Di sinilah aku memulakan alam persekolahanku pada tahun 1965, di Sekolah Kebangsaan Bidor, Perak, masih ingat guru ku yang mula-mula mengajar aku ialah Allahyarham cikgu Ghazali, guru besar ketika itu : Allahyarham Cikgu Basir.
Sekolah Kebangsaan Bidor terletak di persimpangan pekan hala ke Kampong Poh berdekatan dengan KFC dan sebahagiannya pula terletak di Jalan Btuseh Bidor berhampiran tokong cina ,Bidor, tetapi bangunan dikawasan sebelah KFC sekarang disebelah jambatan Sungai Bidor telah dilanggar oleh lori balak pada tahun 1965 dan mengakibatkan seorang pelajar cedera parah.
Bangunan ini dirobohkan dan bangunan Sekolah Kebangsaan Bidor yang terletak di Jalan Bruseh tetap beroperasi seperti biasa.Sekolah ini mengandungi tiga blok bangunan, 1 bangunan berbentuk blok rumah (gambar) diatas, 1 blok yang dibuat dengan konkrit, 1 blok lagi bangunan berbentuk panjang dari kayu dan papan.
Terdapat satu bangunan rumah kediaman guru besar.Guru Besar yang terakhir menduduki rumah tersebut adalah Allahyarham Cikgu Saisi bin Nordin pada tahun 1967 merupakan bapa kepada penyanyi dan pelakon Kazaruddin atau lebih dikenali dengan nama Kazar, dia pun pernah bersekolah disini dahulu.
Aku telah keluar dari sekolah ini pada 1970 untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah.Ramai dikalangan ibu saudara, bapa saudara, kakak, aku dan adik ku belajar di sekolah ini turun temurun. Ramai dikalangan murid yang mula-mula menimba ilmu disini menjadi orang yang terkenal dan berjaya.
Pada tahun 1980an bangunan sekolah ini telah dirobohkan dan tapak sekolah ini dibina satu blok kuarters guru.Sekolah kebangsaan Bidor dibina baru dengan kelengkapan yang cukup baik di jalan Sungkai berhampiran dengan Sekolah Rendah KebangsaanTun Sambanthan (T), Bidor dan Sekolah menengah Syeikh Abdul Ghani, Bidor.
~TERIMA KASIH KEPADA SEKOLAH INI DAN GURU-GURU YANG TELAH MENCURAH ILMU KEPADA KAMI~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan