Rabu, 3 Ogos 2011

AIDILFITRI


Setelah tamat sebulan berpuasa Ramadan apabila kelihatan anak bulan syawal secara rukyah dan hisab maka bermulalah umat Islam seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Puasa.Sebelum bermula sembahyang sunat hari raya selagi itu zakat fitrah boleh dibayar dan setelah sembahyang sunat itu bermula maka tamatlah tempoh kutipan fitrah.

Menjelang hari raya puasa orang ramai telah bersiap sedia menyediakan kuih muih dan juadah hari raya.Pakaian diri dan anak-anak semuanya telah ditempah atau dibeli di Pasaraya, gedung pakaian atau butik.Di corong-corong radio, telivisyen, di pasaraya dan gedung membeli belah berkumandang dengan lagu-lagu yang bercirikan sambutan hari raya dengan secara tak langsung menggamit hati  anak rantau di kota untuk kembali berhari raya di desa.


Seminggu sebelum hari raya sehinggalah menjelang malam hari raya rumah dihiasi dengan langsir dan persiapan lain yang baharu.Di jalan-jalan raya dan Lebuhraya sesak dengan ngauman bunyi kenderaan orang ramai, anak rantau pulang menuju ke desa untuk berhari raya di samping ibu bapa dan keluarga tercinta.

Pada petang dan malam hari raya ibu bapa sibuk di dapur menyiapkan persediaan terakhir, selalunya mereka membakar lemang, merebus ketupat dan membuat rendang.Ini adalah makanan tradisi setiap kali sambutan hari raya di Malaysia.Setelah itu bapa-bapa akan ke Masjid dan surau untuk bersembahyang maghrib dan Isya'.Selesai sembahyang Isya' jemaah memulakan pergerakan kumpulan ziarah rumah kerumah sambil bertakbir, bertahmid dan berdoa  sambil menjamu selera serta bermaaf-maafan.


Acara bertukar ucapan salam hari raya di sana-sini, anak-anak riuh berlari di halaman sambil bermain bunga api.Pelita minyak tanah atau panjut serta lampu berkerlipan menghiasi malam.Sesekali di dapur adik beradik dan ipar duai bergurau senda kerana sudah lama tidak bersua.Anak muda berpeleseran di persimpangan jalan mungkin menanti buah hati yang masih belum tiba dari kota.Hilai gelak ketawa memecah kesunyian malam.

Pada pagi hari raya orang Islam berduyun-duyun ke Masjid dengan memakai pakaian berbaju Melayu, atau berjubah dengan aneka bentuk, fesyen dan corak.Berbau harum dan wangi dengan haruman air mawar dan minyak atau semburan pewangi.Setelah selesai sembahyang sunat hari raya ada yang terus menziarahi rumah keluarga, saudara serta sahabat handai dan ada juga yang menziarahi kubur ibu bapa, keluarga dan saudara yang telah meninggal dunia. 



Acara kunjung mengunjung dan rumah terbuka pada hari itu bebas untuk dikunjungi oleh sesiapa tidak mengira usia, jantina, bangsa dan agama.Anak-anak kecillah yang memeriahkan suasana hari raya kerana berjalan berkumpulan menziarah rumah kerumah sambil menikmati juadah hari raya sambil mengutip sumbangan duit raya.Pada masa inilah sahabat handai dan saudara mara boleh bertemu dan bersua setelah sekian lama terpisah.

Apabila tiga atau empat hari sambutan perayaan itu mula berkurangan meriahnya kerana anak-anak rantau mula meninggalkan desa untuk kembali semula ke kota meneruskan hidup di rantauan mencari rezeki.Maka tinggallah ibubapa yang sudah tua berwajah suram kerana terpaksa berpisah dengan anak menantu dan cucu-cucu.


SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI , MAAF ZAHIR & BATIN

 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...