Ahad, 10 Jun 2012

NYANYIAN LAGU LAMA BERKUMANDANG LAGI



Sesekali mendengar nyanyian lagu klasik yang merdu dan lunak amat menyenangkan perasaan.Maklumlah lagu tersebut mengandungi irama dan liriknya yang tersendiri membuat setiap bait dan rentaknya mengembalikan nostalgia silam pendengarnya.Namun ada juga lagu lama yang kurang enak didengar jika lirik alunannya yang sumbang kerana piring hitamnya telah rosak, lama, usang, lapuk bercendawan walau telah dipindahkan ke medium baru dan diproses semula untuk dibaiki masih lagi ketara sumbang kemerduannya.

Walaupun begitu tetap juga disiarkan untuk menarik perhatian golongan muda dan lama meminati semula nyanyian lagu  berirama lama. 
Maka dari satu lagu ke satu lagu usang dan lapuk dipilih dan dihidangkanlah lagu-lagu lama itu kepada pendengar pada setiap hari dan masa kononnya untuk menimbulkan nostalgia mengembalikan kegairahan semula terhadap lirik-lirik dan irama lapuk itu.Namun kerana selalu ditamu dan dihidangkan ke halwa telinga setiap masa akhirnya membuat pendengar jemu, loya ,muak dan benci mendengarnya.

Pada masa kini muzik telah berubah cara dan gaya, lebih moden serta tersusun, amat menarik dan memikat hati pendengar terutamanya golongan muda.
Mereka tidak berminat dikalutkan dengan lagu-lagu lapuk bermadah sayu, rindu, dengki khianat yang hanya membebal fikiran mentafsir lirik usang dan bercendawan.Golongan baru sudah berubah, minda lebih terbuka, dalam menilai genre lagu.Maka tinggallah golongan orang lama dan    peminat setia yang masih mengungguli lagu berantakan jiwa yang berkulapok tengi.

Apabila menyedari golongan baru tidak berminat lagi dengan nyanyian lagu kesumat rindu ceritera lama, maka digubah semula dan disunting di sana sini serta ditambah sedikit sebanyak perasa supaya lagu nyanyian itu berentak baru agar menambat semula hati golongan pemuda pemudi menjiwai lagu lama berentak baru itu, namun semangat dan minat mereka tetap sama dan tidak boleh diubah, sehinggakan golongan lama juga sudah hilang minat dan mula mual apabila nyanyian lagu itu sudah bertambah rosak melodi dan liriknya.

Rabu, 6 Jun 2012

PUNGGUK RESAH BULAN TAK ENDAH




Alahai kasihan nasib si pungguk di malam terang tika bulan mengambang penuh, bertambah kasih dan sayang pungguk padanya, sehari tak dipandang rindunya membara terlalu amat dalam, maklum sahaja bulan bukan menjelma sepanjang masa, ikut edaran masa, ada kalanya bulan dijangka jelma puas pungguk menanti di pucuk tinggi pohon meranti untuk merayu, namun kekadang dilindung awan mendung hitam yang bakal menuruni hujan.Maka bulan pasti tidak muncul jelma menyembunyikan wajahnya.

Kadangkala bulan mengambang menerangi alam pungguk mendayu selenggok dua, tiba-tiba purnama disapa gerhana alangkah hibanya hati si burung pungguk.Pun begitu walaupun malam bulan purnama terbit terang dapatlah sang pungguk menghibur hatinya yang rawan tetapi bulan tetap di langit tinggi cuma membisu seribu bahasa tidak menyahut sapaan pungguk tika mendayu dan merayu sehingga letih dan lesu.Manakan bulan hendak mendengar rayuan mu kerana bulan sudah pun berteman si bintang kejora.

Begitu malang nasib mu wahai burung pungguk yang tidak hentinya dilanda derita, sedih, pilu dan kecewa dijiwanya kerana rindu kasih mu hanyalah di mata, kasihmu tidak berbalas umpama menyemai selasih, tumbuh melata tetapi langsung tidak berbunga.Buat apalah kau merayu berkirim rindu di kedinginan malam di hembus sang  bayu, berembun hingga ke pagi, kau tetap juga tidak diambil endah dan tetap tidak dipedulikan bulan yang terbitnya tinggi.Bulan tetap juga tiada perasaan kasihan dan belas terhadap mu.

Cinta mu pada bulan yang jauh tidak berbelah bahagi, hati mu tidak pernah lupa untuk memuja, ketabahan mu tidak pernah kurang sedikit pun menanti bulan menyinar dan melimpahi cahaya menerangi alam tanpa pernah senyum pada mu.Kesetiaan mu memuja amat dipuji, walaupun mustahil bagimu terbang mendakap bulan  untuk  hidup bersamanya.Manalah setara diri mu yang kerdil umpama debu hinggap dikain baldu, nak dibandingkan diri mu dengan belacu pun rasanya teramat jauh sekali.

Kasihilah bulan yang kau cintai itu asalkan kau bahagia, memuaskan mata mu melepaskan rindu di hati yang rawan sebagai penawar duka, sekurang-kurangnya rayu hiba mu yang lemak merdu dapat pula mengubat hati insan lain yang sedang diamuk rindu berjauhan.Hari tetap berlalu dan berganti minggu, minggu pula beralih bulan, kemudian menjejaki tahun, cara mu pungguk tetap tidak berubah sehinggalah bulan menyepi diri semula dan berehat mengikut edaran terbitnya di waktu mendatang.

PUNGGUK MERINDU BULAN

Antara bulan dikepungi bintang beribu, cahaya bulan kian kelam ditelan awan kelabu.Setelah puas berlindung membuat hati sang pungguk bertambah sayu kerana bulan yang dirinduinya menyepi diri.Hiba sungguh hatinya, hancur luluh perasaan di jiwa.Mengharap bulan purnama tiba-tiba malam bertukar gelita.

Bulan tidak bermaya untuk menghibur hati kekasihnya di buana sehingga sang pungguk  begitu merana menanti sepanjang malam mengharapkan bulan tetap menjelma.Setelah bulan menjelma semula maka rianglah pungguk di malam sepi namun puas ia rayu mendayu-dayu namun bulan hanya membisu.

Maka sang pungguk begitu kecewa lara bila bulan muncul hanya seketika berteman bintang berkerlipan di langit lalu menangislah ia di pohon kayu memujuk hatinya yang semakin sayu.Setiap malam ia pasti menanti agar bulan sudi menemani.Cinta sang pungguk tidak kesampaian.

Riang hati si pungguk melihat bulan terbit tinggi tetapi bulan pula di pagari dan diserikan bintang setiap kali bercahaya terang.Sang pungguk hanya menatap sayu dari kejauhan bersama hati yang rawan dan merelakan embun malam membasahi tubuh. Begitulah nasib diri sang pungguk cinta rindu pada bulan yang satu.

Malam berikutnya bulan dijangka terbit penuh tetapi ternyata hampa, purnama yang dipuja-puja dan dirindu-rindunya selama ini tidak jua menjelma kerana awan mendung terlalu cemburu melindunginya sehingga melabuhkan hujan ke siang hari sehingga terbit mentari pagi barulah hujan berhenti.

Kasihan nasib sang pungguk di pucuk kayu ara berhati hiba tanpa dapat merayu bulan yang kehilangan cahaya sepanjang malam.Kecewa benar hatinya terusik sudahlah tidak dapat memandang kekasihnya badannya pula kuyup dingin dan kesejukan disimbahi hujan.

Maka terbanglah sang pungguk berdiang cahaya sinar mentari mengipas dan menebar sayap  mengeringkan bulunya dan memanaskan badan nan kedinginan sepanjang malam.Walaupun hatinya terusik kerana rindu tidak berbalas, mendung menghalang namun pada malam nanti pasti ia setia menanti.

Sang pungguk tetap menguatkan semangatnya serta bertekad untuk memandang kekasihnya pada malam nanti.Ia tidur di sepanjang hari untuk berjaga menanti rang bulan terbit terang sambil mengharapkan awan mendung tiada bertandang menghalangnya lagi .



Isnin, 4 Jun 2012

KHAZANAH LAMA DI RUMAH PUSAKA


~ NASKHAH AL-QUR'AN MINI PENINGGALAN AYAH


Gambar yang tertera adalah senaskah Al-Qur'an yang berukuran lebih kurang 2.5 inci X 4 inci. Al-Qur'an ini dibawa oleh ayah semasa merantau dari Negeri Kedah ke Perak semasa ayah menyertai Pasukan Polis Khas (Special Constable) pada tahun 1950an.Rasanya ayah menyertai SC pada tahun 1952 dan ayah mengakhiri perkhidmatannya dalam SC pada tahun 1958 selepas kelahiran ku pada tahun tersebut.

Maka usia Al-Qur'an milik ayah ini sudah menjangkau lebih setengah abad ( lebih kurang 57 - 60 tahun ).Aku masih lagi ingat semasa ayah membaca Al-Qur'an ini menggunakan kanta, walaupun ayah memakai cermin mata.Memang halus tulisannya.Namun kini Al-Qur'an tersebut telah dimakan anai-anai dan kertasnya sudah rapuh dan reput serta berlubang seperti sebuah peti 

Maklum sahajalah Al-Qur'an ini tersimpan dalam almari ayah sejak ayah meninggal dunia tanpa disentuh lagi.Setelah aku bongkar almari itu barulah aku sedari Al-Qur'an ini sudah usang dan dimakan anai-anai.Namun biarlah ia tersimpan disitu sebagai satu khazanah peninggalan Allahyarham ayahku.

Aku masih mencari-cari kitab perukunan lama, kitab zanji, kitab rawi dan marhabban milik ayah tapi tidak berjumpa, mungkin ada di kalangan keluarga ku yang menyimpannya ataupun ada seseorang yang meminjam tanpa memulangkan semula.Tidak apalah kerana aku tidak ada rezeki untuk memilikinya.

Namun ada lagi Al-Qur'an dan naskhah kitab-kitab yang tersimpan di dalam almari ayah   dan masih elok serta boleh sahaja dibaca.Semoga kesemuanya berada dalam keadaan baik dan akan dibaca oleh keluarga seandainya bertandang ke rumah pusaka itu.Pemusnah utama bagi naskhah Al-Qur'an dan kitab-kitab peninggalan ayah adalah anai-anai.

SAMPING SERTA KAIN MAJLIS PERKAHWINAN AYAH DAN IBU KU


Gambar ini amat bererti padaku walaupun hanya sampin bercorak lama warna biru dan ungu berbenang emas berjalur mengikut galuran bentuk pelikat ini telah dipakai oleh Allahyarham ayah ku semasa majlis perkahwinan ayah dan ibu pada tahun 1955.Semasa aku masih kecil dalam darjah satu tahun 1965 hinggalah ke darjah enam (1970), sampin ayah selalu ku pakai  semasa menyambut hari raya Aidil Fitri ataupun pada hari raya Aidil Adha untuk ke masjid.

Kain berwarna merah bercorak bintik-bintik berjalin sulaman benang emas adalah kain yang dipakai oleh ibu pada majlis perkahwinan mereka.Kemungkinan kain ini adalah kain bercorak Batu Bara pakaian wanita dari Kepulauan Sumatera dan selalu dipakai oleh wanita Melayu pada masa itu di Majlis-majlis keramaian, Hari Raya dan Majlis Perkahwinan.Lagipun keluarga ibu adalah berketurunan Rao dimana ayah ibu adalah berasal dari Sumatera.

Walaupun opah ku lahir di Tanah Melayu pada tahun 1925 namun kedua orang tuanya berasal dari Sumatera juga berketurunan Rao.Mereka telah tinggal di sebuah kampung di Kampung Jalan Paku Bidor, dimana ayah dan ibu berkahwin di kampung tersebut.Urusan pertunangan dan perkahwian ayah diuruskan oleh bapa angkat ayah yang telah lama tinggal di Bidor berasal dari negeri Kedah.

Ayah juga berasal dari negeri jelapang padi itu dan merantau ke Bidor kerana bertugas sebagai Polis Khas (SC).Bapa angkat ayah juga berkerja sebagai SC juga pada masa itu.Perkahwinan ayah dan ibu bukanlah perkahwinan pertama bagi ayah, kerana sebelum itu ayah pernah berkahwin di Kedah sebelum ayah menyertai SC lagi dan jodoh ayah tidak panjang kerana berpisah.

Berbalik pada kisah kain sampin dan kain Allahyarham serta Allahyarhamah ayah ibu, masih lagi tersimpan kemas dan elok walaupun telah sedikit reput berlubang-lubang 'makan diri' kemungkinan kerana telah begitu lama melebihi dari separuh abad.Itupun aku selalu menggosok dan menyimpannya dalam keadaan baik.Jika tidak dijaga dan diawasi kemungkin kain itu sudah lama reput dan rosak.

Semasa aku kecil dahulu aku masih lagi teringat barangan lain yang telah digunakan oleh ayah dan ibu dimajlis perkahwinan mereka seperti kepala bantal tidor, kepala bantal peluk,  kipas dan penyelak kelambu dari kain baldu merah bertekat bunga dari benang emas, namun semuanya tidak sempat diselamatkan kerana pada masa itu kami sekeluarga tidak tahu menilai betapa perlunya barangan tersebut disimpan untuk kenang-kenangan.

Semoga sampin dan kain Allahyarham serta Allahyarhamah ayah ibu akan menjadi ukiran dan peninggalan pusaka yang amat bernilai bukan kerana harganya tetapai begitu bernilai ertinya untuk ku, adik beradik, anak-anak, jika boleh biarlah dapat dilihat oleh cucu cicit kami nanti.Biarlah sampin dan kain itu menjadi lambang ingatan kesetiaan dan kasih sayang ayah dan ibu untuk renungan, ingatan dan kenangan kami sekeluarga.

~ PASU BANCUHAN ADUNAN TEPUNG


Gambar yang tertera di atas adalah sebuah pasu yang digunakan oleh Allahyarhamah ibu ku untuk memukul telur ayam atau itik untuk bancuh serta menggaul adunan kuih bauhulu selalunya pada bulan puasa untuk sambutan hari raya atau pun sebelum menyambut hari raya haji.Begitu juga adakalanya pasu ini turut digunakan untuk tujuan lain seperti menyimpan dodol atau wajik.Jika majlis kenduri perkahwinan atau kenduri lain, pasti pasu ini digunakan untuk bekas air gula.

Pasu ini rasanya seusia atau pun kurang sedikit dari umurku kurang lebih 45 - 54 tahun.Semasa aku masih kanak-kanak pasu ini sudah pun ada dan digunakan oleh ibu.Setelah ibu uzur dan pergi menyambut panggilan Ilahi sesekali turut digunakan oleh adik perempuan ku yang masih membuat bauhulu secara tradisional untuk jualan mahupun untuk kegunaan sendiri.Pasu ini masih elok dan boleh digunakan lagi, Insya'Allah untuk cucu cicit ayah dan ibu nanti.Namun begitu alat pemukul telor itu bukanlah seusia dengan umur pasu tersebut.

~ DACING KATI



Ini adalah dacing atau senang dipanggil timbangan kati.Setelah aku menyelongkar khazanah lama yang ada di rumah pusaka peninggalan ayah bonda aku dapati timbangan kati ini tersorok di atas almari dapur.Timbangan kati ini pernah digunakan oleh ayah, ibu dan adik ipar ku untuk menimbang dodol untuk jualan dibulan puasa untuk sambutan hari raya, ayah dan adik iparku pula menggunakannya untuk menimbang ayam, ikan atau buah-buahan.

Malangnya batu kati dan plat tempat mengisi barang timbangan yang diperbuat dari tembaga itu  telah hilang semasa rumah pusaka itu baharu ditinggalkan oleh kedua ibu bapa ku untuk selama-lamanya.Rumah pusaka ini ditinggalkan tanpa penghuni cuma sesekali sahaja kakak dan adik perempuan ku tinggal di sini untuk beberapa hari.

Oleh sebab selalu kosong maka telah diambil kesempatan oleh manusia nakal yang mengambil jalan mudah memecah rumah serta mengambil barangan berharga termasuklah logam dan plastik untuk dijual mendapatkan wang mudah atas harta orang lain.Banyak barangan yang bernilai bukan sahaja dari harganya tetapi juga nilai sejarah kepada keluarga kami yang telah diambil tanpa izin.


Berkaitan timbangan kati ini, aku tidak dapat mengagak usianya kerana aku tidak mempunyai pedoman dan fakta untuk menceritakannya.Namun aku pasti dacing ini juga telah berusia belasan atau puluhan tahun.Khidmat dacing ini berakhir setelah alat timbangan baharu menggunakan kiraan kilo diperkenalkan.Maka timbangan ini hanya tersimpan lama di atas almari.

~ MANGKUK NASI




Mangkuk nasi kaca berwarna pink (merah jambu) ini kemungkinan berusia lebih dari 50 tahun, dan masih tersimpan di dalam almari di rumah pusaka ayah.Kemungkinan mangkuk nasi ini dibeli oleh ayah semasa kami pindah ke rumah lain di Kampung Cegar, Bidor (Kampung Baharu, Jalan Sungkai, Bidor, Perak) pada tahun 1960.Boleh jadi juga mangkuk ini sudah sedia ada sebelum aku lahir ke dunia lagi.Ayah berkahwin dengan ibu pada 1955, kakak sulungku lahir pada bulan Disember, 1956.

Masih aku ingat bahawa mangkuk ini telah digunakan juga semasa acara bercukur kami adik beradik semasa acara mencukur rambut, rambut kami di masukkan ke dalam mangkuk ini, sehinggalah kepada adik bongsu ku yang lahir pada tahun 1969.Jika mangkuk ini telah digunakan di acara cukur rambut kakak ku yang pertama maknanya mangkuk nasi kaca ini telah berusia dalam 58 tahun.

Walaupun sudah tidak digunakan lagi, keadaan mangkuk kaca ini masih elok tiada satu pun kesan retak seribu pada keseluruhan bahagiannya.Meskipun sudah berhabuk dan berdebu setelah aku bersihkan, maka masih tertera lagi tulisan jenama  ' ROSA ' dan satu logo yang aku tidak pasti samada itu adalah logo syarikat pengeluarnya atau pun lain.Dibawah logo tersebut ada tertulis England mungkin mangkuk ini dibuat di negara tersebut..


Mangkuk nasi ini kemungkinan tidak begitu tinggi nilai harganya, namun bagi kami sekeluarga mangkuk ini tetap ada nilai tersendiri.Mangkuk yang menjadi khazanah keluarga ku peninggalan Allahyarham ayahanda dan Allahyarmah bonda ku.Biarlah ia menjadi kenang-kenangan dan ingatan kami sekeluarga terhadap kedua ibu bapa kami yang sudah pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya.

 ~ PINGGAN LEPER BUNGA KANGKONG



Gambar ini adalah salah sekeping dari pinggan dan pinggan yang selalu dipanggil orang pinggan kangkong kerana terdapat gambar bunga kangkong tertera di pinggan atau piring tersebut.Aku tidak pasti negara pengeluar pinggan ini kerana puas ku belek-belek tiada tertera tulisan keluaran negara mana.Apa yang pasti pinggan dan piring leper ini telah dibeli oleh ibu ku pada tahun 1967, Maknanya pinggan dan piring leper ini telah berusia dalam lingkungan 45 tahun.

Aku masih lagi ingat kenangan tersebut kerana pada ketika itu aku berada dalam darjah 3, waktu itu aku bersekolah di sebelah petang.Waktu cuti penggal persekolahan aku selalu menemani ibu pergi menoreh.Kadangkala pada masa persekolahan pun aku turut menemani ibu ke kampung dan menghabiskan masa pagi di rumah opah yang berhampiran dengan kebun tempat ibu menoreh getah sebelum pergi ke sekolah bersama kawan-kawan atau dihantar oleh ibu saudara pada waktu tengahari.

Setiap kali ibu menjual getah, ibu akan membeli sedozen pinggan atau piring tersebut sebagai simpanan untuk kegunaan kenduri kendara.Disamping itu juga ibu membeli kuali, kawah dan periuk besar untuk kegunaan sendiri semasa kenduri atau menyewa atau meminjamkan barangan tersebut kepada jiran tetangga yang mengadakan majlis kenduri perkahwinan atau kenduri lain.Masa itu orang kampungku bukan semuanya mempunyai barang-barang tersebut.

Penggunaan pinggan dan piring kangkung berakhir apabila orang sudah mula menggunakan pinggan mangkuk jenama pyrex dan arcopal yang jernih.Ibu pun bertukar membeli pinggan mangkuk jenama tersebut dan menghimpunnya dari hasil jualan getah.Akhirnya kenduri perkahwinan adik beradik ku tidak payah lagi menyewa alatan dapur dan pinggan mangkuk dari surau atau masjid.


Semoga pinggan ini menjadi kenangan ku pada ibu atas kegigihannya mengumpul pinggan mangkuk dan periuk belanga untuk kemudahan kami sekeluarga dan penduduk kampung.Jika aku balik ke rumah pusaka peninggalan ayah ibu, aku tetap mencari khazanah lama ayah ibu untuk ku lihat sebagai kenangan dan ingatan ku pada mereka berdua.Selain itu aku juga mengimbau kenangan lama ku pada masa-masa lalu.

~ IBU BATU GILING KEHILANGAN ANAKNYA




Gambar yang tertera di atas adalah ibu batu giling yang kini hanya berada di sudut sepi diluar rumah pusaka kerana sudah tidak digunakan lagi untuk mengisar cili, rempah ratus ataupun bijirin seperti beras atau pulut untuk dibuat kuih dan sebagainya.

Batu giling ini telah wujud rasanya pada tahun 1960 sewaktu ayah, ibu, aku, kakak dan seorang dari adik lelakiku yang baru lahir berpindah ke Kampung Cegar, Bidor (nama lama kampung ini ialah : Kampong Padang/ Kg Baharu Jalan Sungkai, Bidor, Perak) dari Kampung tempat kelahiran ku di Kampung Jalan Paku, Bidor.

Perkhidmatan batu giling ditamatkan pada tahun 1970an setelah adanya mesin pengisar letrik dan mesin mixer.Kini usia ibu batu giling ini lebih kurang 52 tahun.Malangnya anak batu giling ini sudah tiada kerana dibuang ke dalam simen dan batu di dasar tapak rumah pusaka ayah ku kini sebagai konkrit.


Begitulah nasibnya ibu batu giling ini ditinggalkan sepi di penjuru dapur, malang pula sudah kehilangan anaknya.Sedih juga hati ini melihat nasib batu giling yang sudah kehilangan baktinya.Jika dahulu batu giling inilah yang digunakan ibu untuk menggiling cili kering untuk membuat sambal tumis ikan bilis makanan kami sekeluarga.
 ~ LESONG DAN ANTAN



Aku pulang ke rumah pusaka sambil meninjau kawasan luar dan dalam rumah dan aku tak lupa ke bangunan setor yang hampir tersembam ke tanah .Ketika aku di setor simpanan barangan lusuh ayah ku yang turut dipecahkan orang aku dapati masih ada lesong kayu dan antan yang dibuat oleh ayah untuk digunakan keluarga untuk menumbuk beras pulut, kacang dan gula untuk dibuat dodol dan putu kacang di musim sambutan hari raya untuk kegunaan sendiri atau jualan bagi menampung keperluan ayah dan ibu membeli pakaian anak-anak untuk menyambut hari raya.

Pernah pada satu musim sambutan raya disebabkan terlalu ramai yang mengupah dan yang memesan kuih putu kacang dan dodol, ayah terpaksa mengolah lesong ini sebagai lesong kaki.Kami sekeluarga sama-sama bergotong royong menyiapkan segala tempahan tersebut mengikut jangka masa yang ditetapkan oleh pelanggan.Adakalanya kami anak beranak terpaksa melakukan kerja ini dari subuh hingga ke tengah malam termasuklah kerja menekan putu dan mengacau dodol.Pernah kami mengacau dodol 3 kali pusingan dalam satu hari.

Selepas era kemajuan, lesong ini ditinggalkan hanya digunakan untuk tugasan kecil-kecilan.Keluarga kami hanya pergi ke kilang pengisar tepung untuk menghancurkan beras, pulut, gula atau kacang dengan lebih cepat dan mudah.Setelah ibu dan ayah sudah tidak mengambil upah lagi, tugasan ini diambilalih oleh adik perempuan ku dan suaminya.Merekalah yang menyambung warisan ini serta menambah beberapa tempahan lain seperti lemang, bahulu, kuih bakar dan lain-lain sehinggalah sekarang sebagai rezeki tambahan di musim perayaan.

Kini lesong ini terbiar sahaja di dalam setor yang hampir roboh.Seperti setor yang telah dirosakkan anai-anai, lesong ini juga turut menjadi mangsa kepasa anai-anai tersebut.Lesong ini dibuat sendiri oleh Allahyarham ayah.Usia sebenarnya lesong diperbuat dari kayu nangka ini tidaklah dapat aku agak, tapi memang sudah lama mungkin dalam puluhan tahun juga.Begitu juga dengan usia kedua-dua batang antan dari kayu leban (halban) tersebut tidak dapat dipastikan juga kerana tiada fakta dan cerita lanjut dari kedua ayah dan ibuku semasa mereka masih hidup.




Ahad, 3 Jun 2012

SAMPING SERTA KAIN MAJLIS PERKAHWINAN AYAH DAN IBU KU



Gambar ini amat bererti padaku walaupun hanya sampin bercorak lama warna biru dan ungu berbenang emas berjalur mengikut galuran bentuk pelikat ini telah dipakai oleh Allahyarham ayah ku semasa majlis perkahwinan ayah dan ibu pada tahun 1955.Semasa aku masih kecil dalam darjah satu tahun 1965 hinggalah ke darjah enam (1970), sampin ayah selalu ku pakai  semasa menyambut hari raya Aidil Fitri ataupun pada hari raya Aidil Adha untuk ke masjid.

Kain berwarna merah bercorak bintik-bintik berjalin sulaman benang emas adalah kain yang dipakai oleh ibu pada majlis perkahwinan mereka.Kemungkinan kain ini adalah kain bercorak Batu Bara pakaian wanita dari Kepulauan Sumatera dan selalu dipakai oleh wanita Melayu pada masa itu di Majlis-majlis keramaian, Hari Raya dan Majlis Perkahwinan.Lagipun keluarga ibu adalah berketurunan Rao dimana ayah ibu adalah berasal dari Sumatera.

Walaupun opah ku lahir di Tanah Melayu pada tahun 1925 namun kedua orang tuanya berasal dari Sumatera juga berketurunan Rao.Mereka telah tinggal di sebuah kampung di Kampung Jalan Paku Bidor, dimana ayah dan ibu berkahwin di kampung tersebut.Urusan pertunangan dan perkahwian ayah diuruskan oleh bapa angkat ayah yang telah lama tinggal di Bidor berasal dari negeri Kedah.

Ayah juga berasal dari negeri jelapang padi itu dan merantau ke Bidor kerana bertugas sebagai Polis Khas (SC).
Bapa angkat ayah juga berkerja sebagai SC juga pada masa itu.Perkahwinan ayah dan ibu bukanlah perkahwinan pertama bagi ayah, kerana sebelum itu ayah pernah berkahwin di Kedah sebelum ayah menyertai SC lagi dan jodoh ayah tidak panjang kerana berpisah.

Berbalik pada kisah kain sampin dan kain Allahyarham serta Allahyarhamah ayah ibu, masih lagi tersimpan kemas dan elok walaupun telah sedikit reput berlubang-lubang 'makan diri' kemungkinan kerana telah begitu lama melebihi dari separuh abad.Itupun aku selalu menggosok dan menyimpannya dalam keadaan baik.Jika tidak dijaga dan diawasi kemungkin kain itu sudah lama reput dan rosak.

Semasa aku kecil dahulu aku masih lagi teringat barangan lain yang telah digunakan oleh ayah dan ibu dimajlis perkahwinan mereka seperti kepala bantal tidor, kepala bantal peluk,  kipas dan penyelak kelambu dari kain baldu merah bertekat bunga dari benang emas, namun semuanya tidak sempat diselamatkan kerana pada masa itu kami sekeluarga tidak tahu menilai betapa perlunya barangan tersebut disimpan untuk kenang-kenangan.

Semoga sampin dan kain Allahyarham serta Allahyarhamah ayah ibu akan menjadi ukiran dan peninggalan pusaka yang amat bernilai bukan kerana harganya tetapai begitu bernilai ertinya untuk ku, adik beradik, anak-anak, jika boleh biarlah dapat dilihat oleh cucu cicit kami nanti.Biarlah sampin dan kain itu menjadi lambang ingatan kesetiaan dan kasih sayang ayah dan ibu untuk renungan, ingatan dan kenangan kami sekeluarga.

Sabtu, 2 Jun 2012

SEMANGAT PENDEKAR AYAM BERLAGA




Janganlah berkokok berdegar-degar seandainya kau wahai panglima terbilang jika ingin menunjuk kegagahan dan kekuatan.Jika ingin membuktikan kehebatan kejantanan maka beradulah kejaguhan tenaga bersama pendekar yang setanding tenaga mu, kalau tangan kosong biarlah bersama kosong, andai bersenjata biarlah sama bersenjata.Kalau berpencak biarlah di gelanggang yang sama rata.

Seandainya kekuatan mu bersenjata lengkap janganlah cuba beradu tenaga dengan pendekar yang baru saja tumbuh kuku, kaki dipasung kepak pula dikilas, hanya panglima sahaja yang bebas bergerak langkah, melompat, meragas, mencakar dan mampu melakukan apa sahaja, sedangkan pendekar yang terpasung hanya mampu menepis pukulan dan mematuk pada kemampuan daya yang terhad.

Walaupun bertahan namun pasti juga membawa luka parah tanpa dapat menguji kekuatan sebenarnya.Namun kerana semangat juang yang tinggi, setempang langkah kekudanya pun masih mampu mengelak serangan bertubi kali.Cedera dan luka parah adalah mainan pendekar, jatuh dan rebah selagi belum tersungkur kaku adalah biasa namun pantang sekali berundur langkah mengaku kecundang.

Biarlah asakan serangan bertubi tanpa reda yang diterima amat berat ditanggung, namun selagi darah merah masih mengalir di saluran urat dan nadi, selagi nyawa belum berhenti,  paruh masih mampu berkokok, semangat masih kental berani apalah yang hendak ditakutkan terus sahaja melangkah meneruskan perjuangan tanpa henti , semoga suatu hari segala usaha berjuang membuahkan kejayaan.

Rabu, 30 Mei 2012

SEBATANG TITIAN MENUJU HASRAT




Jika ada sesuatu hasrat yang memerlukan kehadiran kita, janganlah kita terus sahaja redah tanpa berfikir panjang akan tujuan sebenarnya hajat seseorang terhadap diri kita, pastikan tujuan dan sebabnya.Sesuatu yang berkehendakkan kehadiran kita adakah kerana sesuatu yang ikhlas atau sebaliknya.Apakah persediaan yang telah disediakan atau apakah kemudahan yang bakal kita perolehi.Mungkinkah memberi faedah atau sebaliknya.

Seandainya semata-mata untuk mempergunakan diri kita untuk mengiyakan perbuatan tidak ikhlas dan sesuatu perbuatan tidak baik perlukah kita sertai.Umpamakanlah kita dikehendaki membantu seseorang yang kita sedia maklum yang mempunyai agenda dan muslihat  jahat atau khianat terhadap kita, adakah harus kita turuti walaupun telah disediakan pelbagai habuan tertentu demi memenuhi hasrat jahatnya itu.

Janganlah terpedaya pada perkara yang belum pasti, usahlah terlalu bersetuju dengan sebarang kata yang lunak dan manis menggula-gula akal fikiran sedangkan belum tentu kebaikan yang akan diterima atas kebodohan diri dengan pelbagai pujukan kata-kata yang belum pasti.Nilailah, timbanglah sedalam-dalamnya supaya tidak mudah terpedaya.Jika tidak berfikir panjang, dibimbangi akan memudaratkan diri sendiri.

Selalunya janji manis bermadu dan bergula itu ada niat pahit serta curang disebaliknya.Belum tentu apa yang digula-gulakan itu menjadi manis untuk hari-hari berikutnya.Entahkan bila hari berganti hari, segala janji bergula itu bertukar rasa menjadi masam seperti cuka serta pahit bak hempedu pada hari-hari berikutnya pula.Hati-hati dan berwaspadalah sebelum terjerat dan terjerut pada sebuah janji bergula racun berbisa serta bermadu tuba..

Ingatlah seandainya kita hendak menyeberang sebatang titi yang usang kerana sudah tiada laluan lain, tempuhilah titi itu dengan berhati-hati.Pastikan jika lantai dan gelegarnya tidak reput, tiangnya biarlah tegak, teguh dan kuat, barulah keselamatan diri lebih terjamin.Jika merempuh titian yang sudah berlantai reput, gelegar rapuh, tiang senget tak kukuh, perlukah kita lalui juga.Jangan menyiksa dan menyusahkan diri kerananya.

Jika teruskan melangkah tanpa waspada, dibimbangi kaki terjelus, atau tergelincir terus ke sungai lalu dibawa arus.Seandainya semua titian itu runtuh, bayangkanlah mara bahaya yang bakal dihadapi.Kalau dapat berpaut pada sesuatu mungkin terhindar dari hanyut, jika tiada tempat untuk berpegang, hanyutlah diri, mungkin akan terus tenggelam ke dasar sungai atau di lubuk dalam.Maka berpusaralah jasad tanpa berbatu nisan.

PEDOMAN MENCARI HALUAN

Haluan tanpa pedoman akan tersesat dipenghujung sekali, hidup tanpa panduan amat menyesatkan tanpa mengetahui jalan kembali.Berhati-hati dan berwaspada melalui jalan yang terbentang luas, ikut aturan dan pedoman serta syariat Allah. Insyaallah kita tidak kesesatan jalan walau dimanapun diri kita berada.

Ikuti jalan yang mana difikirkan sesuai untuk kita, jemaah kita dan agama kita, jangan kita ikuti jalan yang bersimpang seribu, biar lurus dan tepat akan tujuannya, jadikanlah syariat yang ditentukan Allah sebagai satu pedoman agar kita tak tersesat lebih jauh, sampai tidak tahu mencari jalan pulang.

Sebelum kita ajak orang mengikuti jejak kita pastikan diri sendiri sudah sedia berilmu tinggi, cukup sempurna dari segala kecelaan, Jadikan Al-Qur'an, Hadith dan Sunnah Rasulullah sebagai sebaik-baik pedoman dan panduan supaya memudahkan kita mengenali selok belok jalan dan laluan kehidupan.

Biarlah diri diri kita tidak sesat dan orang lain yang mengikuti langkah kita itu juga tidak turut sesat mengikuti arah kita.Bukan mudah untuk membawa diri kita dan orang lain mengikuti jalan yang dijamin Allah kerana terlalu banyak dugaan dan ujiannya.Hanya orang yang beriman dan sabar sahaja selalu mencapai kejayaan dan keredhaan Allah.

Biarlah diri kita dipandang serong asalkan jalan yang kita jejaki membawa kebaikan untuk kita. keluarga serta masyarakat.Jika jalan bengkok yang kita ikuti berbelok dan berbelit-belit tapi tetap dikatakan lurus itu adalah menyiksakan diri dan orang lain.Jangan mengatakan kita sudah berjaya dan bersikap takkabur kerana usaha kita belum tentu diterima Allah

Bagi orang yang selemah kita maka elok sangat kita bermuhasabbah, membetulkan segala kesilapan dan kekurangan, mudah-mudahan mendapat petunjuk dari Allah Tuhan sekelian alam.Marilah kita berdoa memohon kepada Allah semoga menjaga dan memelihara diri kita dari kesesatan hidup di dunia yang terlalu banyak nikmat palsu.


Biarlah kita bersikap adil kepada diri sendiri, keluarga serta masyarakat agar roh fatihah sentiasa tersemat dalam hati, biarlah orang memandang kita jelik di mata mereka, asalkan Allah tidak jelik memandang kita.Alhamdulilah, biar ilmu yang sedikit demi sedikit asalkan berterusan lebih baik dari ilmu yang dikutip secara pukal tetapi tidak diamalkan...

Ahad, 27 Mei 2012

MENDUNG DI SINAR TERANG




Manalah penawar duka hati yang kian hidup melara, tiada berkawan dan berteman yang sudi memandang lagi kerana mungkin sudah jemu atau timbul benci rasa di hati.Puas ternanti, tertunggu-tunggu setiap hari dan waktu, namun orang yang ditunggu tidak jua mucul, tidak juga menjelma barang seketika dan tidak pernah kunjung tiba.Setelah berlalu sekian lama maka timbullah jemu di hati ini dan hilang mu tidak perlu ku cari, hadir mu tidak pula akan ku nanti.

Adakah diri ini sudah kau lupakan, mungkin juga diri ini sudah terus hilang dari ingatan.Aku sedar bahawa  diri ini sudah tidak kau perlukan lagi setelah dirimu memperolehi kebahagian dan kesenangan, tidak seperti waktu dahulu yang dihimpit kesusahan dan kecelaruan.Tangis mu adalah senjata yang sentiasa melembut hati ini untuk terlalu bersimpati terhadapmu.Akhirnya aku tertewas dan kecundang jua terjerat dengan permainan nakal mu.

Selepas kau memperolehi segala yang kau hajati yang memenuhi kehendak dan keinginanmu sanggup kau biarkan aku terkapai-kapai sendirian.dan setelah derita dan kepayahan mu telah hilang dan berlalu, maka kau sanggup menyingkir dan meminggir diriku.Mengapa sanggup kau lakukan begini terhadap diri ku yang telah banyak berkorban untuk kebahagian mu.Sedikitpun kau tidak rasa bersalah dan menyesal, keras sungguh hatimu.

Bukanlah tujuan ku untuk mengungkit atau membangkitkan kisah-kisah silam mu, namun aku tidak dapat menutupi resah dan gelisah hati ku yang sentiasa bergelodak mengetuk jiwa dan perasaan ku sehari-hari.Tidak sanggup lagi rasanya hidup ku ini beberapa kali kau permainkan dan tidak sanggup lagi aku beberapa kali tertipu  dan hatiku kini sentiasa  berbara kerana sudah rasa begitu tercabar atas perbuatan jijikmu. 

Ingatlah langit tidak selalu terang, adakala ada mendung dan hujan, ada tikanya ribut, taufan, guruh dan petir akan menjelma juga.Apa yang ku harapkan agar diri mu akan terus disinari mentari agar tiada lagi kegelapan yang menyelubungi hidupmu, supaya selepas ini tidak kau mencari aku lagi sekiranya kau berada dalam gelita semula.Biarlah diri ini terus lenyap hilang dari kamus hidupmu.Akan ku jadikan sebahagian babak mimpi ngeri dan malang dalam hidup ku ini.

Walaupun kau telah menghilang dari pandangan mataku, namun sesekali aku tetap juga terkenang, namun kerana perbuatan mu yang tidak mengenal hati budi membuat kekadang aku terlalu benci padamu.Biarlah diri ku kau lupa, biarlah diri ini dihina, dimaki dan dicerca, biarkan sahaja aku  membawa diri dan hati yang hampa menerus kehidupan ku.Pengalaman telah mengajar diri ku agar lebih tabah dan sabar menghadapi sebarang dugaan, cabaran, cubaan dan rintangan.

APALAH DAYA ANDAINYA TAK SUDI

Kekadang kita terkenang rakan, kawan dan sahabat fb, mesra intim, malah sentiasa sahaja ada komen dan bicara, kita pun rasa seperti orang dilamun cinta, tanpa buka fb sehari bagaikan ketagihan candu lagaknya, komen berbalas mesra, bila sudah berterusan agak lama mungkin ada kata-kata menyinggong hati dan perasaan hinggakan mereka padam nama kita sebagai sahabatnya.

Ada yang meninggalkan diri kita begitu sahaja tanpa disedari, tiba-tiba bila kita ingin berhubung nama mereka sudah hilang.Pergi tanpa kata sepatah dua, tanpa pesan, tanpa kita ketahui akan kesalahan, kesilapan dan dosa.Jika sebelum itu bergurau senda, mesra bicara kekadang laksana orang sedang mabuk bercinta memberi komen dalam bahasa berbunga mengalahkan bahasa pujangga.

Kata bicara begitu indah bagai memikat burung terbang hingga terjerat tetapi setelah sekian lama maka mungkin timbul perasaan benci dan jemu, hingga mereka sisihkan diri kita dari senarai kawan fb mereka.Kenapa mereka buat begitu tidaklah diketahui mungkin kata-kata  gurau dan senda disalah ertikan sedangkan maksud yang kita sampaikan adalah sejernih mata air dari pancuran.

Bukannya hendak memikat atau menyalahi hukum hakam agama tetapi sekadar ingin merapatkan tali persahabatan.Janganlah kata indah berbunga itu ada agenda menjerat sesiapa.Walaupun ada yang bersikap demikian tetapi bukanlah semuanya bersifat begitu, jika sudah tidak sudi berkatalah dengan jujur lalu mengundur diri cara terhormat, Bukannya dengan cara lari ikut belakang.

Begitulah nasib di usia meniti senja ini sering kali terkeliru bahasa orang muda, mungkin atas teguran atau sebutan gaya bahasa berbeda menyebabkan mereka tersalah erti dan merajuk terus membawa diri,mungkin juga mereka menyangka kita sudah nyanyok dan merapu dan tidak sesuai bersahabat lagi.,kerana diri kita tidak memberi keuntungan dan faedah, hanya membuang masa mereka sahaja.

Kemungkinan kerana kurang memahami IT ada yang terpedaya dengan paparan spam yang kita tidak tahu datangnya menggunakan nama kita tanpa kita sedari dan ketahui menyelinap ke dalam wall sahabat handai, tanpa dapat membezakan perkara itu adalah spam dari nyata tanpa meminta penjelasan, maka terus sahaja kita dituduh mengkhianati persahabatan sehingga mereka membuang nama kita dari bersahabat dengan mereka.

Pernah juga terjadi ada orang yang kita tidak kenali ingin berkenalan di fb, setelah kita luluskan  kerana kita bersangka baik orang hendak berkenalan, mula-mula memuji dan memberi ulasan komen yang baik, tetapi setelah sekian lama ada yang menghasut kita untuk memutuskan persahabatan dengan si polan si polan atas tuduhan sahabat kita itu terlibat dengan unsur-unsur tidak sihat, melakukan maksiat dan sebagainya.

Apa yang dikesalkan sahabat fb kita itu tidak bertanya terlebih dahulu samada berita ini benar atau sebaliknya, terus sahaja menyingkirkan kita dari fbnya, sepatutnya orang yang suka mengadu domba inilah yang sepatut kita singkirkan dari terus bersahabat.Begitulah halnya kerenah dan keadaannya sahabat-sahabat di fb ini, belum tentu dapat menerima kita sebagai seorang sahabat yang mesra di fb atau pun di alam nyata.

Namun ada kalanya sahabat fb tidak mahu berkawan dengan kita kerana pangkat dan darjat, maklumlah mereka orang yang ada nama, banyak wang dan berharta, mungkin diri kita yang miskin dan kurang berkemampuan ini tidak layak untuk mereka berkawan.Sebelum kita disingkirkan mereka berkenalan dengan sahabat-sahabat kita yang ada nama, yang akhirnya mereka begitu mesra, kita pula disingkirkan dari senarai sahabat fbnya.

Sebenarnya masih ada insan yang benar-benar jujur ingin bersahabat dan ada juga yang mengambil kesempatan dalam persahabatan.Mereka ini akan memilih sahabat kita dari golongan yang dianggap ada nama dalam bidang tertentu atas sebab ada kepentingan lain, maka diri kita dianggap sudah tidak perlu lagi bersahabat dengannya lalu disingkirkan.Kekadang kita yang memperkenalkan dia dengan sahabat-sahabat kita itu sebaliknya dia pula yang mengkhianati diri kita pula.

Adakah orang yang miskin dan hidup dalam serba kekurangan ini tidak layak berkawan dan bersahabat dengan mereka yang hidup senang, kaya, golongan ada nama atau kelompok keturunan tertentu.Adakah ada perbedaan kelas dan taraf kedudukan yang menjadi satu syarat dalam persahabatan.Sedangkan dalam etika persahabatan tidak pernah mengenal erti taraf kedudukan, pangkat, darjat, keturunan, kaya, berharta dan miskin.

Walaubagaimanapun kita perlu bersangka baik mengapa mereka menghindari kita, kemungkinan kerana menghormati kita kerana usia yang tidak sepatutnya dibuat gurauan senda ataupun mereka mahu mengelakkan diri kita yang sudah berusia ini dari dipersenda dan dipermainkan.Maklumlah orang muda mestinya hebat dan tidak sesuai berkawan dengan orang yang berusia meniti senja ini.Begitulah adanya.....


Ahad, 20 Mei 2012

JERAT PERCINTAAN



Aduhai syahdunya ungkapan, 'sedalam-dalam lautan biru, lebih dalam cinta daku' , terlalu lembut bahasa menusuk telinga bagai dibuai bayu lembut dingin memujuk jiwa.Namun pastikah pujukan itu berpanjangan sehingga keakhir hayat.Bukanlah kata-kata manis bagai menanam tebu di tepi bibir sahaja.

Beruntunglah sesiapa yang memperolehinya.Jika hanya sekerat jalan diri bagai terpukul dihempas badai gelora, hati umpama ditusuk duri yang bisa.Berhati-hatilah sebelum menyelami kata semanis madu adakalanya hanyalah umpan menuba jiwa.Apa hendak dikata jika hati telah dijerat percintaan.

Ungkapan lunak selanjutnya yang sentiasa diluahkan semasa dalam percintaan, ' kasih kekanda atau adinda tidak pernah kurang, tidak sedikit pada yang lain, jika kau hilang tiadalah ganti ', amboi-amboi hebat sungguh bahasanya tersusun manis bibir meluah bicara syahdu menggoncang kalbu.

Bicara berikutnya tika memadu janji bersumpah setia ketika dilamun asmara alam percintaan, ' lautan api sanggup ku renangi dan seberangi, jurang yang dalam rela ku redahi', betapa hebat kata-kata semasa berada di alam cinta mesra.Dunia terasa kecil hanya setara telapak tangan, begitu keadaannya.

Sering juga kata-kata bersulam madu hiasan bibir tika bicara jika hati sudah menyinta, tika tidak mengenal antara botol kicap atau pun cuka, ' hilang dimata di hati jangan, biarlah jauh dari pandangan di dalam hati siang dan malam jadi pujaan, biarlah jauh beribu batu namun dalam hatiku engkau yang satu .'

Ewah, ewah, merdunya lontaran kiasan.Bertuahnya badan seandainya sebutan menjadi kenyataan.Semoga bahagialah bersama selagi hayat dikandung badan.Namun seandainya terjadi cinta musnah, maka meranalah badan, jiwa tersiksa dan fikiran menjadi sasau.Mahu saja diri dihumban kedalam api membakar diri.

Jika terlalu siksa menanggung derita rela diri tercampak ke jurang dalam, biarlah berkecai tulang dan lerai nyawa dibadan.Begitulah hampa jadinya, madu manis bertukar sepahit hempedu, segala keindahan dipandang buruk dan jijik.Kecewa bagai tiada kesudahan.Begitulah jika telah hilang kesabaran dan ketiadaan pegangan iman pelapik fikiran.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...