Ahad, 20 November 2011

MAJLIS PERKAHWINAN MOHD AMIRUL HAFIDZ DAN EASYATUL ZAHRA BINTI ARIFFIN




Pada hari Sabtu bersamaan 19.11.2011 Majlis Perkahwinan Mohd Amirul Hafidz bin Ahmad dan Esyatul Zahra binti Ariffin telah dilangsungkan di Dewan Merdeka Tapah, Perak.Majlis itu berlangsung dengan lancar.Ramai jemputan yang terdiri dari saudara mara, sahabat handai dan kenalan yang datang dari jauh dan dekat untuk sama-sama merai dan memeriahkan majlis pada hari itu.Selamat Pengantin Baru, semoga berkekalan hingga ke akhir hayat.



sila klik tulisan jingga untuk melihat gambar tayangan slide ~

Majlis Perkahwinan Hafidz 19.11.2011 Slideshow Slideshow
: TripAdvisor™ TripWow ★ Majlis Perkahwinan Hafidz 19.11.2011 Slideshow Slideshow ★ to Tapah. Stunning free travel slideshows on TripAdvisor

MAJLIS AKAD NIKAH MOHD AMIRUL HAFIDZ BIN AHMAD



Alhamdulilah pada 18.11.2011 selepas waktu sembahyang Isyak Mohd Amirul Hafidz bin Ahmad telah selamat diijab kabulkan di Masjid Jame' Tapah, Perak Darul Ridzuan.Mohd Amirul Hafidz telah di ijab kabulkan oleh Naib Kadhi Kampung Lubuk Katak, Tapah dengan sekali lafadz sahaja.Kini Esyatul Zahra Binti Ariffin telah pun sah menjadi isteri Mohd Amirul Hafidz bin Ahmad.Semoga dengan ikatan pernikahan ini membawa kebahagiaan kepada kedua mempelai sehingga ke akhir hayat.


 
 

Selepas upacara majlis akad nikah berlangsung, kami semua telah pergi ke rumah pengantin perempuan di Kampung Sunut, Tapah, Perak Darul Ridzuan untuk menjamu selera yang telah disediakan.Selepas itu acara bergambar telah diadakan.Majlis itu juga telah diiringi dengan paluan kompang oleh kumpulan kompang.Acara selesai pada jam 11.00 malam.


sila klik ( tulisan jingga) untuk tayangan gambar slide  ~

Majlis Perkahwinan Hafidz 19.11.2011 Slideshow Slideshow
: TripAdvisor™ TripWow ★ Majlis Perkahwinan Hafidz 19.11.2011 Slideshow Slideshow ★ to Tapah. Stunning free travel slideshows on TripAdvisor

Rabu, 16 November 2011

MAJLIS PERKAHWINAN ANAK SAUDARA ROSLAN KHAIRUDDIN 12.11.2011


Pada 12.11.2011 Majlis Perkahwinan anak perempuan Saudara Roslan Khairuddin telah berlangsung di kediaman beliau di Taman Melayu Jaya, Kampar, Perak.Ramai sahabat handai yang turut hadir memeriahkan majlis itu.

Antaranya adalah sahabat dan rakan persekolahan di St.Michael's Ipoh sejak dari tahun 1971 dan rakan yang pernah tinggal di Asrama Jalan Tambun/Watson, Ipoh.Di kesempatan ini kami turut berasa gembira kerana diundang dan dilayan dengan begitu mesra dari tuan rumah.


Kami juga dari ahli Rancangan Khas SMI, Gabungan Alumni Pelajar Islam SMI (GAPIS) ingin mengucapkan tahniah kepada Saudara Roslan dan isteri kerana buat pertama kali menerima menantu.




Tidak lupa juga kami ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada kedua-dua mempelai, semoga berbahagia dan berkekalan selalu.

Sabtu, 5 November 2011

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA 1432


Pada 10 Zulhijjah 1432 seluruh umat Islam akan menyambut Aidil Adha atau Hari Raya.Setiap orang
Islam sudah tentu mengetahui kisah peristiwa Nabi Ibrahim A.S.terhadap anakandanya Nabi Ismail A.S.Umat Islam amat dituntut untuk melakukan pengorbanan bukan setakat melakukan korban lembu, kambing, kibas dan unta sahaja malah lebih dari itu..

Umat Islam perlu berkorban hatta pada harta dan nyawa sekali pun demi mempertahankan kesucian Agama Islam dan demi menegakkan syariat dan Akidah.Namun segala pengorbanan yang dilakukan itu perlulah ikhlas, tulus dan suci
.Berkorbanlah kerana Allah dengan ketulusan hati mudah-mudahan mendapat ganjaran pahala.

Jauhilah diri
dari melakukan pengorbanan sia-sia, amat rugilah mereka yang ingin  semata-mata ingin mendapat pujian, bermegah, berbangga diri, menunjuk kehebatan, ego dan berpura-pura untuk dipandang mulia di mata manusia bukan berkorban untuk membersih hati tetapi sebaliknya hanya menipu diri sendiri..

Akhir sekali penulis ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada keluarga dan sahabat handai yang beragama Islam.Marilah bersama kita hayati semangat korban untuk kesejahteraan kita semua.Semoga sambutan Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini akan di kurniakan Allah dengan kerahmatan dan keberkatan.Maaf zahir dan batin.

Rabu, 2 November 2011

SANG UNGKA DI KAKI GUNUNG


Al kisahnya di sebuah kaki gunung terdapat seekor ungka betina yang berbadan gemok yang hidup berkeluarga.Namun dalam keluarga itu ungka betina inilah yang menjadi ketua keluarga.

Ungka jantan hanyalah menjadi tukang angguk menerima sahaja arahan darinya.Konon-kononnya mempunyai semangat pahlawan ungka betina sejati gagah berani, akan tetapi hanya setakat kata-kata ngeri terluah tanpa makna dan erti.

Sungguh berlagak si ungka betina ini menganggap diri terlalu istimewa jika dibandingkan dengan ungka-ungka lain dalam kumpulan yang sewaktu dengannya.Ungka betina ini sentiasa bermulut riuh dan celupar.

Walau dimana  tempat bertanggak ditanah atau di dahan-dahan pucuk  kayu, tidak kira masa ada sahaja bunyinya membawa kisah cacian dan maki hamun. berbaur umpat keji dan hinaan di hutan tersebut.

Ungka betina ini hanya sesuai hidup dalam kumpulannya sahaja.Baginya merekalah yang serba baik dan mulia.Jika ada terdengar cerita bias terhadap dirinya atau kumpulannya, apa lagi menggerit gigi dik marah seolah-olah memukul gendang untuk berperang.

Namun kasihan sungguh si ungka ini hanya membuat bising dalam kumpulannya sahaja, namun terpaku di ceruk hutan tanpa berganjak kemana-mana.Amukannya seolah-olah bagai sang belang perkasa begitu rakus membaham mangsa

Kekadang pula menyondol ke sana sini tak tentu arah laksana sang tonyok hutan kelaparan mencari cacing di tanah.Namun sang ungka tetap sang ungka hanya megah berpaut di dahan sahaja, selebihnya hanya berbunyi bersahutan memecah kesunyian rimba.

Keberanian hati setakat pada suara sumbang, usahkan berhadapan dengan sang belang, berhadapan dengan sang musang pun mencuat lari senyap membisu seribu bahasa.Berani pun jika berada di sekeliling kroninya sahaja.

Bila di ketahui rahsia buruk dan kejahatannya pandai pula berlindung di sebalik batang pokok atau pun menyembunyikan diri di dalam rimbunan daun sehelai.Bila berhadapan dengan orang pula sang ungka ini berlagak seperti tenok jalan menunduk kesopanan.

Ada tikanya pula berlagak seperti kongkang atau kera duku diam di dahan bergulung malu tetapi perangai di belakang umpama seladang betina naik minyak biang mabuk jantan.Hakikatnya laksana kura-kura menyembunyi kepala jika di usik.

Entah apa nak jadi sang ungka betina ini, hidup sentiasa membawa cerita, berhasad dengki, serta mengumpat keji.Hidupnya sentiasa mencari musuh yang berbeza pandangan, kemudian kutuk-kutuk menanam duri di hati kawan-kawan.

Kebolehannya yang terserlah hanyalah mengacum golongan lain supaya membenci dan membenih dengki khianat serta melaga-laga sesiapa yang tidak sehaluan dengannya.Sudah menjadi tabiat buruknya begitu tanpa boleh berubah lagi.

Sang ungka ini terlalu gembira jika di puji atau setelah berjaya menabur suara nistanya.Sentiasa berbangga setelah melakukan durjana.Itulah cara hidupnya tanpa menyedari kelakuan begitu amat jijik dan memalukan.

Selagi terdaya si ungka betina jahat ini tidak melepaskan peluang untuk berdendam, bukan setakat dendam menyala, akan tetapi dendam yang membara, boleh sahaja membakar hati sesiapa apabila terhambur suaranya.

Jika hati selalu bernoda dan berangkara, menjadi lambang ego sang ungka betina.Mana tenang dan aman hidup di hutan akibat tingkah laku si ungka betina ini  selalu mengharu birukan  ungka-ungka lain dalam setiap masa dan keadaan yang terluang ....

Selasa, 1 November 2011

SENYUM TAWA DUSTA DUNIA


Al-kisahnya di hujung sudut desa terdapat seekor itik air betina yang terlalu bongkak dan sombong menyangka dirinya sahaja terlalu cantik tiada bandingan dengan itik-itik betina yang lain.Maklumlah bertubuh mantap, berbulu terang, berdada bidang, jalan berlenggang punggung terjungkit sedikit ke atas.

Paruh leper, mata juling air ketika memandang, suara berderai nyaring bagai ketawa yang tiada kesudahan.Dimana jantan merengek di situ ia terketek-ketek menggaru-garu hati gatal tak tentu pasal.Apalagi banyak itik-itik jantan tergoda ingin menemaninya kemana sahaja, berbangga jika berjaya memikat hatinya.

Banyak yang tertewas angkara bermain kayu tiga dalam satu masa.Baginya saat dan tika itu hidupnya sentiasa ceria kerana tidak sukar untuk mencari makanan, semuanya disediakan itik jantan yang gatal dan miang, tanpa menyedari itik-itik jantan itu juga mencari peluang menikmati serakah itik betina yang hebat itu.

Entah siapa terangsang entah siapa pula merangsang.Entah berapa kali ia bertukar hakmilik, namun tidak kekal lama kerana kesombongannya berandaian dirinya sahaja yang cantik dan menjadi pujaan.Jantan-jantan yang tergoda akan hidup merana selepas itu kerana ia sentiasa bermungkir janji setia.

Kecantikannya digunakan semata menggoda itik jantan gagah perkasa.Bila di panggil jantan, mulalah menjeling manja, bertambah bergoyang punggungnya.Siapa yang menggoda siapa, siapa pula yang tergoda.Siapa yang kena dan siapa pula yang terkena.Semakin di pandang makin kuat pula jalan melenggang.

Bunyi semakin bertambah lunak menggoda itik jantan yang terlekat miang.Si jantan sudah tentu tidak lepaskan peluang, jika segalanya sudah sedia terhidang, masakan bodoh untuk tidak menjamu selera.Setelah masing-masing mendapat kepuasan dan kekenyangan, ingat berakhir di situ saja, akan tetapi itik betina itu menjerat kasih pada jantan lain.
 

Tidak puas mencari rezeki mengisi temboloknya dan tembolok anak-anak yang berkeliaran walau dengan cara yang kurang bersopan.Namun hati bergoncangan juga.Mana tidak gelabah, anak-anak yang sudah besar asyik bergelandangan ke sana kemari tanpa arah yang pasti, anak-anak yang masih kecil terbiar, belum tahu mencari makan sendiri.

Dik kerana kesibukan ibu mencari rezeki dan menggoda bapak-bapak itik, terhoyong hayang ke sana kemari memaut cinta sementara demi mengisi keperluan.Khuatir pula anak-anak kecil yang terbiar berenang sendirian di kolam terpencil, mungkin lemas atau di sambar biawak atau ular.Mungkin juga di sambar helang melayang.

Anak betina yang turut mengiring ia berjalan turut merestui cara ibu sedemikian rupa dan tumpang sekaki menggatal sama bagai telah diajar ibu untuk mengganti tempatnya pada suatu masa nanti.Anak-anak jantan berterabur hidup tanpa terurus.Ada yang sampai tak mengenal jalan untuk pulang ke reban.

Meskipun begitu itik betina itu masih mampu tersenyum tanpa ada rasa resah gelisah, mungkin menyembunyikan kerisauan namun kerana menauk umpan mencari makan mana sempat untuk mengambil tahu hal keluarga sendiri.Itik betina yang sumbang laku itu akan meneruskan langkah untuk mendapat simpati dari itik-itik jantan yang miang.

Senyum dan ketawa mengilai hanya pura-pura, tetapi setakat mana mampu bertahan entah lama entahkan tidak, sudah pasti satu masa hidupnya akan kecundang juga setelah usia semakin menerjah senja.Dada bidang dan punggung berisi akan kendur juga akhirnya, ketika itu baru mula sedar.

Terlalu asyik berfoya  tanpa menyedari itu hanya cuma sekejap tanpa bertahan lama.Ketika itulah baru teringat air perlimbahan yang setiap hari dinikmati itu sudah mula membusuk di jiwa tanpa boleh berubah lagi, mungkin sesalan sudah tidak lagi berguna.
Di saat itu jugalah baru teringat kekasih setia yang telah pergi menghilang diri.

Jika ada rezeki dan simpati  mungkin dapat menumpang teduh hidup bersama itik jantan tua yang masih ingin menagih nafsu gila.Apa hendak dikata kerana senyum tawa, kecantikan dan daya kudrat semakin pudar.Kemegahan berlalu di mainan dusta dunia semata.Maka tertewas juga pada kecantikan yang hilang dimamah usia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...