Ahhh...pagi ini cerah, rumput, dedaunan dan pepohon kayu masih lembab kerana siraman air hujan semalam dan kunjungan embun pagi dan kini mula hilang ditelan mentari.Bunga-bunga mekar berkembang senyum menggamit sang rama-rama, lebah dan kumbang riang mencari madu.Bayu bertiup nipis lemah gemulai menerjah dan menyegarkan dedaunan hijau dan menggoyang rerantingan pohon.
Awan nipis berarak lalu dibawa angin berpecah kesana kemari di langit nan biru.Mentari bersinar terang melimpahkan cahaya menambahkan ceria dan membawa keriangan burung-burung yang berterbangan di udara dan berkicauan diserata ceruk rimbun dan tumbuhan, riuh bermain sambil mencari makanan.Sesekali memikat pasangan bercumbu rayu di dahanan pohon.Ayam itik riuh mencari makanan di halaman sesekali anak-anaknya berlari berebut makanan.
Kaum ibu mula menyidai pakaian yang dibasuh di ampaian, setelah siap lalu berkejar ke dapur untuk menyediakan sarapan untuk anak-anak dan suami sambil bergurau senda usik mengusik menambahkan resepi berkasih bersama keluarga tercinta.Kaum bapa ada yang sedang mencuci dan mengintai-intai injin kereta, ada juga yang sedang bersiap-siap untuk ke pasar membeli barang-barang dapur untuk dimasak isteri, ada yang mengais-ngais sampah-sampah di laman agar kelihatan bersih, terdapat juga yang masih membelik-belik muka akhbar, sesekali tersenyum sendiri, entah apa yang menggelikan hatinya.
Anak-anak mula keluar rumah, berlari-lari bermain bersama kawan-kawan menyambung permaianan yang tidak pernah selesai dari semalam dan hari-hari kelmarin.Suara jerit pekik, hingar bingar dan riuh rendah memecah kesunyian serta menambah ceria suasana hari.Sesekali terdengar tangisan anak-anak yang masih kecil di usik kawan.Suara bayi terdengar sayup kemungkin ingin dibelai manja ibu dirumah atau pun sedang lapar meminta susu.
Detik demi detik berlalu berlari lancar menuju rembang, petang, senja dan malam, entah apa akan terjadi diwaktu mendatang, entahkan cerah entahkan hujan belumlah pasti.Begitulah suasana hari ini dihari minggu, semoga hari ini adalah hari yang baik dari kelmarin dan hari esok pula diharapkan lebih baik dari hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan