Selasa, 19 Julai 2011

ERTI SEBENAR KEHEBATAN MANUSIA


Ada yang mentelah diri mereka serba hebat dalam sesuatu perkara hingga memandang orang lain hanyalah kecil dan remeh dari skop pandangan mata mereka sendiri.Entahlah ada yang mengandaikan kehebatan mereka terletak pada wang ringgit dan harta, ada yang menyangka kehebatan diri mereka pada gaya, wajah dan rupa.Ada juga berperasan diri mereka hebat kerana kekuatan, bicara, tenaga dan upaya.

Pada zahirnya kehebatan seseorang itu terletak pada akal fikiran dan tetapan hati.Seandai akal fikiran dan hati itu lemah walau sesegak mana, secantik mana dan sehebat mana diri mereka, tentu tidak membawa sebarang makna. Oleh itu untuk mencari kehebatan diri perlu ada keikhlasan dan bersyukur apa yang dimiliki barulah membawa erti kehebatan yang sebenarnya di sisi Allah SWT dan juga di kacamata manusia amnya.

Kehebatan yang tidak mengenal erti syukur bererti riak dan meninggi diri, sombong dan berlagak hanya megah di pandangan mata sendiri.Kehebatan yang sempurna adalah merendah diri membantu kalangan manusia yang memerlukan pertolongan, tidak tamak haloba serta menyerahkan kehebatan yang dimilikinya semata-mata kerana Allah.

Berapalah tinggi dan hebatnya diri kita jika dibandingkan dengan orang lain yang lebih hebat, berapalah hebat orang yang hebat tetap tidak hebat kerana ada orang lain yang lebih hebat dan manalah hebat orang yang lebih hebat itu kerana ia juga tetap kerdil di sisi Maha Pencipta.

Orang yang hebat adalah orang yang menjaga iman dan bertaqwa kepada Allah dan orang-orang yang bersabar atas nikmat senang dan susah yang dikurniakan Nya.Kehebatan juga adalah mereka yang membelanjakan wang ringgit dan hartanya di jalan Allah swt.

Kehebatan sesorang itu juga adalah kerana kejujuran hatinya, bersih jiwanya dan sentiasa mengaku kelemahan, kesilapan dan kesalahan, berani menyatakan sesuatu kebenaran serta bertaubat atas kesalahan dosa kecil atau besar padanya dan memohon keampunan dari Allah, Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Tinggi Darjat Nya. 
 

KECANTIKAN DAN KETAMPANAN

Sekiranya kita seorang wanita janganlah terlalu sombong dengan kecantikan, dan seandainya lelaki ketampanan bukanlah ukuran untuk membanggakan diri.Kecantikan dan ketampanan seseorang itu adalah anugerah dari Allah dan kekurangan paras rupa orang lain adalah anugerah dari Allah jua.

Setiap kejadian ada kelebihan tersendiri.Mungkin kerana kekurangan rupa tetapi berilmu tinggi, senang hati, berbudi pekertinya mulia.Kekadang hidup mereka lebih bahagia dari orang yang cantik, tampan, jelita dan segak itu.Paras rupa sebenarnya bukanlah mutlak untuk kejayaan seseorang.

Bukankah kecantikan dan ketampanan itu sepatutnya disambut dengan rasa syukur bukanlah untuk dibangga-banggakan, begitu juga mereka yang kurang jelita dan kacak juga harus bersyukur kepada Allah, kejadian sebegitu adalah rahsia Allah yang kita tidak tahu.Apa yang dipandang Allah hanyalah ketaqwaan seseorang.

PENGHINAAN DAN KEHEBATAN

Walau hidup ku sederhana tidak sekaya orang kaya, dan tidaklah pula terlalu miskin dari orang yang miskin melarat.Namun diri ini mana terlepas dari pandangan rendah dan penghinaan dari mereka yang hidup dalam kemewahan dan kaya raya.

Meskipun hinaan yang aku terima dari orang yang suka menghina itu tidaklah menjadikan aku terlalu hina di mata sendiri dan dipandangan mata orang lain.Hidup ku yang serba sederhana ini membuat aku lebih tabah mengharungi dunia.

Aku sanggup berikat perut dan sentiasa berbelanja mengikut kemampuan sendiri tanpa berlebihan yang boleh mengakibatkan aku lebih rendah dipandang dan lebih hina lagi jika digelar orang aku hidup berpacukan biar papa asalkan bergaya.

Jauh sekali di sudut hati ini untuk berlagak hebat kerana aku tahu kemampuan dan daya ku, walau kadang kala dan tika ada yang menganggap aku hebat kerana dapat mengharungi dunia ini dengan hidup cara ku tersendiri.

Namun aku tidaklah sehebat yang disangkakan.Manalah hebatnya kerana pujian orang, cuma aku sendiri sahaja yang tahu  kehebatan dan kelemahan diri mengikut keupayaan sendiri merempuh dan menempuh dugaan dan ujian dunia dengan hati terbuka dan tabah.

DAYA DAN KEMAMPUAN

Benarlah apa yang dikatakan orang apabila seseorang yang  umurnya sudah meningkat melepasi 40 tahun ke atas, penyakit mula menyinggah, kudrat mula menurun, rambut sudah memutih dan ingatan selalu lupa.Berbanding di usia sebelum itu tenaga, wajah dan ingatan masih segar dan masih mampu untuk bergerak bebas.Kini usia ku telah pun 53 tahun, apa yang aku hadapi penyakit mula meminang, daya ketahanan badan sudah lemah untuk menahan pelbagai penyakit yang bertandang,Ingatan mula lupa sukar untuk mengingat sesuatu kadang kala ingatan itu hanya bertahan beberapa minit sahaja, kemudian mulalah lupa.

Penyakit yang aku hidapi kini adalah penyakit radang sendi 'gout'.Silap sahaja makan apa lagi tentu penyakit itu mudah menyerang tanpa mengira waktu.Jika dahulu, apa sahaja makanan boleh dan mampu dimakan tetapi kini makanan perlu dibuat pilihan.Begitu juga dengan tenaga, jika dahulu mampu untuk berjalan jauh, berlari anak dan mendaki bukit ketika bekerja kini sudah tidak mungkin lagi, adakalanya terlalu letih hingga memakan masa yang panjang untuk hilang.Kadang kala teringin juga menguji tenaga dan melakukan aktiviti sedikit lasak namun apakan daya kemampuan ku tetap juga tidak berdaya.Begitulah harapkan semangat sahaja yang tinggi namun kudrat tidak kesampaian.

Walaupun ada kalanya aku cuba bawa diri ini untuk beriadah dan bermain namun pergerakan ku tidaklah selincah dahulu lagi namun aku masih lagi mampu setakat kemampuan seorang yang sudah berumur.Namun demikian aku tetap bersyukur kepada Allah kerana penyakit lain atau penyakit kronik masih lagi belum menyerang kemungkinan tugasan ku yang melibatkan kerja sedikit lasak di lapangan membuat kesihatan ku agak stabil.Semoga kesihatan ku serta tenaga ku akan stabil di masa akan datang diharapkan akan bertahan 10 ke 20 tahun lagi sekiranya umur ku masih panjang.Alhamdulilah !, Amin syukur !!!

Aku juga bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih lagi  di izinkan berkemampuan meneruskan tugas seharian ku jika dibandingkan  dikalangan kawan-kawan sebaya dan lebih rendah umurnya dari ku yang sudah pun menghidap penyakit kronik.Harapan pada mereka yang di timpa musibah penyakit bersabarlah serta berubat dan bertawakal kerana itu adalah ketentuan Nya jua, tiada siapa yang dapat menahan dan menghalang kehendak Allah.Wallahualam !!!


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...