Isnin, 29 November 2010

KISAH KELAWAR DAN BURUNG LAYANG-LAYANG


Ada seekor sang kelawar yang bersahabat dengan sang burung layang-layang yang tinggal bersama-sama didalam sebuah gua dan dicelah batuan gunung.Sang burung layang-layang selalu mencari makan diwaktu siang tetapi sebaliknya sang kelawar mencari makan diwaktu senja dan malam.Jarang sekali mereka dapat bersama-sama berbual tetapi jika sang burung layang-layang tidak keluar mencari makan atau bermain-main diwaktu sebelum hujan mereka selalu juga berbual-bual.Masalahnya kedudukan mereka masa berbual berbeza maklumlah sang kelawar kepalanya terbalik ke bawah sedangkan sang burung layang-layang dibahagian atas.Meskipun begitu ini tidaklah menyebabkan perbualan mereka terhalang.

Pada suatu hari siang sang kelawar telah keluar dari gua tempat ia menginap dan sengaja berehat diluar di sebatang ranting pohon kayu.Itulah pertama kalinya ia keluar meninjau dan menikmati hari siang.Maklum sahajalah pandangan sang kelawar terhadap benda-benda yang dilihat tidaklah seterang mana kerana mata sang kelawar memangnya rabun.Semasa dia diluar beliau benar-benar memerhatikan satu puncak gunung yang dapat dilihatnya samar-samar kerana  matanya yang rabun itu.Dalam hatinya berkata wah cantiknya puncak gunung itu.Beberapa lama berehat, beliau kembali semula ke penginapannya lalu berbual dengan sang burung layang-layang menceritakan pengalamannya tadi.

Sang burung layang-layang pun bertanya apa yang ia nampak semasa berehat diluar tadi.Sang kelawar pun memberitahu walaupun matanya rabun namun dia masih dapat melihat kecantikan pemandangan disekelilingnya dan bercerita bahawa puncak gunung yang dilihatnya berada menghala kebawah, semua yang diperhatikannya adalah terbalik.Sang burung layang-layang berkata yang kedudukan sebenarnya berbeza dengan apa yang dikatakan oleh sang kelawar tadi, dimana kedudukan puncak gunung dan pokok-pokok. serta yang lainnya semua menghala ke atas.Sang kelawar tidak berpuashati dan bermatian mengatakan bahawa pandangannya berbeza dengan apa yang dikatakan oleh sang burung layang-layang tadi.

Setelah beberapa lama berbincang dan bertukar pendapat, sang burung layang-layang mendapat satu fikiran dimana ia mengajak kelawar tadi keluar berterbangan disebelah petang menghala ke puncak gunung itu. Mereka pun terbang beriringan dan apabila sampai berdekatan puncak gunung tadi sang burung layang-layang menunjukkan kedudukan sebenar puncak gunung itu, barulah sang kelawar perasan bahawa pandangannya selama ini terhadap puncak gunung itu adalah salah dan ia dapat membetulkan kesilapannya setelah ia terbang bersama sang burung layang-layang.

Dari cerita ini tokwan hendak memaparkan pandangan kita terhadap apa sahaja isu terdapat sedikit sebanyak perbezaan pendapat, oleh itu untuk mendapatkan kepastian dan tidak berselisih pandangan eloklah kita berada bersama-sama melihat kebenaran yang ada dengan pandangan yang sebenarnya.Oleh itu jurang perselisihan pendapat sedikit sebanyak dapat dikurangkan.

BEGITULAH CERITANYA....

~ cerita ini adalah rekaan tok wan sendiri sekiranya ada persamaan itu adalah satu kebetulan dan tidak disengajakan.



KISAH SESUMPAH DENGAN BANGAU


Pada suatu masa dahulu sang sesumpah berkawan baik dengan sang bangau, sang sesumpah tinggal berdekatan didahan dimana sang bangau bersarang, tetapi sesumpah selalu sahaja menyembunyikan diri dicelah-celah ranting, dahan dan dedaunan kayu ketika sang bangau kesarangnya.Pada satu hari sang bangau pulang kesarangnya dengan membawa bekalan makanan untuk anak-anaknya, setelah meninggalkan bekalan tersebut sang bangau pergi lagi ketepi-tepi sungai untuk mencari anak-anak ikan untuk dibuat tambahan makanan anak-anaknya dan makanannya semasa berada disarangnya nanti.


Sang sesumpah selalu mencuri bekalan makanan anak-anak bangau terutama ketika tidor atau ditinggalkan sang bangau itu.Sang sesumpah juga selalu mengejek sang bangau kerana bulu putihnya tidak boleh berubah-ubah seperti dirinya yang sentiasa boleh bertukar warna.Disamping itu juga sang sesumpah ini selalu sahaja mengacau anak-anak bangau yang sedang tidur.Oleh kerana sikap sang sesumpah yang selalu mengacau anak-anak bangau dan mencuri makanan, maka sang bangau terasa panas hati pada sang sesumpah ini.Akan tetapi walaupun sang bangau tidak senang hati terhadap sang sesumpah, ia tetap tidak mengapa-apakan sang sesumpah itu, sebaliknya sang sesumpah yang tidak serik-serik menganggu anak-anak bangau dan mengejek-ngejek sang bangau itu.




Pada satu hari sang sesumpah telah membunuh seekor anak bangau yang masih lagi kecil, maka sang bangau tidak boleh bersabar lagi untuk membalas dendam.Puas dicarinya sang sesumpah itu tetapi tidak jumpa kerana sang sesumpah sentiasa menukar warnanya kewarna dahan, daun dan tanah.Sang bangau mencari ilham bagaimana untuk menangkap sang sesumpah yang selalu menyamar ini supaya tidak membunuh anak-anaknya yang lain serta menganggu hidupnya lagi.Maka sang bangau mendapat satu cara untuk memusnahkan sang sesumpah itu kerana telah pun menjadi musuhnya.Sang bangau itu pun berpakat dengan kawan-kawannya untuk menabur bulu-bulu putih yang lama keatas tanah dibawah pokok kediamannya itu.Maka boleh dikatakan penuh memutih diatas tanah dengan bulu-bulu bangau tersebut tanpa ada seruang pun kawasan itu yang tidak diliputi bulu bangau.


Sang sesumpah memerhatikan sahaja perlakuan sang bangau ini dengan sikap sombongnya sambil mengata-ngata dalam hatinya akan kebodohan sang bangau dan kawan-kawannya itu.Setelah semuanya selesai, maka sang bangau dan kawan-kawannya pun mengelilingi seluruh pelusuk pohon tempat sarangnya itu sambil mengipas-ngipas sayap serta menguis-nguis kaki mereka pada dedaunan, ranting dan dedahan pohon tersebut.Sang sesumpah rasa dirinya terancam dengan tindakan sang bangau ini, puas ia lari kesana sini dengan menukar warna badannya kewarna hijau, kekuningan dan berwarna seperti warna batang kayu.Oleh kerana bilangan bangau yang banyak maka ada juga yang menggoncang dan menggoyang dedaunan, dahan serta ranting pohon sehinggalah sang sesumpah itu terjatuh ketanah, dia tidak dapat melarikan diri kerana telah ditunggu oleh beberapa ekor kawan sang bangau tersebut.


Sang sesumpah sekarang merasa bimbang kerana nyawanya kini sangat terancam.Sebagai ikhtiarnya yang terakhir untuk menyelamatkan diri, ia cuba untuk menukar warna badannyaya menjadi putih, tetapi apakan daya warna sesumpah tidak boleh bertukar menjadi warna putih seperti bulu bangau, apa hendak dikatakan akhirnya sang sesumpah itu dapat dikesan oleh salah seekor kawan sang bangau yang sedang menunggu dibahagian bawah, akhirnya sang sesumpah terperangkap juga sehingga ajalnya tiba kerana patukan paruh sang bangau yang tajam seperti lembing itu.

Oleh itu adalah diharapkan kita sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran, tidak meniru cara sang sesumpah berkawan dan selalu bertukar warna dan menyamar kerana akhirnya orang akan ketahui juga muslihat dan akan menyusahkan diri kita sendiri.Itulah kisah tokwan kali ini, semoga cerita ini boleh dijadikan renungan dan panduan kita dalam menjalani urusan bersama kawan-kawan.



~ cerita ini adalah rekaan tok wan sendiri sekiranya ada persamaan itu adalah satu kebetulan dan tidak disengajakan.





Ahad, 28 November 2010

KISAH SAWA DAN KAMBING ~

Burmese Python Picture

Pada kali ini tokwan bercerita berkaitan seekor ular sawa berkawan baik dengan seekor kambing.Alkisahnya pada masa dahulu binatang boleh berkata-kata dan pada masa itu ular sawa suka makan binatang yang kecil-kecil seperti arnab, tikus, kancil dan jenis burung-burung yang melata di dalam semak, ditepi paya dan di pinggir-pinggir hutan.


Sang sawa dan sang kambing merupakan kawan karib. Mereka selalu sahaja mencari makan ditempat-tempat perburuan sang sawa, kerap kali juga sang kambing menjadi tarikan binatang lain untuk makan rumput bersama-sama sang kambing ditepi-tepi paya, sedang leka memakan rumput sang sawa datang menangkap binatang tersebut.Sang sawa amat berterima kasih pada sang kambing yang sudi membantunya mendapat makanan dengan senang.




Tanpa disangka-sangka pada suatu minggu  hujan telah turun begitu lebat, boleh dikatakan setiap hari hujan turun, sang kambing dan sang sawa tidak dapat keluar makan, maka sang kambing dan sawa terasa lapar dan sang kambing juga terasa amat sejuk maklumlah sang kambing memang tidak berani kena air hujan. 


Pada satu petang sang kambing menggigil kerana kelaparan dan kesejukan ditempat tinggal mereka didalam sebuah gua, membuat hati sang sawa yang kelaparan kasihan melihat sang kambing itu.


Maka sang sawa mengusap-usap badannya kebadan sang kambing itu.Lama-lama sang sawa yang lapar tersebut mula membelit sang kambing perlahan-lahan, dan kerana laparnya sang sawa  mula berfikir untuk menjadikan sahabat karibnya sang kambing itu menjadi  juadah makanannya pada hari itu.


Pada mulanya sang kambing terasa selesa kerana belitan sang sawa itu sekurang-kurangnya dapat memanaskan badannya tanpa menyangka niat buruk sahabatnya sang sawa tadi, tetapi akhirnya belitan sang sawa menjerut sang kambing hingga kambing tadi hilang pekikannya kerana lemas hingga remuk badan dan tulang temulangnya dan mati.


Maka tamatlah riwayat sang kambing menjadi makanan yang enak dan mengenyangkan sang sawa.Sejak kecurangan dalam persahabatan sang sawa ini maka kambing-kambing yang lain tidak mahu lagi berbaik-baik dengan sang sawa kerana tidak setianya.



Python

Jadi apa yang tokwan ceritakan disini jadikanlah ikhtibar dan renungan, dengan siapa kita patut berkawan dan sentiasa memilih kawan supaya tidak ada yang mengambil kesempatan diatas kelemahan diri kita. Cerita ini telah tokwan ceritakan semasa majlis perpisahan tokwan ketika bekerja di Parit pada bulan September tahun 1996.


Ucapan perpisahan tokwan tanpa menyentuh cerita berkaitan tugas hanya bercerita berkaitan cerita mitos haiwan sahaja.Tokwan hairan juga kawan-kawan tokwan memahami maksud yang tersurat dan tersirat yang tokwan sampaikan pada majlis tersebut.


Sambil memberi ucapan tahniah kerana tidak pernah ucapan perpisahan sebelum ini menceritakan kisah-kisah haiwan yang boleh memberi makna dan erti tersendiri. Ada lagi satu kisah lain yang akan tokwan ceritakan disini dilain kali.


~ cerita ini adalah rekaan tok wan sendiri sekiranya ada persamaan itu adalah satu kebetulan dan tidak disengajakan.



Sabtu, 27 November 2010

DISUATU PETANG MENYUSURI JALAN WATSON, IPOH 27.11.2010



Pada petang 27.11.2010 hati ku begitu melonjak untuk ke Jalan Watson, Ipoh, dimana disini banyak kenangan yang aku lalui semasa aku tinggal di Asrama di salah sebuah kuarters kerajaan di nombor 10 Jalan Watson yang dijadikan Asrama untuk pelajar Rancangan Khas St Michael's Institution, Ipoh.Aku tinggal di asrama ini dari tahun 1972 hingga 1976.Sebelum itu pada tahun 1971 aku menumpang di Asrama Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh.

Semasa aku disitu juga mata ku tetap tertumpu pada suatu sudut dimana dahulunya berdiri tegap bangunan rumah kerajaan yang dijadikan asrama kediaman ku dan pelajar-pelajar lain yang terpilih dibeberapa buah Daerah di Negeri Perak bersekolah di St.Michael, Institution, Ipoh.Walaupun serba kekurangan kemudahan yang disediakan namun cukup memuaskan bagi kami yang terdiri dari anak-anak orang susah, jika dibandingkan semasa tinggal di kampung sebelum itu.Kini bangunan disitu telah lenyap dijadikan padang permainan Sekolah Antarabangsa, Ipoh, namun kenangan ku disitu tidak terkubur walaupun bangunan itu telah tidak dapat dipandang oleh mata lagi.

Semasa menyusuri jalan ini aku lihat keadaannya banyak berubah dimana jika dahulunya jalan ini tidaklah selebar sekarang, dan pokok-pokok yang merendang ditepi jalan ketika ini rasanya telah ditanam semasa kami sudah pun tidak tinggal disini lagi.Rumah-rumah dahulu banyak yang telah dibina baharu, besar, agam dan cantik.Pada petang itu aku lihat tidaklah sesibuk mana kerana kurang kereta yang melalui kawasan ini, kemungkinan kerana yang tinggal disini adalah terdiri dari mereka yang elit.Semasa diasrama dahulu jalan inilah tempat kami berjogging atau berjalan-jalan santai mengeluarkan peluh dan menenangkan fikiran sebelum menjelangnya senja.

Aku juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar disuatu sudut yang penuh dengan kenangan lalu yang tidak mungkin dilupakan, disinilah tempat aku dan beberapa orang pelajar sentiasa mencuri peluang untuk menghisap rokok dan disinilah tempat kami melepak sambil mengusik-ngusik pelajar perempuan dari Sekolah Menengah Teknik, Ipoh dan Sekolah Menengah Raja Chulan, Ipoh semasa pergi ataupun balik dari sekolah .Di sini juga aku kadang-kadang curi-curi berjumpa dengan anak Benggali yang tinggal dihadapan asrama kami dahulu.

Semasa aku memandu untuk pulang tidak lupa sekali lagi aku mengambil gambar Jalan watson, Ipoh untuk dijadikan koleksi simpanan ku sebagai kenang-kenangan dimasa akan datang.Kemungkinan jika ada masa lapang aku akan kesini lagi untuk melihat serta mengimbau kenangan-kenangan lama ku disini agar tidak lupa dari ingatan.Terasa ralatnya hati ku kerana terlupa untuk mengambil gambar rumah si santa Kaur tinggal dahulu, yang kini telah dijadikan Sekolah Antarabangsa




TAMAN REKREASI SULTAN ABDUL AZIZ, IPOH


Pada petang tadi 27.11.2010 sempat juga aku ke pinggiran Taman Rekreasi ini untuk menenangkan fikiran, runsing sungguh hati ku duduk diam di rumah sahaja.Setelah aku berpusing-pusing di Bandaraya Ipoh terdetik dihatiku untuk ke taman ini.Malangnya aku kesini hanya berseorang diri, maka aku tidak mengambil masa yang lama disitu dan sempat juga mengambil gambar untuk ku jadikan bahan tulisan ku ini.


Ketika aku bersekolah dahulu dan tinggal di Asrama Jalan Watson disinilah tempat aku meluangkan masa sambil berehat.Taman ini dahulu dikenali sebagai padang polo.Pernah juga aku melihat perlawanan polo disini.Kini padang polo tersebut dijadikan taman rekreasi dan ramai juga pengunjung untuk beriadah.Ada yang berlari, yang berjalan dan ada juga yang duduk-duduk sambil berbual bersama rakan dan keluarga.


Banyak kemudahan yang disediakan disini tidak seperti dahulu, cuma padang yang digunakan untuk permainan polo, sesekali pernah juga dijadikan trek perlumbaan kereta dan tempat beriadah yang serba kekurangan, yang tidak disediakan tempat laluan berlari, tempat senaman,  dan juga tempat permainan kanak-kanak.Seronok juga rasanya menjejakkan kaki setelah sekian lama tidak menjejaki taman ini kali akhir aku ke situ pada bulan September, 2010 yang lalu.




Khamis, 25 November 2010

LATA KINJANG




lata kinjang menyejukkan mata memandang

Pada 25.11.2010 aku telah pergi ke Lata Kinjang, di Chenderiang, Perak  kerana sudah lama tidak kesana, apa yang aku dengar disana telah banyak perubahan baharu yang telah dilakukan dan menambah serinya Lata Kinjang untuk dilawati oleh pengunjung.Setelah sampai disitu memang benarlah banyak pembangunan dan pembinaan telah dibina.Apa yang aku perhatikan terlalu banyak perubahan yang dilakukan di situ.

Gerai-gerai yang lama telah ditukar baru, begitu juga dengan tempat letak kereta dan pelbagai kemudahan lain yang telah disediakan dengan tersusun dan teratur, menambahkan lagi kecantikan kawasan Lata Kinjang yang sememang cantik dengan panoramanya dan mempunyai air terjun yang tinggi dan airnya tidak henti-henti mengalir turun dari bukit bagaikan juraian benang putih bertali temali menuju ke bahagian takungan air yang mengalir sesuai untuk bermandi manda.Jika aku membawa persedian pakaian sudah tentu aku juga turut mandi disitu.

Sekiranya ada masa lapang dan peluang, ingin benar aku berkunjung lagi kesitu, untuk mandi manda, bersantai dan mendapat ketenangan serta menikmati alam semula jadi yang menyejuk mata memandang juga melepaskan tension.


Sekiranya sesiapa yang ingin ke Lata Kinjang bolehlah melalui Lebuh Raya Plus Utara Selatan dan keluar susur tol Tapah setelah itu ikuti simpang ke kanan ke Pekan Tapah dan menyusuri simpang kanan hala ke pekan Kampar dan ikut arahan papan tanda membelok ke kanan ke Pekan Chenderiang dan patuhi papan tanda untuk ke Lata Kinjang.

Sekarang agak mudah kerana boleh sahaja menggunakan alat GPS dan sudah tentu tidak menyesatkan.Jauhnya Pekan Tapah ke Chenderiang lebih kurang 10 km dan dari Chenderiang ke Lata Kinjang lebih kurang 5 km.


SELAMAT DATANG !!!



CAPATI CORNER TEMOH




Capati Corner di Simpang Chenderiang, Temoh
Tapah

Adakalanya selera makan tidak menentu, tambahan tinggal di Malaysia pelbagai makanan yang boleh kita rasa dari pelbagai jenis juadah makanan masakan kaum Melayu, Cina, India dan juga makanan dari kaum-kaum lain.Makanan yang aku gemar selain menu masakan orang Melayu adalah capati, entah mengapa sejak umur ku 15 tahun aku menggemari makan capati, mungkin kerana semasa aku tinggal di asrama dahulu berdekatan dengan rumah seorang kaum Sikh dan anak gadisnya selalu memberi aku capati, maklumlah ketika itu hanyalah anak Singh itu sahaja yang menjadi pujaan hati.

Setelah aku bekerja aku selalu juga makan capati di gerai kaum Pakistani di Ipoh dan juga direstoran-restoran mamak.Dari apa yang aku rasa capati dari kaum Punjabi, Benggali atau Pakistani memang lebih sedap jika dibandingkan dengan capati yang disediakan oleh mamak.Setelah aku bertukar tempat bertugas di Tapah, maka boleh dikatakan menu minum pagi aku adalah capati bersama teh tarik atau kopi O.Aku selalu ke Capati Corner di Simpang Chenderiang untuk menikmati makanan kegemaran ku itu.Selalunya aku makan capati dengan kari kambing, kuah sardin, kari ikan atau pun kuah dal sahaja.Sesekali aku pekena capati dengan susu lembu tetapi aku tidak gemar pula susu kambing.

Apabila aku bertukar ke Bidor, maka aku jarang-jarang makan capati, adakalanya aku makan capati di Bidor sahaja tetapi aku rasa kurang selera menikmatinya, maka tidak hairanlah aku selalu ke  Simpang Chenderiang, Temoh untuk menikmati capati disana.Taukeh Capati itu pun sudah mesra dan mengenali aku.Sekiranya kawan-kawan ada bertandang ke Bidor tidak lupa juga aku akan membawa mereka merasai capati ditempat yang aku selalu makan dan jika aku pergi kemana-mana melalui jalan tersebut, tidak pernah rasanya aku tidak singgah untuk merasai makanan yang aku gemari ini.

Ada juga sekali sekala aku pergi ke Capati Corner ini disebelah malam untuk mengisi perut ataupun sahaja kesana bersama rakan-rakan sambil berbual-bual, Begitu jugalah jika ada kelapangan di waktu  petang atau dihari cuti aku kesana untuk melepaskan rasa keinginanku makan capati.Selalu juga aku bawa pulang sebagai bekalan untuk jiran tetangga ku disini.Oleh itu sekiranya ada kawan-kawan yang berhajat untuk mengunjungi kawasan Bidor atau Tapah, ayuh sahaja menghubungi aku, boleh kita makan capati...

Aku tidak lupa juga datang kesini apabila ada kawan-kawan dan sahabat handai yang datng berkunjung ke Bidor atau ke Tapah dan sama-sama menikmati capati di Restoran Capati Corner di Persimpangan Chenderiang Temoh, Tapah ini, sekiranya ada rezeki dapatlah merasa capati dan kari kambing kerana kari kambing selalunya terhad dan tidak dapat menampung permintaan pelanggan yang begitu ramai untuk menikmati rasa capati berlauk kari kambing.










Selasa, 23 November 2010

Dalam Kenangan ~ Sahabat RK 1971 - 1973

DARI ALLAH KITA DATANG DAN KEPADA ALLAH KITA DIKEMBALIKAN !

Allahyarham Abd Wahab bin Yusof

Allahyarham Abdul Wahab bin Yusof berasal dari Batu Gajah, Perak, meninggal dunia pada cuti penggal persekolahan tahun 1975 kerana kemalangan jalan raya.

Allahyarham Ahamd Hasri @ Bakap

Allahyarham Ahmad Hasri berasal dari Bakap, Batu Gajah, (RK Batch 1971)meninggal dunia akibat serangan demam panas tarikh kematian tiada dalam maklumat.



Allahyarham Ahmad Shahabuddin bin Khamis

Allahyarham berasal dari Kampung Pasir Pinji, Ipoh, (RK Batch 1971)tarikh meninggal tiada maklumat.


Allahyarham Mohd Safri bin Mohd Jamil @ Awie

Allahyarham Mohd Safri bin Mohd Jamil berasal dari Kampar, Perak (RK Batch 1971), dan telah meninggal dunia pada tahun 1984


Allahyarham Azri bin Nulop

Allahyarham Azri bin Nulop berasal dari Kampung Guntung, Sungkai (RK Batch 1971), meninggal pada 12.3.2005 di Gua Musang, Kelantan kerana serangan jantung.


Allahyarham Salleh bin Zainal Abidin @ To'ad

Allahyarham Salleh bin Zainal Abidin berasal dari Kampong Banjar, Telok Intan,(RK Batch 1971) meninggal dunia kerana sakit dalam perut, tarikh meninggal dunia tiada dalam maklumat pada tahun  2006

Allahyarham Johari bin Jalaluddin

Allahyarham berasal dari Bukit Pekan, Kampar (RK Batch 1971) meninggal akibat serangan jantung, bengkak paru-paru dan buah pinggang. meninggal pada 17.11.2010



Allahyarham Shuhaimi bin Mat Shahid

Allahyarham berasal dari Tanjong Tualang,Perak (RK Batch 1972) meninggal dunia akibat kemalangan jet pejuang F 5E terhempas. Tarikh kematian tiada dalam maklumat.


Allahyarham Rosli bin Ismail @ Tepus

Allahyarham Rosli Ismail berasal dari Kampung Tepus, Parit, Perak (RK Batch 1973), meninggal dunia kerana jangkitan dalam perut, terikh kematian tiada maklumat.


* Sekiranya sesiapa yang boleh memberi maklumat tarikh kematian, dan pembetulan maklumat, penambahan maklumat sahabat-sahabat kita yang telah kembali kerahmatullah sila hantar maklumat tersebut kepada tok wan.







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...