Di penjuru kampung ada seorang tua yang di gelar orang dengan panggilan pak ngah.Beliau hanya bekerja kampung seperti menoreh getah, bekebun sayur, ternakan ayam itik, dan kambing.Di samping itu pak ngah ada menternak lebah madu dalam kotak khas yang dibuatnya sendiri dari hasil pembelajarannya dengan jabatan pertanian beberapa tahun yang lalu.Pak ngah menempatkan kotak-kotak lebah itu di bawah pokok belimbing kerana lebah tidak perlu terbang jauh mendapatkan madu bunga untuk dijadikan manisan.Sudah menjadi sifat pokok belimbing sentiasa berbunga di sepanjang tahun.
Pak ngah selalu mendapat bekalan madu dari hasil ternakan lebahnya dan pada hari-hari tertentu kedapatan orang-orang yang datang untuk membeli madu lebah dari pak ngah.Mereka merupakan pelanggan tetap pak ngah.Dapatlah pak ngah sedikit tambahan wang belanja menyara anak-anak dan isteri.Pada sebelah pagi jika hari tidak hujan pak ngah menoreh getah di sekeliling kawasan rumah, balik dari menoreh getah beliau memberi kambing-kambingnya makan.Tugas memberi makan ayam dan itik dilakukan oleh isteri pak ngah.
Pada waktu tengahari barulah pak ngah berhenti rehat untuk makan tengahari serta menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang Islam.Selepas waktu asar pak ngah akan memasukkan semula kambing-kambingnya ke kandang.Setelah itu barulah pak ngah menjengok-jengok rumah kotak lebahnya sebanyak 30 unit itu.Pada satu hari pak ngah terkejut apabila mendapati lebah-lebahnya termasuk beberapa ekor ratu lebah mati.Pak ngah menyiasat samada lebah itu mati terkena racun serangga atau isteri atau anak-anaknya membakar sampah berdekatan kawasan ternakan lebah itu.
Setelah diperhatikan pak ngah dapati tiada bukti sebarang perkara seperti sangkaan buruknya itu. Ada rumah lebah yang ditinggalkan oleh lebah-lebah seolah-olah lebah itu telah diganggu sesuatu.Selalunya lebah-lebah itu akan lari jika ada gangguan dari kanak-kanak atau pun diganggu semut.Namun apa yang pak ngah tinjau tiada semut bersarang di situ, mungkin kerana tiang rumah lebah itu telah terikat kain kain yang berlumur minyak.Susah juga hati pak ngah memikirkan hal tersebut, jika lebih banyak rumah lebah itu di tinggalkan oleh lebah tersebut.
Jika berterusan begini akan lebih banyak lagi rumah lebahnya akan kosong dan ini akan mengurangkan bekalan madu dan menjejaskan pendapatan tambahannya.Semalaman pak ngah tidak dapat melelapkan mata memikirkan masalah itu.Untuk mendapatkan permaisuri lebah bukanlah mudah.Pak ngah mengambil keputusan untuk tidak menoreh getah pada hari esok untuk menyiasat punca mengapa terjadi sedemikian.Pada keesokan harinya, pagi-pagi pak ngah ke kawasan ternakan lebah dan hanya duduk memerhatikan apa sebenar yang terjadi pada lebah-lebahnya itu.
Pak ngah terkejut mendapati beberapa ekor tebuan datang untuk mencuri manisan lebahnya, manalah lebah-lebah itu mampu bertahan dengan serangan gerombolan tebuan yang lebih berbisa.Marah benar hati pak ngah kerana tidak disangka tebuan mengkhinatinya untuk menambah rezeki.Pak ngah memerhatikan beberapa ekor tebuan yang terbang pulang ke sarang mungkin kerana sudah kenyang menikmati madu lebah-lebahnya.Tidak berputus asa pak ngah menuruti jejak tebuan itu terbang hinggalah pak ngah terlihat sarang tebuan itu berada.
Pak ngah bergegas pulang ke rumah dengan perasaan marah dan geram lalu beliau mengumpul daun-daun kelapa kering, minyak disel dan beberapa helai kain buruk lalu diletakkannya di hujung galah.Selepas waktu Isyak dengan berbekalkan lampu suluh dan barangan yang disediakan pak ngah yang berpakaian pelindung itu terus menuju ke tempat sarang tebuan lalu membakarnya.Dalam beberapa minit sahaja habislah sarang bersama tebuan yang tinggal di dalamnya hangus.Selepas hari itu pak ngah merasa lega kerana rumah-rumah lebahnya tidak lagi diganggu oleh sang tebuan durjana.
Sejak dari hari itu ternakan pak ngah tidak diganggu tebuan lagi, pak ngah mampu tersenyum kerana lebah-lebahnya membiak dan menghasilkan madu yang memberi keuntungan kepadanya.Pak ngah pun tak perlu menambah ubat-ubat tambahan untuk kesihatan dirinya.Walau pun pak ngah sudah meniti senja namun isterinya masih muda sejak dikahwini dua tahun yang lalu sejak kematian isteri pertamanya.Kini pak ngah tersengih kerana bakal menimang seorang lagi cahaya mata isteri pak ngah pula yang bimbang takut dimadu kerana khasiat madu lebah ternakan pak ngah ....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan