Jumaat, 30 September 2011

KALAH MELANGKAH MENANG MEMANDANG


Kita sering dihidangkan dengan perkara berhujah, berdialog, berdebat, berbahas dan bertukar pendapat sejak berada di alam persekolahan lagi.Dalam sesuatu pertengkaran atau jawab menjawab dan berpencak lidah terdapat dalam ciri-ciri kesemuanya di atas.Masing-masing mencari kebenaran dan kelantangan dalam menyuarakan pendapat.

Apa yang pasti timbul dalam hati adalah untuk mendapat kemenangan supaya boleh mempengaruhi orang lain dan membuktikan kekuatan dalam berhujah.Samada hujah itu benar atau tidak, terpulanglah pada penerimaan individu.
Namun begitu pandangan dan pendapat orang perlu juga diambil kira kerana bukan semua yang dikatakan oleh mereka tidak betul.

Kadangkala pendapat orang lain ada juga benar dan berasas untuk diterima pakai.Tidak salah kita mengambil sesuatu pandangan seseorang untuk menambah kebaikan, kemudahan, kesenangan dan kepentingan kepada kita atau untuk kegunaan sesuatu kumpulan.Alangkah baiknya boleh duduk semeja dan berunding cara demi mendapat kata sepakat.

Adakalanya kita syok sendiri  dengan pendapat dan pandangan sendiri serta menganggapkan diri sendiri yang benar sedangkan pandangan orang lain semuanya salah belaka.Sebenarnya tidak semua pendapat dan pandangan kita dianggap sesuai, kekadang lebih satu perkara tetapi lupa dua perkara.


Kekadang kita hanya mendengar luahan hati sendiri mengeluarkan kata hujah maklumlah ego masih kukuh di dada, pendapat dan isihati orang bawahan dan yang kecil-kecil semuanya tidak perlu kalau adapun hanya untuk dibakul sampahkan semata.Amatlah malang hanya mengagung pendapat dan pemikiran sendiri.

Sedikitpun tidak ambil peduli tentang pandangan orang lain yang penting  memenuhi selera dengan pandangan mata sendiri, walaupun ada tikanya pendapat orang lain itu amat berguna dan bermakna.Memang benarlah jika bernafsu besar mana boleh menilai nafsu si kecil.Mana mata ternampak kebaikan orang lain melebihi kebaikan diri sendiri.


Sebelum menilai diri orang lain, nilailah kebaikan dan keburukan diri sendiri terlebih dahulu.Adakalanya tingkah laku kita lebih buruk dari orang yang kita nilaikan itu.Disebabkan kita bersangka buruk pada orang lain kita lupa diri kita juga dinilai oleh orang.Baik buruk hanya pandangan mata tetapi susah dipandang melalui mata hati.

Menilai hati orang bukanlah mudah, lebih senang mengukur jarak tingginya gunung, lebih mudah menyukat kedalaman lautan dan agak ringan kita mengukur jarak perjalanan.Janganlah kita terlalu mudah menilai seseorang itu teruk dan buruk sebanding keburukan diri sendiri.


Adalah lebih sempurna kita mendalami perasaan orang lain agar perasaan kita difahami oleh orang pula.Seandainya kita tersilap dan tersalah menilai tidak salah jika kita mengakui akan kesilapan itu.Ramai yang lebih rela menyembunyikan kesilapan kerana malu untuk mengaku, kerana bimbang mereka akan dipandang rendah oleh masyarakat.

Akan tetapi bukan semua orang berpandangan begitu malah mereka tetap dipandang mulia, tinggi dan dihormati kerana berani menyatakan sesuatu kebenaran walaupun tersilap langkah.Usahlah difikirkan kedudukan darjat, pangkat dan kedudukan kerana itu semua hanyalah sementara pinjaman dari Tuhan Yang Maha Esa ....

Selasa, 27 September 2011

RESMI AYAM


Aku tersenyum sendirian pada waktu petang tadi setelah melihat telatah ayam-ayam yang masih mendiami reban yang telah lama kosong di teratak pusaka.Mungkin ayam-ayam itu adalah dari baka-baka berbaki dan terselamat dari serangan haiwan seperti biawak dan anjing tidak bertuan.

Di samping itu penyakit hawar yang menyerang satu masa lalu yang mana telah  menyerang ayam penduduk kampung sehingga banyak yang menerima ajalnya.Mungkin juga ayam-ayam itu adalah ayam jiran tetangga yang merajuk atau ingin mendapat keselesaan di reban ayam keluarga ku yang telah lama di tinggalkan kosong.

Di dalam reban itu aku terlihat ada tiga ekor ayam betina bertelor di dalam bekas ketika ayam-ayam ku bertelor, mengeram dan menetas pada masa dahulu.Apabila aku merapati reban ayam tersebut ayam-ayam betina itu mula merengus kemarahan kerana bimbang ia akan di ganggu.

Setelah ayam itu memekik lalu aku meninggalkan mereka dan tidak mahu menghampiri tempat itu.Kasihan mereka untuk bertelor dalam keadaan aman.Akan tetapi setelah sedikit jauh di penjuru lain aku terdengar salah seekor ayam itu berketak, sambil disahut oleh kedua ekor ayam tersebut.


Begitulah naluri ayam kerana bertelor hanya sebiji maka riuhlah  sekampung.Apalah yang hendak dihairankan sikap dan telatah ayam-ayam itu, namun ada seekor ayam jantan yang berlari-lari menghampiri reban tersebut turut sama menyahut ketakan ayam betina dengan suaranya yang parau dan lantang.

Maklumlah kemungkinan ayam jantan itu terlalu bangga dengan hasilnya kepada ayam-ayam betina itu hingga bertelor.Setelah beberapa lama berketak ayam-ayam tersebut pun berhenti, diam dan sepi mungkin ayam-ayam betina itu telah pun mengeluarkan telor-telor mereka.Ayam jantan pun berlalu mencari-cari sesuatu tempat untuk berehat.

Sampai di sebatang tunggul pohon kelapa yang reput terus sahaja ia  bertenggek serta mengibarkan kepaknya beberapa kali bagai bermegah dan angkuh lalu berkokok garau dan lantang.Bagai kata bersambut maka di sana sini, di sudut dan penjuru kampung terdengarlah pula suara ayam-ayam jantan berkokok menyahut bertalu-talu kokokan ayam jantan di atas tunggul kelapa itu.


Itulah resmi ayam bertelor sebiji riuh sekampung.Jangan ditiru lagak sijalak hanya berkokok berdegar-degar tetapi ekor dilumuri najis sendiri.Usah pula kita megah bersabung ayam, nanti ayam tewas kampung pula tergadai, bukankah itu dinamakan membodohkan diri membuat percaturan hanya pada kegagahan sang ayam sabung.

Buat apa bersabung ayam yang hanya membazirkan waktu serta menyiksa haiwan.Apakata orang yang suka bersabung ayam itu pula yang bersabung dan bertarung sesama sendiri, jika terasa sakitnya begitulah yang dialami oleh ayam-ayam sabung itu.Kasihanlah pada ayam yang mana kita mengutip hasil dari darah perjuangannya yang sia-sia ....

Ahad, 25 September 2011

SETAKAT BERCERITA


Sengaja aku bercerita kisah umum kerana aku tidak suka mengata orang lain sebab sebenarnya aku bukanlah seorang yang terlalu baik, dahi ku tidak lekuk dan bertanda hitam namun aku tahu apa ertinya dosa pahala, aku masih lagi boleh memahami apa itu halal,  haram, harus dan makruh.Seboleh-bolehnya aku tidak suka menyentuh kisah buruk peribadi seseorang tetapi tersentuh juga dengan tidak sengaja.

Kekadang aku bercerita berkaitan cerita haiwan kerana aku memang suka mengkaji tabiat haiwan, beburung dan aku turut suka berkaitan tanaman di alam ini namun ada yang terasa seolah-olah aku menujukan cerita ini pada seseorang.Terpulanglah pada andaian dan tafsiran masing-masing kerana aku tidak tahu sesiapa yang terkena dan siapa yang terasa serta siapa yang suka dan siapa pula membenci.

Aku setakat bercerita untuk mengasah bakat terendam ku, kekadang idea datang tiba-tiba sebegitu rupa maka akan ku tulis apa yang terhidang di minda ketika itu, cuma orang yang dapat menilai dan mentafsirnya, ada yang memahaminya setelah memanjat dinding, ada yang mengikut kefahaman dengan memanjat tiang, ada juga yang melompat ikut tingkap dan ada yang terus terjun pintu tanpa mengikuti anak-anak tangga.

Mungkin ada yang jatuh melurut, ada yang digaru selumbar, ada yang terseradung bendul, tidak kurang juga yang cedera anggota tubuh termasuklah ada yang terluka hati.Apalah daya ku untuk memberi makna serupa dengan maksud ku yang mungkin tidak selari dengan kehendak orang yang membaca dan mendengar.Aku tidak pernah memaksa orang membaca dan mendengar cerita ku, tetapi,jika dibaca tidaklah menjadi kemarahan pula.

Kemungkin juga cerita itu seakan-akan menghidangkan sambal belacan cili api ada yang terasa pedas orang yang memakannya begitulah sebaliknya ada yang terasa akan sedapnya.Pada hakikatnya aku  seboleh-bolehnya ingin memberi semanis madu tetapi madu pun ada juga yang terasa bagaikan racun atau tuba pada orang lain.Sukar untuk memenuhi kehendak dan  selera semua.Sukar juga untuk menjaga hati dan perasaan.

Biarlah itu kefahaman masing-masing.Kata pepatah Melayu yang mengatakan kalau tak sungguh tak melata, jika tak sungguh orang tak kata, bukan aku yang kata tapi mereka sendiri yang berkata begitu.Maka bagi mereka yang melatah tentulah menunjukkan sikap dengan telatah sendiri yang tak boleh senyap dan buat-buat tidak faham waima sepatah perkataan pun.Apa yang timbul dalam hati mereka cerita aku ini hanyalah untuk menghentam dan mengkritik.Itu kata mereka, bukan aku yang kata.

Semuanya buruk dipandangan mata mereka, hati terbakar dan fikiran terasuk sehingga menyumpah seranah serta mempamirkan kebodohan diri, menyebabkan orang lain dapat menilai keperibadian buruk orang itu.Kedapatan juga yang terus sahaja menabur benih-benih benci, berdendam bagai bara api merencang di bibir bagai ribut memutar pepohon melata.Adakala aku dihina bagai tidak berkulit.Biarlah itu sudah menjadi adat orang berani bersuara, kenalah terima akibat sumpah, seranah dan hinaan.

Ramai juga yang sesejuk air di hulu kerana faham makna dan mentafsir secara sempurna, mungkin senyum-senyum kambing kerana mereka mengerti itu adalah setakat cerita, isihati dan pendapat penulis.Walaubagaimanapun terima kasih kepada mereka yang memberi semangat, sokongan dan galakkan serta menunjukajar dan menyumbang idea.Terdapat juga golongan si Luncai yang merajuk terus sahaja terjun ke lubuk dengan labu-labunya, apa lagi yang mampu aku katakan hanyalah biarkan...biarkan...

Jumaat, 23 September 2011

CERMINAN WAJAH


Ramai yang tidak tahu membezakan antara emas dan suasa, ramai terkeliru kilauan kaca dan intan.Ramai juga yang tidak pandai menilai yang mana batu dan mana pula permata.Hanya jauhari mengenal manikam.Jika belum pernah melihat janganlah kaldai pula disangkakan kuda.Jika berbeza tafsiran dan pendapat janganlah mengundang bahaya jika ada yang menyangka sang buaya itu seperti sang cicak terus sahaja berani terjun ke sungai.

Oleh itu hindarilah kesombongan diri kerana menyangka sudah pandai akan tetapi hakikatnya belum lagi bijaksana menilai seseorang.Selalunya kita menilai buku hanya pada kulitnya, walaupun kulitnya buruk belum tentu isinya juga tidak bermutu.Jika diri mengaku pandai tetapi tetap juga ada kebodohan dalam sesuatu perkara kerana manusia dilahirkan bukan semuanya berakal sempurna ada kelebihan di sini mungkin ada kekurangan di sana.

Usahlah mendengar kata enggang terus sahaja memakan buah belolok, dengar kata orang terus sahaja terjun dalam lubuk.Berfikirlah sejenak, buatlah penilaian yang teliti serta tafsirkan kata-kata orang itu sebelum kita terjerumus sama di dalam sesuatu perbuatan yang belum tentu memberi kebaikan.Begitulah juga dalam penilaian pada orang janganlah bulat-bulat menyangka keburukan orang lain kerana terdengar hasutan seseorang.

Adakalanya mendengar sahaja guruh di langit, habis air tempayan dicurahkan.Belum tentu hujan turun tanpa tanda-tanda awan mendung hitam atau kelabu di dada langit.Jika mendung sekalipun belum tentu mengundang gerimis atau hujan.Begitu jugalah menduga suara kicauan sang murai di waktu pagi belum pasti hari panas berlanjutan hingga ke petang, adakalanya hujan turun di tengahari.Janganlah berandaian sebelum membuat penilaian.

Kekadang kita terlupa menilai diri kita sedalam-dalamnya, kita menganggapkan kitalah manusia yang dilahirkan sempurna segalanya tetapi itu hanyalah kemegahan sendiri.Kita selalu menyangka orang lain sahaja yang buruk, sedangkan kita lupa orang juga memandang diri kita sebaliknya.Seolah diri sendiri sahaja yang betul orang lain dianggap kurang baik dan bodoh belaka.Jika seketul daging itu sudah buruk maka buruklah semua anggota diri.

Marilah kita bercermin diri samada wajah kita selari berkedudukan sama dengan apa yang terpapar.Terfikirkah kita bahawa cermin itu menerap wajah kita di sisi yang berlainan.Pernahkah kita terfikir muka yang mengadap cermin itu adalah berbeza kedudukannya bertentangan mengadap wajah diri kita itu.Di situlah letaknya betapa pentingnya bijaksana tafsiran mata dalam menilai diri sendiri.Janganlah wajah dicermin mencebik bibir tatkala kita tersenyum.

Oleh itu janganlah salahkan mata kerana tidak melihat sesuatu kebenaran dan rugilah seandainya kita tersalah tafsiran sebelum membuat sesuatu penilaian.Ingatlah kebaikan itu akan lupus kerana hanya satu celaan dan sesuatu kejahatan belum tentu dapat disucikan walaupun telah melakukan seribu kebaikan dan penyesalan.Namun Allah Maha Mengetahui apa yang kita lakukan baik dari segi luaran atau dalaman ...

KISAH MUSANG PELIHARAAN AYAH


Aku masih teringat semasa ayah masih hidup dan masih gagah mengerjakan kebun kami yang sekangkang kera tiba-tiba pada satu hari ayah terdengar bunyi tangisan 2 ekor anak musang yang ditinggalkan ibu, mungkin ibu musang itu telah melarikan diri setelah kebun ayah sudah bersih.Setelah berapa lama menunggu di kebun, ibu musang tersebut tidak juga muncul lalu ayah mengambil keputusan untuk membawanya pulang ke rumah kerana kasihan.

Ayah selalu memberi kedua ekor anak musang itu dengan susu tepung yang dibelinya.Setelah beberapa hari di bawah penjagaan ayah anak-anak musang itu lebih sihat dan sudah mula pandai bermain.Anak musang juga amat manja dengan ayah.Agak malang pada satu pagi ketika hendak memberi anak musang itu susu ayah dapati salah seekor darinya telah mati, maka tinggallah se ekor sahaja yang menumpang manja dengan ayah.

Sudah tabiat haiwan suka bermain maka anak kucing yang sebayalah yang menjadi teman sepermainan.Setelah beberapa bulan anak musang itu membesar tetapi tubuhnya lebih besar dari anak kucing yang sebaya dengannya itu, persahabatan antara musang dan kucing itu terputus kerana cara gurauannya agak kasar lebih ganas dan mencederakan kucing dengan kuku dan giginya yang tajam.Kucing itu akan lari atau takut mendekatinya.

Ayah terpaksa membeli buah-buahan setiap hari untuk memberi musang itu makan dan sesekali ayah memberi musang itu makan seketul daging ayam yang dibelinya di pasar.Di waktu petang ayah selalu menjala ikan untuk makanan musang dan kucing-kucing kesayangannya itu.Ayah terpaksa menempatkan musang itu di dalam sebuah kurungan yang dibuat oleh ayah untuk mengasingkan musang itu dengan dunia luar.

Musang ini kelihatan baik jika bersama ayah tetapi agak bengis jika aku atau orang lain mendekatinya.Setelah beberapa lama musang itu menjadi dewasa dan agak liar, beberapa kali ia terlepas dari rebannya tetapi pulang semula.Sesekali anak ayam yang mengikut ayah ketika memberinya makan menjadi mangsa si musang itu.Ayah juga beberapa kali luka di jari dan tangan kerana di gigit atau dicakar.

Kini kami sekeluarga mula serba salah samada untuk memelihara musang itu dalam kurungannya atau dilepaskan sahaja.Kami terpaksa mengambil keputusan untuk memeliharanya dalam kurungan dan akan menyerahkannya kepada Jabatan Perhilitan untuk dilepaskan.Jika kami lepaskan sahaja sudah tentu musang ini akan membaham ayam-ayam ayah dan jiran tetangga.

Pada satu hari semasa ayah hendak memberi makan tiba-tiba ia menerpa pintu kurungan semasa ayah membukanya.Terduduk ayah dilanggar oleh musang itu, lalu melarikan diri di dalam semak di belakang rumah kami.Musang itu terus menghilangkan diri di situ puas ayah mencari tetapi ia pandai bersembunyi.Bagai dijangka ayamlah menjadi mangsanya kerana musang ini tidak menunggu waktu malam untuk mendapatkan ayam-ayam yang berkeliaran di siang hari.

Sudah menjadi satu kerja ayah terpaksa pula membuat pagar di sekeliling reban ayam mengelakkan ayam-ayam itu dari menjadi mangsa musang itu.Ayah terpaksa pula membersihkan semak di belakang rumah untuk mengusir musang itu dari terus mendiami di situ.Pintu kurungan musang sentiasa dibuka dengan  umpan buah, daging ayam dan ikan tetapi musang itu tidak mahu masuk ke dalam kurungannya semula

Setelah hari-hari berlalu musang itu tidak lagi berada di dalam kawasan rumah kami mungkin ia telah menyusup ke hutan dan semak di hujung kampung.Kerap kali juga kami mendengar cerita ayam jiran menjadi mangsa musang kemungkinan juga dari perbuatan musang ayah yang terlepas itu.Beberapa hari kemudian kami mendapat berita bahawa seekor musang yang cuba menangkap seekor ayam telah tumpas di hujung senapang orang kampung.

Sejak dari berita itu tidak kedengaran lagi kisah orang kampung kehilangan ayam.Begitulah pengajarannya pada ayah agar tidak lagi memelihara binatang liar.Mujurlah ayah tidak membawa anak harimau pulang kerumah, yang satu hari bukan sahaja memakan binatang peliharaan dan ternakan tetapi mungkin membaham manusia.
Walaupun boleh dijinakkan tetapi tersilap langkah akan menggigit dan mencederakan tuannya.Sudah menjadi tabiat liar dan ganas mereka tidak boleh dipercayai untuk selamanya dibuat kawan.

SEPERTI MUSANG MENJAGA AYAM

Pepatah Melayu yang berbunyi diberi musang menjaga ayam, memberi tugas kepada seseorang yang sudah tahu kejahatannya dan sudah diketahui akan ayam yang menjadi makanan enak untuknya.Oleh itu berhati-hatilah sebelum melantik seseorang yang jiwanya seperti musang untuk mengawal harta benda, barangan yang berharga serta sesuatu amanah yang berat kepunyaan kita.

Sebelum memberi tugas itu perlulah di nilai dan ditimbang sewajarnya sebelum diserahkan tugasan tersebut kepada seseorang yang benar-benar boleh dipercayai, amanah, bertanggungjawab serta tahu dan memahami kedudukan jawatan dan tugas yang disandang.Sekiranya tersalah pilihan apa yang dibimbangkan bukan sahaja menjaga ayam malah musang akan bertukar wajah menjadi musang berbulu ayam.



Khamis, 22 September 2011

TENGGELAMNYA SEBUAH KAPAL USANG


Ada sebuah kapal yang sudah begitu usang dengan membawa barangan lusuh, dan sampah sarap untuk dilupuskan dari sebuah pulau peranginan, sampah-sampah di dermaga atau pelabuhan ke pulau-pulau tempat pelupusan sampah.Kapal tersebut telah menjalankan perkhidmatannya begitu lama tanpa seliaan yang sempurna.Kelihatan  kapal itu berkarat di badan  dan usang mencemar mata memandang jika berhenti di pelabuhan serta dermaga.

Bukan sahaja mencacatkan mata ketika memandang tetapi juga selalu mencemar air laut kerana minyaknya selalu bocor atau tertumpah.Apakan daya hanya itulah sahaja kapal yang ada dan bersesuaian membawa barangan itu yang senasib dan serupa dirinya.Sampai bila perkhidmatannya akan berakhir belum pasti kerana kapal itu terlalu setia menjalankan tugasan yang tidak sesuai dilakukan oleh kapal lain yang masih sempurna.

Kasihan nasib kapal itu yang terabai penjagaannya selalu disisihkan oleh syarikat pengendalinya.Entah bagaimana pada satu hari kapal tersebut membawa sampah buangan dari sebuah pulau lain terumbang ambing di tengah laut kerana dipukul ribut gelora yang datang secara tiba-tiba lalu berpusar-pusar dilambung ombak menggila.Injin lusuhnya berdengkur bagaikan sedang berada dalam kesakitan yang amat sangat.

Mungkin ia memahami nasibnya pada hari itu bagaikan telor di hujung tanduk.Setelah berhempas pulas melawan gelombang tinggi menjulang, kapal itu tidak lagi bertahan lalu tenggelam perlahan-lahan ke dasar laut bersama sampah yang dibawanya.Maka kapal itu pun terdampar dan bersemadi di situ menjadi tempat hidupan laut berlindung, namun sampah-sampah yang dibawanya bersama tenggelam tetap juga mencemarkan air laut.

Segala sampah itu juga menanti masa untuk mereput atau tertimbus di dalam pasir atau diserap oleh selut di dasar laut.Sampah-sampah yang tenggelam itu juga akan merosakkan batu-batu karang serta mengancam hidupan laut di kawasan itu.Sudah memang menjadi sifat dan lumrahnya sampah tetap membusuk sebelum reput walau di daratan atau di laut tetap mencemarkan, entah berapa lama ianya akan pupus ....

Selasa, 20 September 2011

GANGGUAN SANG MURAI


Burung murai memang jenis burung yang suka buat kecoh, setiap pagi burung murai ini sudah membuat bising memekak telinga dengan berbunyi nyaring bersahutan di dahan-dahan rimbun pepohon kayu di penjuru belakang rumah ku.Aku bukanlah jenis yang suka pada suara murai kerana kebecokannya.

Ada beberapa kali ada juga remaja Cina memasang pikat (jebak) berdenakkan murai yang menambahkan lagi kerunsingan hati ku mendengar bunyi murai-murai itu.Teringat aku semasa zaman kanak-kanak memang gemar sekali melastik burung murai ini, entah berapa ekor yang tumpas ke tanah.

Aku memang tidak gemar dengan burung murai tetapi setelah meningkat usia begini aku cuba menikmati suara-suara murai.Pada peringkat awal aku mula rasa cinta mendengarnya tetapi entah kenapa bila tiba suatu masa timbul perasaan jemu dan meluat semula dengan bunyi hingar burung-burung murai itu.
 

Pada waktu pagi aku suka dengan suasana tenang, nyaman sambil menghirup udara segar tanpa suka diganggu suara yang aku tidak gemari terutamanya suara murai yang bagaikan tercabut ekor itu.Memang sukar untuk menghindari murai-murai itu hinggap dari dahan ke dahan pohon rendang di situ.

Pada pagi kelmarin ada dua orang remaja Cina datang ke kawasan rumah ku sambil tersenyum memberitahu untuk menangkap murai-murai di situ.Aku tidak mengatakan ya atau pun tidak hanya tersenyum.Remaja itu pun memasang pikat-pikatnya (jebak) di dahan manggis rendang di situ.

Pikat (jebak) yang dipasang itu berdenakkan murai yang mungkin telah dilatih untuk berbunyi lebih nyaring dari murai-murai yang selalu berada di kawasan rumah ku itu.Selepas itu aku masuk ke dalam rumah melakukan kerja-kerja yang sepatutnya aku lakukan pada hari itu.

Selang berapa ketika aku terdengar suara remaja Cina itu riuh berkata sesuatu pada rakannya dengan berbahasa Cina tetapi aku faham maksud apa yang di ceritakannya.Kemudian kedua remaja Cina  itu menghidupkan enjin motorsikal lalu pergi dari kawasan rumah ku.

Aku cuma memerhatikan mereka membawa bersama 2 buah pikatnya (jebak) yang telah berisi dengan dengan 2 ekor murai selain 2 ekor denaknya tadi.Terlalu pantas mereka memperolehi murai-murai liar itu.Mungkin denak yang dibawa mereka tadi mudah memujuk rayu sehingga murai-murai liar itu tertangkap.
 
Suara hingar dari murai-murai denak dan murai-murai liar sudah tidak kedengaran lagi, barulah puas hati ku kerana tiada lagi di ganggu suara murai-murai yang meracau-racau di situ.Maka dengan ketiadaan gangguan bunyi murai itu memberi aku sedikit kelegaan terutama di waktu pagi.Selamat jalan wahai sang murai !

SI MURAI BECOK

Jika berkawan dengan orang mulut becok memang seronok dan menghiburkan, selalunya mereka ini digelar orang si mulut murai.Golongan ini hidup sentiasa gembira, ada sahaja cerita, gurau senda dan celoteh yang hendak disampaikan dan diperdengarkan kepada kawan-kawan.Mungkin orang tak kering gusi dengan celoteh mereka.

Merekalah yang selalunya menjadi penyeri dalam satu-satu kumpulan, seandainya ketiadaan mereka di dalam sesuatu majlis , maka majlis itu rasanya kurang berseri.Mereka dalam golongan ini memang kaya dengan cerita dan idea.Namun begitu bukan semuanya berceloteh pada perkara kebaikan tetapi ada yang membawa cerita kurang baik.

Adakalanya mereka suka membawa cerita yang bukan-bukan seperti memburukkan orang, mengumpat keji, menghina, menghasut, mengadu domba, melaga-lagakan orang, dan sebagainya.Si mulut murai yang becok jenis ini memang tidak sesuai untuk dijadikan kawan atau pun sahabat.Mereka tidak pandai beradab dalam pergaulan.

Golongan ini jika dibawa kemajlis-majlis sudah tentu tidak digemari kawan-kawan lain, oleh kerana mereka boleh menyebabkan satu-satu kumpulan itu berpecah belah dan berpuak-puak.Mereka akan memilih golongan dan kelompok tertentu  yang sebulu dan bersesuaian dengan mereka sahaja.

Mana-mana sahabat atau kawan yang tidak mengikut cara mereka selalunya akan dipinggirkan.Inilah masalah yang tidak diingini kerana mulut becoknya akan memporakperandakan sesuatu majlis, kumpulan dan orang perseorangan.Bukan semua orang boleh bersama dan bercampur dengan golongan si murai ini.

Kadangkala golongan si becok ini tidak digemari atau disukai oleh kawan-kawan lain dan golongan tertentu, kerana masing-masing mempunyai cara hidup dan pandangan yang berbeza antara satu sama lain mengikut cara sendiri.Mereka akan merasa benci, bosan dan getik pada orang yang becok ini  kerana selalu bersifat keterlaluan.

Begitulah dalam kebaikan orang yang becok seperti murai ini terdapat keburukan yang tertentu, tetapi bukan semua bersifat begitu.Oleh itu ingatlah wahai golongan si mulut murai janganlah terlalu becok, ikutlah kesesuaian dan keadaan tempat, usah main redah sahaja, tanpa mengira hati dan perasaan orang lain.


Jagalah tingkah laku dan maruah diri, agar orang akan memandang hormat jika berkelakuan baik, Kekadang orang gelak melihat dan mendengar celoteh kita, tetapi di dalam hati siapa yang tahu, entah-entah dia membenci.Jika berceloteh pun, bercelotehlah pada perkara yang elok, ketepikanlah celoteh yang buruk-buruk ....

PEDASNYA CILI API


Sambal cili api yang ditumbuk dalam lesung batu memang sedap tambahan kalau dicampur sedikit belacan bakar.Sambal cili api ini kalau dicolek dengan ulam-ulaman, pucuk ubi, betik muda atau jantung pisang yang direbus memang menyelerakan tambahan pula di makan ketika nasi masih panas dan semasa perut memangnya lapar.Walaupun rasanya pedas tetapi tetap dimakan juga, ada yang mengatakan lagi pedas lagi bertambah memecah selera.

Akan tetapi ada juga yang tidak lalu untuk menjamahnya kerana orang itu memang jenis yang tidak tahan makanan yang pedas-pedas.Sekiranya dimakan juga mungkin akan menimbulkan sakit perut hingga memulas bagaikan puting beliung memusar ombak di lautan, pedih usus bagai dihiris sembilu, buasir bagai tercabut usus ke dubur atau cirit birit terpacul adakalanya tidak sempat membuka seluar atau kain.


Mata merah berair, mata terasa berpinar pening, telinga terasa bengang, gegendang telinga teramat ngilu berdesing-desing bagai nak pecah.Muka merah bak biji saga yang baru jatuh dari pohonnya bertaburan di tanah.Air hidung keluar bagaikan diserang selsema berpanjangan.Lidah terjelir-jelir bagaikan terlampau haus mengeluarkan air liur berlendir.Air yang diminum laksana tidak cukup setimba, kalau boleh gula hendak dimakan sebalang untuk menghilangkan rasa pedasnya.


Bila terjadi sedemikian sampai bertekad untuk tidak mahu menyentuhnya lagi tetapi hanyalah untuk hari itu.Di hari esok jika terhidang sambal belacan cili api sampai tak ingat tekad di hati tetap ingin dimakan juga.Terpulanglah kepada kemampuan dan ketahanan masing-masing.Tepuk dada tanyalah selera.Ada juga yang ingin mencuba kelazatannya dengan mencolek sambal tersebut dengan banyak tiba-tiba tidak tertahan akan kepedasannya.


Begitu hebat, panas dan terlalu pedas kepada kita namun tidak pada orang lain begitulah sebaliknya kenikmatan bukan untuk orang yang tidak tahan pedas tetapi begitu sedap dan enak pula dimakan oleh kita.Setiap orang ada batas tertentu dalam menguji ketahanan kepedasan cili api.Sekiranya sudah tidak boleh tahan dengan rasa pedas cili api elok sahaja dielakkan dari merasai, menyentuh, memakan atau usah langsung melihat dan mengenali rupa bentuk cili api.

Janganlah menyalahkan cili api kerana rasanya terlalu pedas dan tidak sebanding dengan bentuk dan ukurannya.Walaupun kita tidak suka rasanya yang menguja lidah dan mulut mungkin sedap pula dimakan atau diratah oleh orang lain.Kita tidak boleh memaksa sesiapa mengikut selera kita.Biarlah siapa yang makan cili api maka dia yang terasa pedasnya.Mungkin membawa mudarat kepada mereka tetapi tidak kepada diri kita ....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...