Isnin, 19 September 2011

TERKUKUR HIBA DI DALAM SANGKAR


Kali ini aku ingin menulis berkaitan seekor  burung terkukur yang hidupnya terkurung di dalam sangkar.Walaupun sangkarnya bernilai tinggi dan ditempah khas oleh pencinta burung itu tetapi apalah ertinya sangkar yang mahal itu untuknya sedangkan hati dan jiwa terkurung di dalam sangkar, hanya mata bebas memerhatikan keindahan alam yang terbatas pada penglihatan matanya.

Walaupun makan minum disediakan namun batinnya amat tersiksa apabila sesekali terdengar bunyi pujuk memujuk terkekukur yang berpasangan di luar dan bebas bertebangan ke serata ceruk dan penjuru kampung, desa, bandar dan rimba.Apalah yang termampu baginya hanyalah bernyanyi sendirian walau pun merdu  namun hanya memberi kepuasan kepada penjaganya sahaja.

Penjaga akan tersenyum bangga kerana memperolehi terkukur yang bersuara merdu tetapi bunyi terkukur itu mungkin merayu hiba mengenang dirinya tidak sebebas terkukur yang hidup lepas berterbangan dan bermain.Hatinya bukan tidak teringin untuk hidup berpasangan, bahagia seperti terkukur yang lain, namun nasib tidak menyebelahi dirinya tertanggkap dik jerat yang dipasang oleh manusia yang kejam.

Itulah nasib buruk yang diterima oleh sang terkukur itu sejak tertangkap.Menangis pun tidak bererti lagi, jadilah setakat menyedapkan suara ketika berbunyi untuk menghibur sedih di hati dan batin yang tersiksa.Derita sehari-hari yang ditanggung bagaikan sudah tidak bermakna lagi.Penjaga hanya berbangga kerana burung bersuara lemak, lunak dan merdu, sedangkan terkukur itu sebenarnya menghibur hati sendiri dik batin tersiksa.

Kecewa umpama mainan di setiap saat dan ketika.Mata terlepas bebas memandang dunia luar namun hatinya jemu menanti untuk mendapat kebebasan mungkin hanya tinggal harapan.Sayapnya menguncup sehari-hari sesekali ditebarkan di sangkar menghilangkan lenguh.Jika berpeluang bebas pun mungkin mengambil masa beberapa hari untuk memulih dan menguatkan sayap.Itulah doa dan harapannya setiap masa.

Jika dibebaskan untuk mencari makan pun belum tentu mudah kerana sudah biasa disogok makanan dan minuman.Jika tiada belas kasihan dari penjaganya maka sang terkukur itu hanyalah membilang hari pada nasib yang tidak pasti, sukar mendapat seorang penjaga yang baik hati dan bersedia untuk membebaskan burung yang di sayanginya.Terkukur di sangkar selalunya terus meragan dan menemui ajal terkurung di sangkar.

Aku juga pernah memelihara burung terkukur dalam sangkar tetapi sesekali burung itu mematuk juga ketika aku memberi makan atau minum, walaupun sekecil itu sanggup mematuk jari, dan tidak mustahil akan mematuk mata pula.Lebih baik aku membuka pintu sangkar agar ia lepas bebas.Terkukur juga adalah hidupan liar yang suka hidup dengan caranya dalam kelompok tersendiri.Biarlah ia hidup sebebas mungkin agar aku tidak menganggunya dan ia juga  tidak menyusahkan aku ....

Ahad, 18 September 2011

BURUNG BEREK-BEREK


Burung berek-berek adalah sejenis burung yang hidup dalam kumpulan tertentu.Kebiasaannya berek-berek ini suka bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain di sebelah malam dalam kumpulannya sambil berterbangan burung ini akan berbunyi.Maka mungkin bunyinya seperti orang yang suka membebel, berceloteh  maka burung ini digelar berek-berek yang bermaksud berek bersepadan dengan gelaran orang yang suka bercakap-cakap dan menyampai-nyampai cerita (berut berit).

Semasa di kampung-kampung ketika zaman berpelita orang sentiasa mengatakan yang berek-berek ini burung yang mengiringi ' hantu terlentang yang berperut buncit ' ketika bertebangan di waktu malam.Maka jika anak-anak tidor terlentang maka mereka di hiringkan supaya tidak tersampuk atau keteguran.Macam-macam cerita karut ini direka cipta agar menakutkan budak-budak yang suka keluar malam.Maklumlah ketika itu keadaan kampung yang gelap kerana ketiadaan bekalan letrik.

Budak-budak kampung pun amat takut untuk melastik burung ini di waktu siang hari kerana bimbang akan dirasuk hantu terlentang.Sekurang-kurangnya cerita karut itu menakutkan budak-budak dari menganiaya dan membunuh burung dengan melastik.Kini era moden budak-budak pun tidak takut lagi dengan cerita karut marut ini.Aktiviti melastik burung di kampung-kampung bagaikan sudah tidak menjadi budaya budak-budak lagi.

Mengapa pula aku mengambil cerita burung ini sebagai tulisan ku kali ini, banyak lagi jenis burung yang boleh dibuat cerita.Burung berek-berek ini bukanlah sejenis burung yang cantik terutama burung berek-berek sawah yang berwarna hitam seperti gagak dan bermata merah.Burung berek-berek dada nampak lebih cantik seperti burung bayan.Burung berek-berek dada hanya aktif di waktu siang.

Namun cerita berek-berek ini bolehlah dibuat panduan kerana mulutnya begitu becok dan membawa cerita  karut marut ke seluruh kampung yang dijelajahinya seperti jenis manusia yang berperangai seperti burung ini mengada-adakan cerita sambil membawa mulut bercerita yang bukan-bukan untuk menyakiti hati orang lain.Entah kenapa ada manusia yang suka menabur fitnah serta suka  menjaja cerita adakalanya menimbulkan pergeseran dan pergaduhan.

Kekadang setelah terdengar cerita mulut manusia beret-beret ini selalunya aku akan pergi bertanya sendiri kebenaran cerita itu daripada orang yang dikatakan menyampai cerita itu kepada dia, tetapi apa yang aku dapat makluman bahawa cerita itu adalah tidak benar sama sekali dan hanyalah rekaan semata-mata sebagai penyedap cerita.Mungkin orang lain begitu senang diperdaya tetapi bukanlah aku begitu senang untuk percaya tanpa susulan.

Aku adalah jenis yang suka mencari kepastian, penilaian dan kebenaran sesuatu kisah atau sebaliknya dengan bertanya sendiri seseorang yang telah dikatakan dalam cerita sang berek-berek itu.Setelah itu barulah aku merumuskan jawapan samada cerita itu benar atau fitnah.Adakalanya aku senyum sendiri apabila mengetahui cerita itu hanya palsu dibawa oleh berek-berek upahan hantu terlentang yang mencipta reka cerita sendiri ....

KISAH AYAM DI SUATU PAGI


Pagi-pagi aku sudah balik ke rumah pusaka, sambil mengeluarkan sedikit peluh membersih kawasan halaman. sudah lama tidak dibersihkan sejak sehari sebelum hari raya yang lalu.Masih ada beberapa ekor ayam yang bertandang mencari makan di situ.Mungkin banyak rezeki untuknya mengais di halaman rumah itu.Aku masuk kedalam lalu mengambil segenggam beras lalu menaburkannya kepada beberapa ekor ayam.Seronok benar aku lihat mereka berebut makanan.

Aku memerhatikan sahaja tingkah laku ayam tersebut terdapat dua ekor betina yang masih muda, se ekor bapak ayam yang sudah tua dan se ekor ayam jantan muda.Dua ekor ayam betina ini sentiasa mengikuti ayam jantan muda mungkin ini adalah pasangan yang secocok untuknya.Bapak ayam tua hanya membawa dirinya sendiri-sendiri di tepi halaman sesudah mengisi temboloknya dengan beras yang aku taburkan tadi.

Sesekali aku lihat ayam jantan muda berkokok di atas tunggul kayu mengibar sayapnya seolah-olah juara sabung tetapi aku tersenyum kokoknya pun tak begitu lepas dan tersangkut-sangkut.Mungkin setakat hendak memikat dua ekor ayam betina itu, terpaksalah juga berkokok sumbang.Tiba-tiba aku lihat bapak ayam tua itu mengibas sayapnya,  mengambil giliran untuk berkokok garau, lantang bergema bunyinya memecah hening pagi hanya dalam keadaan begitu santai.

Agaknya ayam jantan muda tadi terasa tercabar kerana suaranya masih lagi tak senyaring dan sehebat bapak ayam tua itu lalu beredar dari situ mengiringi dua ekor ayam betina.Sebelum berlalu bapak ayam tua cuba memikat dan mengejar seekor ayam betina, apalagi bertempiaran ayam betina itu lari dan si ayam jantan muda turut mengejar bapak ayam tua kerana cuba merampas kekasihnya.Bapak ayam tua terpaksa melarikan diri kerana terkejut kerana dikejar ayam jantan muda.

Jauh juga bapak ayam tua itu dikejar oleh ayam jantan muda, mungkin kerana letih berlari tiba-tiba bapak ayam tua berhenti lalu memulakan serangan dan bertempur dengan ayam jantan muda itu, mungkin tidak terlawan ayam jantan muda tadi  beredar perlahan-lahan untuk mendekati semula dua ekor ayam betina itu.Aku lihat bapak ayam tua mungkin tidak serik untuk cuba merampas pasangan ayam jantan muda itu.Sekali lagi ayam jantan muda itu mengejar bapak ayam tua tersebut.

Mereka berlari berkejar-kejaran di sekeliling halaman.Setelah kedudukannya jauh dari ayam-ayam betina itu si bapak ayam tua sekali lagi berhenti untuk bertarung dengan ayam jantan muda.Bila melihat bapak ayam tua memulakan langkah untuk bertempur,  ayam jantan muda tadi lekas-lekas melarikan diri menghampiri ayam-ayam betina semula.Barulah aku tahu betapa ayam jantan muda itu hanya berani dan terasa gagah apabila bersama ayam betina tetapi takut berhadapan jika bersendirian.

Setelah beberapa lama di situ kerja-kerja membersih halaman rumah pun siap, aku membasuh tangan untuk pulang ke rumah dan sebelum pulang aku tersenyum sendiri bila teringat kisah dan kelakuan bapak ayam tua, ayam jantan muda dan dua ekor ayam betina itu.Peristiwa pagi itu memang melucukan aku dan akan ku abadikan dalam catatan blog ku sebagai memori walaupun hanya berkisar kisah ayam namun banyak memberi pengertian kepada mata dan akal fikiran.

Sabtu, 17 September 2011

CINTA TERLARANG


Kali ini aku ingin menulis tentang cerita cinta, memang cerita cinta terlalu mengasyikkan, cinta itu terlalu indah untuk diucapkan dan memang benarlah cinta itu buta dan membutakan.Perkara cinta antara lelaki dan perempuan adalah biasa dan dengan perasaan yang timbul itulah ada yang membawa mereka ke alam rumahtangga, ada yang bahagia dan tidak kurang juga yang menderita setelah berkahwin berbeza ketika dalam  masa bercinta.

Ada lelaki bujangan yang bercinta dengan dara pujaan, ada yang duda bercinta dengan anak dara, terdapat juga anak teruna bercinta dengan balu atau ibu tunggal, duda bercinta dengan janda, seorang lelaki yang sudah berumahtangga bercinta lagi dengan pasangan muda atau tua, terpulanglah kepada selera dan kehendak hati masing-masing.Kedapatan juga seorang suami bercinta dengan isteri orang dan begitulah sebaliknya seorang yang bergelar isteri mencintai lelaki lain selain dari suami sendiri.

Percintaan ini adalah terlalu songsang dalam hukum agama dan peraturan adat manusia.Selalu cerita sedemikian terpapar di dada akhbar dan majalah yang sering menimbulkan seribu satu soalan mengapa cinta tiga segi yang berlawanan arus ini terjadi.Adakah talian perkahwinan itu dianggap remeh, rapuh dan dipersendakan.Hukum agama telah melarang sama sekali hubungan seperti ini.Sesiapa yang melanggar hukum maka adalah berdosa besar dan haram di sisi agama kerana menduakan suami.

Jika suaminya merelakan juga hubungan ini entahlah dimana letaknya maruah diri kerana kedayusannya sebagai seorang pemimpin dalam rumahtangga.Selalunya perkara ini dilakukan seseorang isteri atau suami yang curang berselindung-selindung dari pengetahuan orang, tetapi bagaimana untuk menyelindungi diri dari Tuhan.Mengapakah nafsu serakah ini sanggup dilakukan seolah tiada balasan Allah kepada mereka yang melakukannya.

Tidakkah terasa malu pada orang dan sekurang-kurangnya pada diri sendiri.Tidakkah malu pada Tuhan yang menjadikan manusia.Ada yang mengatakan perkara ini berlaku kerana suami sibuk dengan hal dunia, suami sudah tidak berupaya atau suami juga tenggelam dengan dunianya sendiri, namun natijahnya seorang isteri tidak boleh melakukan perkara jijik ini.Seandainya cinta yang diharungi itu terlalu mendalam, perkahwinan antara keduanya tidak juga boleh dilangsungkan selagi isteri itu tidak diceraikan oleh suaminya.

Selalunya dalam mabuk asmara songsang ini para suami sanggup menipu isteri dan anak-anak serta selalu mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah.Begitu juga seorang isteri akan meneruskan tipu daya dalam hubungan perkahwinan dan sanggup mengabai dan  meninggalkan tanggungjawabnya terhadap suami dan keluarga.

Dari apa yang terjadi terdapat mereka yang melakukan cinta curang ini di usia yang sudah melebihi empat puluhan malah sanggup melakukan perkara yang melebihi batasan fikiran sehingga sanggup bersekedudukan.Apakah yang menyebabkan perkara ini terjadi, adakah kerana keretakan rumahtangga, isteri dibiarkan hidup bebas tanpa kasih sayang atau isteri itu sengaja mencari pilihan hidup bebas.

Namun hakikatnya mengapa orang lelaki itu sanggup menjalinkan hubungan keji itu bersama isteri orang bagai tiada pilihan lain.Adakah dengan melakukan perkara ini menjadi satu tabiat dan kemegahan untuk meruntuhkan rumahtangga orang.Betapa besarnya dosa meruntuhkan sebuah masjid apabila berlaku perceraian.
Mungkin dunia telah berada di penghujungnya terlalu banyak kisah curang berlaku dalam rumahtangga, hukum hakam dipermain dan dipersendakan.

Perbuatan cinta songsang ini tidak terhapus dosa selagi ia tidak menyatakan kesilapan melakukan kecurangan pada pengetahuan suaminya, begitu juga pihak lelaki yang mencintai wanita itu tidak terlepas dosanya selagi tidak memohon maaf dan menyatakan perkara yang telah dilakukannya.Sekiranya perhubungan mereka terlantar sehingga jauh ke perbuatan zina maka mengikut hukum Islam adalah direjam sehingga mati.

Walaupun mereka terlepas dari pandangan manusia tanpa bertaubat kepada Allah dan memohon maaf kepada suami yang teraniaya maka tanggunglah dosa besar itu dengan balasan Allah yang kadangkala tanpa disedari Allah membalas perbuatan curang mereka itu di dunia lagi tanpa menunggu balasan di akhirat dengan pelbagai musibah, tidak tenteram dalam hidup, ditimpa penyakit atau siksaan ketika sakratulmaut...

HUBUNGAN TERLARANG


Terdapat segelintir kisah para isteri yang beragama Islam yang sanggup mengikut lelaki lain untuk dibawa kemana-mana untuk menghibur hati atau kerana perasaan cinta terhadap lelaki  selain suaminya.Perlakuan ini amatlah buruk sekali dari segi peradaban beragama dan adat resam.

Malah terdapat yang sanggup diusung hingga ke keranjang tanpa memperdulikan dosa besar yang mereka lakukan kerana nafsu serakah dan godaan syaitan demi mencari kepuasan, keseronokan dan cuba mencari kebebasan.Ini amatlah bertentangan dengan hukum agama Islam.

Walau apa pun alasan yang diberi kebanyakannya adalah kerana ketidak puasan nafkah batin ataupun membalas dendam terhadap suami dan ada yang berkahwin tanpa rasa cinta terhadap suaminya atau perkahwinan yang bukan pilihan sendiri.Mereka juga sanggup melakukan perkara yang songsang dan keji ini.

Jika nafsu serakah telah menghantui fikiran beginilah jadinya manusia akan terus hanyut melakukan budaya jijik tanpa menjaga kesucian hubungan tali perkahwinan yang sah.Seandainya hidup isteri tidak memperolehi kebahagian dan kepuasan dari suami ini bukanlah satu jalan pintas untuk menduakan suami.

Masih ada jalan yang boleh diambil untuk mengelakkan perkara buruk itu dari berlaku.Perkara ini amatlah tidak bermoral malah lebih teruk dari nusyuz terhadap suami.Mereka sanggup berlakon taat setia pada suami tetapi melakukan perkara yang hina ini di luar pengetahuan suami.

Kedapatan yang hanya berpura-pura mencintai suami tetapi hatinya adalah untuk orang lain.Ingatlah seorang isteri dalam apa keadaan wajib mentaati suami selagi perintah suaminya tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Para isteri wajib memelihara maruah diri dan juga menjaga amanah dan maruah suami.

Mengenai tanggungjawab seorang isteri terhadap seorang yang bergelar suaminya boleh difahami daripada Sabda Ra
sulullah SAW yang bermaksud : “Sekiranya aku (boleh) menyuruh manusia menyembah manusia nescaya aku akan menyuruh isteri menyembah suaminya.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Selasa, 6 September 2011

PERCAYA DAN YAKIN PADA DIRI


Aku masih lagi teringat pesanan seorang guru semasa aku masih di bangku persekolahan di peringkat rendah.Pesanannya berbunyi jika membuat kerja sekolah atau dalam peperiksaan usah suka meniru orang kerana itu menandakan kita tak ikhlas dan tidak percaya pada diri sendiri.Belum tentu apa yang kita tiru itu betul sebaliknya jawapan kitalah yang benar, siapa yang rugi ?.Yakinlah pada diri sendiri kerana keyakinan itu selalu membawa kemenangan.

Seandainya kita tersalah atau tersilap dalam membuat keputusan usahlah dikesalkan kerana itu adalah proses dalam pembelajaran.Tidak semestinya kita salah berterusan setelah kita membuat pembetulan.Belajar dari kesilapan adalah lebih baik dari meniru dalam membetulkan kesalahan kerana pesan guru itu lagi jangan menipu diri sendiri, nanti kecewa akan berterusan dan berpanjangan.

Andainya kita ingin pandai dalam pelajaran dan pengetahuan kena perlu banyak membaca, jika tidak tahu bertanyalah pada guru atau orang yang faham.Jika meniru dan bertanya pada orang yang tidak faham maka hanyutlah dalam membuat satu keputusan atau tewaslah kemampuan daya fikir kita tanpa memperolehi kemajuan.Biar malu  bertanya dari malu di kemudian hari jika tidak pada orang mungkin malu pada diri sendiri.

Pesannya lagi jika ingin meniru, tirulah gaya dan laku orang yang baik-baik, jangan meniru gaya dan laku orang yang tidak baik.Jika setakat meniru tiada gunanya kerana itu dinamakan berpura-pura.Oleh itu lakukan dan amalkan tingkah laku dan gaya orang baik itu malah jika tidak lebih baik jadilah setakat terdaya atau setanding dengan orang yang baik-baik itu.Aku amat berterima kasih atas pesanan guru ku itu meskipun kini beliau telah tiada.

Sabtu, 3 September 2011

PERTEMUAN TIGA SAHABAT 2.9.2011 (4 SYAWAL, 1432)



Setelah berlalu sambutan hari raya aidilfitri 1432 kini telah masuk empat syawal barulah aku berpeluang untuk menziarahi sahabat ku Roslan bin Khairuddin di Taman Melayu Kampar, Perak.Sebelum itu aku hanya menziarahi keluarga dan jiran tetangga ku di taman kediaman dan kampung ku di Bidor sahaja kerana aku tidak mampu bergerak jauh untuk memandu kereta.


Kebanyakannya pada hari-hari itu aku setakat menjadi penumpang kereta yang dipandu oleh anak-anak ku dan selain itu aku hanya mampu bergerak dengan menonggang motorsikal sahaja kerana serangan penyakit gout yang aku hidapi sejak hari penutup Ramadan lagi.Pada hari ini aku telah mendapat jemputan dari Roslan agar datang berhari raya ke rumahnya meski pun sakit di kaki masih belum hilang sepenuhnya.


Sukar untuk aku mengelak ajakan itu kerana inilah adalah jemputan dari seorang sahabat.Aku mengajak seorang lagi kawan sekelas kami dahulu semasa belajar di Sekolah Menengah St.Michael, Ipoh untuk pergi bersama.Alhamdulilah Amiruddin bin Mat Som yang lebih dikenali dengan panggilan Jaja bersetuju untuk pergi bersama.Setelah rancangan diatur maka aku mengambil keputusan untuk ke rumahnya pada sebelah malam.

Aku memakan ubat agar dapat memandu pada sebelah malam nanti untuk ke Kampar.Bila tiba masa yang dijanjikan aku pun memandu dengan sedikit ragu kerana kaki kiri ku masih membengkak.Namun atas kehendak hati dan demi menjaga talian persahabatan dan hubungan baik , aku memandu dalam keadaan tenang dari Bidor.Sampai di Tapah aku mengambil Jaja yang menunggu di sana.

 

Dalam masa 25 minit kereta ku sampai di rumah Roslan, lalu beliau menjemput kami masuk ke rumah yang baru siap diubah suai.Kami dihidangkan dengan makanan, kuih dan minuman.Sambil itu seperti biasa kami sentiasa mesra berbual, bergurau senda dan tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama sebagai kenang-kenangan.Memang kami tidak pernah putus hubungan selepas bersekolah dahulu.

Kami hanya terpisah sementara ketika kami masing-masing membawa diri kerana berkerja atau menyambung pelajaran.Selepas masing-masing tinggal di bandar-bandar yang berdekatan kami sentiasa bertemu jika ada masa terluang.Begitu erat talian persahabatan kami sejak bertemu, tinggal di asrama dan bersekolah di tempat yang sama sejak tahun 1971.Sedar tak sedar hubungan persahabatan kami telah menjangkau 40 tahun.

Semoga pertalian dan jalinan persahabatan ini bertambah erat bukan sahaja pada kami tetapi juga kepada isteri dan anak-anak kami.Oleh kerana kesibukan melayan tetamu di musim perayaan dan acara-acara lain yang membatasi pertemuan maka hanya aku dan Jaja sahaja yang berkesempatan hadir pada malam itu.Isteri dan anak-anak Jaja dan anak-anak serta isteri ku tidak dapat hadir.

Begitu juga dengan sahabat dan kawan-kawan lain yang dijemput oleh Roslan, aku dan Jaja, tidak dapat hadir kerana ada komitmen yang lain.Aku sentiasa berharap agar pada sambutan hari raya atau sesuatu majlis yang akan diadakan oleh kawan-kawan dan sahabat handai pada masa hadapan akan dihadiri lebih ramai lagi  agar sesuatu majlis atau pertemuan itu akan menambah keseronokan dan mengeratkan hubungan persahabatan.




Khamis, 1 September 2011

BERHARI RAYA DI TERATAK PUSAKA



Menjelang malam sambutan hari raya aidilfitri 1432 (2011) yang lalu hati ini terasa sayu, dada sebak mengajak air mata untuk turut mengalir walau tanpa dipinta ia tetap juga terbit dari kelopak mata.Memang terasa sesuatu akan berlaku dan benda itu benar-benar berlaku tika aku sampai di muka pintu teratak.

Entah kenapa aku teringin benar berkunjung ke teratak pusaka keluarga yang selama ini gelap untuk beberapa waktu kembali terang setelah adik perempuan ku nombor tiga sekeluarga balik berhari raya di situ.Hati ku mula sayu semasa aku dalam perjalanan masuk ke kampung lagi setelah aku dapati sambutan malam raya tidak meriah seperti di tahun-tahun sebelumnya.

Setibanya aku ke dalam rumah tiba-tiba adik ku menerpa lalu memeluk ku dalam tangisan hingga membuat aku juga tidak tertahan sehingga mengalir airmata jantan ku.Sebenarnya aku juga dapat merasakan betapa sedih hatinya kerana kehilangan ibu tercinta pada 23.6.2011 yang lalu.Sudah tentu sambutan kali ini kurang sedikit dibandingkan tahun lalu.

Rupa-rupanya hari raya tahun lalu adalah hari raya terakhir kami menyambut bersama ibu.Pada tahun ini hanya tinggal kenangan.Mengimbau kenangan di malam hari raya tahun lepas, ibu masih boleh bergerak perlahan dan turut memeriahkan suasana bersama cucu dan masih mampu untuk bergerak walaupun perlahan.


Aku juga terharu kerana ini adalah kali ke empat berhari raya tanpa ayah yang telah pulang ke Rahmatullah empat tahun sudah.Kehilangan kedua orang tua memang dapat dirasakan pada setiap kali sambutan hari raya.Tambahan bila terdengar suara takbir mengimbau kenangan ketika bersama ayah dan ibu bermain di fikiran.

Setelah beberapa minit berada di situ aku pun beredar untuk pulang ke rumah ku.Setelah aku keluar dari halaman teratak pusaka aku tetap memandang teratak yang masih ada serinya untuk kami adik beradik berkumpul untuk berhari raya pada keesokan harinya.
Pada keesokan harinya kami bertiga beradik bersama keluarga berhari raya di teratak itu seperti di hari raya yang lepas-lepas.

Walau ketiadaan ayah dan ibu kami tetap berkumpul menjamu selera yang disediakan
oleh adik perempuan ku itu.Kali ini kakak dan adik bongsu ku yang tinggal di Negeri Johor tidak pulang berhari raya di sini.Kakak dan keluarga akan pulang pada hari raya ketiga tetapi adik bongsu tidak dapat kembali berhari raya di sini.InsyaAllah pada sambutan hari raya yang akan datang kami dapat menyambut hari raya bersama-sama di teratak pusaka ini.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...