Sabtu, 11 Disember 2010

SMIOB




A Group for SMI OLD BOYS and GIRLS only. Present boys and girls are welcome too.
We do sports and recreational activities as well as charity works for the benefit of community and our school, St. Michael's Institution Ipoh. If you have join our activities before or interested to be part of us do join us.

Once a Michaelian always a Michaelian.

(petikan dari Info Fb SMIOB)



Mohd Dzran
Presiden


Mohammad Firdaus Musa (Malaysia)
Setiausaha


Mohd Fazli Mat Doa
Penolong Setiausaha


Eijall LeMond Contayna
Bendahari


Syarif John (Philippines)
Penolong Bendahari


Halfpeace Feardous
Exco Pelajaran, Motovasi dan Pembangunan Pelajar


Syaf Ahmad
Exco Teknikal


Aizat Mohd Roslan
Exco-Registration & MembershipExco Pendaftaran dan keahlian


Hanil Hanif
Exco Kebajikan


HaFiz ZuLkifli
Exco Sukan dan Rekreasi
 

Mohd Dzran (Presiden)

Tokwan turut bergambar bersama SMIOB
11.12.2010 di SMI, Ipoh

sukan rugby smiob vs pasukan SMI




Aktiviti yang dijalankan:

1. Sukan futsal dan rugby
2. Perjumpaan/Pertemuan Tahunan
3. Kursus motovasi untuk pelajar.

Keahlian setakat 11.12.2010 seramai 422 orang ( dari bekas murid St.Michael, Ipoh tanpa mengira kaum, keturunan dan Agama.

petikan dan olahan~


Jumaat, 10 Disember 2010

MR SMITH DAN WAN DOLAH ~



Pada masa Malaysia sebelum Merdeka (masih dikenali sebagai Malaya ketika itu), Malaya dibawah jajahan Inggeris dan bangsa merekalah yang banyak membuat pelbagai urusan pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan lain-lain lagi.Orang Inggeris suka mencuba perkara baru termasuklah dalam mempelajari Bahasa Melayu, disini aku ingin bercerita berkaitan seorang Mat Saleh yang ingin belajar Bahasa Melayu.Kemana sahaja dia pergi atau berada dia akan membawa sebuah buku catatan untuk menulis dan mengetahui sebutan bahasa itu untuk dijadikan kamus.

Pada satu hari Mat Saleh ini pergi ke Negeri Kelantan menyusuri Sungai Kelantan dengan menaiki sebuah sampan yang dikemudikan oleh seorang pengayuh sampan.Orang putih yang bernama Mr.Smith itu duduk di bahagian depan, dan pengayuh sampan duduk dibahagian belakang sambil mendayung.Maka berlakulah dialog antara dua insan ini, seperti biasa Mr Smith mengeluarkan buku catatan dan pensilnya untuk mencatat perkataan baharu yang bakal diperolehinya.


Dialog~

Pendayung: siapa nama tuan ?

Mr Smith: ow! nama saya Mr. Smith, siapa nama encik....

Pendayung: Owww !...Wan Dolah

Mr Smith: One dollar ?, lalu Mr Smith pun bertanya lagi, orang Melayu cakap ini apa... (menunjukkan sampan)

Wan Dolah: Ini sampan...

Mr Smith: oww sampan ! (sambil menulis pada buku catatannya) dan bertanya lagi.. ini apa...(sambil menunjukkan kepada pendayung)

Wan Dolah: owwww ini pendayung, tuan...

Mr Smith: Owww I see, pendayuonggg huh ! (menulis dibukunya, sebutan ala Inggeris, tulisan tetap betul dalam ejaan Bahasa Melayu)

Wan Dolah: Ya ! tuan, pendayung...(sambil mendayung sampannya menongkah kehulu sungai, siksa rasanya, maklumlah orang putih itu bertubuh besar..),  tiba-tiba Wan Dolah terkentut dengan bunyi yang kuat....puuuttt ...boottttt!!!!!

Mr Smith : (terdengar bunyi kentut Wan Dolah yang kuat itu) , lalu dia berkata ~ Ow good, very fine...
lalu Mr Smith pun bertanya perkataan apa yang sesuai dengan bunyi angin yang terkeluar dari Wan Dolah tadi..,sambil bertanya dalam keadaan suka kerana dapat perkataan yang  istimewa pada hari itu...
itu bunyi apa.....

Wan Dolah: owww itu.. itu kentut tuan...(sambil tersenyum...)

Mr.Smith: apa ken..., kon... tuk... (agak susah dia nak menulis ejaan bagi perkataan yang kurang jelas padanya) lalu
dia berkata: coba lagi ...! meminta Wan Dolah menyebut perkataan itu lagi.

Wan Dolah: tak boleh tuan...

Mr Smith: kehairanan kerana tadi Wan Dolah boleh menyebut perkataan itu dengan mudah..
lalu berkata :coba lagi ! (sambil mengulanginya beberapa kali...)

Wan Dolah : puas untuk mengeluarkan angin dari perutnya (cuba kentut).... lalu berkata, tak boleh tuan...

Mr Smith: dah naik marah... coba lagiiii.... (suaranya agak meninggi...)

Wan Dolah: tak boleh tuan.....

Mr Smith: Pasal apa tak boleh tadi boleh ...

Wan Dolah: sudah keluar tahi tuan....(setelah puas meneran angin berkali-kali dengan kuat ...)

Mr Smith: Hisyyyy !


coba ~ cuba

*Cerita ini aku olah semula dari cerita asal buku majalah MESRA lebih kurang tahun 1971 dahulu, aku masih teringat lagi ruangan jenaka ini yang tak boleh aku lupakan...tapi aku buat sedikit penambahan dan olahan baharu...majalah dan nama majalah tersebut pun sudah lenyap)






              

Selasa, 7 Disember 2010

HUTAN LIPUR KUALA WOH TAPAH, PERAK DR.


Pada petang 7.12.2010 entah mengapa hati ku teringin sangat untuk pergi melihat perkembangan dan pembangunan baharu di Hutan Lipur Kuala Woh.Aku selalu mendengar cerita dari kawan-kawan terdapat banyak perubahan disini jika dibandingkan pada masa-masa lampau.Sudah lama juga aku tidak datang kesini.Tidak berlengah aku memulakan perjalanan ku menuju destinasi ku itu menyusuri Pekan Tapah dan memasuki Jalan Pahang hala ke Cameron Highland.Dikiri kanan jalan terdapat pemandangan bukit dan gunung-ganang yang hijau dan biru.Setelah aku sampai aku dapati memang perubahannya terlalu ketara cantik dan bersih tidak seperti dahulu.



Jarak Hutan Lipur Kuala Woh ini dari pekan Tapah kira-kira 10 km melalui Jalan Pahang yang sedikit berliku-liku.Pelbagai kemudahan telah disediakan seperti bilik persalinan, kedai menjual makanan, tempat letak kereta yang luas, Pejabat, Chalet,  tapak khas perkhemahan , surau dan Pusat Informasi juga sedang dalam penyiapan akhir.Hutan Lipur ini adalah dibawah seliaan tadbir Jabatan Perhutan Daerah, Tapah.Pegawai Khas memang ada ditempatkan disini.




Di sini memang sesuai untuk aktiviti riadah, seperti berkhemah, sambutan hari keluarga, mesyuarat , acara sambutan rasmi, BBQ, majlis sumbangsaran disamping bermandi manda, sesuai untuk membawa keluarga dan anak-anak kerana kawasan mandi disitu luas dan tidak begitu dalam dan bahaya cuma mandi manda ditegah jika waktu hujan kerana air sungai menjadi deras.Kolam air panas juga terdapat di sini dan  tapaknya telah diubah suai untuk menyenangkan pengunjug melihat air di kolam tersebut yang berbau belerang.Kemudahan untuk menyalin pakaian dan bilik mandi serta tandas turut disediakan untuk orang ramai.



Untuk majlis perbincangan atau sumbangsaran disini disediakan tempat untuk siap berbumbung tanpa ada dinding.Di Hutan Lipur Kuala Woh juga ada disediakan Pusat Galeri untuk rujukan pelajar atau orang ramai berkaitan hal-hal perhutanan di Malaysia, untuk ke Pusat Galeri tersebut sebatang jambatan gantung ada disediakan yang boleh dilalui seramai 10 orang setiap kali menggunakannya, dan risiko bahaya semasa menggunakannya adalah dibawah tanggungjawab sendiri.



Disetiap penjuru kawasan dan ditepi-tepi pokok terdapat info yang dipaparkan untuk tatapan dan bacaan kepada pengunjung untuk menambah pengetahuan.Untuk mereka yang suka kepada aktiviti lasak, seperti merentas hutan juga boleh dilakukan dengan juru pandu yang disediakan oleh Jabatan Perhutan dan dikenakan sedikit bayaran.Mereka yang ingin bermalam di Chalet keluarga, Pondok kanopi A juga disitu disamping mereka yang berminat dalam aktiviti berkhemah kawasan tapak khemah juga ada disediakan mengikut petak-petak khas, semua jenis kediaman penginapan dikenakan bayaran yang tidaklah begitu mahal.Bagi penyediaan makanan pengunjung boleh membawa dari rumah dan masak sendiri ditempat-tempat khas dan sekiranya ingin mendapatkan khidmat katering juga boleh dirundingkan.


Bagi mereka yang ingin melihat adat resam dan cara hidup komuniti Orang Asli disini terdapat sebuah perkampungan  yang berdekatan iaitu Kampung Orang Asli Kuala Woh.Mereka memang menitik berat akan Sungai Woh ini yang mereka anggap hidup mereka dan sungai itu seperti aur dengan tebing.Dari Info yang sempat juga aku baca disitu asal usul Orang Asli disini asal usulnya dari Afrika yang berhijrah kesini dan serata Asia Tenggara puluhan ribu tahun yang lampau dan amalan dan cara hidup mereka tetap mengikut adat resam yang dibawa oleh datuk nenek dan moyang mereka  yang diamalkan dari generasi kegenerasi berikutnya.Punca utama pencarian mereka adalah hasil hutan seperti petai, ubat-ubat tradisional dari hutan dan kerja-kerja lain.




Untuk mendapat ketenangan jauh dari kebisingan dan kesibukan kota adalah dirasakan tempat ini memang sesuai untuk seisi keluarga dan sahabat handai jika ingin mengadakan aktiviti riadah atau pun perjumpaan.Bagi yang suka berkaraoke di sini pun boleh ! kalau lalu boleh dari malam sehingga ke pagi tanpa ada orang yang menganggu, ikut keadaan masa yang sesuai.



LUBOK DEGONG, BIDOR, PERAK DR.


Air terjun Lubok Degong
 (LUBUK NO. 1)

Air Terjun Lubok Degong atau dikenali sebagai Bidor Waterfall ataupun Gepai Waterfall terletak dikaki Banjaran Titiwangsa.Jauhnya dari Pekan Bidor kira-kira 8 km dan boleh dimasuki dengan pelbagai kenderaan darat.Pada masa dahulu kawasan Lubok Degong ini dibawah kawalan perintah berkurung kerana kegiatan komunis.Walaupun begitu bagi pengunjung adalah dibenarkan tetapi perlu meninggalkan kawasan tersebut sebelum jam 6.00 petang, pada tahun 1989 Lubok Degong telah dibuka semula, setelah ancaman komunis reda kerana perjanian diantara Kerajaan Malaysia, Thailand dan Parti Komunis Malaya di Thailand.

Untuk pergi ke Lubok Degong perlu melalui pekan Bidor hala ke lebuhraya tetapi masuk ke kiri hala ke Kampung Jalan Paku, Bidor.Dalam perjalanan tersebut terdapat perkampungan orang Melayu di Kampung Jalan Paku, Taman Putra, Taman Daya, Perkampungan Orang Asli Kampung Chang dan Gepai.Di sepanjang laluan sebelah  kiri kanannya merupakan kawasan pertanian seperti dusun durian, tanaman getah, sawit dan lain-lain.

Pemandangannya memang cantik dan indah kerana Lubok Degong mempunyai air terjun yang cantik dan terdapat kawasan mandian yang dikenali sebagai lubok.Lubok Degong mempunyai 4 buah lubok yang dikenali sebagai lubuk nombor 1 hingga ke lubok nombor 4 dan terdapat 2 buah lubuk lagi dikawasan sebelah atas air terjun yang dikenali dan dipanggil Lubok Kawah dan Lubok Puteri, tetapi untuk sampai kesitu memang berbahaya kerana terpaksa menaiki laluan sempit berbatu melalui bukit dan laluan yang licin.Aku pernah kesitu hanya sekali dalam hidup dan gerunnya sampai kehari ini kerana tidak boleh melupakan saat cemas semasa menyusuri laluan yang sempit yang selebar lebih kurang 6 kaki dilereng bukit berbatu yang tinggi dan licin, ramai yang menemui ajal disini kerana tergelincir jatuh kebawah.

Pada tahun 60an sehingga pertengahan 70an, Lubok Degong selalu dikunjungi oleh pelancong dari kawasan sekitar dan ada yang datang dari negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan lain-lain.Banyak kenderaan yang masuk ketika itu termasuk bas-bas yang membawa pelancung dan murid-murid sekolah.Aku kesana pada tahun 1960an dengan berjalan kaki beramai-ramai, menumpang menaiki motorsikal dan berbasikal.Setelah berlaku kemalangan jiwa yang ramai akibat tergelincir dari laluan batu, dan ada yang tergelincir kedalam luboknya yang dalam.Di Lubok nombor satu pernah ada yang menyukat dengan galah buluh yang panjang itu pun tidak sampai kedasar.Pernah juga berlaku kemalangan lemas yang melibatkan guru dan pelajar atau pelajar dengan pelajar begitu juga dengan orang perseorangan yang cuba menyelamatkan mangsa lemas, akhirnya dia juga turut tenggelam didasar lubok.


Lubok No. 2

Oleh sebab itu Lubok Degong ditutup untuk aktiviti pelancungan kerana kawasan ini terlalu bahaya untuk mereka yang tidak memahami selok belok lubok yang terdapat di sini.Sekarang ini Lubok Degong dikunjungi oleh orang tempatan yang biasa dengan keadaan disini.Bagi mereka yang datang dari luar hanya bermandian dipinggir-pinggir lubok yang agak cetek dan mendatar.Sesekali kesana kita terhibur juga melihat anak Orang Asli yang begitu berani terjun dari atas titi yang merentangi lubok nombor tiga kira-kira segalah tingginya dari permukaan air.


Lubok Nombor 3

Pada cuaca yang mendung atau hujan dijangka turun ramai yang tidak berani untuk berenang atau bermandi manda serta berkelah disini kerana hujan disebelah hulu Lubok Degong akan menghanyutkan limpahan air yang besar dan deras  dan terlalu bahaya untuk aktiviti mandi manda.Terjahan dan limpahan air yang tiba-tiba ini dikenali sebagai kepala air.


Lubok Nombor 4

Aku selalu juga membawa kawan-kawan berkelah atau bermandi manda di sini tetapi dikawasan-kawasan yang agak selamat.Sekiranya mereka menunjukkan keberanian aku tetap melarangnya.Pernah orang luar yang pandai berenang turut tenggelam di Lubok ini ada yang sampai 3 hari baharu timbul mayatnya.Selalunya jika berlaku kemalangan seperti ini pakar selam dari tentera laut, polis marin dan kini bomba dipanggil untuk mengesan mayat yang tenggelam, ada yang tidak dapat dikesan kerana menurut mereka lubok ini terlalu dalam dan dalam keadaan air dilubok berkeadaan gelap serta merbahaya kepada penyelamat, jadi terpaksalah tunggu mayat ini terapung dengan sendiri.

 Pada tahun 1960an dan 1970an ada juga mangsa kemalangan ini yang tenggelam tetapi gagal untuk dibawa naik ke atas oleh anggota penyelamat.Pada masa itu ramai yang pergi melihat operasi menaikkan mayat dari lubok tetapi ada seorang yang agak sudah berumur menawar diri untuk mengambil mangsa yang telah tersepit dicelahan batu lubok, orang itu mengambil masa lebih dari 10 minit menyelam  tanpa memakai peralatan pernafasan hanya pinggangnya sahaja diikat dengan tali sebagai keselamatan dan isyarat kepada orang dibahagian atas mengetahui keselamatannya didalam air dan setelah beliau naik dari menyelam serta menunjukkan isyarat maka pihak penyelamat menarik tali yang berikat mayat terkujur dan telah kembung itu.Hebat sungguh orang tersebut, biarlah namanya aku rahsiakan dan kini beliau telah pun meninggal dunia lebih dari 15 tahun yang lalu.

Air di Lubok Degong sangat bersih dan cantik tidak langsung tercemar, jernih dan airnya sejuk.Hutan dikelilingnya juga masih ada dan tumbuhan rimba menghijau menyejukkan saujana mata memandang.Sekiranya ada yang hendak melawat apalah salahnya tetapi jangan cuba-cuba untuk menguji diri terjun, berenang atau memanjat bukit kerana terlalu berbahaya kepada diri sendiri dan orang lain.




MELUKUT ~



Apakah yang dikatakan melukut ? melukut adalah merupakan beras hancur yang berada didalam kelompok beras yang sempurna sifatnya.Kedudukan melukut didalam beras tidaklah membawa sebarang perubahan semasa beras itu ditanak kerana sifatnya adalah terlalu kecil dalam komponen beras tersebut sebelum menjadi nasi.


Maka timbullah satu bidalan, simpulan bahasa, peribahasa dan perumpamaan orang Melayu yang berkaitan dengan melukut ini yang berbunyi , seperti melukut di tepi gantang, adanya atau pun tiada melukut itu sifatnya tidak menambah atau mengurangkan bilangan beras didalam gantang tersebut.Perumpamaan tersebut bermaksud seseorang yang sumbangannya dalam masyarakat tidak membawa apa-apa perubahan, sama ada dia menyertai atau pun tidak dalam kelompok masyarakat disesuatu kawasan.


Oleh itu bersesuaianlah dengan diriku yang serba kerdil dalam kelompok masyarakat yang bolehlah dianggap seperti nasib melukut ini, kerana jawatan, pangkat, rupa dan harta wang ringgit serta ilmu yang ku miliki tidak sebesar mana pun yang boleh membawa diri ini berada ditengah-tengah masyarakat ataupun tidak berdaya untuk melakukan sebarang perubahan suasana.Suara ku pun dalam setiap acara, majlis atau pun mesyuarat selalunya tidak akan dipandang oleh mereka yang berkedudukan tinggi didalam kelompok tertentu.


Apabila terjadinya hal berkenaan maka biarlah aku menggelar dan menganggap diri ku hanya sebutir melukut yang sumbanganku kepada masyarakat amatlah kecil dan tidak begitu dipandang.Merendah diriku adalah bertempat dan ku rasa bertepatan....

Cantik bulan dipagar bintang
dimalamnya hari bercahaya terang
Bagai melukut ditepi gantang
masuk tak cukup keluar tak kurang





KEMALANGAN JALAN RAYA


Sedih, cemas, kasihan dan ngeri apabila setiap hari kita, lihat, baca, dengar dan menonton berita berkaitan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kecederaan parah, kematian dimana anak-anak menjadi yatim piatu, ibubapa kehilangan anak, isteri menjadi balu dan sebaliknya dalam masa yang tidak sangka-sangka.Kemalangan jalan raya adalah amat menakutkan tidak kira dimana, bila dan siapa yang akan terlibat dalam tragedi kemalangan jalan raya.Kemalangan kenderaan besar bertembung sesama sendiri atau terbabas boleh mengakibatkan kenderaan lain terlibat sama dan boleh mengakibatkan jumlah kecederaan dan bilangan kematian yang ramai.Terutamanya kemalangan bas yang banyak berlaku dewasa ini kerana terbabas atau bertembung dengan kenderaan lain kerana memandu dalam bahaya, laju, dibawah pengaruh arak dan dadah atau memandu dalam keadaan mengantuk.

Kebanyakan kemalangan maut terjadi dikalangan penonggang dan pembonceng motorsikal dan kereta..Kemalangan yang melibatkan motorsikal selalunya berakhir dengan berita kematian kerana penunggang dan pembonceng mempunyai risiko yang tinggi kerana terpaksa berhadapan dengan kenderaan yang lebih besar darinya.Kemalangan motorsikal juga boleh berlaku sekiranya terdapat perlumbaan haram diatas jalan raya samada bertembung dengan kenderaan lebih besar mahupun bertembung atau bergesel diantara sendiri.Terdapat juga kemalangan ngeri yang berlaku bertembung dengan kenderaan berat seperti lori, trailer, bas dan kereta.


Dalam soal memandu dan menunggang motorsikal perlulah berhati-hati dan pemandu kenderaan besar perlulah mengambil sikap berhati-hati serta mempunyai sikap bertimbang rasa dan berhemah terhadap  kenderaan yang lebih kecil darinya dijalan raya terutama motorsikal.Dari pengalaman ketika menunggang motorsikal atau memandu kereta aku pernah melalui pengalaman yang kurang senang terhadap pemandu-pemandu lori dan bas ekspres yang tidak memikirkan keselamatan orang yang memandu kereta atau yang bermotorsikal.Mereka memandu dalam keadaan laju serta memotong kenderaan tanpa memikirkan keselamatan orang yang lain.

Pengalaman semasa memandu ikut peraturan jalanraya disatu kawasan had laju ditetapkan 60km/jam tetapi ada pemandu lori yang suka memberi isyarat lampu dan membunyikan hon dalam keadaan marah kerana mereka tidak dapat memotong dan memandu laju dikawasan jalan yang bengakang bengkok, sempit dan bergalur 2 garisan putih.Setelah aku memberi peluang dia memotong maka kelendan lori tersebut memaki hamun dan menunjukkan isyarat lucah pada ku. Apakah yang menghantui mereka ini hingga tidak tahu mengikut aturan undang-undang jalan raya dan memandu dengan laju merbahaya dan tidak berhemah kepada pengguna jalanraya yang lain.


Ada juga dikalangan pemandu kenderaan berat, bas dan kereta yang memotong kenderaan lain sesuka hati di kawasan yang tidak dibenarkan untuk memotong, oleh kerana sikap pemandu yang tidak berdisiplin ini maka mengakibat kemalangan menimpa kepada orang lain yang memandu kereta atau penunggang motorsikal yang berhati-hati dan tidak bersalah.Aku dapati ada juga pemandu yang keluar dari simpang tidak memikirkan kenderaan lain terutamanya motorsikal yang melalui jalan utama, dan akibat kerakusan mereka mengejar masa menjadikan orang lain ditimpa musibah.

Begitu juga aku pernah melihat pemandu-pemandu lori, kereta dan penunggang motorsikal tidak memperdulikan keselamatan pejalan kaki atau penunggang basikal.Mereka sewenang-wenangnya meletakkan kenderaan dibahu-bahu jalan dan berhampiran simpang dikawasan yang sepatutnya adalah laluan untuk pejalan kaki dan penunggang basikal.Maka terkais-kaislah mereka ini untuk melepasi laluan  meneruskan perjalanan mereka.Pemandu lori atau kereta juga janganlah meletakkan kenderaan mereka sesuka hati dibahu-bahu jalan atau di laluan kecemasan di lebuhraya tanpa meletakkan isyarat ikut jarak yang ditetapkan dibelakang kenderaan mereka, sekiranya kenderaan mereka mengalami kerosakan supaya pemandu dan penunggang dari arah belakang dapat melihat dan berhati-hati ketika melalui jalan atau lebuhraya tersebut.

Ada  pemandu yang tidak berhemah memberhentikan kenderaan atau keluar kelaluan jalan utama tanpa memandang dan memerhatikan pejalan kaki, penunggang basikal dan motorsikal, terdapat mereka yang terjatuh kerana terpaksa mengelak dari kenderaan tersebut.Terdapat juga dikalangan mereka yang dirempuh dari belakang oleh kereta yang dipandu tanpa berhati-hati dan tidak bertimbang rasa.


Siapakah yang patut disalahkan dalam perkara ini dan bagaimana untuk mengurangkan tragedi ini dari terus berlaku.Oleh itu marilah kita berhati-hati ketika memandu kenderaan, menunggang motorsikal, basikal dan berjalan kaki untuk mengelak dari tragedi kemalangan kerana kemalangan tidak berbau dan boleh berlaku tanpa diduga.Pemandu kenderaan yang lebih besar perlulah mempunyai sikap bertimbang rasa, berhemah dan berhati-hati terhadap kenderaan yang lebih kecil dan diharap semua pengguna jalanraya perlu mematuhi peraturan jalan raya.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...