Selasa, 20 September 2011

PERNIKAHAN DI SEBERANG


Langkah Majlis Agama Islam atau Jabatan Agama Islam di setiap negeri mengadakan kursus perkahwinan, ujian HIV/Aids untuk bakal pengantin dan syarat-syarat tertentu untuk mereka yang ingin berpoligami sangat dialu-alukan untuk mendidik, menjaga dan mengawal masalah berbangkit di kemudian hari.Agar perkahwinan itu lebih sempurna dan membawa kebahagian.

Apa yang menghairankan ada yang mengambil jalan mudah untuk berkahwin di seberang kerana berbagai masalah seperti mereka yang keterlanjuran, pernikahan tanpa persetujuan keluarga, merahsiakan perkahwinan dari isteri pertama atau keluarga, malas untuk berkursus dan sukar memenuhi syarat-syarat yang dikenakan di tanahair serta ingin mendirikan rumahtangga dengan perbelanjaan murah.

Mereka terpaksa berbuat demikian untuk memenuhi dan meneruskan hajat dan hasrat mereka dari tidak gagal untuk berkahwin sehinggakan ada yang terjebak dalam sendiket perkahwinan yang akan memberi masalah untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut di sini kerana sijil perkahwinan palsu yang mereka perolehi tidak di perakui sah di tanah air.

Kegagalan ini akan mengakibatkan kesusahan untuk mendaftar kelahiran anak, masalah pendaftaran anak-anak memasuki alam persekolahan dan masalah lain seperti, perceraian,  menuntut nafkah, penjagaan anak-anak, pembahagian harta pusaka sekiranya berlaku perceraian atau kematian pasangan.

Walaubagaimanapun tidak semua pernikahan itu dilakukan secara sendiket, ada pernikahan yang di langsungkan oleh Majlis Agama Islam di negara seberang dan diperakui oleh Majlis dan Jabatan Agama Islam di negara ini setelah didaftarkan perkahwinan tersebut dengan sedikit bayaran denda yang dikenakan kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan di sana.

Oleh itu sekiranya berhasrat untuk berkahwin di seberang fikirlah semasak-masaknya dan apalah kiranya bernikah sahaja di negara sendiri.Pelbagai kemudahan telah di sediakan untuk pasangan yang ingin berkahwin dan segala urusan isu berbangkit selepas perkahwinan lebih mudah diselesaikan dengan teratur sekiranya timbul sebarang masalah.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...