Ahad, 7 November 2010

TINTA KASIH ~ AYAHBONDA DALAM KENANGAN


Sesekali ku bawa termenung mengimbau kenangan lama hidup bersama keluarga yang serba kekurangan airmata tanpa dipaksa mengalir jua bergenang di pipi.Maklumlah siapa yang tidak menyayangi kedua ibu bapa serta adik beradik yang sama-sama merasai perit dan derita hidup dalam kemiskinan.

Ayah bukanlah seorang yang berpelajaran hanya mampu melakukan kerja sebagai buruh kasar yang berpendapatan ala kadar untuk menyambung kehidupan keluarga.Walaupun kami sekeluarga tidak semewah orang lain namun tetap dapat meneruskan pelajaran demi masa hadapan.

Tidak cukup dengan pendapatan ayah, ibu terpaksa melakukan kerja-kerja sampingan seperti menoreh getah, mengambil upah membuat kuih muih di musim perayaan serta lain-lain kerja demi mendapatkan rezeki halal untuk keluarga.Syukurlah kami dapat juga merasai kehidupan sederhana di atas perit jerih usaha ayah dan ibu.

Kini segalanya telah berlalu, ayah dan ibu pun sudah tiada lagi kembali untuk selamanya kepangkuan Ilahi.Segala resah, derita dan kesusahan ayah terbalas jua dengan kejayaan kami dalam hidup di atas usaha dan pengorbanan ayah dan ibu sebelum meninggalkan kami. 

Biarlah segala ceritera kesusahan ayah dan ibu menjadi memori yang paling indah dan tidak mungkin luput dari ingatan  kami adik beradik.Kisah kemiskinan dan kesusahan itu akan menjadi sebuah lambang kebahagian kami dewasa ini.Terima kasih ayah dan ibu yang telah banyak berjasa, berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi anak-anak mu.




Gambar kenangan gambar arwah ayah semasa meriba anakku Fifi dan diselah kirinya anak sulong ku Mohd Amirul Hafidz ~di majlis naik buai pada tahun 1991 di Kg.Blanja Kiri, Parit, Perak

Ayah ku telah dilahirkan di Padang Hang, Sanglang, Kedah  pada 30.07.1930 pada catatan kad pengenalannya tetapi aku rasa ayah dilahirkan pada tarikh dan tahun sebelum itu lagi kerana fakta yang aku dapati umur adik keduanya lebih dulu dilahirkan dari ayah, maknanya adiknya tua setahun dari abang, mana mungkin catatan umur ayah ku seperti catatan tersebut, inilah kesilapan masa lalu kerana rekod kelahiran tiada yang benar-benar tepat.Walaupun begitu aku tetap menggunakan tarikh yang tercatat di kad pengenalannya sebagai fakta rekod dalam simpanan aku dan keluarga.

Ayah mengikut keluarganya tinggal di Batu 20, Fida 7, Ko'diang, Kedah.Bapa ayah bernama Salleh dan dikenali sebagai Lebai Salleh yang berasal dari Narathiwat, Thailand dan ibu ayah bernama Chik  dan memang berasal dari negeri Kedah.Ayah merupakan anak yang sulung dari 7 adik beradik terdiri dari 4 orang lelaki dan 3 orang perempuan , iaitu Allahyarham Harun,Allahyarham Abdul
 , Allahyarham Saat, Allahyarhamah Embun, Allahyarhamah Bunga, Hasnah Salleh dan Allahyarham Ismail.Adik ayah yang masih hidup tinggal seorang iaitu Hasnah @ Mak Teh Nah yang kini tinggal di Kampung Sungai Keluang, Mukim Bujang, Merbok.
                         
Sebelum ayah merantau ke Perak ayah bersawah padi, dan berkahwin dengan isterinya dari Perlis, dan dikurniakan 2 oarang anak lelaki tetapi anak yang kedua meninggal semasa kecil, dan anak ayah dengan bekas isterinya bernama Nayan @ Osman dan kini  menetap di Mahang Kedah bersama ibunya yang sudah tua dan uzur.Abang ku itu pun sudah menduda kerana kematian isterinya setelah ayah meninggal dalam sebulan.Abang mempunyai 2 orang anak perempuan dan telah pun berkahwin dan sekarang tinggal di Kuala Lumpur dan di Rawang.
                         
Setelah perceraian ayah dengan isterinya, ayah telah memasuki Polis Khas (SC) pada tahun 1955 - 1958. Pada masa tersebut pemberontakan Parti Komunis Malaya (Bintang 3) berada di penghujung.Ayah ditugaskan di Bidor dan berkahwin dengan ibuku pada tahun 1955 dan memperolehi 5 orang cahayamata 2 lelaki dan 3 perempuan iaitu Hajah Hasnah, Ahmad, Haji Nazeri, Zenah dan Zalina.Setelah ayah menamatkan perkhidmatan Polis Khas, ayah berkerja di Ladang Teh Thong Kiat di Blue Valley, kemudian menoreh getah dan akhirnya ayah berkerja sebagai buruh Kapal Korek, itulah kerja ayah yang terpaksa menggunakan tenaga demi menanggung keperluan asas keluarga, disamping ibu ku yang membantu dengan menoreh getah dan mengambil upah membuat dodol, menjual dodol dan putu kacang dimusim perayaan.
                       
Persekolahan kami ditanggung bersama oleh dua orang saudara yang menoreh getah dan masih membujang ketika itu dan bapa saudara sebelah ibu yang masih membujang juga.Alhamdulilah semua anak ayah berjaya dalam hidup masing-masing dengan taraf kehidupan tersendiri.Ayah telah menderita sakit barah prostat dan selalu keluar masuk hospital dan akhirnya ayah kembali sembuh setelah pembedahan di Hospital Besar Kuala Lumpur , setelah sihat ayah tidak duduk diam ada masanya mencari madu lebah, ber ikan, berkebun, berniaga petai, buah-buahan, dan menjadi jaga atas kehendaknya sendiri walaupun anak-anak sudah cukup untuk memberi perbelanjaan.
                     
Atas kehendak Allah pada 13.3.2008  jam 10.00 pagi ,setelah 3 hari aku menyambut harijadi yang ke 50, aku dikejutkan dengan berita ayah jatuh dalam bilik air kerana stroke dan setelah dibawa ke Hospital Tapah, dan dirujuk ke Hospital, Ipoh, menurut doktor ayah tidak dapat diselamatkan dan boleh dibawa pulang.Pada 14.3.2008 jam 5.30 petang dalam perjalanan balik ke Bidor dengan ambulan ayah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.Beliau meninggal dunia sama sehari dengan kawan baiknya Allahyarham Pak Sharif yang tinggal dihadapan rumahnya, yangmana ayah adalah rakan berbual semasa Allahyarham Sharif terlantar sakit.
                   
Allahyarham Pak Sharif dikebumikan pada petang itu juga, dan jenazah ayah sampai kerumah jam 6.15 ptg berselisih dengan jenazah Allahyarham Pak Shariff semasa keluar dari kawasan rumahnya berhadapan rumah ku di Kampung Cegar.Jam 11.30 pagi keesokannya ayah dikebumikan berdekatan dengan kubur Allahyarham Pak Shariff, itulah yang dikatakan kawan karib dan mati pun bersama.



Ibu ku, Sabtiah Maarof telah dilahirkan di Bidor pada 17.12.1933.Allahyarham bapa ibu berasal dari Medan, Sumatera dan telah berhijrah ke Bidor sebelum Jepun menyerang Tanah Melayu dan telah berkahwin dengan Azizah bt, Hj Shahbuddin yang memang dilahirkan di Bidor.Ibu adalah anak kedua dari 5 orang adik beradik.

Ibu telah berkahwin dengan Allahyarham Harun b. Salleh (arwah ayah) pada 1955 atau pun awal 1956 dan memperolehi 5 orang cahayamata 2 lelaki dan 3 orang perempuan.Anak yang sulung adalah Hasnah, kedua Ahmad, ketiga Nazeri, ke empat Zenah dan yang ke lima zalina.Ibu telah mempunyai cucu seramai 24 orang dan masih belum mempunyi cicit berbanding ayah yang telah mempunyai anak, cucu dan cicit dari perkahwinan terdahulu.

Pada jam 4.20 pagi 23.6.2011 aku telah dikejutkan dengan panggilan talipon oleh adik ku yang memaklumkan berita pemergian ibu pada 4.15 pagi.Hati ku bagai terpukul dan perasaan ketika itu bagai bergelombang di antara sedih dan redha kerana ibu telah lama menderita sakit.

Walaubagaimanapun aku tetap dapat memujuk dan mengawal diri dari mengalirkan airmata dengan harapan aku dapat menerima kenyataan dan menghadapi ujian Allah.Lagi pun kami sekeluarga memang sudah bersedia menghadapi kenyataan ini kerana keadaan ibu yang semakin merosot sehari demi sehari.Pada malam sebelum ibu menghembus nafasnya aku melihat keadaan ibu yang sudah kelihatan tenat dan amat lemah.

Kakak dan adik ku yang tinggal di Air Hitam Johor telah kami hubungi, begitu juga dengan adik-adik ibu dan saudara terdekat untuk menyampaikan berita sedih ini.Kakak dan adik serta adik ibu dari Kuala Lumpur bergerak pulang selepas menunaikan fardhu subuh agar sempat sampai sebelum upacara pengkebumian. 

Aku terus mengejutkan anak teruna sulung ku yang tidor untuk menyampaikan berita sedih ini, namun anak ku tidak sabar secekal hati ayahnya, lalu dia pun teresak-esak menangis dalam bilik.Aku cuba menahannya dari berbuat demikian walau ketika itu dadaku turut sebak setelah mendengar suara tangisan anak ku sulungku itu.Aku bergegas bersiap untuk ke rumah adik di Felda Gunung Besout dimana ibu terlantar sakit selama ini dan menghembus nafasnya yang terakhir.

Pada jam 4.55 pagi aku dan anak sulung ku Hafidz bergerak untuk ke sana dan membiarkan Hafidz memandu berseorangan setelah sampai di hadapan Balai Bomba Bidor kerana aku menaiki kereta adik ku Haji Nazeri yang menunggu di situ.Aku menaiki kereta adik kerana kami boleh berbincang dengan adik untuk melancarkan upacara pengurusan jenazah dan pengkebumian.

Lebih kurang jam 5.20 pagi aku sampai di perkarangan rumah adik perempuan ku Zenah di Felda Gunung Besout dan mendapati beberapa orang jiran tetangganya telah berada di situ.Setelah bersalaman dengan mereka adik perempuanku datang dan memeluk ku dengan tangisan, aku masih lagi dapat menahan airmata walaupun ketika itu hatiku sebenarnya menangis dan amat sayu sesayu hening subuh ketika itu.Aku mendengar anak saudara ku tidak putus-putus membaca Al-Qur'an.

Selepas aku menyabarkan adik perempuan ku aku terus sahaja memasuki ruangan dimana jenazah ibu terlantar.Aku membuka penutup mukanya lalu aku menghadiahkan dengan Al-Fatihah dan beberapa ayat suci Al-Qur'an.Setelah mengucup dahinya aku pun beredar untuk menyambung perbincangan pengurusan jenazah dengan adik, adik ipar dan beberapa orang kenalan yang aku kenali yang juga jiran tetangga adikku.

Setelah keputusan diambil selepas subuh aku bergerak pulang ke Bidor untuk membuat persiapan pengkebumian di sini.Anak ku memandu laju membelah sunyi di awal pagi itu.Dalam perjalanan aku memaklumkan berita kesedihan ini kepada anak, saudara mara, rakan, sahabat dan rakan sekerja yang aku kenali melalui talipon.Sesampai di Bidor aku mengambil motorsikal supaya senang aku bergerak dan anak lelaki ku meneruskan perjalanan ke Seri Iskandar untuk mengambil anak bongsuku yang belajar di sana.

Rumah yang mula aku tuju di adalah rumah pemandu kereta jenazah yang akan di gunakan untuk membawa jenazah ibu nanti.Penggali kubur telah kami hubungi melalui talipon ketika berada di rumah adik ku di Besout lagi.Kami ingin menyegerakan upacara pengkebumian dimana persiapan pengurusan jenazah dilakukan disana.Setelah itu aku kerumah jiran-jiran di kampungku untuk memberitahu berita kematian ini dan meminta bantuan mereka memngemas rumah pusaka yang tertinggal sekian lama.

Aku balik sekejap ke rumah kediaman ku untuk membuat persiapan lain.Selepas itu aku pergi semula ke rumah pusaka dan mendapati 3 orang jiran yang merupakan sahabat karib ibu telah siap mengemas rumah.Aku duduk termangu di atas kerusi di luar rumah di mana setiap orang lalu lalang ku khabarkan berita kematian ini.Walaupun pengumuman berita ini telah disampaikan oleh beberapa orang kenalan di Masjid Bidor.

Jam 8.00 pagi aku ke kedai untuk membeli air dan roti untuk penggali kubur yang sudah berada di Tanah Perkuburan Bidor.Jam 9.30 pagi Hafidz dan adiknya selamat sampai serta turut membantu menyiap dan menyempurnakan persiapan akhir di rumah.Jam 10.15 kereta jenazah bergerak ke Felda Besout ditemani oleh anak saudaraku untuk mengambil jenazah ibu yang sudah siap dikafankan.Setelah disembahyangkan di Masjid Felda Gunung Besout 2, maka jenazah pun bergerak ke Bidor dimana jiran tetangga, sahabat handai, saudara mara dan orang ramai sudah bersedia menanti.

Pada pukul 12.00 tengahari rombongan yang mengiringi jenazah dan kereta jenazah selamat sampai di rumah pusaka di Kampung Cegar, Bidor.Ramai dikalangan kawan, sahabat dan saudara mara yang menatap wajah ibu untuk kali yang terakhir.Jenazah telah disembahyangkan sekali lagi.Setelah itu kami pun membawa jenazah ibu untuk di kebumikan di Tanah Perkuburan Bidor.Acara pengkebumian selesai pada waktu azan zohor berkumandang.

KE PUSARA AYAHBONDA

Mentari baru melimpah sinar menerangi pagi terasa dingin kala bayu bertiup lembut membelai menyapa pohon-pohon bunga yang mengharum di tanah pusara.Di tika itu aku bersimpuh berteleku di sisi pusaramu lalu ku sentuh batu nisan bertanda dan daunan rumput yang masih basah disimbahi embun dan kabus datang menyinggah.

Maka mulalah aku menadah kedua telapak tangan ku lalu memohon kepada Mu Allah Tuhan sekelian alam bersama al-fatihah, surah dan doa yang ku baca untuk ku hadiahkan pada  mu dan  mereka yang telah pergi meninggalkan alam dunia ke alam Barzakh agar di cucuri rahmat Ilahi.

Kini mentari menyuluh tinggi menampakkan wajahnya tersenyum berhaba maka beredarlah anakanda pergi bersama sayu hati meninggalkan ayahanda di pusara nan sunyi, semoga damailah engkau di sana. Entah bila berkesempatan anakanda menziarahi lagi namun kenangan tika bersama kembali menerpa ingatan walaupun pusara mu kini kian jauh ku tinggalkan.


Semoga Roh Ayahbonda berada bersama roh-roh orang yang soleh..
AL-FATIHAH

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...