Jumaat, 24 Disember 2010

SKETSA DENDAM SI KUCING ~


Al-kisah di zaman antah berantah, terdapat sebuah daerah yang bernama Daerah Selekoh Semai didiami oleh kucing dalam satu kumpulan yang hidup aman damai.Banyak juga diantara kucing-kucing ini yang berhijrah ke daerah lain untuk menambah rezeki dan berkeluarga dengan kucing-kucing di daerah lain.Maka tinggallah beberapa kucing di daerah itu yang masih meneruskan hidupnya.Oleh itu kucing-kucing di Daerah Selekoh Semai itu teringin benar menemui kawan-kawannya yang berhijrah untuk berkumpul barang sehari untuk melepaskan rindu lalu ditubuhkan satu kesatuan yang dipimpin oleh kucing yang berwawasan untuk merapatkan semula hubungan antara pemastautin dan yang berhijrah itu.

Setelah itu satu kumpulan tenaga telah digerakkan untuk membantu menyebarkan utusan ke ceruk rantau kepada kucing-kucing yang tinggal berselerakan supaya dapat hadir pada hari yang ditetapkan.Pertemuan ini hanyalah untuk kucing-kucing yang pernah tinggal di daerah itu dan tidak dibuka untuk kucing-kucing dari jenis yang lain.Akan tetapi ada seekor kucing dari daerah Sungai Petai yang berkawan dengan beberapa ekor kucing dalam Daerah Selekoh Semai itu cuba untuk campurtangan dan membuat sibuk dalam majlis yang akan diadakan, lalu dibantah oleh sepasang kucing dalam kesatuan walaupun sebelum itu mereka berkawan rapat tetapi atas perselisihan faham, mereka telah menjadi musuh.Kucing luar itu tetap berdegil dan memberi pelbagai alasan untuk turut serta ke majlis yang akan diadakan nanti.


Maka tibalah hari pertemuan tersebut, kucing-kucing yang menerajui kumpulan telah datang awal disebelah pagi untuk membuat persediaan terakhir, tanpa disangka-sangka kucing luar itu muncul juga tanpa malu kerana majlis itu bukanlah untuknya.Maka kawan-kawan yang dimusuhinya itu pun beralah lalu meninggalkan persiapan disebelah pagi.Ketua kumpulan telah memujuk kucing luar itu supaya tidak masuk ke majlis disebelah petang yang dikhususkan untuk ahli-ahli sahaja dan dibimbangi kehadirannya mungkin menyebabkan ahli yang membantah tidak hadir,lalu ia berjanji tidak akan datang pada sebelah petang, apa lagi terlalu marah ia kepada kucing yang membantah itu melalui pelbagai saluran.

Pada sebelah petang majlis pun berlangsung, banyaklah kucing-kucing yang menjadi ahli datang kerana mereka juga ingin bersama-sama di majlis tersebut untuk melepaskan rindu pada kawan-kawan yang sudah lama tidak bertemu.Kucing-kucing yang membantah kehadiran kucing luar itu turut hadir setelah dipujuk oleh ketua kumpulan.Tanpa diduga sekali lagi kucing luar itu muncul dicelahan pokok berhampiran tempat majlis berlangsung untuk mengganggu dan memaki hamun musuh bekas kawannya itu tanpa perasaan malu dan segan, menceroboh kawasan majlis  berlangsung, tetapi kucing-kucing itu tidak ambil peduli dengan telatah ganjilnya itu.Maka melompat-lompatlah ia seolah-olah hilang akal sambil menggaru-garu batang pokok untuk melepaskan geramnya.


Sesudah acara pertemuan itu selesai, semua kucing beredar pergi, si kucing luar itu juga telah pergi entah kemana semasa majlis belum tamat, mungkin tidak tahan duduk dibawah pokok, tetapi dendam kucing luar itu tiada berkesudahan, ia sentiasa mengambil peluang untuk memaki hamun dipelbagai saluran tetapi tetap tidak diendahkan oleh musuhnya, lagaknya bagaikan bertukar menjadi seekor anjing yang menyalak bukit !




Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...