Ahad, 28 Ogos 2011

SUASANA SEPI MENJELANG AIDILFITRI

suasana hari ini memang sunyi
Hari ini taman kediaman ku begitu sepi jika dibandingkan cuti sekolah di hujung minggu riuh rendah dengan suara anak-anak memecah keheningan pagi dengan bermain-main, berlari-lari, bergurau senda, berbasikal, menangis, ketawa dan bernyanyi riang.

Suasana pagi ini agak tenang dan tiada kedengaran suara anak-anak yang selalu bermain di hadapan rumah ku kerana  mengikut keluarga masing-masing balik ke kampung halaman untuk berhari raya bersama keluarga di kampung halaman sejak petang kelmarin lagi.

Termangu aku membuka mata dan telinga di bangku rehatku, sambil merenung di persiaran laluan di hadapan rumah sejak pagi untuk beberapa ketika, tiada orang yang lalu lalang seperti biasa hanya sesekali dilalui oleh mereka yang tinggal untuk berhari raya di sini.

Begitulah keadaannya insan yang tinggal di taman sudah tentu akan pulang ke kampung berhari raya bersama keluarga tercinta.Suasana berhari raya di kampung sudah tentu meriah dan menggamit hati perantuan untuk pulang.
Ibubapa, datuk nenek ternanti-nanti kepulangan anak cucu dari jauh.

Bagi ku tiada tempat hendak pulang untuk menyambut hari raya ini sedangkan kampung ku tidak jauh dari kediaman hanya beberapa kilometer sahaja.Jika aku pulang pun ke kampung siapa yang ada di rumah pusaka yang di tinggalkan sunyi sepi sejak pemergian Allahyarham ayah dan Allahyarhamah ibu.

Suka atau tidak aku terpaksa juga menetap di rumah kediaman ku di taman ini dan sesekali menjenguk rumah pusaka di kampung sekiranya ada adik beradik yang pulang untuk berhari raya di situ.Sebagai anak kampung aku tetap juga memijakkan kaki di sana, manalah tahu dapat berjumpa dengan sahabat handai yang balik dari rantauan.

Walaupun suasana sepi di pagi ini namun terpaksalah ku telan dengan perasaan hati hiba dan sayu.Masih terdengar suara anak-anak mengucapkan selamat hari raya dan terpandang-pandang wajah mereka melambai tangan  ketika kereta yang dipandu ibubapa bergerak perlahan meninggalkan aku di ruang rehat rumah kediaman ku.

Ada yang berbisik dan berbahasa isyarat, ada yang menjerit, ada yang turun sebentar dari kereta datang kepadaku sambil memesan untuk menyimpan wang raya untuk mereka.Ibubapa mereka juga tersenyum memahami hajat anaknya itu.Begitulah telatah anak-anak kecil yang tidak pernah mengerti makna kesepian ku yang bakal mereka tinggalkan.



Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...