Isnin, 29 November 2010

KISAH ~ PETANI,TIKUS, AYAM, ITIK DAN KAMBING...


Sepasang suami isteri  tinggal dipinggiran kampung, mereka ada mempunyai 2 oarng anak perempuan dan 2 orang anak lelaki yang kesemuanya sudah berumahtangga dan mempunyai beberapa orang anak.Mereka bekerja dan tinggal di bandar.Kedua orang tua ini adalah petani yang mempunyai sepasang ayam, sepasang itik dan seekor kambing jantan.Reban dan kandang disediakan berdekatan diantara satu dengan lain.


Pada sebelah pagi isteri petani selalu memberi makan binatang peliharaannya itu dan  melepaskan mereka berkeliaran disekeliling rumah, maka setiap pagi bunyi ayam berkokok dan berketak, bunyi itik bagaikan ketawa berdekah-dekah serta, seekor kambing jantannya mengembek membuat suasana pagi dirumah sepasang suami isteri itu riuh rendah.Itulah sahaja penghibur hati mereka.Petani tersebut disebelah pagi sibuk menguruskan sawahnya yang tidak berapa luas itu.Pada sebelah petang petani ini akan memasukkan semula binatang ternakan ini ke reban ataupun kandang.

Pada satu pagi  isteri petani ternampak seekor tikus berhampiraan kawasan reban ayamnya, tikus tersebut mencuri makanan ayam dan itiknya.Kelihatan juga guni-guni bekas menyimpan barangan makanan ayam itiknya telah ditebuk oleh tikus ini.Maka setelah melakukan kerja hariannya, dia pun pergi ke pekan lalu membeli perangkap tikus jenis 'kepit mati' yang bermata tajam.Pada petang itu juga beliau sendiri yang memasukkan ayam itik ke reban dan kambing kekandang.Lalu memasang perangkap tikus tersebut disuatu sudut dimana ada laluan tikus disitu.


Pada keesokan harinya  petani ke reban dan kekandang untuk melakukan tugas harian isterinya kerana isterinya ke pasar untuk membeli makanan.Tanpa disangka-sangka kaki petani itu terpijak perangkap tikus yang dipasang oleh isterinya semalam.Isteri petani itu terlupa untuk memberitahu suaminya berkaitan hal tersebut.Maka tercederalah kaki suaminya dan darah banyak yang keluar.Apabila isterinya pulang dari pasar, alangkah terkejutnya dia melihat kaki suaminya berdarah dan tercedera kerana perangkap tikus yang dipasang itu terkena kaki suaminya dan bukan terkena pada tikus yang hendak dimusnahkannya itu.

HOSPITAL

Siisteri meminta pertolongan jirannya lalu membawa ke kelinik tetapi oleh kerana suaminya pengidap penyakit kencing manis maka diarahkan untuk dibawa ke hospital.Setelah ditahan di wad hospital isterinya pun memberitahu anak-anak supaya pulang menziarahi bapa mereka.Maka kembalilah anak-anaknya itu.Mereka akan pergi menziarahi bapa mereka disebelah tengahari dimana sebelum itu mereka terpaksa menyembelih ayam ibubapa mereka untuk dijadikan lauk untuk mereka dan bapa mereka nanti, maka lenyaplah riwayat sepasang ayam itu.


Itik merasa diri mereka selamat kerana ayam telah dijadikan lauk bukan mereka.Akan tetapi petani tersebut bertambah teruk dan keadaannya tenat, maka anak-anak serta menantu pulang untuk menziarahi bapa mereka pula, maka pada hari tersebut itik pula menjadi lauk kepada mereka, maka selesailah nyawa sepasang itik itu menjadi lauk hidangan hari tersebut.Kambing pula terasa dirinya terselamat.Dalam fikirannya takkanlah keluarga petani ini akan menjadikannya lauk kerana dagingnya yang banyak tentu tidak sesuai untuk dijadikan hidangan keluarga petani yang tidak berapa ramai itu.


Pada keesokan harinya petani itu meninggal dunia, maka ramailah orang yang berkunjung kerumah beliau untuk upacara pengkebumian.Saudara mara, adik beradik semuanya pulang.Setelah dikebumikan pada malam itu nanti akan dibuat kenduri kerana masih ramai keluarga dan saudaranya yang masih belum pulang, maka kambing menjerit-jerit kerana tidak mahu dijadikan korban untuk juadah pada malam itu.Apakan daya maka riwayat kambing pun berakhir juga.Setelah selesai acara kenduri itu masing-masing kembali kerumah.


Tikus merasa bangga kerana hanya ia yang selamat jika dibandingkan dengan binatang-binatang lain yang tinggal dirumah petani itu.Tikus bermaharaja lela kesana sini tanpa sesiapa yang mengambil tahu akan kehadirannya lagi.Tikus tidak sedar dirinya diperhatikan oleh balu petani tadi dengan perasaan marah dan dendam terhadap tikus itu, kerana tikuslah menyebabkan beliau menjadi balu.Isteri petani pun pergi ke pekan lalu membeli racun tikus, maka pada malam itu beliau membubuh racun tersebut berhampiran sarang tikus itu.

 


Pada malam itu  tikus terkejut kerana ia dihidangkan makanan yang istimewa oleh balu petani itu, tikus menyangkakan wanita tua itu sayang pula kepadanya kerana sudah tidak mempunyai binatang ternakan lagi.Tikus tersebut tidak membuang masa lalu melahap umpan beracun yang ditamu oleh wanita tua itu, maka mengelupurlah tikus tersebut hingga menerima ajalnya.



Wanita tua itu tidak mahu tinggal bersama-sama anaknya, maka hidupnya sentiasa berada didalam keadaan sunyi dan sepi kerana sudah tiada bunyi keriuhan binatang ternakannya.Akhirnya dia jatuh sakit dan dibawa oleh anak-anaknya ke bandar lalu dimasukkan kehospital dan disana jugalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Fikir-fikirkanlah apa maksudnya cerita dan pengajaran yang boleh diperolehi, dengan cerita tokwan sampaikan kali ini....


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...