Selasa, 30 November 2010

AMARAN MEROKOK MEMBAHAYAKAN KESIHATAN ~ KATAKAN TAK NAK


Aku telah merokok begitu lama sejak zaman persekolahan menengah lagi, kini aku adalah salah seorang penagih rokok yang tegar.Aku menyedari tabiat buruk ini tidak membawa sebarang faedah kepada diriku tetapi mengapa aku masih memerlukannya seawalnya pada sebelah pagi setelah terbangun dari tidur, dengan hanya meminum segelas air masak terus sahaja aku merokok untuk dapatkan sesuatu kepuasan.Tabiat buruk inilah yang merunsingkan hidupku.


Telah beberapa kali aku cuba untuk berhenti dan menjauhkan diri dari ketagihan ini..Aku selalu mengikut nasihat dari kawan-kawan yang telah berhenti menghisap rokok tetapi kegagalan masih lagi dipihak ku.Hati ku tidak begitu kuat dan tabah untuK berhenti.Aku pernah berhenti merokok pada bulan puasa tetapi hanya bertahan selama 6 hari sahaja, selepas itu aku menghisap semula rokok dengan lebih banyak lagi.Aku tahu betapa rokok ini memang mengandungi bahan-bahan yang beracun serta boleh menyebabkan penyakit, namun mengapa ketagihanku berterusan, aku pun tak tahu bagaimana harus aku lakukan untuk berhenti dari merokok.




Dalam sehari aku menghisap rokok sekurang-kurangnya 20 batang dan adakalanya aku menghisap rokok lebih dari itu, mengikut keadaan.Pernah juga aku diserang batuk berpanjangan, namun aku hanya dapat mengurangkan bilangan batang rokok sahaja, namun tabiat merokok aku lakukan juga.Puas kerajaan membuat iklan supaya rakyat berhenti merokok aku adalah salah seorang yang menyetujui kempen tersebut tetapi gagal untuk menyahutnya.Apa akan terjadi pada ku, mungkin paru-paru ku telah hitam seperti kerak-kerak tar jalanraya yang baru dibaiki atau jalanraya yang baru dibina.


 

Oh mengapa aku jadi begini, aku telah ketagihan merokok lebih dari 30 tahun berterusan, dimana aku memulakan tabiat buruk ini semenjak aku berada dalam tingkatan 2, bukan kerana aku terpengaruh dengan ajakan kawan-kawan tetapi kerana aku sendiri yang mencubanya.Mula-mula kononnya ingin menampakkan kejantanan walaupun diusia remaja, akhirnya aku ketagihan rokok.Boleh dikatakan duit belanja sekolah dan biasiswa ku banyak habis kerana membeli rokok.Walaupun aku seorang perokok dan memulakannya dari alam persekolahan menengah namun dihatiku tetap membenci melihat pelajar-pelajar menghisap rokok, kerana aku kasihankan mereka kerana mengikut jejak langkah ku yang menyesal berpanjangan tetapi tidak berdaya untuk berhenti dari melakukan kerja yang sia-sia ini.

 

Entah bila hajatku untuk berhenti dari merokok ini akan tercapai, hingga bila pula aku boleh melupakan rokok ini dari ingatan dan sejauh mana aku dapat menghilangkan ketagihan ini, aku pun tak tahu kerana daya tahan ku terhadap keinginan tidak merokok amat nipis laksana kulit bawang.Walaupun aku pernah cuba menggunakan pelbagai cara seperti menggunakan penapis tambahan pada puting rokok tetapi akhirnya aku gagal hingga aku membuangnya dari simpanan aku.Aku juga telah mencuba dengan memakan gula-gula seperti dinasihatkan kawan tetapi akhirnya gula-gula habis, rokok pun habis juga ku hisap.


Oleh itu aku berharap sangat-sangat agar anak-anak muda dan pelajar-pelajar sekolah tidak memulakan tabiat buruk ini, sedarilah bahawa merokok bukanlah lambang kemegahan seperti yang diiklankan pada masa dahulu tetapi membawa padah kepada kesihatan dan merugikan wang sahaja.Biarlah aku seorang yang terlajak tetapi aku tidak mahu anak-anak muda dan pelajar memulakan langkah yang bodoh ini.







Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...