Ahad, 9 September 2012

BICARA DAN BUDI




Aku hanyalah insan kerdil, bukannya sebagai seorang jutawan dan hidup dalam kemewahan.Aku hanyalah hidup dalam keadaan sederhana serba kekurangan , berbelanja kecil secukup makan,tetapi aku kaya dengan pengalaman hidup dan kaya dengan sahabat handai, kawan, rakan dan taulan.Meski buruk kain dipakai namun ku tetap mengenal budi.

Aku insan yang suka berkawan, pada sesiapa sahaja yang sudi tetapi bukanlah semua kawan-kawan, rakan, taulan dan kenalan benar-benar ingin berkawan dengan ikhlas.
Disebabkan hidup umpama katak bawah tempurung, tinggal pula di ceruk kampung kekadang tidak siapa sudi memandang, dan kadang kala tiada siapa yang sudi berkawan.

Alahai sedangkan tidak bersuara lagi terpinggir inikan pula bersuara, alamatlah tersingkir.Ada tikanya ingin menabur budi, apalah yang termampu untuk disajikan, rupa buruk, berharta tidak mana cara hendak menabur budi, aduhai berapalah termampunya aku jika dibandingkan dengan insan yang berada, silap-silap budi yang ditabur hanya terkubur tanpa dipandang...

Namun ada juga yang baik hati ingin pula berbudi kepada kita, apalah salahnya kita sambut dengan hati terbuka, tapi seandainya budi yg ditabur itu bersirat seribu makna, adakah harus kita terima, bimbang kerana budi itu menyebabkan diri dan jasad kita pula jadi tertawan.Jangan ringgit kita terbeli budi.Kelak diri juga rasa terhina.

Walaubagaimanapun aku sentiasa dalam bersangka baik terhadap semua teman, rakan, kawan, kenalan dan sahabat.Semuanya amat berbudi bahasa dan amat berharga dalam hidup ku ini.Kalian semua merupakan orang terlalu istimewa.Siapalah diri ku ini tanpa sokongan sahabat semua.Kalau setelaga mencurah budi selaut kasih aku tadahkan.


MULUT DAN HATI PUN BERCANGGAH BICARA

Apa yang terluah dan terucap di bibir melambangkan kata-kata hasrat dan harapan hati, benarkah kata-kata ini ?, mungkin tidak semua begitu kerana kekadang mulut berbicara manis sedangkan di dalam hati menyanggah tidak bersetuju.Walaupun seanggota tubuh sendiri pun bercanggah inikan pula bicara kita untuk mentelah hatinya orang. 

Bukanlah laut, tasik atau sungai yang boleh sahaja diselami serta diduga kedalaman dan kederasan airnya.Sedangkan kita tidak dapat menyelami dan menduga betapa dalamnya hati manusia.Adakalanya ingin meluahkan hasrat hati dengan tulus ikhlas akan tetapi orang tidak dapat menerima pendapat dan kehendak kita.

Namun apa-apa pun yang penting kita berbicara, menegur dan memberi pendapat setakat dan sekadar yang termampu serta berhati-hati agar tiada hati yang terguris, tiada jiwa yang terluka. Kita tidak boleh mendesak atau memaksa orang untuk menerimanya.Manalah sama hati kita dengan hati orang lain, kehendak dan pandangan pun selalu tidak sehaluan dan berbeda..

Jika hati manusia semuanya sama rasa dan sekata amanlah dunia tidak ada erti dan makna perbalahan serta sudah tentu tiada penentangan.Kadang kala dan tikanya kita terpaksa berlakun di kulit dunia demi menjaga bicara, walaupun berlawanan dengan kehendak dan persetujuan dengan hati kita.Begitulah sukar dan payahnya menjaga sekeping hati manusia.


Maklumlah bila sudah berusia kurang disukai orang kerana mereka selalu melakukan kesilapan disedari atau tidak disedari sering tersasul dalam bicara hingga kekadang mengusik hati dan perasaan orang.Oleh itu  demi persahabatan kita perlulah menjaga hati sahabat handai agar hubungan tali persahabatan itu sentiasa jernih dan terjalin mesra.

SENYUMAN BICARA TANPA SUARA

Ramai yang tidak perasan bahawa senyuman itu adalah bahasa muka, kerana ia akan menggambarkan perasaan hati seseorang sama ada ia sedang gembira bahagia ataupun senyuman terpaksa menyembunyikan kekecewaan hati, yangmana senyuman itu kelihatan tidak manis, tawar dan hambar.

Senyuman itu juga adalah sedekah dan tidak salah rasanya kita memberi senyuman kepada sahabat handai, kawan, rakan, saudara mara dan keluarga sendiri.Senyuman juga memberi kelegaan kepada orang lain, mungkin dengan senyuman yang kita beri itu mengubat lara atau gundah gulana hatinya.


Oleh itu janganlah terlalu lokek untuk memberi senyuman kerana mungkin satu hari kita pula memerlukan senyuman dari orang lain sebagai penawar mengubat hati resah yang kita alami.Begitulah hebatnya senyuman kerana senyuman itu adalah bahasa mudah dan bicara indah tanpa suara.

BAHASA LAMBANG PERADABAN JIWA

Wahai anak-anak dan adik-adik dengarlah kata-kata ku ....

Berfikirlah seketika sebelum atau semasa meluahkan kata-kata.Segala yang diperkatakan belum tentu orang lain boleh terima.Kita tidak boleh memaksa orang lain mengikut rentak, pendapat, kehendak dan kata-kata kita.Beringatlah bahawa kata-kata yang kita luahkan boleh menyebabkan hati orang lain terluka, kata-kata boleh menjadikan orang lain bersalah sangka.Kata-kata boleh menyebabkan sengketa dan kata-kata fitnah dan dusta boleh menjadikan orang lain hidup menderita.

Semasa berbicara gunakanlah kata-kata manis dan lunak, gunakan bahasa yang baik tetapi lebih bermakna.Elakkan dari penggunaan bahasa dwi makna yang tidak bersesuaian dengan budaya bahasa kita.Semasa menutur kata hormatilah dengan siapa kita berbicara pada tahap umurnya.Kekadang kita lupa, berbicara secara kurang sopan tanpa memperdulikan orang yang jauh berusia dengan kita.Biaskan sama sekali menggunakan bahasa kasar, kotor dan keji yang mereka tidak suka.


Oleh itu marilah kita berusaha memperbaiki kelemahan diri menjaga lidah serta membersihkan hati demi menjaga maruah peradaban peribadi, supaya diri kita lebih dihormati, disenangi, disayangi serta disanjungi.

TERSALAH BICARA BALIK KE LALUAN ASAL


Kata bicara di alam maya tidak sama dengan keadaan sebenar di alam nyata, tetapi pengucapan yang dizahirkan itu adalah lahir dari sekeping hati.Terlalu sukar untuk menafikan sesuatu yang terucap itu adalah tidak bertepatan dengan apa yang tersurat dan tersirat sebenarnya.Kepalsuan dalam berbicara akan mengakibatkan kecurigaan dan keraguan dalam sebuah kesetiaan serta kejujuran.


Kadang kala kita terlupa, tidak pernah terfikir dan tidak mengambil endah tentang penilaian seseorang terhadap diri kita.Alangkah lebih baik kita memperbaiki diri dari sebarang kekurangan sebelum orang lain menilaikan keikhlasan dan kejujuran kita.Begitupun seelok-eloknya biarlah kita yang menilaikan kelemahan dan keburukan diri sendiri sebelum kita menilai diri orang lain.

Kisah lama selalu memberi pengalaman dan kefahaman yang mendalam kepada seseorang dalam membaca isi hati, kata bicara, tingkah laku dan gerak geri dan mereka amat memahami sebarang masalah yang dihadapi seseorang.Walaupun ia ingin menyembunyikan sesuatu kesalahan dan kesilapan tetapi mereka dapat meneka sesuatu yang tidak kena pada orang itu.

Memanglah kita perlu pasrah selepas sesuatu akibat yang diterima tetapi hati tetap resah setelah apa yang berlaku samada disedari ataupun tidak,Segala yang berlaku itu sememangnya adalah dugaan dan cabaran kekadang tidak mampu untuk orang lain menerimanya setelah mengaku akan kesilapan yang telah dilakukan.Pun begitu cubalah sedaya upaya memberi kepercayaan orang dengan sepenuh hati.

Akan tetapi apakan daya hanya kesabaran sahajalah yang dapat dilakukan sekiranya menerima teguran dan cacian walaupun ingin memperbetulkan kesilapan diri.Pengakuan sebegitu adalah laksana dalam pahit ada manisnya dan begitulah sebaliknya dalam manis ada kepahitannya, semoga memperbetulkan kekurangan dan kelemahan diri lahir dari kesucian hati sebenar-benar jujur dan ikhlas.

Pengakuan yang ikhlas dan berterus terang itu biarlah terluah manis di bibir dan begitu lah hendaknya manis juga di hati, agar orang dapat menerimanya semula kembali ke pangkal jalan lurus dan benar.Semoga pengakuan itu tiada lagi pahit yang berselindung di sebalik kemanisan.Jadikanlah itu sebagai dugaan, cabaran dan ujian dalam menebus kepercayaan orang terhadap dirinya..

Bukan mudah untuk mendapat ganjaran kepercayaan semula dari orang lain setelah melakukan kesilapan kerana orang tetap akan berhati-hati dan masih curiga walaupun ia adalah sebuah pengakuan ikhlas lagi jujur.Terpulanglah sejauh mana ia akan dapat meyakinkan orang lain atas kembalinya kepada kejujuran dan tidak mengulangi kesilapan lagi.Sekali tersilap langkah tidak semestinya akan tersilap kali kedua dan seterusnya.

BERFIKIR SEBELUM MELUAHKAN KATA HINA

Sebelum kita mengeluarkan kata-kata keji dan hina terhadap orang lain, adalah lebih baik kita bermuhassabah dan berfikir dahulu seketika agar kata-kata yang hendak dihamburkan itu tidak terkena pula pada batang hidung sendiri, ibarat meludah ke langit, muka sendiri pula jadi sasarannya.Oleh itu kita perlu berfikir sejenak kerana bukankah berfikir itu adalah cahaya yang menerangi jiwa dan hati kita.

Sekiranya tanpa berfikir panjang dan sembarangan mengeluarkan kata-kata durja dan hina itu adalah kelalaian seseorang yang mengizinkan dirinya berkata-kata yang tidak molek tanpa menggunakan akal fikiran.Bolehlah dikatakan insan jenis ini sentiasa berada dalam khayalan dan kelalaian hidup di dalam kegelapan walaupun di hari terang.

Inilah kejahilan manusia dalam menggunakan otak dan fikiran yang dikurniakan selalu terbabas membawa seseorang berada di dalam kesesatan, sentiasa mencari jalan, helah dan tipu daya untuk melukakan hati orang lain kerana terlalu megah bersikap angkuh dan khianat ingin memburuk seseorang sekiranya orang itu adalah musuh atau seseorang yang tidak sehaluan dengannya.


Kita harus sedar bahawa manusia yang bersikap  begini adalah orang yang paling hina hidupnya.Kata caci, fitnah, umpat keji dan mengadu domba terhadap seseoarang yang tidak disukainya, seolah-olah tiada batas untuk menyekatnya berkata bebas.Pahala dan dosa hanya di sisian sahaja, apa yang penting adalah kepuasan hati bila kata-kata nista berangkara durjana dapat diluahkan demi memuaskan nafsu dan hati yang dihasuti syaitan.

BERMAAF-MAAFAN

Bumi mana yang tidak pernah ditimpa hujan.Begitulah ungkapan pepatah Melayu yang bermaksud setiap insan tidak pernah lari dan terhindar dari melakukan kesalahan dan kesilapan.Seandainya kita menyedari kesilapan dan kesalahan sesama insan, tidak salahnya kita bermaaf-maafan.Memohon maaf dan bermaafan adalah sikap yang terpuji betapa cara ini dapat menauti semula ikatan persaudaraan dan persahabatan yang mungkin menjadi renggang akibat masing-masing terguris hati dan perasaan.Kenapa harus malu dan ego untuk bermaaf-maafan.

Memaafkan seseorang yang telah melakukan kesilapan yang disedari atau tanpa disedarinya itu adalah sifat mulia mungkin kerana seseorang itu tidak berdaya kerana pada ketika itu mungkin kita juga berada di dalam kelemahan sehingga menyebabkan seseorang itu terluka hatinya.Begitu juga kita perlu memaafkan insan yang lemah itu adalah lebih mulia ketika pada masa itu kita mempunyai kedudukan yang kukuh dan kuat,Itulah yang paling baik dan cara ini membuat diri kita lebih disanjung dan dihormati.Dalam soal ini tidak sedikit pun mengurangkan darjat seseorang itu.

Oleh itu sekiranya kita melakukan sebarang angkara yang menyinggung hati dan perasaan orang lain adalah lebih baik bermaafan dari menyimpan dendam.Dengan cara ini sahajalah seseorang itu dapat menyembuh gurisan hati dan menghapus dosa akibat kesalahan yang dilakukan.

KEIKHLASAN DAN KEJUJURAN

Sesuatu kebaikan yang hendak dilakukan oleh seseorang amat memerlukan sebenar-benarnya keikhlasan hati.Jika dilakukan dengan betul, ikhlas dan jujur sudah tentu beroleh kebaikan dan kesempurnaan berpanjangan dari awal hingga ke akhirnya.Begitulah sebaliknya jika melakukan sesuatu kebaikan tanpa keikhlasan serta mempunyai niat menunjuk-nunjuk dan atas dasar untuk membangga diri maka perbuatan itu adalah sia-sia, kemungkinan juga hasil yang diperolehi itu tidak begitu sempurna.Dengan tiada kesempurnaan itu juga mendatangkan serba serbi tidak kena dan tidak begitu menjadi di peringkat akhirnya penuh dengan ranjau duri serta menempuh laluan berliku.Oleh itu lakukanlah sesuatu kebaikan itu dengan penuh keikhlasan dan kejujuran.


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...