SAPAAN BAYU DI PERJALANAN WAKTU
Setelah ku buka jendela kamar lalu mata ku tertumpu dan melihat mentari mula terjaga lalu senyum melimpahi sinar cahayanya dari celahan banjaran gunung membiru , tika embun masih lagi beku membasahi dedaunan pohon dan rumput menyegarkan hidupnya membias sedikit dahaga sebelum berlalu pergi dibaham sinar terik mentari.Moga tiada hujankan turun memalapkan keindahan pagi.
Awan cerah memutih nipis laksana kapas berterbangan ditiup angin bergerak ke sana ke mari, burung-burung berkicauan mengibar sayapnya di dahan-dahan sebelum berterbangan meninggalkan sarang menambahkan lagi ceria, nyaman dan kedamaian alam.Bayu lembut segar tak pernah berhenti atau merajuk menerpa daunan kayu yang tanpa jemu melambai -lambai setelah di usap dan dibelai.
Bila mentari mula meninggi bercahaya terang maka datanglah waktu rembang yang memanaskan suasana tika itu, burung-burung berpasangan dan berkawan-kawan mula sibuk bertebaran untuk mencari air dan makanan.Sambil membawa pulang rezeki bekalan untuk anak-anak di sarang sedang kelaparan.Berlalu pula tengahari maka datanglah waktu petang, pepohon, rumput mula layu dan keletihan.
Kicauan burung mula sedikit reda sambil mengingati anak-anak di sarang yang ditinggalkan dan bersedia pulang dengan hati riang dan mungkin juga tidak ceria hatinya kerana kurang memperolehi rezeki.Petang semakin meniti senja mentari mula merajuk dihujung penjuru dunia, maka alam diseliputi mega merah semakin lama semakin kelam, kelamaan cahaya bertambah muram hilang serinya.
Setelah mentari menghilangkan wajahnya maka datanglah malam suram yang tidak lagi bercahaya.Begitulah perjalanan masa dan hari seumpama perjalanan manusia sehari-hari mengikut rentak dan tempuh jangka usianya dari mula dilahirkan, menjadi kanak-kanak, ke alam remaja, dewasa dan seterusnya tua yang terpaksa melalui pelbagai pengalaman sehingga berakhirnya usia dan nyawa.
TITIAN KEHIDUPAN
Dalam kehidupan manusia pelbagai perkara dan peristiwa dilalui.Semakin berusia semakin bertambahlah pengalaman yang dirasai.Peristiwa yang ditempuh ada yang manis, pahit, masin, tawar, kelat, masam dan hanyir.Pengalaman indah teramat indah untuk dikenang.Biarlah kenangan manis sentiasa segar diingatan, pedoman dan panduan dalam meniti kehidupan, Segala peristiwa pahit, getir dan buruk, jangan terus dilupakan dari kenangan, biarlah menjadi pengajaran untuk kita memacu masa hadapan agar lebih berhati-hati agar peristiwa ini tidak akan menjelma semula mengganggu kehidupan.Jadikan ia sebagai azimat yang amat berguna untuk membetulkan diri dari terus melakukan kesilapan demi mencari sebuah kejayaan.
MENITI SENJA ~
Tika berseorangan begini, di usia yang sudah meniti senja kenangan silam ketika remaja dan muda memang sangat indah, akan tetapi apakan dayaku diusia begini, bila terkenang kisah-kisah lama membuat aku tersenyum sendirian dan adakalanya titisan airmata mengalir dengan sendirinya kerana kesedihan.Sebak juga didada bila teringat kisah-kisah silam terutamanya kisah-kisah pahit yang terpaksa aku tempuhi.Namun kesabaran menempuh dan merempuh segala kepahitan itu adakalanya membawa serta memberi sinar kemanisan waktu kini....
SEORANG TUA MENITI SENJA
Kekadang hati seseorang yang sudah meningkat umur iaitu meniti saat tuanya hanya suka bersendirian duduk termenung di sesuatu tempat yang selalu menjadi tempat santainya.Tujuannya adalah mencari ketenangan di samping mengimbau kenangan lalunya untuk dikenang.Masa silam yang tidak mungkin bertandang untuk dirasakan semula.
Adakalanya seorang tua itu suka memandang dan melihat keindahan alam yang tiap detik mengumpamakan pergerakan zamannya.Mereka mampu mentafsirkan waktu pagi, tengahari, petang yang mereka lalui dapat mengimbau sejarah diri mereka yang pernah ditempuh dahulu samada peristiwa itu indah, manis, buruk dan pahit.
Orang tua juga ada masa sukar difahami perasaan mereka.Adakala mereka bahagia, suka, gembira dan ada tikanya hati dilanda resah, kecewa dan duka.Selalunya perasaan mereka terusik akan sesuatu perkara yang tidak disukainya.Kebiasaannya mereka selalu menegur kesalahan orang yang lebih muda darinya.
Maka ketika itulah hatinya mula menaruh perasaan hiba dan membenci seandainya tegurannya tidak diterima.Orang tua banyak makan asam garam terlebih dahulu, salahkah mereka menegur untuk kebaikan supaya orang yang lebih muda tidak mengikut kata hati sendiri yang boleh membawa tersalah langkah menduga kehidupan di dunia.
Dalam keadaan tertentu kata bicara orang tua ini mungkin tidak sesuai dan tidak boleh diterima bulat, adakala perlu dibuat pertimbangan wajar dan bijaksana, janganlah terus menyanggah pandangan mereka kerana pendapat mereka sedikit sebanyak boleh dijadikan panduan.Sekurang-kurangnya hormatilah pada pandangan dan kedudukan usianya.
Janganlah sampai mencemuh orang tua kerana pandangannya tidak dipersetujui, sehingga sanggup mencerca dan menghina mereka.Walaupun mereka berpandangan sempit tidak seperti orang muda yang berpelajaran tinggi namun orang tua amat kaya dengan pengalaman yang tidak diajar dimana-mana institusi di dunia ini.
Usahlah kita hanya pandai mengata dan mencemuh pandangan orang tua kerana suatu hari kita akan terjerumus juga ke usia itu.Belum tentu diri itu sempurna selamanya dan belum tentu kebijakan di zaman muda sentiasa terserlah, entah-entah lebih buruk kerana pelupa dan nyanyok sebelum sempat sampai ke usia yang lebih tua.
Kesombongan diri orang muda terhadap orang tua selalu mendapat pembalasan dari Tuhan Yang Maha Adil.Bongkak dan ego sekarang, belum tentu berterusan setelah rambut beruban dan kulit sudah mengendur nanti.Barulah ketika itu kita baru memahami erti dan makna hati dan perasaan seorang tua yang meniti senja.
POHON USIA DI KALUT SENJA
Ada sebatang pohon di penjuru desa yangmana daunnya telah habis gugur kerana sudah layu, kuning dan kering berselerak di merata-rata di segenap sudut dan penjuru dibawa angin.
Daun-daun itu terbiar dibakar bahang mentari serta ditimpa hujan yang akhirnya berkecai dimakan cacing dan mereput dimamah tanah.Maka tinggallah pohon meranggah berangka.Dahan dan rantingnya juga rapuh, turut perlahan-lahan jatuh ke bumi.
Namun begitu sesekali angin bertiup disambut dengan goyangan dan lambaian, walaupun tiada serinya namun masih juga sudi menyapa sang burung yang terbang bebas meluncur udara agar dapat singgah seketika melepaskan lelah di ranting dan dahan rapuh yang masih berbaki sisa.
Pun begitu tidak seekor pun di antara sang burung gagah itu sudi untuk singgah di situ jauh sekali untuk membina sarang.Maklumlah buat apa berteduh di dahan rapuh hanya akan mengundang susah dan bahaya.
Begitulah nasib pohon setelah hilang hebatnya.Pada masa lalu pohon itu sememangnya rimbun berdaun hijau, segar ranting bercabang dan dahan-dahannya kukuh menjadi tempat sang burung hinggap, berhimpun setelah puas berterbangan dan sesudah tembolok penuh berisi.
Di situ jugalah tempat mereka berteduh, bersarang memadu kasih, dan membiak.Kini pohon itu hanya ditinggal sepi tanpa dikunjungi lagi.Hanya bayu yang sudi berkunjung sesekali diterpa angin menggila.
Hanya sesekali di waktu malam bulan purnama sang pungguk bertenggek merayu hiba pada kekasihnya di awan tinggi.Sedangkan burung-burung lain berterbangan bebas dan gagah tidak sudi memandangnya lagi.Mereka hanya bertumpu di pohon-pohon yang masih segar dan rimbun.
Maka pohon yang hampir mati itu hanya membilang hari untuk terus tersembam menyembah tanah.Batangnya pula kian hari semakin usang dan condong kerana akarnya juga turut reput dan putus di makan semut dan anai-anai.
Pasti pada satu hari dan ketika akan jatuh dan rebah juga.Jika bukan kerana angin, mungkin akan tumbang sendirinya apabila akar sudah hilang kekuatan mencengkam tanah.
Apalah nasibnya selepas itu, mungkin hanya menjadi bahan bakar ataupun terbiar reput usang dan lebur.Kemegahannya menjadi tempat tumpuan burung di masa lalu hanya tinggal kenangan manisnya sebelum bertandang satu nokhtah suram di penghujung hari.
Semoga diusia-usia meniti senja ini tiada lagi kepahitan dan kesedihan menimpa diri ini !
Usia meniti senja adalah ibaratkan hampir ke penghujung nyawa, waktu ketika mega senja di ufuk timur kala mentari berkemas dan bersiap sedia ke kamar tidornya.Waktu itu hati peniti senja akan terasa begitu sepi dan sunyi, cahaya terang membayangkan hari-hari ketika sinar hidupnya masih terang dan bercahaya, maka kedatangan senja adalah waktu dan tika suramnya mengenangkan baki sisa-sisa nadi dan jantungnya yang sudah mula bergerak perlahan entah bila akan bertandangnya satu perhentian yakni kematian.
Begitulah jika malam yang gelap bertandang maka itulah waktu kerisauan hatinya andai selama ini kehidupannya sia-sia dan tidak ada satu pun tujuan hidupnya berjasa untuk meninggalkan kenangan kepada mereka yang ditinggalkannya nanti.Maka seandainya malam akan menjelma bulan terang, mungkin akan membahagiakan hatinya kerana bulan terang itu melambangkan ada sedikit peninggalan jasa baktinya menerangi hidup insan-insan selepas ketiadaannya.Begitulah harapan apabila seseorang telah meniti ke alam senja.
MEGA DI HUJUNG SENJA
Hari silih berganti hari, minggu beralih minggu, bulan berlalu bulan, tahun merangkak demi tahun.Alam kanak-kanak, budak-budak. remaja, muda telah lama ditinggalkan menjadi sejarah, kini usia memanjat mega merah senja lebih dari separuh abad.
Kudrat semakin longlai, otak sudah tumpul serta luntur untuk berfikir, penyakit mula meminang, nyawa sudah pun semput, mata sudah hampir kabur untuk memandang, rambut bagai bebunga lalang memutih di padang, telinga bagaikan sudah tersumbat dan selera semakin kurang.
Jantung tambah berdenyut kencang, nadi semakin lemah, hati sentiasa berdetak menaruh bimbang, tulang temulang semakin lentur membengkok, reput dan tulang belakang sudah membongkok.Alahai sudah terasa benar tanda-tanda mega senja semakin berarak jauh dan pantas mula samar dan kelam.
Persediaan amalan banyak yang kurang, tidak cukup kerana nafsu terasa bagaikan tiada apa harus ditimbang untuk membuang segala keburukan, iman entahlah masih lagi senipis kulit bawang, tidak tahu bilakah masanya untuk berubah dan leka untuk menambahkannya kerana malam semakin melambai untuk bertandang.
MENONGKAH ARUS DI TITIAN SENJA
Kekadang hati dari seorang yang berusia menongkah lebih dari separuh abad terasa kudrat masih kuat ingin menduga dugaan dan ujian dunia seperti usia masih ditahap muda belia yang daya dan tenaga masih utuh kekuatannya.Maklumlah mana menyangka tenaga semakin kurang dari sehari ke sehari.
Kononnya mampu lagi menongkah arus berakit ke hulu, tak sangka mendayung galah sejengkal pun tak terlonjakkan rakit ke hadapan malahan beransur-ansur hanyut ke hilir.Dari jauh hanyut lebih baik sahaja tuju ke tepian asalkan tidak terus karam dibawa arus yang deras.Namun berenang pun belum tentu ada kemampuan tenaga.
Namun kekadang hasrat menguji dan mencuba tenaga masih lagi menguasai kehendak hati bagaikan ingin menduga daya di alam usia senja.Walaupun berada di titian senja ada tikanya hati sesekali tercabar dan ingin menandingi kebolehan orang muda belayar rakit merempuh arus deras tuju ke hulu.
Maka setelah hati rasa tercabar mulalah perasaan terbakar untuk mencuba kebolehan, malah tiada langsung rasa gusar dan takut seandainya menerima kegagalan rakit itu terbalik, hanyut atau pun tenggelam.Hanya yang terpahat diingatan adalah kekuatan semangat tinggi dibandingkan dengan daya yang semakin lemah dan usang ditelan masa.
Tidak salah mencuba dan menduga arus namun seandainya karam tenggelam mampukan membawa diri berenang ke tepi, entah-entah hilang nyawa dan badan ditelan arus tenggelam ke dasar yang dalam.Jika timbul adalah berkubur, andainya terus tenggelam atau menjadi hidangan sang buaya maka tiadalah berpusara.
Dalam citarasa seorang tua yang keras berhati waja, walaupun tenaganya sudah berkurangan namun ketabahan menghadapi cabaran dan berkesanggupan merempuh pelbagai dugaan tidak boleh dinafikan adakalanya tenaga yang sedikit itu dapat juga menongkah arus deras jika menggunakan akal fikiran dan pengalaman.
Tidak pula mustahil segala cita dan hasrat untuk menggapai impian akan terlaksana dengan semangat juang dan cita-cita tinggi untuk menawan arus yang ditingkah walau tenaga semakin usang diwarnai mega senja.Mungkin dengan sedikit kekuatan hati waja membantu kejayaan mengatasi cabaran.
KUMBANG SENJA
Aduhai kasihan nasib sang kumbang hidup sendirian membawa hati lara kerana tersisih tika merempuh alam di titian senja.Kemana sahaja tempat yang dituju untuk bersarang dipohon bunga yang rendang semuanya berduri.Impian untuk mendapat tempat menumpang kasih pada kuntuman bunga semuanya bagai sudah tertutup rapi untuknya.
Kemana lagi harus ia membawa hati dan perasaan hiba, duka dan lara, tiada bunga yang sanggup menerima rayuannya pada suara yang semakin hilang dan wajahnya yang begitu usang dan buruk, tiada sekuntum pun bunga yang sanggup serta sudi menerimanya.Alangkah kecewa dan pilu yang ia rasakan apabila diri sudah tidak bererti lagi.
Terbang ke hulu sang bunga sudah pun dimiliki, terbang ke hilir bunga sudah pun layu hampir gugur dari yangkainya.Maka biarlah sang kumbang senja membawa diri jauh di sudut rimba hanya hinggap di dahan yang rapuh di pohon yang sudah tidak berbunga lagi, agaknya di situlah tempat sesuai untuknya berteduh dan bersarang.
Biarlah hidup tidak mempunyai teman, biarlah sedih pilu menimpa perasaan, namun hidup harus diteruskan juga sebelum tibanya hari ia tak lagi dapat memandang sinar mentari apabila nyawanya berakhir.Namun biarlah hidupnya menjadi sejarah untuk si kumbang muda agar berwaspada menempuh cabaran alam, agar tidak senasibnya tika di usia senja.
BICARA HATI PENITI SENJA
Aku adalah seorang insan yang lemah hanya berdaya menyimpan hasrat namun gagal mengenal hakikat, apalah yang dapat ku harapkan dari kasihnya orang yang tidak pernah nampak betapa sayang aku untuk dirinya.Manalah sudinya seorang kaya dan berharta bersama si miskin ini.Diri ini hanya dapat dilihat dan dipandang umpama hanya di sebalik tabir bayang.
Oh betapa sedihnya di hati ini jika pandangan insan yang tidak mempunyai mata dan perasaan pada diri ku, hanya umpama menguis sebutir melukut di sisian akhirnya terdampar di perlimbahan.Jika di ikutkan hati, mahu sahaja membawa kesepian lara sekeping hati yang terluka ini ke hutan rimba atau terbuang di pulau-pulau di tengah lautan.
Sesekali terbit rasa di hati ingin menjadi unggas kerdil yang berterbangan bebas dan hinggap di pohon-pohon segar di hutan belantara, namun hakikatnya aku terpaksa menjadi sang enggang yang sering dipersalahkan setelah kepatahan ranting dik kerana menghinggapi atau melalui celahan dahan-dahan dari pohon yang sudah rapuh.
Begitulah yang aku rasai sebagai seorang insan yang sudah tua sering sahaja menyalahi diri sendiri dalam kesalan dan sesalan nasib meniti senja yang mungkin hampir ke waktu penghujungnya.Begitulah sepi seorang tua itu yang tiada pernah tenang umpama ribut melanda di pohonan usang menanti masa menyembam bumi.
Kadangkala sepi itu tidak tertanggung bagai menyapa bayu di waktu senja, sunyi yang dialami umpama diri diselubungi kabus di waktu dini hari.Kerinduan menjelma menggoda menggoncang jantung hati mengharapkan belaian bayu ada tikanya membias lalu.
Puas mengharapi setitis embun menyapa sekeping hati yang kian hari pudar dan layu mengimbau kenangan-kenangan lalu yang tinggal bagaikan abu dan debu dibawa angin lalu entah kemana tanpa arah dan tuju.
Dosa dan noda tersepit di antara tangis dan tawa.Setiap derita yang ditanggung selama ini yang dilalui dirasakan boleh menenggelamkan sebuah harapan untuk mencari sebuah kehidupan bahagia.Bicara beradab hampir lenyap dik bicara yang sudah semakin kelu dan bisu serta ingatan yang kian pudar serta membeku.
BICARA SENJA
Sinar mentari pagi tidak bererti cerah sampai ke petang adakalanya mendung dan hujan bertandang di tengah rembang begitulah mendung dan hujan bukan bermakna untuk selamanya.Sepi dan rindu bagai menyapa bayu di waktu senja, sunyi umpama diri diselubungi kabus di waktu dini hari.Bila kabus menghilang maka tawalah pepohon dan rumput rampai mendapat sinar cahaya nan terang.Seandainya kabus tidak berlalu menghilangkan diri maka bertambah gusarlah dedaunan dan rumput mengharap sinar.
Jika di malam hari nan dingin dan gelita berselimutlah jika sejuknya sampai ke tulang hitam maka nyalakanlah unggun api untuk berdiang agar dapat merasakan sedikit bahangnya menghilangkan getar menggigil.Andainya tiada limpahan cahaya lampu gunakan saja lilin atau pelita, meski pun cahaya kelam dan berjelaga namun masih mampu memberi sedikit sinar dalam kegelapan.Jika terjadi kecelakaan kebakaran.Andainya terbakar biarlah hangus menjadi abu berderai dan berdebu.
Biarkan sahaja abu bersama debu itu berterbangan dan bertaburan dibawa angin ke setiap penjuru atau jauh ke tengah lautan seandainya itu adalah akhirnya jika itu bisa menghilangkan segala gusar dan keperitan hidup.Seterang-terang malam belum dapat menandingi terangnya sinar mentari di waktu siangsekiranya tiada mendung yang menghalang.Kegelapan malam pasti jua menghilang setelah hadirnya waktu siang.
Belaian hati yang terpendam sekian lama, mula semakin longlai untuk memuja keindahan dan kecantikan.Cahaya hati kian pudar namun masih samar-samar menembusi kabus tebal yang menyelubungi diri.Hanyalah airmata menjadi penawar mengalir membasuh calar dan luka yang amat dalam dan memedihkan.Hati yang terhiris itu diharapkan sembuh sendiri walau mengambil masa yang lama.
Selingkar penawar bicara yang dicari belum pasti dapat menyembuh luka yang kian parah dan bernanah.Walaupun luka itu sembuh, namun parutnya masih terasa pedih dan ngilu.Seandainya timbul keraguan dalam perhubungan bukan sekadar setakat pengucapan maaf untuk memulihkan sinar bahagia.Cinta dan sayang yang diucapkan belum tentu seikhlas hati mungkin hanya mainan.
Sisipan kasih akan terhakis seandainya tiada kejujuran dan keikhlasan akhirnya membawa derita dan kecewa.Kekesalan hanya menitiskan airmata umpama air mengalir di celahan batu-batu hampar di kaki gunung yang akhirnya bertaut menjadi anak-anak sungai lalu hanyut terus bersama arus menselusuri liku-liku ke muara seterusnya sampai kelaut bercampur buih-buih resah yang dilambung ombak.
Keadaan diri ku ini yang seumpama serpihan kaca yang terdampar di perlimbahan tidak mungkin bertukar menjadi permata yang bercahaya.Sekian lama terendam semakin bertambah pudar warnanya.Walaupun diselaputi saduran emas sekali pun warnanya tetap tidak kekal lama akhirnya akan kusam jua dan seterusnya akan hilang serinya.Siapalah yang sanggup menjadikannya sebagai perhiasan diri.
Begitulah aku tika menyulam peristiwa hari-hari berlalu sekian lama, umpama mengharap secebis kisah semalam datang bertandang lagi.Suka duka kehidupan silam adalah sebuah ceritera yang terindah yang tidak mungkin dapat dilupakan di masa jaga.Tidak boleh hilang dari kenangan nan sentiasa bermain di fikiran bagai telah tercatat dan tercoret indah bertinta emas di kain baldu yang pasti menggamit rindu setiap waktu.
DAYA TAHAN TUBUH BADAN DI USIA MENITI SENJA
Apabila usia semakin meningkat, tambahan sudah meniti senja, penyakit selalu sahaja melamar bertandang kekadang tanpa sebarang tanda-tanda awal terus sahaja menerpa.Maklumlah daya kekuatan badan untuk menahan serangan penyakit sudah kurang kuat agaknya.
Lamaran penyakit yang datang tanpa mengira masa, adakalanya waktu hendak tidor, ketika hendak memejam mata tetiba pandangan gelap dan berputar-putar, pening, sakit kepala.Ada tikanya penyakit bertandang ketika sedang mandi tetiba terasa pening, pitam dan alam rasa seperti berpusing ligat umpama gasing.
Ada masanya sedang bersembang dan bermesra dengan sahabat handai, rakan atau keluarga, mula-mula badan rasa sihat dan cergas tanpa disangka-sangka ketika sedang berbual dan bergelak ketawa badan mula terasa panas, seram sejuk dan kurang selesa, bersin dan sebagainya, demam pula datang melanda.
Maka apabila penyakit melanda berusahalah untuk mencari penawarnya.Ubat pun adakalanya seperti jodoh pertemuan, bertemu jodoh maka segera sembuhnya, jika tidak, mungkin mengambil sedikit masa untuk kembali sihat.Ubat bukanlah penyembuhnya tetapi satu ikhtiar menawar penyakit jika diizinkan Allah.
Penyakit begitu pantas bagai petir datangnya, akan tetapi untuk sembuh semula mengambil masa, ada kalanya berhari-hari dan ada juga mengambil masa berminggu dan berbulan lamanya untuk kembali sihat semula, bagaikan semut pula berlalu penyakit itu.Begitulah jika usia mula senja, penyakit adalah mainan usia sebegini.
Ada juga penyakit yang datang bertandang begitu berat tibanya hingga menyebabkan sipenderitanya menanggung sakit tanpa dapat disembuhkan lagi hingga membawa maut secara tiba-tiba.Mana boleh kita menahan penyakit yang datang menyerang, maka terima sahajalah apa yang Tuhan kurniakan.
Cuma kita mampu untuk berusaha, berdoa dan berjaga-jaga dengan kesihatan yang Allah kurniakan kepada kita serta mensyukurinya ketika kesihatan kita dalam keadaan baik dan mensyukuri penyakit yang diterima kerana penyakit itu juga adalah satu nikmat dari Allah jua.Betapa besarnya nikmat sihat itu setelah kita merasai nikmat sakit.
PENGALAMAN MERENTASI WAKTU
Pengalaman adalah sebuah perjalanan menghadapi seribu dugaan mencari kebahagian serta tabah menghadapi kegagalan. Semuanya akan memberi seribu makna dan pengertian samada menjadi penawar atau racun dalam kehidupan.Kenangan itu adalah milik peribadi yang pastinya akan dikenang sepanjang masa selagi masih bernyawa.Mengingatinya akan membuat kita senyum ketawa dan bahagia atau mengalir airmata kerana berduka atau kecewa.
Berhenti dari berharap bukan sesuatu yang menyeronokkan tetapi berhenti dari berusaha adalah lebih mendukacitakan. Sebenarnya ujian membuat kita semakin kuat, tabah dan bersemangat untuk menghadapi dugaan.Hargailah saat pertemuan dengan sebaik-baiknya kerana pada suatu masa kita akan terpaksa menghadapi saat perpisahan.Tabahlah ketika menghadapi saat perpisahan kerana kita tidak dapat menolak dari berlakunya perpisahan dalam kehidupan kita.
Sesungguhnya setiap pertemuan pasti akan berakhir dengan perpisahan sedangkan badan dan nyawa pun berpisah juga akhirnya.Usah tangisi akan perpisahan sebaliknya tangisi akan pertemuan. Tanpa pertemuan, maka tiadalah perpisahan.Sudah menjadi adat di dunia, pertemuan dan perpisahan adalah lumrah dalam kehidupan.Tiada saat yang paling indah dalam kehidupan adalah pertemuan, namun saat yang paling menyedihkan adalah perpisahan.
Setiap perubahan menjadikan kita semakin bijak. Memang tidak selamanya hidup itu menyenangkan tetapi hidup ini suatu perjalanan yang indah dan mengembirakan.Maka hargailah sebuah kehidupan menempuh titian harapan..
PERJALANAN WAKTU
Dalam perjalanan waktu yang kita lalui berbagai perkara terpaksa ditempuh, dirempuh dan dihadapi.Adakalanya terpaksa menyusur laluan berliku, beranjau dan berduri.Pun ada yang terpaksa kita susuri dengan laluan titian sempit, rapuh dan reput menjadi seribu macam halangan.Tidak kurang juga perjalanan itu terpaksa pula dengan meredah belantara dan sekatan mengharungi dan menyeberangi sungai-sungai sempit.dan luas serta deras airnya, berjeram dan berbatu tajam.Begitulah bukannya mudah untuk melangkah dalam perjalanan demi mencari sebuah destinasi kedamaian hati di dalam kehidupan.
Setelah sampai ke tempat yang dituju maka terpaksa pula menyediakan mahligai yang sesuai untuk melindungi diri dari pancaran terik mentari dan terbias dari hujan dan ribut serta kedinginan bayu dan empun pagi.Pada peringkat akhirnya terpaksa pula menyediakan kebun dan ladang untuk bercucuk tanam dengan benih-benih yang segar, disiram, dibaja dan dijaga dari kerosakan penyakit dan musuh supaya tuaian menjadi dan berhasil tinggi.Dengan segala penat yang ditanggung dan keringat yang tumpah itu terbalas dengan kejayaan tanpa ada duka menewaskan usaha dan daya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan