Ahad, 12 Jun 2011

KOS SARAAN HIDUP SEMAKIN TINGGI





Seandainya seseorang itu memperolehi pendapatan sebanyak RM 3,000.00 sebulan apakah termampu untuknya hidup sejahtera sedangkan tanggungannya masih ada.

Berapa ringgitkah yang akan berbaki dalam sebulan untuk dibuat simpanan.Dalam keadaan kos hidup yang semakin hari semakin meningkat sudah tentu pendapatan sebanyak ini kurang mampu untuk hidup walaupun sederhana.

Bukannya banyak hanya sekadar dapat meneruskan hidup secara sederhana.Walaupun tinggal di luar bandar namun pada hakikatnya barangan makanan terpaksa juga dibeli.

Tidak juga senang hendak mendapatkan bahan mentah dari hasil  bercucuk tanam kerana kawasan kediaman bukanlah di kampung tetapi hanya di taman perumahan.

Mana ada kawasan untuk bercucuk tanam, jika pun boleh di laksanakan tanaman dalam polibeg tapi sebanyak mana yang dapat hasilnya.

Bayangkan jika pendapatan orang itu di bawah dari RM 3,000.00 tentu akan mengeluh dengan harga barangan makanan yang setiap hari naik dan tidak pernah ada turunnya.

Sebagai contoh  kita ke pasar membawa RM 50.00 tanpa disedari wang yang kita bawa tadi tidak banyak berbaki, kadangkala berbaki hanya  duit besi sahaja.

Jika kita membeli keperluan lain untuk merasa makanan sedap sedikit rasanya RM 50.00 yang dibawa langsung tidak berbaki kerana harga ikan, sayur, daging dan kepeluan lain harganya kian mendadak. 

Kalau ke kedai atau pasaraya dengan membawa RM 100.00 pula tidak cukup untuk membeli 5 kilogram beras, sekilogram gula, sekilogram tepung, sebuku roti, bahan minuman, kos bahan cucian dan mandi, kos bahan api dan kos pengangkutan.

Begitu juga bayaran bil-bil perkhidmatan yang perlu dilangsaikan termasuklah membayar hutang piutang dan tanggungan persekolahan dan pengajian anak-anak.

Terasa juga peritnya jika barangan dan kos perkhidmatan berterusan meningkat dari semasa ke semasa.Sudah pasti hidup golongan rendah dan sederhana ini sentiasa sahaja mengeluh panjang.

Setelah di tolak terajang tidak hairanlah jika pada hari gaji wang yang berbaki dipoket hanya cukup untuk menampung hidup dalam seminggu dua, selebihnya terpaksa diikhtiarkan dengan pelbagai cara.

Wang tabungan yang tersimpan di Bank juga akan turut menyisit dan menyusut setiap hari bagaikan bukit ditarah malahan dikorek menggunakan jentera sudah tentu cepat menjadi rata.


Walaupun dirancang perbelanjaan serta berjimat cermat namun belum tentu wang ringgit dapat diselamatkan atau berbaki dalam simpanan.                                                                 

Kalau diambil kira golongan rendah dan sederhana kini bukan sahaja dikategorikan sederhana lagi malahan telah bertukar status menjadi mudah miskin dan kemungkinan telah pun terjerumus ke kategori miskin bandar.

Pada siapa dan di manakah tempat hendak mengadu sekira golongan ini berada dalam kesusahan atau sedang 'sesak' kerana keperluan perbelanjaan di luar jangkaan ?

Beruntung benar mereka yang memperolehi pendapatan yang lebih dan beroleh kesenangan hidup meskipun harga barangan dan kos perkhidmatan meningkat.Sudah tentu kesan kenaikan kos tersebut tidak begitu terasa kepada mereka.


Khamis, 9 Jun 2011

LAMPU TRAFIK MENYUMBANG BAKTI



Lampu Trafik kini bukan sahaja menjadi lampu kawalan trafik semata-mata tetapi juga telah menjadi penunjuk arah ke majlis-majlis tertentu khususnya majlis perkahwinan yang akan dilangsungkan di sesuatu tempat yang telah ditetapkan oleh tuan rumah untuk memudahkan para tetamu dan jemputan untuk menghadiri majlis tersebut dengan lebih senang.


Selalunya lampu trafik ini terletak di persimpangan jalan atau yang berada di susur keluar dari lebuhraya yang merupakan tempat strategik dan pasti akan dilalui oleh kenderaan para tetamu dan jemputan.

Oleh kerana majlis perkahwinan banyak diadakan pada masa tertentu maka nama kedua-dua pengantin tersebut akan dipaparkan, tarikh majlis berlangsung dan nombor telefon untuk dihubungi akan dilekatkan di tiang lampu trafik, dengan cara ini para jemputan atau tetamu dapat mengesan tempat majlis yang ingin mereka tuju.

Kebiasaannya penunjuk hala rumah pengantin akan ditampal pada tiang lampu trafik pada malam hari sebelum upacara majlis berlangsung pada keesokan harinya dengan pelbagai bentuk dan gaya menarik perhatian.


Pada musim cuti atau pada masa yang tertentu tidak hairan papan kenyataan kertas itu akan di tampal mengikut susunan dan ada yang berlapis-lapis dengan papan kenyataan majlis yang telah berlangsung tetapi masih terlekat dan tidak ditanggalkan oleh mereka yang terlibat.


Oleh kerana itu juga akan  menyusahkan orang lain pula yang ingin menggunakan tempat itu, dan terpaksalah mereka menanggal atau menampal notis terbaharu pula.


Ada masa tiang lampu trafik itu penuh dengan tempelan notis usang dan terbiar dengan tempelan notis perkahwinan yang telah dimamah cahaya matahari dan ditimpa hujan.


Adakalanya bercampur pula dengan iklan perkhidmatan Ah Long yang menawar pinjaman berisiko kepada pelanggan.Ini tidak termasuk iklan tawaran kerja seperti tukang membaiki kerosakan paip 'plumber', tukang besi membuat gril, serbis pembaikan barangan letrik, perkhidmatan andaman pengantin dan sebagainya.


Sekali terpandang seolah-olah tiang lampu trafik menjadi tempat pengiklanan perniagaan.Walaupun cara ini berkesan tetapi sekiranya terlalu banyak iklan akan mencacatkan pemandangan tiang lampu itu hingga menyakitkan  mata memandang.


Tidak hairan juga kadangkala terlalu ralit meneliti iklan atau berminat mendapatkan sesuatu perkhidmatan pemandu akan mengambil masa berhenti seketika walaupun lampu trafik telah pun bertukar hijau hingga menyebabkan pemandu di belakang membunyikan hon atau memberi isyarat lampu.


Tidak hairan  ada juga berlaku kemalangan kecil kerana sikap pemandu yang terleka membaca iklan tidak berbayar itu.Bila berlaku kemalangan di persimpangan jalan ini akan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain kerana sikap pemandu yang tidak beretika itu.

Walaubagaimanapun khidmat lampu trafik itu tidak jemu memberi sumbangan bakti Di samping itu tiang lampu trafik turut berjasa untuk menyenangkan pengunjung, para tetamu dan para jemputan untuk sampai ke destinasi majlis perkahwinan atau majlis lain dengan lebih mudah dan senang.


Tanpa kita menyangka bahawa bakti tiang lampu trafik juga dapat menyambung kasih ikatan persaudaraan dan jalinan hubungan persahabatan, kawan dan rakan yang akan turut serta di majlis bersejarah kedua mempelai pada hari tersebut.






Selasa, 7 Jun 2011

SUDAH HAMPIR SEPARUH TAHUN 2011





Minggu ini sudah hampir memasuki minggu kedua bagi bulan Jun, dan 2 minggu lagi selepas itu maka sampailah ke penghujung haribulan, 2011 maka setengah tahun kita berlalu meninggalkan bersama segala peristiwa hari-hari kelmarin dan hari-hari sebelumnya.

Ada peristiwa manis, ada peristiwa sedih, suka dan duka berlalu dan akan terus menerapi hidup manusia selagi bernyawa.Begitu juga perkara-perkara yang dirancang dan direncana dalam hidup ada yang telah tercapai dan ada yang masih terkapai-kapai.

Bagi mereka yang beringat masa berlalu tidaklah sepantas mana namun bagi mereka yang masih dilamun mimpi indah atau buruk merasakan perjalanan hari-hari yang dilalui amat perlahan dan ada yang terasa terlalu pantas sekali.Maka hidup sentiasa berada dalam lalai atau tanpa disedari diri ditinggalkan detik-detik berlalu yang merugikan.

Namun masih ada yang teraba-raba mencari sesuatu yang masih belum diperolehi, hari-hari bagaikan tiada apa yang merugikan asalkan hati sentiasa gembira, suka merempuh umur yang kian meninggi sehari ke sehari.


Bagi yang masih bertatih hari-hari tanpa sedar boleh berjalan lalu berlari.Untuk yang masih berada di lingkaran tengahari, kian menjadi rembang, detik saat  berlalu dan berganti tanpa disedari menjelang petang dan yang petang tanpa sedar meniti senja dan yang senja diremang gelora malam yang pasti akan tiba.Fikir-fikirkanlah.....




Selasa, 24 Mei 2011

SELAMAT MENYAMBUT HARI KELAHIRAN KAK IMAH



Hari    berlalu    datang    dan    pergi
kelmarin    hilang,    hari    ini  datang
esok      pula     akan       bertandang
usia     sudah     monangkah     tinggi
semakin    hari   bertambah   matang
masih    ayu      mata     memandang

kini       sudah        tiba       masanya
selamat   menyambut  hari  kelahiran
terimalah    ucapan      dari    adinda
semoga  hidup dalam kesejahteraan

semoga kekanda  dipanjangkan usia
hidup  sentosa   tenang   dan   aman
adinda berdoa kekanda selalu  ceria
sentiasa  dirahmati  di berkati  Tuhan

Jumaat, 20 Mei 2011

GENAPLAH UMUR MOHD AMIRUL HAFIDZ KE 26 TAHUN PADA 20.5.2011



Sudah 26 tahun umur Apis sekarang, sepatutnya fikiran bertambah matang, sedikit masa lagi hendak berumahtangga eloklah belajar menjadi lebih dewasa.Sebagai anak sulung dari 3 adik beradik sepatutnya dan sewajarnya menjadi contoh terbaik untuk adik-adik.Disamping mengharapkan penghormatan dari adik-adik, Apis juga perlulah hormat pada adik-adik, dan orang yang lebih dewasa.


Ingatlah usia yang sebegini tidak perlu lagi banyak bergantung pada emak dan ayah, belajarlah dan berfikirlah secara bijaksana untuk berhadapan cabaran.Apabila berumahtangga nanti Apis lebih senang dan memahami apa erti kehidupan berkeluarga dan tanggungjawab seorang anak, suami dan anak-anak nanti.


Walaubagaimanapun ayah selama ini telah banyak memberi tunjukajar hidup berdikari sejak dari kecil lagi.Jadikanlah itu satu semangat juang, pelajaran dan semangat meneruskan hidup lebih baik lagi.


Untuk itu belajar lagi supaya dapat bersabar sebelum melakukan sebarang tindakan.Sabar itu sebenarnya adalah kekuatan diri menahan cabaran.Sebenarnya ayah terlalu menyayangi anak-anak ayah tanpa pilih kasih, semuanya adalah sama.Nilailah sedalam-dalamnya kasih sayang ayah untuk anak-anak adakalanya ayah melebihi segalanya untuk anak-anak dari kepentingan ayah sendiri.


Ayah tidak mampu mengadakan sebarang pemberian hadiah di harijadi Apis hanyalah secebis nasihat dan beri semangat pada Apis agar menempuh dan merempuh hidup ini dengan tenang, sabar agar memperolehi kepuasan hasil yang lebih gemilang.Belajarlah mengenal diri dan belajarlah dari kesilapan untuk keiayaan di masa hadapan.


"SELAMAT MENYAMBUT HARI JADI YANG KE 26"






Ahad, 15 Mei 2011

BANDAR TELUK INTAN, PERAK DARUL RIDZUAN


Teluk Intan Perak adalah pusat bagi Pentadbiran Tanah dan Daerah bagi Hilir Perak.Bandarnya di lingkari oleh 2 batang sungai iaitu Sungai Perak dan Sungai Bidor.Teluk Intan memperolehi namanya dari seorang janda yang cantik dan beliau adalah seorang saudagar kain batik dari Sumatera.



Beliau juga merupakan salah seorang yang telah meneroka pekan kecil ini.Semasa beliau mandi di Sungai Perak cincinnya telah terjatuh di dalam sungai dan lenyap di sebuah lubuk, maka sempena kejadian ini maka pekan kecil ini telah dinamakan Telok Mak Intan.


Pada zaman Inggeris Sir Hugh Low Residen telah menukarkan nama Telok Mak Intan kepada Telok Anson sempena nama Pegawai Daerah Pertama yang dilantik oleh pentadbiran Inggeris iaitu Jeneral Archibald Anson pada tahun 1882.


Pelabuhan Telok Anson semakin berkembang dengan memunggah barangan hasil pertanian getah, kayu balak dan bijih timah dari kawasan sekitar di Daerah Batang Padang iaitu Bidor, Tapah dan Kampar dari Daerah Kinta.Maka terbinalah landasan keretapi dari Tapah Road ke Telok Anson untuk membawa barangan tersebut.





Pada tahun 1938 Telok Intan menjadi Bandar Di Raja Perak untuk Raja Muda Perak.Pada tahun 1950an rangkaian jalan raya telah dibina menyambung pekan-pekan berdekatan dari Daerah Kinta dan Batang Padang.




Pada tahun 1938 Telok Intan menjadi Bandar Di Raja Perak untuk Raja Muda Perak.Pada tahun 1950an rangkaian jalan raya telah dibina menyambung pekan-pekan berdekatan dari Daerah Kinta dan Batang Padang.



Air sungai tidak begitu dalam yang akhirnya pelabuhan Telok Anson ditutup,  gudang-gudang di tepi sungai juga runtuh ke dalam sungai dan pasaran bijih timah telah jatuh menjunam pada tahun 1970an merupakan penyebab pelabuhan ini tidak digunakan lagi. 



Landasan keretapi pula telah ditutup untuk beroperasi kerana kepesatan pengangkutan darat lain.Pada 1.1.1982 Telok Anson telah dikembalikan semula kepada nama asalnya oleh Paduka Seri Sultan Perak Sultan Idris Shah 11 kepada Teluk Intan.



Pada tahun 1950an dan 1960an Telok Intan mempunyai sebuah Pusat Latihan Perguruan yang dikenali sebagai Dairy Training College mengeluarkan tenaga pengajar di sekolah di negeri Perak tetapi akhirnya ditutup.




Kini sebuah Kampus Universiti Teknologi Mara telah dibina dan beroperasi di bandar Teluk Intan ini.Sekolah-sekolah baharu telah dibina seperti Sekolah Menengah Sains Telok Intan, Sekolah Menengah Seri Perak,  dan Sekolah Menengah Vokesyional.



Teluk Intan juga terkenal dengan pengeluaran hasil pertanian nenas di kawasan Selabak, Kelapa sawit dan pengeluaran padi di Mukim Sungai Manik dan Chui Chak.Pertanian merupakan punca pendapatan utama bagi penduduk Teluk Intan selain perniagaan dan kakitangan kerajaan serta swasta. 



Kini pembangunan Teluk Intan amat pesat dengan pembinaan Bandar Baharu Teluk Intan dan pasaraya yang terkernal turut menjadikan kemeriahan  dan kemajuan Teluk Intan setanding dengan bandar-bandar besar di negeri Perak.Teluk Intan merupakan bandar ketiga terbesar di Negeri Perak selepas Bandaraya Ipoh dan Taiping.








Sabtu, 14 Mei 2011

AKU ' DI LITTLE INDIA' KUALA LUMPUR


Pada 13.1.2011 aku mempunyai urusan tugasan di Kuala Lumpur selama dua hari satu malam.Dalam kesempatan yang singkat itu dapat juga aku meninjau kawasan Little India ini yang mana baharu sahaja dikunjungi Perdana Menteri India Mr Mohan Singh diiringi oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Mohd Najib bin Tun Abdul Razak.


Walau acara lawatan tersebut telah berlalu namun ketika aku sampai ke situ masih lagi terdapat poster dan banner sempena lawatan tersebut terlekat di merata kedai dan bangunan.Meskipun aku telah beberapa kali ke situ namun naluri hati untuk melihat pembangunan dan kesan dari lawatan Perdana Menteri kedua-dua negara itu hendak juga aku lihat dan hayati bersama walaupun agak terlewat.




Namun pemergian ku kali ini hanyalah dapat ku rakamkan melalui kamera talipon bimbit rakanku sahaja kerana pada hari itu aku tidak membawa kemera ku.Jika ada peluang aku mahu masih mahu ke sana lagi untuk meninjau lebih banyak kawasan Little House yang masih belum dapat aku selusuri kerana kesuntukan masa.




3 HARI 2 MALAM DI IBUKOTA KUALA LUMPUR





Walaupun selalu sangat aku ke Kuala Lumpur kerana saja-saja berjalan, ke rumah saudara mara ataupun demi tugas namun semuanya jarang aku rakamkan dalam potret.Kali ini sempena tugasan ku di Ibu Kota dapat juga aku merakamkan beberapa keping potret untuk ku abadikan di blog ini.



Entah berapa kali aku ke Kuala Lumpur sudah tidak terkira banyaknya, namun pemergian ku kali ini pada 10.5.2011 hingga 13.5.2011 sangat mengembirakan kerana dapat bersama kawan-kawan sambil mengambil kesempatan melapangkan sedikit ketegangan fikiran dan melepaskan sedikit bebanan tugas seharian.




Di Kuala Lumpur sempat juga kami bersiar-siar di tempat-tempat menarik seperti kebiasaan semasa selalu kesana.Sambil berjalan aku suka memerhatikan gelagat manusia dan cara gaya mereka di ibukota.Mungkin juga ada dikalangan mereka turut memerhatikan gelagat kami pula.




Mungkin orang Kuala Lumpur sudah biasa di tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur, tetapi untuk kami yang tinggal jauh di ceruk kampung inilah masanya menghayati keindahan Kuala Lumpur terutamanya di waktu malam.




Walaubagaimanapun Kuala Lumpur adalah milik kita bersama seluruh rakyat Malaysia, apasalahnya kami juga turut memeriahkan Kuala Lumpur untuk sehari dua dan berbangga menjadi rakyat Malaysia.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...