Sabtu, 12 Februari 2011

OH ! ORANG MUDA MERAJUK RUPANYA ~



Oh ! anak muda janganlah cepat melatah dan mudah merajuk, jasa kalian ditagih kerana kudrat semuanya masih lagi kuat, kukuh, bersemangat kental dan waja.Janganlah dijadikan diri yang sasa itu tunduk dan lemah setelah menerima sesuatu teguran yang membina dari orang yang lebih tua dan berpengalaman.Jadikan teguran itu sebagai satu pengajaran untuk memperkemas, memperkasa dan memperbaiki jati diri.

Sebarang bantahan atau ketidak puasan itu perlu dibawa berbincang dan bertukar pandangan barulah memperolehi sesuatu keputusan yang baik, bukannya merajuk atau menimbulkan konflik, ini amat merugikan.Orang lama banyak pengalaman menempuh laluan hidup yang tidak dapat dipelajari dimana-mana institusi pengajian tinggi didunia.


Pengalaman itu adalah satu proses kematangan, pendidikan  dan pembelajaran yang diperolehi dari rempuhan dan tempuhan laluan masa  disertai pelbagai ujian, cabaran dan dugaan disetiap detik kehidupan sehari kesehari yang dilalui oleh setiap insan mengikut tangga usia manusia.

Maka dengarlah nasihat, teguran dan pandangan dari mereka agar orang muda juga turut merasai dan mempelajari pengalaman orang lama ini, dimana orang muda juga akan merasai pengalaman ini setelah usia semakin meningkat.Berfikirlah secara matang dan tidak pula bersikap kebudak-budakan kerana perolehannya adalah kerugian.Pertelingkahan boleh diselesaikan, masakan mahu berperang minda bersama orang lama untuk mendapat kepuasan diri.

Belajarlah, tatapilah, renungilah wahai anak muda jangan mempengaruhi minda insan sebaya supaya turut lemas di rajuk hati.Janganlah perkara remeh temeh dijadikan alasan untuk dirajukkan, jangan sekelumit isu hendak digajahkan.Ah ! kurang tepat untuk bertingkah !.Ingatlah hidup bersilih ganti, yang lama patah dan hilang yang baru pula akan tumbuh dan berganti.Orang lama yang berusia serta matang dalam erti juang dan kehidupan amat menyanyangi orang muda dan sewajarnyalah mereka yang lama ini juga dihormati.

Orang muda memang mempunyai kepandaian dan ilmu yang tinggi, namun kepandaian itu tidak bermakna jika tiada bijaksana dan cerdik untuk mengawal diri.Janganlah merajuk, jangan pula menyisihkan diri dari orang lama yang kian hari meniti hari.


Maka wahai orang muda, kutiplah segala pengalaman orang lama sebagai pendidikan, pengalaman yang kurang ditambah, sudah diperolehi dicurah-curahkan serta dikongsi bersama kepada seramai yang mungkin agar semua dapat merasai nikmat pengalaman itu untuk memperkukuhkan dan memperkentalkan jati diri disanubari.


Oh orang muda bila lagi hendak menduga lautan dalam seandainya mudah tewas karam di air hanya seteguk dicawan.Sedihnya !, malunya ! hampa dan keciwanya hati orang-orang lama diatas kelemahan orang muda mempasak jati diri.Ayuh ! orang muda, bangun ! bangun ! dari lena panjangmu, bantu ! bantu dan bantu ! bergerak  maju ! ayuh mara ! membina anak bangsa, usah mengalah, jangan patah semangat dan bina semula semangat kental dijiwa , bangkitlah berjuang  agar rajuk dihati tidak berpanjangan sehingga membawa kelemahan diri.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...