan kicap.... atau lika tak mahu kicap boleh sahaja digaul dengan air asam jawa pekat dan dicampur sedikit belacan mentah atau belacan bakar ....

 ~ SARDIN BUJANG




Teringin rasanya nak makan menu senang dan mudah berbuka nanti...teringat pulak resepi zaman bujangan dulu tika berbuka puasa....

Menu campak-campak..... (bukan malas masak, tapi nak merasa dik lapar mata di bulan puasa.....)

1.Ikan sardin dalam tin direbus utk mengurangkan hanyir @ membunuh bakteria, kalau suka tidak payah untuk  direbus pun boleh aje, kemudian sardin tu dibubuh dalam bekas.
2.Potong bawang merah @ bawang besar, cili api, campakkan aje dlm sardin tu...
3.Buah tomato dipotong 2 @ 4, atau dipecah-pecahkan, dipotong dadu pun apasalahnya...hemmm campak lagi dalam sardin ... (sebagai tambahan, tak bubuh pun xtidak mengapa...ikut selera)
4.Bubuh garam secukup rasa ...
5.Perahkan limau ( tidak kiralah limau apa sekali pun... nipis, purut, kasturi , kapas, lemon, oren....tak kisahlah, tengok-tengok apa dalam peti sejuk....)
6.Sedia untuk dijamu tanpa perlu dimasak lagi....

~ TUMIS IKAN BILIS CAMPUR PETAI




Bahan-bahan

1. Segenggam dua ikan bilis yang sudah dikopek serta dibersihkan.
2. Petai tiga papan dah cukup diambil isinya dengan dipotong serong dari kulitnya dan dibersihkan.
3. Bawang merah dalam 6 ulas atau bawang besar sebiji pun dah cukup.
4. Bawang putih 3 ke 4 ulas.
5. Cili kering dalam segenggam sederhana, kalau tiada guna sahaja cili bo atau sebuk cili kering.

6. Asam jawa.
7. Garam 

8. Sedikit air
9. Minyak masak
10. Sedikit gula

Cara-cara membuatnya.

1. Kisar bawang merah, bawang putih dan cili kering.
2. Panaskan minyak masak.
3. Masukkan ikan bilis, ikut suka nak garing, separuh garing atau kurang garing, ikut hati acuan sendiri,
4. Angkat semula ikan bilis yang digoreng itu letakkan ditempat berasing.
5. Tumiskan bahan kisar tadi hingga naik minyak.
6. Masukkan air asam jawa ikut rasa sendiri.
7. Masukkan ikan bilis tadi dalam tumisan terlebih dahulu.
8. Apabila dah mula naik baunya, baru bubuh hirisan petai tadi, jangan terlalu lama nanti petai akan layu, tidak begitu kenyal untuk digigit.
9. Bubuh sedikit garam secukup rasa dan sedikit gula sebagai bahan perisa, jangan pula terlalu banyak nanti tumis tersebut dimakan terasa manis, tapi terpulanglah pada kemahuan dan selera masing-masing.
10. Hidangkan untuk dimakan, jangan lupa ajak tokwan ye...


Jom kita cuba masakan ala campak-campak ini, dari situ kita belajar dan terus mencuba untuk menambahbaik  cara masakan kita agar lebih sedap.Selamat mencuba dan menjamu selera, kalau tidak sedap jangan salahkan tokwan sebab tokwan buat resepi campak-campak dari pengalaman malas memasak dan memasak ikut mana sempat sahaja.... hehehehe....






Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...