Sabtu, 18 Ogos 2012

RENUNGAN DI AIDILFITRI ~ SEJAUH MANA SELUANG MELAUT


Suatu masa dahulu menjelang hari raya, masa itu usia masih muda dan masih belum berkeluarga, ibu menangis kesedihan diceruk dapur kerana ada anak cucu yang tidak dapat pulang berhari raya bersama-sama di kampung, setelah cuba memujuk namun ibu masih sedih seharian di hari raya.

Ayah pula buat seperti biasa tetapi duduk di atas kerusi menghadap jalan masuk ke rumah, aku tahu ayah juga juga turut bersedih meskipun tanpa menunjukkan rasa kesedihannya.Kini setelah berkeluarga barulah aku mengerti bahawa betapa perlunya anak-anak hadir di sisi menjelang hari raya untuk bersama-sama meraikan hari tersebut.

Begitu besar maknanya anak-anak kepada kedua ibubapa di saat itu, tanpa kehadiran mereka amat menyedihkan hati dan perasaan.Oleh itu sesiapa yang masih mempunyai kedua ibubapa pulanglah berhari raya mengisi hari-hari kegembiraan ibubapa.

Pulanglah bertemu mereka walaupun hanya untuk seketika.
Mereka bukan mahukan wang ringgit tetapi adalah kerana kasih sayang.Mereka inginkan bahagia dan gembira bersama anak-anak terutamanya kepada ibubapa yang telah berusia meniti senja, mungkin kali ini adalah hari raya yang terakhir untuk mereka.

Mereka yang sudah tiada kedua ibubapa iringilah doa agar mereka damai di sana.Pada kesempatan hari mulia ini ziarahilah pusara mereka sebagai tanda ingatan dan kasih sayang dari seorang yang bergelar anak terhadap mereka yang terlalu banyak berkorban dan berjasa kepada diri kita.

Wahai anak-anak dan orang muda di perantauan kembalilah ke desa tercinta, ayahbonda, keluarga, sahabat dan desa menanti kepulangan mu di hari raya.Pulang berhari raya terlalu berbeda suasananya dari kepulangan mu pada hari-hari biasa.Jika tidak kenapa perantau hiba hatinya jika tidak dapat pulang berhari raya ?

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...