Isnin, 22 November 2010

JOHARI JALALUDDIN DALAM KENANGAN ~(rk smi 1971) 1958- 17.11.2010


Allahyarham Johari Jalaluddin

Pada pagi 22.11.2010 aku buka facebook dan terlihat satu mesej di FB aku oleh seorang sahabat bernama Mohd Salleh bin Mohd Tahir (RK 1972) merupakan kawan sekerja Allahyarham tetapi diberlainan tempat, mengatakan Allahyarham telah kembali kerahmatullah pada 17.11.2010 di Kampar.Alangkah terkejutnya aku menerima berita sedih itu, timbul dihati ku untuk mendapat kepastian lanjut dan tertanya-tanya kesahihan berita ini.Aku pun menalipon sahabat ku Amiruddin Mat Som dan Roslan Khairuddin berkaitan hal ini.Masing-masing tidak mendengar apa-apa berita berkaitan kematian sahabat kami ini.

Kami berpakat untuk mengunjungi kakaknya di Bukit Pekan untuk memastikan kebenaran cerita kematian ini, sekurang-kurangnya kami dapat menziarahi keluarganya yang berada di Bukit Pekan Kampar. Sebelum aku ke rumah kakaknya bersama Amiruddin, aku teringat akan nombor talipon Allahyarham dan mendail nombor tersebut dimana aku telah menerima jawapan, setelah aku bertanya siapa yang bercakap, orang yang menjawab panggilan aku tadi sebenarnya adalah anak tunggal beliau bernama Mohammad Ikhwan dan beliaulah yang menceritakan bahawa ayahnya telah kembali ke Rahmatullah pada 17.11.2010 yang lalu dan kini anaknya berada di Padang Besar untuk mengurus hal-hal berkaitan ayahnya disana.Benarlah kesahihan berita ini.

Selepas itu aku terus sahaja mengambil Amiruddin Mat Som dimana beliau menunggu di Pekan Tapah untuk kerumah kakak-kakak Allahyarham di Bukit Pekan.Aku kerumah kakaknya itu (rumah pusaka bapa Allahyarham) tidak menjadi masalah kerana aku selalu kerumah beliau semasa bersekolah, bekerja dan semasa kami bujang dahulu.Alhamdulilah salah seorang kakaknya masih ingat pada ku lagi kerana aku pernah tidor dirumah Allahyarham semasa bersekolah dahulu.Hubungan Allahyarham dan aku sangat rapat dan karib.Semasa hayat Allahyarham ibunya masih ada, aku selalu juga dilayan seperti anak ketika datang melawat Allahyarham di asrama dahulu.Semasa Allahyarham ibunya sakit aku pun ada juga datang menziarahi ibunya itu.

Allahyarham dilahirkan di no 184, Kampung Bukit Pekan, Kampar pada tahun 1958 (tarikh lahir- tiada maklumat).Bapanya ketika itu adalah seorang pesara Guru Besar di Sekolah Bukit Pekan, Kampar.Allahyarham mempunyai 4 orang kakak dan seorang adik lelaki.Allahyarham bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Bukit Pekan, Kampar pada 1965 hingga 1970.Pada tahun 1971 beliau memasuki RK St.Michael's Institution, Ipoh dan tinggal di Asrama Jalan Tambun dan Jalan Watson, Ipoh.Selepas tamat tingkatan 5, selepas peperiksaan MCE, Allahyarham telah berkhidmat dalam Kastam Di Raja Malaysia Bahagian Pencegahan dan pernah bertugas di Ipoh, Rantau Panjang, Kelantan dan Di Padang Besar, Perlis (hingga akhir hayatnya).

Semasa bersekolah Allahyarham kurang mengambil bahagian aktif dalam sukan, beliau hanya memasuki Persatuan Seni Silat Gayung Malaysia di Cawangan Sekolah Menengah Vokesyional Leboh Cator di Ipoh.Kami selalu pergi bersama-sama berlatih disana, pada masa itu Persatuan Seni Silat Gayung tiada lagi ditubuhkan di SMI.Allahyarham memang rapat dengan aku, Amiruddin Mat Som dan Allahyarham Azri Nulop dan kami tinggal sebilik di asrama dari tingkatan 3 hingga habis bersekolah di tingkatan 5.Aku, Amiruddin Mat Som  dan Allahyarham selalu kemana-mana bersama-sama, boleh dikatakan semasa cuti persekolahan mesti ada rancangan kami lakukan seperti bertemu, dan bergambar.

Kenangan yang tidak boleh aku lupakan semasa kami menonton wayang cerita Permintaan Terakhir di Pawagam Grand Ipoh dan setelah habis cerita tersebut kami terus ke Pawagam Odean ,Ipoh menonton filem keluarga Si Comat dalam satu hari.Setelah masing-masing bekerja Allahyarham ada juga mengunjungi aku di Parit, dan pernah juga kami bersama-sama bertemu untuk makan durian di tempat jualan tepi jalan di Changkat Panjang Gopeng, beli, kupas dan terus makan di situ.

Allahyarham juga selalu hadir ke majlis sambutan hari raya yang diadakan di rumah Dato' Abdullah Mohd Said di Jeram, Kuala Dipang Kampar, tetapi sejak kebelakangan ini beliau tidak hadir kemungkinan kerana keuzuran beliau.Kali terakhir beliau datang dan berjumpa aku semasa berkumpul dengan bekas pelajar SMI dihari raya kedua di rumah Dato' Abdullah pada tahun 2006.Sebelum perjumpaan Alumni RK St.Michael, Ipoh pada 17.7.2010 yang lalu aku ada menghantar jemputan kepada Allahyarham melalui sms tetapi beliau tidak menjawab sms aku itu.

Menurut cerita kedua-dua kakak Allahyarham, Allahyarham telah balik ke Bukit Pekan memandu sendiri dari Padang Besar bersama isterinya dalam keadaan yang kurang stabil, dan sampai di Kampung Bukit Pekan diawal pagi, tiba-tiba Allahyarham semput , setelah mandi dia berada dalam keadaan sesak nafas, lalu keluarganya membawa beliau ke Hospital Kampar dan dalam perjalanan ke Hospital, Allahyarham sempat memesan keluarganya seandainya Allahyarham meninggal dunia kebumikannya disebelah perkuburan ibubapanya.

Pada sebelah malam Allahyarham berada dalam keadaan nazak dan meninggal dunia.Beliau dikebumikan pada keesokan hari disebelah kubur ibunya di Tanah Perkuburan Bukit Pekan, Kampar. Allahyarham balik kekampung adalah untuk berhari raya Aidil Adha kali yang terakhir, dan hanya untuk meninggal dunia di kampung halamannya.

Kini Allahyarham telah pergi untuk selama-lamanya dan tidak akan kembali lagi, hanya kenangan lalu ketika bersama menjadi memori indah pada diriku dan kawan-kawan yang mengenali Allahyarham. Adalah diharapkan balu dan anaknya bersabar dan tabah diatas pemergiannya, sesungguhnya Allah lebih menyayangi Allahyarham, dan marilah kita memanjat doa kehadrat Ilahi semoga rohnya dicucuri Rahmat dan ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang beriman. Amin..

AL-Fatihah...








SUNGAI SIPUT, PERAK ~


Aku telah melalui bandar Sungai Siput baru-baru ini, sudah lama aku tidak menyusuri jalan ini kerana kesibukan ku dan adakalanya aku melalui Lebuh Raya PLUS jika ke utara tanah air.Seronok juga menyusuri Sungai Siput kerana banyak juga kenangan aku disini.Jika dua dekat dahulu aku boleh dikatakan selalu kemari untuk ke rumah bekas kakak ipar ku di Kampung Lasah.Kini aku jarang-jarang ke Sungai Siput kerana tidak banyak urusan aku disini lagi.

                    

Jika aku ke arah utara melalui Sungai Siput mataku memang tidak pernah lari dari memandang bukit ini kerana bentuk dan pemandangannya memang memukau mataku. Bagi ku bukit ini sememangnya menjadi mercu tanda bagi Sungai Siput, dan aku tidak tahu apakah nama bukit ini, dan mungkin kawan-kawan ku mengetahui namanya.







TAPAH PERAK DR.

Jalan utama Pekan Tapah

Tapah mendapat namanya dari sejenis ikan air tawar iaitu 'Ikan Tapah'.Sejarah lanjut berkaitan dengan cerita ikan tersebut sehingga Tapah mendapat nama tidaklah aku ketahui, mungkin ada penduduk Tapah yang mengetahui akan sejarahnya.Bandar Tapah ini juga direntasi oleh sebatang sungai yang diberi nama Sungai Batang Padang dan airnya memang deras.



Pejabat Daerah  Dan Tanah Batang Padang dan 
Pejabat Agam Islam Daerah B.Padang, Tapah    
                                           
Pekan Tapah terletak di antara pekan Kampar di sebelah utara, dan pekan Bidor di selatannya.Untuk datang kepekan Tapah boleh melalui jalan persekutuan dan melalui Lebuh Raya PLUS melalui susur keluar Tapah.Tapah juga adalah merupakan pusat pentadbiran bagi Daerah Batang Padang di Negeri Perak.Tapah juga menjadi tempat persingggahan ke Cameron Highland dan tempat perkelahan Kuala Woh ,Lata Iskandar, jalan Pahang hala ke Cameron Highland dan Lata Kinjang terletak di pekan Chenderiang kira-kira 18 km dari pekan Tapah.



Jalan Stesen, Tapah

Sebuah taman rekreasi terdapat disini untuk kemudahan orang ramai beriadah yang dikenali sebagai Taman Mini Malysia dan terletak ditepi Sungai Batang Padang, dan ditepi jalan dari Tapah ke pekan Tapah Road, ramai juga yang mengunjungi taman ini beriadah dan berehat diwaktu cuti dan juga disebelah petang.




Pejabat RISDA Daerah B.Padang/Hilir Perak dan Taman Mini Malaysia




Di Tapah juga banyak pejabat-pejabat kerajaan kerana Tapah merupakan Pusat Pentadbiran Daerah, antara pejabat-pejabat yang ada di Tapah seperti Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang, Pejabat Agama Daerah, Pejabat Tabung Haji, Pejabat RISDA Daerah, Pejabat JKR, Pejabat Hutan, Pejabat Pelajaran dan Balai Polis Daerah, Kem Tentera, dan pelbagai pejabat lagi.








Ahad, 21 November 2010

KG SENGGANG KUALA KANGSAR ~ MENGGAMIT MEMORI~~~


rumah bapa angkat ku yang sudah dibina baharu.

Pada bulan Januari, 1980 sebelum menamatkan kursus dan menunggu penempatan bertugas, aku dan beberapa orang pelatih dikehendaki tinggal bersama dengan keluarga angkat iaitu pekebun kecil getah untuk mengetahui keadaan sebenar hidup penoreh getah semasa itu.Walaupun begitu keadaan itu tidaklah menyukarkan aku kerana aku sudah biasa dengan kehidupan pekebun kecil getah ini kerana aku adalah juga anak pekebun kecil .Pengalaman yang aku lalui bersama keluaga sudah sebati dan senasib dengan pekebun kecil di Kampoung Senggang ketika itu.


Tuan Hj Idris bin Jenal bapa angkatku

Kami bertolak dari Ipoh menuju ke Kampung Senggang melalui pekan Parit, terus ke Manong, dan menyusuri ke Kampung Kuala Kenas dimana kami di bawa ke seberang Senggang melalui bot penambang yang disewa khas pada hari itu.Ketika itu untuk ke Senggang tidak sesuai dimasuki oleh bas kerana jalan masuk melalui  Sayong ke Senggang hanya jalan tanah dan berlopak.Setelah kami sampai dan menikmati makanan tengahari, pelatih diarahkan berbaris di depan dewan menanti ketibaan wakil rakyat untuk acara penyerahan kepada ibubapa angkat yang sudah ternanti-nanti bakal anak-anak angkat yang bakal mereka perolehi.


ibu angkat ku

Setelah seorang demi seorang pelatih diserahkan kepada ibubapa angkat masing-masing, tibalah giliran ku diserahkan kepada Encik Idris bin Jenal (sekarang Haji) dan aku pun mengikutlah ibu dan bapa angkat ku mengambil barangan yang terkumpul disebelah dewan.Sebelum balik ke rumah mereka, kami diberi minum petang bersama wakil rakyat, pegawai atasan, jurulatih, pelatih dan keluarga angkat masing-masing.Selesai majlis ringkas tersebut ,kami pun balik ke rumah ibu bapa angkat masing-masing.Apa yang aku lihat semasa sampai dirumah bapa angkat ku, adik-adik angkat ramai yang masih bersekolah dan kehidupan mereka cukup amat sederhana serta kekurangan, maklumlah bapa angkat ku hanya sebagai seorang penoreh getah yang menoreh kebun orang lain.Rumah-rumah bapa angkat kami tiada bekalan air hanya berharap pada air sungai, air hujan dan cahaya malam hanyalah lampu gaselin dan pelita,

.
dikawasan inilah kami mandi dan orang kampung mengambil bekalan air kelihatan pulau ditengah sungai tempat aku berenang dari tepi.

Pada mulanya aku malu-malu juga maklum lah baharu bersuai kenal, tetapi layanan bapa angkat ku amat baik sekali, sampai aku disediakan tempat tidur dibilik mereka, tetapi aku tetap menolak kerana mahu tidur bersama adik-adik lelaki dibahagian bilik diruang tetamu.Aku amat terkejut kerana makan malam yang disediakan amat banyak jenis lauk pauknya, tidak seperti yang aku jangkakan.Begitulah minum pagi, petang dan sebagainya, aku bukan dilayan seperti anak tetapi dilayan seperti tetamu.Ramai penduduk kampung, kawan-kawan yang datang berkumpul di rumah bapa angkat ku kerana bapa angkat ku amat  peramah begitu juga dapat anak angkat yang agak peramah juga.

Boleh dikatakan setiap masa rumah bapa angkat ku dikunjungi oleh pelatih dan orang kampung kerana berdekatan dengan tebing Sungai Perak dimana menjadi tempat mandi penduduk disitu.Bapa angkat dan ibu angkat ku membawa air dengan baldi menyuruh aku mandi dirumah tetapi aku menolak kerana kami telah disuruh untuk berdikari dan tidak menyusahkan keluarga angkat kami.Pada hari mula kami duduk dirumah keluarga angkat memang dirasakan seperti pesta dikampung itu, setiap malam ada sahaja rumah yang membuat kenduri, mengikut giliran disamping acara berzanji dan main rebana, sudah semestinyalah dimulai dirumah keluarga angkat ku.

Masjid Jame yang baharu turut dibina di kampung Senggang.

Adik-adik angkat ku  ramai perempuan dimana, kawan-kawannya selalu juga berkunjung, namun menjaga nama baik agensi dan diri, aku melayan mereka seperti saudara dan adik beradik dan sedikit gurau senda.Aku disenangi oleh orang muda, orang tua, dan anak-anak gadis kerana aku pandai bersembang kata mereka.Dari hari kehari ibubapa angkatku tidak membawa aku ke kebun getah tempat mereka menoreh, setelah aku bertanya anak-anaknya mereka sengaja tak mahu mengajak aku, supaya aku senang dirumah sahaja. Atas permintaan aku, aku tetap juga dibenarkan tetapi pergi diwaktu matahari sudah mula naik, dibawa oleh anak dara bapa angkat ku.

Hasnah Idris adik angkat ke 2, 
aku berkesempatan menghadiri majlis perkahwinannya pada tahun 1981

Setelah berada seminggu disana kami pun bersiap sedia untuk dibawa pulang ke Wisma dimana kami berkursus.Ramailah yang bersedih pada hari tersebut, ada ibubapa angkat, adik-adik angkat yang turut menangis kerana kami akan diserahkan semula kepada agensi.Penyerahan diadakan di Dewan Kampung Senggang dimana kami dan keluarga angkat makan bersama, ada diantara ibubapa angkat yang memasak sendiri membawa lauk pauk untuk dirasai oleh semua anak-anak angkat sebelum berangkat, walaupun makanan telah disediakan oleh agensi kami.

Sharifah adik angkat yang ke tiga

Selepas selesai makan  kami beramai-ramai dikehendaki menyanyi lagu jasa pekebun kecil sebagai penghargaan kepada ibubapa angkat kami , setelah itu tanpa disangka-sangka aku terpilih untuk menyanyi solo sebarang lagu tanpa muzik, menggeletar aku sebab selama ini aku  tidak pernah menyanyi didepan khalayak ramai.Atas desakan ibubapa angkat , pelatih , jurulatih terpaksalah aku menyanyi juga, masih ingat lagu yang aku nyanyikan ketika itu, lagu selamat berbahagia wahai kekasih, sebuah lagu P.Ramlee.Setelah itu kami turun kejeti ditepi tebing Sungai Perak untuk diangkut ke seberang, tangan didarat melembai-lambai, begitu juga kami didalam perahu penambang membalas lambaian tersebut.

 Azhar adik angkat no. 4

Perhubungan aku dengan keluarga angkat ku tidak terputus disitu, kerana selepas aku bekerja di Parit, aku selalu juga mengunjungi keluarga angkat ku.Aku tidak sangka ibubapa angkat dan adik-adik angkat ku yang sudah besar datang kerumah ku semasa majlis perkahwinan ku.Begitu juga dengan kenduri-kenduri kecil yang aku adakan.Setiap kali selepas hari raya atau kenduri aku selalu berkunjung ke rumah mereka.

Miah adik angkatku no. 6

Pada 20.11.2010 aku telah balik lagi ke Senggang dihari memasak kerana meraikan majlis perkahwinan adik iparku, aku kesana kerana tidak dapat hadir pada hari perkahwinannya disebabkan ada urusan lain.Apa yang aku dengar dari pak cik-pak cik, ibu bapa, adik dan kakak angkat pelatih dahulu yang seramai 24 orang hanyalah aku seorang sahaja yang kerap ke Senggang, yang lain-lain ada yang tidak pernah langsung jejak kaki ke rumah ibubapa angkat mereka dahulu.Kini Kampung Senggang sudah cukup lengkap dengan insfratruktur seperti kampung-kampung yang lain.Lampu letrik, bekalan air, telefon, jalan tar semua sudah ada.Kereta dan motorsikal boleh dikatakan ada disetiap buah rumah.Hidup orang Senggang sudah berubah dan maju tidak seperti dahulu lagi.Terima kasih dari ku buat ibubapa angkat dan adik-adik yang masih sudi menganggap aku seperti anak dan abang sendiri.



berbaju hijau , Din adik angkat ku no 5, hari memasak kenduri kahwin pada 21.11.2010

adik angkat ku no 7 lelaki, 8 perempuan,9 lelaki (tiada sempat  bergambar)


















PEKAN PARIT MENGIMBAU KENANGAN LALU ~


Gambar Pekan Parit, Perak DR.

Aku mula sampai di Pekan Parit, pada tahun 1971 semasa aku bersekolah di Ipoh, kerana mengikuti kawan ku bernama Muaz bin Abdul Karim balik ke kampungnya di Kampung Aji Bota Kiri.Kemudian pada awal tahun 1980 aku telah melalui pekan  ini untuk ke Senggang, Manong untuk tinggal bersama keluarga angkat sebelum aku memasuki alam pekerjaan ku.Dalam perjalanan itu kami singgah sebentar di Restoran Tawakal untuk minum.Tidak ku sangka aku menerima arahan untuk ditugaskan disini bermula pada 3.3.1980.

Rumah Rehat Cempaka Sari
Jambatan pejalan kaki, basikal, motorsikal dari Parit
ke Kampung Blanja Kiri.
Aku mula-mula menyewa rumah di Kampung Tengah bersama kawan yang kursus bersama-sama dengan ku iaitu Zulkifli Haji Jamhari (Haji).Kemudian kami telah menyewa beberapa buah rumah kerana beberapa sebab tertentu, rumah-rumah yang pernah kami sewa seperti di Kampung Selboh, Jalan Sekolah dan di Kampung Tanjong Ara.

Selepas aku berkahwin aku berpindah ke Kampung Blanja Kiri, Parit, dan memperolehi cahayamata kedua ku yang lahir disitu.Setelah beberapa tahun selepas itu aku berpindah ke Rumah Awam Kg Raja dan kali yang terakhir aku menyewa sebuah rumah di Taman Parit Jaya sebelum aku ditukarkan ke Sungkai, Perak.


Banyak perubahan dan kemajuan Pekan Parit kini

Banyak kenangan suka duka semasa bekerja di sini.Walaupun aku orang luar tetapi layanan yang aku terima dari orang Parit memang mesra dan melayan aku seperti anak, adik, kawan rapat yang sedia membantu aku sekiranya menghadapi masalah.Kenangan paling manis adalah semasa aku tinggal di Kampung Belanja Kiri, aku diberi layanan yang cukup baik dan mesra sekali oleh penduduk disitu dan kami sekeluarga ibarat sudah menjadi sebahagian dari keluarga mereka.

Aku juga mempunyai ramai kawan-kawan di Kampung itu, Kampung Changkat Banjar, Sadang, Sg Korok, Pasir Gajah, Kg Tua hinggalah kampung-kampung disekitar Tanjong Belanja disamping orang dari Belanja Kanan seperti Kg Tengah, Ekor Lambat dan Layang Kanan.Namun begitu ada juga kisah yang memalit sejarah hitamku disini tetapi biarlah menjadi kenangan hidupku.


Pekan Parit, sentiasa menggamit hati ku
Tapak jeti bot penambang
Tidaklah menghairankan aku kerana ada dikalangan kawan-kawan ku yang menerima jodoh dengan anak tempatan disini kerana kemesraan dan kecantikan serta berbudi bahasa mungkin juga tersangkut kerana bahasa yang unik digunakan orang Parit. Kini mereka masih lagi menetap di Parit.

Aku pernah juga jatuh hati dengan seorang gadis di Parit, tetapi mungkin jodoh tiada diantara kami, sudah lama benar aku tidak mendengar berita dari nya.Namun sesekali berkunjung kesana mata ini tidak terlepas memandang rumah keluarganya dan imbauan kisah lama tetap datang sendiri dikotak fikiranku.
 

Pulau Cempakasari
Jambatan Konkrit menggantikan jambatan Nordin

Semasa tinggal di Belanja Kiri sesekali aku menyeberang ke Pekan Parit dari Kampung Belanja Kiri dengan bot penambang Pak Din.Selalunya aku ke Pekan Parit menaiki motorsikal atau kereta melalui jambatan bradley yang di kenali sebagai jambatan Nordin menyeberangi Sungai Perak dengan laluan sehala mengikut giliran lampu isyarat trafik.

Setelah Pulau Cempaka Sari dimajukan, disitu dibina pula jambatan kayu laluan pejalan kaki dari Parit ke Belanja Kiri, dan sejak itulah perniagaan bot penambang Pak Din beransur malap, tetapi jambatan kayu itu telah roboh dihanyutkan banjir dimana aku adalah diantara orang yang terakhir melalui jambatan tersebut balik ke Kg Belanja Kiri dari Parit sebelum roboh dan dihanyutkan banjir pada sebelah malamnya.

Masjid di Pekan Parit
Menikmati sausana senja di tepi Sg Perak

Kini Jambatan Nordin telah dibina dengan jambatan konkrit yang kukuh lebar dan cantik begitu juga jambatan merentasi Parit, Pulau Cempaka sari, Kg Belanja Kiri telah dibina dengan sebatang jambatan konkrit yang boleh dilalui pejalan kaki, basikal dan motorsikal sahaja.Pemandangan disitu amat menarik terutamanya sebelah malam kerana disinari cahaya lampu yang cantik.

Pernah menyewa rumah di Taman Parit Jaya 1995-1996
 
Semasa bekerja di Parit juga aku diarahkan bertugas menjaga kawasan Mukim Blanja (Kiri) sehingga ke Padang Kangar.Adakalanya juga aku turut membantu dan bertugas di kawasan Belanja Kanan, Layang Kanan, Layang Kiri dan sekali sekala di Bota Kiri, Bota Kanan dan Lambor Kiri serta Kanan.Pernah juga membantu rakan-rakan setugas sehingga ke Kampung Gajah kerana aku ditempatkan dibawah pentadbiran kecil Perak Tengah ketika itu.

sahabat lama di Kg.Blanja Kiri, Parit


Walaupun kini aku telah ditugaskan di Bidor tempat kelahiran aku, namun aku tetap juga berkunjung ke Pekan Parit, Belanja Kiri, Changkat Banjar dan lainnya kerana menemui sahabat-sahabat yang telah aku anggap sebagai saudara.Sekali sekala aku turut merasa rindu untuk kesana terutamanya pada bulan Ramadhan dan cuti Hari Raya Aidilfitri.

Disini aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua orang Parit yang mengenali diri ku kerana telah memberi layanan baik semasa aku disana dahulu.Jasa baik kalian semua amat aku sanjung tinggi dan ku ucapkan dengan jutaan terima kasih.Sekiranya ada tingkah laku aku dan keluarga ku yang kurang menyenangkan semasa bersama dahulu aku menyusun jari sepuluh memohon maaf.

KAMPUNG BELANJA KIRI ~ MEMAHAT MEMORI

Masjid Jauhariyah, Blanja Kiri

Entah mengapa rindu benar aku pada Parit, dan tidak semena-mena selepas aku menziarahi keluarga angkat ku di Senggang, Kuala Kangsar, terus sahaja aku ke Parit untuk menjengah disana pada 20.11.2010.Aku sampai di Pekan Parit jam 6.45 petang.Beberapa ketika di situ aku terus ke Kampung Belanja Kiri yang bolehlah dikatakan kampung kedua ku.Kampung ini nama asalnya ialah Kampung Pauh dan telah ditukarkan ke Kampung Blanja Kiri, sejarahnya tidaklah aku ketahui.

Semasa sampai di Kampung Belanja Kiri, azan Maghrib dari Masjid Jauhariyah, Permatang Pauh, Blanja Kiri pun berkumandang dan aku tidak berlengah terus sahaja singgah di Masjid itu untuk sama-sama berjamaah.Selesai sahaja bersolat jemaah aku mengambil kesempatan bertanya khabar kawan-kawan ku yang sudah lama  tidak berjumpa.

Sedih benar aku melihat sahabat dan pakcik-pakcik yang aku kenali dahulu yang  dimamah usia dan ada yang sudah lupa pada diri ku.Ada diantara mereka yang sudah membujang kerana kematian isteri.Aku tercari-cari tuan yang menyewa rumahnya pada ku dahulu iaitu Cikgu Haji Musa Mohd Noor, setelah diberitahu yang Cikgu Musa tidak datang lagi ke Masjid kerana kakinya sudah dipotong kerana penyakit kencing manis.


Aku menyewa rumah ini 1984 - 1994

Aku turut tercari-cari jiran ku yang selalu bersembahyang di Masjid itu yang aku panggil abang Johor (nama sebenar Zulkefli) tetapi beliau tidak hadir pada malam itu.Kemudian aku sempat juga pergi kerumah tempat aku menyewa dahulu dan didapati hanya gelap gelita kerana penghuni yang tinggal dirumah itu tiada dirumah ketika itu.

Beberapa minit kemudian aku terus sahaja beredar untuk pulang ke Bidor, walaupun tidak sempat menziarahi rumah emak, kakak serta abang angkat ku, namun apakan daya masa tidak mengizinkan, dalam hati ku berkata Insya Allah dihari lain aku akan ke sana lagi.

Pada 18.12.2010 aku pergi lagi ke Kampung Belanja Kiri kerana dipelawa oleh kawan ku dari Bidor untuk menghantar anaknya yang menjadi raja sehari bersama gadis pilihannya di kampung ini.Bagai mengantuk disorong bantal, pucuk dicita ulam mendatang, aku beri persetujuan.Setelah acara akad nikah selesai, aku sempat  berada di luar Masjid, dimana aku dapat bertemu dengan kawan-kawan lama ku dahulu yang lalu lalang melintasi jalan utama kampung disebelah masjid.


Sungai Perak pemandangan dari tebing Kg Blanja Kiri

Aku juga sempat berjalan-jalan di tepi tebing Sungai Perak di Belanja Kiri tempat laluan ku ketika dahulu sambil mengimbau kenangan lalu.Sedih juga hati ketika mengenangkan peristiwa lama yang banyak juga mengusik jiwa ketika itu.Namun hajat ku untuk kerumah keluarga angkat ku tetap tidak mengizinkan kerana urusan menghantar pengantin belum selesai.

Dalam masa yang singkat itu aku melihat beberapa pembangunan baharu telah dilakukan seperti Sekolah Kebangsaan, Masjid, Dewan Orang Ramai, dan rangkaian jalan kampung yang lebih baik. Dewan Tadika tempat anak ku belajar dahulu pun kini dalam pembinaan baharu.

Pembangunan ini berjalan berterusan dari pimpinan bekas ketua kampung yang lama seperti Encik Othman Ahmad, Allahyarham Tuan Haji Cikgu Sarji, Tuan Haji Musa Mohd Noor, Tuan Haji Hassan Basri, Encik Ismail bin Kassim dan kini ketua kampung yang baharu Encik Shamsuddin bin Sarji yangmana telah membawa pembangunan yang rancak di kampung ini.

Jam 1.00 petang, aku dan rombongan pengantin lelaki pergi ke rumah pengantin perempuan untuk majlis selanjutnya.Setelah selesai jamuan makan di majlis perkahwinan itu aku pun ke Kampung Changkat Banjar, untuk kerumah kawan ku yang akan mengadakan majlis perkahwinan anaknya pada keesokan hari, dimana aku tidak dapat menghadirinya.Selepas beberapa minit kunjungan tersebut aku pun berangkat pulang.

SEBUAH RUMAH TUA DI KAMPUNG BLANJA KIRI, PARIT


Rumah tua ini telah dibina lebih dari seratus tahun  telah dibaik pulih beberapa kali dan dapurnya telah dibina baharu kebahagian bawah.Dahulu dapurnya terletak separas dengan ibu rumah.Sebelum ini rumah tua ini berwarna hitam diperbuat dari kayu yang bermasak, masih lagi berkedudukan tegap kerana asas rumah ini kebanyakannya diperbuat dari kayu cengal.Cuma dinding dan lantai sahaja yang banyak telah diganti kerana reput.

Rumah ini terletak di Kampung Blanja Kiri, Parit berhampiran dengan Masjid Jauhariyah Permatang Pauh, Blanja Kiri.Semasa aku tinggal di Kampung Blanja Kiri, pemilik rumah ini yang dikenali sebagai Wan Long (Allahyrhamah) ketika itu berusia lebih kurang 100 tahun dan beliau pernah bercerita semasa rumah ini didirikan ketika itu zaman berkereta kuda lagi.

Rumah ini juga beberapa kali dilanda banjir besar.Aku pernah melihat perahu losong yang diperbuat dari batang kayu yang seusia dengan rumah ini terletak dibawah rumah tetapi perahu tersebut sudah tiada kelihatan lagi sejak 15 tahun yang lalu ketika aku disana lagi, kemanalah perginya.

Setelah Wan Long meninggal dunia rumah ini diwarisi kepada anaknya Puan Tibah binti Mat Yassin dan kini berusia lebih 80 tahun seorang ibu tunggal yang mempunyai 2 orang anak lelaki, tetapi anak bongsunya Allahyarham Zulkifli @ Zon meninggal dunia pada bulan 8.2010 yang lalu.Selepas kematian anak keduanya maka Puan Tibah telah dibawa oleh anak sulungnya kerumah beliau kerana Puan Tibah sudah uzur.
Maka tinggallah rumah ini tanpa berpenghuni.Sesekali anak sulungnyalah yang menjenguk rumah pusaka ini.Disamping itu juga Puan Tibah masih lagi mempunyai  seorang abang yang masih hidup berumur sekitar lebih 80an iaitu Pak Nordin yang tinggal berdekatan rumah tersebut.

Baru-baru ini aku sempat juga menemui anak sulung Puan Tibah iaitu saudara Sham, yang memaklumkan bahawa rumah ini bakal dirobohkan untuk dibina baharu, maka sekirannya rumah ini dirobohkan maka hilanglah satu lagi khazanah pusaka Kampung Belanja Kiri.Rumah tua di Kampung Belanja Kiri bilangannya sudah tidak banyak hanya tinggal beberapa buah sahaja dan usianya tidaklah setua rumah ini.

Catatan:Puan Tibah telah meninggal dunia pada 30.4.2013

KAMPUNG CHANGKAT BANJAR, PARIT, PERAK


Rumah sahabat ku Zulkifli @ Wari, disinilah tempat aku selalu
berkunjung           

Kampung Changkat Banjar, Parit terletak di Mukim Blanja, Parit, Perak kira-kira 12 km dari Pekan Parit.Kampung ini telah dibuka oleh Allahyarham Tuan Haji Abdul Talib bin Kohat pada tahun 1916.Pada asalnya Kampung ini diberi nama Kampung Changkat Chengal dan telah ditukar namanya kepada Kampung Changkat Banjar pada tahun 1950an.Kebanyakan penduduk di Kampung ini adalah dari keturunan Banjar.

Pada tahun 1950an hingga ke 1980an kebanyakan penduduk disini berkahwin dikalangan kelompok saudara mara disini jarang benar yang berkahwin dengan orang luar tetapi selepas itu penduduk di Kampung ini telah ramai yang bertemu jodoh dengan orang luar.Pekerjaan utama penduduk di kampung ini adalah sebagai penoreh getah, pekebun sawit, bekerja sendiri, berniaga dan ada juga yang bekerja dengan kerajaan dan swasta.

Aku telah mula menjejakkan kaki di Kampung Changkat Banjar pada tahun 1980 semasa aku bertugas di Parit. Setelah hampir 17 tahun bekerja di situ boleh dikatakan ramai yang mengenali ku dari yang kecil hinggalah ke orang tua.Ketua Kampung yang pertama adalah Allahyarham Tuan Haji Abdul Talib bin Kohat.

Pada tahun 1980 Ketua Kampungnya adalah Allahyarham Sadar bin Sidek, kemudian diambil alih oleh Abdullah bin Maani, Salleh bin Abdul Hamid,Tuan Haji Zainuddin, Haji Kabri bin Kadri, Satar bin Zakaria (10 bulan), dan kini Ketua Kampung dipegang oleh En Abdul Wahib bin Sani.

Di Kampung ini banyak kemudahan yang telah disediakan seperti sebuah Masjid, Dewan Orang Ramai, Sekolah Kebangsaan Changkat Banjar, dan sebuah Info Desa.Kampung ini juga mempunya jalan tar yang baik dan terjaga.Di keliling kampung ini banyak kebun-kebun getah, sawit dan buah-buahan.

Penduduk disini juga sangat rajin berkebun dan masyarakatnya saling bantu membantu dan melakukan kerja dengan bergotong royong terutamanya berkaitan kenduri dan aktiviti-aktiviti kampung.
Walaupun aku telah lama meninggalkan Kampung Changkat Banjar, namun aku selalu juga berkunjung kesana menziarahi kawan-kawan terutamanya jika ada undangan majlis perkahwinan ataupun berziarah kesana dibulan raya.

Pada 18.12.2010 yang lalu aku telah pergi kerumah kawan ku kerana beliau akan mengadakan majlis kenduri kahwin anaknya pada 19.12.2010, tetapi oleh kerana aku ada urusan lain pada hari esoknya maka aku pergi pada hari memasak.
Ramai juga kawan-kawan ku yang hadir pada petang itu.

Ada juga dikalangan mereka yang sudah tidak berapa mengenali diri ini, namun setelah memberi sedikit maklumat baharulah mereka kenal dan kemesraan terjalin semula seperti dahulu.Mereka tetap melayan aku dengan pertuturan Bahasa Banjar seperti masa aku di sana dahulu, namun banyak yang aku kurang faham kerana lupa sebab sudah lama aku tidak menggunakan bahasa tersebut sejak berpindah ke Bidor.

Setelah jamuan ringan diadakan aku terus bermesra dan bertanya khabar kawan-kawan lain yang tiada pada petang itu daripada mereka yang hadir, setelah diberitahu beberapa orang dikalangan kawan-kawanku dahulu ada yang sudah uzur dan ada juga yang telah meninggal dunia, selepas itu aku terus ke bahagian belakang dimana mereka sedang bergotong royong memasak persediaan untuk hari esok, seronok benar aku melihat dikalangan pakcik dan makcik melihat ku yang masih lagi sudi mengunjungi mereka.

Beberapa jam kemudian aku meminta izin untuk pulang, "semoga kita berjumpa lagi !," itulah yang dikatakan mereka pada ku semasa aku mengatur langkah ke keretaku.




































Jumaat, 19 November 2010

TAMAN PUTERI INDAH, 35500 BIDOR, PERAK DR.

Taman Puteri Indah, Bidor

Taman Puteri Indah, Bidor, Perak adalah sebuah taman perumahan yang masih baharu dibina di Bidor, dibawah pentadbiran JKKK Kampung Dato' Kamarauddin dan telah pun didiami kira-kira 2 tahun yang lalu.Taman ini terletak di Jalan Teluk Intan dan jika dari hala Bandar Tapah sebelum lampu isyarat pertama simpang ke kanan sebelum Pusat jualan Perodua dan melalui jalan utama Rancangan Perumahan Awam 3, Taman Permata, dan masuk ke persimpangan kiri hala ke Taman Puteri Indah ini.


Bentuk rumah yang ada di Taman Puteri Indah, Bidor

Kedudukannya strategik kerana berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan 2, Bidor dan Sekolah Menengah Kebangsaan  Jalan Telok Intan, Bidor.Selian pembeli yang menduduki rumah ini, ramai juga penyewa yang tinggal menyewa disini kebanyakannya penduduknya  adalah dari kalangan guru , polis gerakan am. kakitangan kerajaan, peniaga pesara kerajaan dan pekerja swasta.Penduduk disini adalah terdiri dari pelbagai bangsa, keturunan dan agama seperti Melayu, Cina, India, Orang Asli dan keturunan Singh.

Kemudahan asas di Taman ini adalah seperti Taman-Taman kediaman yang lain lengkap dengan jalan, letrik, bekalan air dan padang permainan tetapi masih belum ada surau untuk beribadah dan juga tiada dewan untuk mengadakan pelbagai aktiviti penduduk disini.Taman ini juga baru ditubuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan telah diluluskan pada 14.4.2010 yang lalu dan buat masa ini masih belum begitu aktif namun aktiviti kecil-kecilan telah dijalankan seperti perjumpaan, ziarah, sambutan perayaan dan kenduri secara kelompok kecilan.
                
Mesyuarat KRT selalu diadakan dirumah Pengerusinya.InsyaAllah KRT di Taman ini akan bergerak lebih aktif pada masa yang akan datang dan sekiranya mendapat peruntukan dari Jabatan Perpaduan Negara disamping dapat menyediakan sebuah pusat KRT di Taman ini.Bagi penduduk beragama Islam buat masa ini beribadat di surau-surau di Kampung-kampung dan di Taman-Taman yang berdekatan dan perjumpaan dan mesyuarat terpaksalah menumpang buat sementara waktu dirumah-rumah ahli.

Penduduk di Taman ini hidup dalam keadaan baik dan harmoni tetapi terdapat juga gejala kurang sihat dari remaja yang suka menonggang motorsikal dalam keadaan laju dan ada juga yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral serta vandalisme yang merosakkan taman permainan kanak-kanak di taman ini.Disamping itu terdapat juga dikalangan penduduk yang bersikap kurang baik membuang sampah harian dimerata-rata tempat dan dipersimpangan-persimpangan jalan.Sikap sedemikian amatlah mendukacitakan kerana boleh mencemar keindahan, kebersihan serta kesihatan ditaman ini.Maka adalah diharapkan supaya penduduk yang melakukan perkara yang kurang disenangi ini berubah kearah kebaikan dan semangat kejiranan dan kebersihan perlu ditanam dikalangan penduduk serta amalan sikap tegur menegur menjadi satu budaya amalan bagi mengatasi masalah ini.

Adalah diharapkan juga penduduk disini tidak mementingkan diri tidak mahu bersama dan bercampur sekiranya ada aktiviti-aktiviti gotong royong, mesyuarat dan sebagainya.Sebagai sebuah masyarakat yang berbilang kaum marilah kita bersatu hati untuk memakmurkan taman ini dan adalah diharapkan dikalangan penduduk menjaga hati dan perasaan jiran tetangga supaya tidak berlaku pertelingkahan dan pergaduhan diantara satu sama lain.Sekiranya kita hidup dalam harmoni, bersih dan berdisiplin maka adalah dirasakan bertambah sejahteranya kehidupan di Taman ini dan menjadi daya tarikan kepada pengunjung untuk datang kesini.



Rumah ku ~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...