Sabtu, 25 Disember 2010

ORANG BERHARTA DIPANDANG MULIA


Kebiasaannya manusia selalu memandang tinggi kepada mereka yang berharta dan mempunyai wang ringgit yang banyak.Tambahan jika seseorang itu mempunyai nama pangkat dan darjat.Tidak salah kita memandang tinggi kepada keupayaan mereka berusaha mencari dan menambah  harta. tetapi biarlah harta yang diperolehi itu  secara bersih dan halal, bukannya hasil dari  menindas orang lain, rasuah, berunsur judi dan penipuan. Setelah menjadi kaya dan berharta jangan pula lupa pada tanggung jawab membayar zakat serta tidak kedekut menghulur sumbangan kepada mereka yang hidup susah dan yang memerlukan.

Setiap sumbangan yang diberi biarlah dengan tangan kanan tanpa diketahui oleh tangan kiri, baharulah mendapat keberkatan dan ganjaran pahala dari Allah, jangan sekali-kali  pemberian tersebut hendak ditunjuk-tunjuk serta berbangga-bangga hingga menimbulkan  riak yang hanya dipandang kebaikannya dimata manusia sahaja.Pada masa sekarang ramai yang berbuat demikian tidak seikhlas hati menyumbang sekadar untuk bermegah-megah serta mempunyai  kepentingan lain seolah-olah tangan kanan memberi tangan kiri menadah.

Bagi mereka yang tidak mempunyai harta atau hidup dalam kekurangan jangan merasa dengki dengan kekayaan orang lain tetapi sebaliknya cubalah berusaha kearah itu.Didiklah keluarga dan anak-anak untuk mendapat ilmu yang tinggi kelak disuatu masa jika diizinkan Allah, mereka juga boleh memegang jawatan tinggi atau berjaya dibidang perniagaan yang akan memberinya hidup senang serta berharta dan dipandang mulia oleh masyarakat.

Ada juga yang telah lupa diri semasa hidup berjaya dengan membiarkan ayah ibu serta adik beradik tinggal dalam kemiskinan, mereka terlalu sombong kepada orang yang tidak setaraf atau miskin, dan lebih rela menghabiskan wang ringgit  mencari keseronokkan sendiri.Ada dikalangan insan yang kaya raya ini turut menghabiskan wang ringgit dengan melakukan kerja-kerja yang sia-sia dan ditegah Allah seperti menceburi diri dalam aktiviti yang tidak sihat menghabiskan masa di kelab-kelab hiburan meminum arak, main perempuan  dan berjudi.Janganlah kekayaan itu merosakkan diri kerana nyawa dan harta dunia hanyalah dipinjamkan sementara oleh Allah kepada setiap manusia.





Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...